14
“Apa? Cuti!” jerkah Firuz Eidil. Tangannya kuat
menghentak meja. Air kopi yang berada di dalam cawan tertumpah sedikit akibat
hentakan yang kuat.
Sofea yang terkejut kerana dijerkah mengangguk pantas
sebagai menjawab pertanyaan Firuz Eidil. Dia tidak menyangka yang Firuz Eidil
akan naik angin seperti itu. Wajah Firuz Eidil mencerlung ke arah Sofea. Sofea
menelan air liur. Otaknya ligat memikirkan kemungkinan tindakan Firuz Eidil
selepas ini.
“Dia ada beritahu awak kenapa dia minta cuti?” Firuz
Eidil mengendurkan sedikit suaranya. Kasihan pula dia melihat Sofea
terkulat-kulat akibat kemarahannya sebentar tadi.
“Dia ada hal keluarga,” beritahu Sofea.
“Kalau ada hal keluarga sekali pun tak boleh ke mereka
berbincang pada hujung minggu. Inikan waktu kerja. Sepatutnya dia bekerja.
Menyusahkan orang betul!” rungut Firuz Eidil.
“Tak apalah Sofea awak boleh keluar sekarang.”
“Tapi bos...”
“Saya cakap keluar sekarang! Tak payah awak nak bela
kawan baik awak itu.”
Tanpa banyak bicara Sofea segera keluar dari bilik Firuz
Eidil. Sofea mengurut dadanya perlahan. Lega rasanya apabila terlepas dari
cengkaman Firuz Eidil. Simpatinya terhadap Elfira kian menebal. Kalaulah Firuz
Eidil tahu siapa sebenarnya Elfira mungkinkah Firuz Eidil akan bersikap begini
dengan gadis itu?
Firuz Eidil menghentak failnya ke atas meja. Dia
menghempas punggungnya di kerusi. Entah mengapa dia begitu marah dengan Elfira
hari ini. Nombor telefon Elfira didailnya. Tetapi hampa. Elfira langsung tidak
menjawab panggilannya.
“Arghh!” Firuz Eidil menghentakkan tangannya di meja.
Tangannya sudah kemerahan akibat hentakan kali kedua.
“Adoi, sakitlah pulak!” rungutnya.
Firuz Eidil meniup-niup tangannya. Pijar dan kebas
dirasakannya. Dia mengambil kunci kereta kemudian berlalu di pejabatnya.
“Fea, tolong batalkan semua temu janji saya hari ini.
Saya tak ada mood. Kalau ada sesiapa cari katakan saya cuti. Suruh mereka
tinggalkan pesanan sahaja,” arah Firuz Eidil.
“Baik bos.”
Firuz Eidil berlalu meninggalkan pejabatnya. Sofea hanya
memandang dengan ekor matanya. Wajah sugul Firuz Eidil membuatkan Sofea hairan.
“Fea,” panggil Shamsul yang sudah mendekati Sofea.
“Nak apa kau mengendeng aku?” tanya Sofea malas.
“Kenapa dengan bos kita itu? Angin semacam je aku tengok.
Kasihan L asyik jadi mangsa. Terkulat-kulat mukanya kena marah dengan bos kita
tu,” luah Shamsul.
“Eh kau ni, L yang kena marah kau pulak yang over. Dia
kau kasihan, yang aku ni baru lepas kena terjah kau tak kasihan pulak?”
“Janganlah marah. Aku kasihan juga dengan kau,” jawab
Shamsul sambil tersengih.
“Aku pun tak tahu kenapa tiba-tiba aje bos kita itu
angin. Setahu aku bos kita itu taklah begitu. Musim dia berangin agaknya.”
“Oh, aku ingatkan perempuan je yang ada musim. Rupanya
bos kita pun ada musim. Bahaya tu. Aku rasa bos kita tu patut kahwin. Julia,
tunangnya itu punyalah mengancam. Tapi meluat aku dengan minah gedik itu.”
“Sudahlah Sham, kau tak payah susah-susahkan diri nak
fikirkan hal bos kita. Sekurang-kurangnya dia ada tunang, kau ada? Tulang pun
lembut.”
“Amboi, lasernya ayat. Eh Fea, lembut-lembut aku pun
masih ada hati pada perempuan okey.”
“Apa-apa sajalah Sham. Sekarang ni lebih baik kau pergi
tempat kau, aku nak buat kerja. Bukan nak melayan kerenah kau aje.”
“Halau akulah ni? Sampai hati kau.”
Shamsul memuncungkan bibirnya. Kemudian dia berlalu
meninggalkan meja Sofea.
“Ha, buatlah muncung macam itu. Dah sama macam cencurut,”
usik Sofea sambil ketawa kecil.
Semakin panjang muncung Shamsul.
***
Elfira masih buntu. Puas dia mendail nombor telefon Erry
Edrian tetapi semua masuk ke peti simpanan suara. Zamrin Edril pula dah
bising-bising. Tidak terkecuali Firuz Eidil yang asyik menghubunginya. Rimas
dia rasakan saat ini. Elfira semakin buntu. Dia memberhentikan keretanya di
bahu jalan. Kepalanya ditundukkan ke stereng. Dia harus membuat pilihan sama
ada terus mencari Erry Edrian atau melawat papanya di IJN.
“Angah, angah kat mana? Jawablah panggilan L, papa sakit
angah,” rintihnya sendirian.
Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Elfira mengukir
senyum. Dia meneruskan pemanduannya. Dia yakin Erry Edrian pasti berada di
sana. Jika gerak hatinya tepat, dia boleh membawa Erry Edrian segera ke
hospital. Dia terus memecut 100km/j. Tiba sahaja tempat yang dituju dia terus
memakirkan keretanya ditempat letak kereta.
Langkahnya diatur ke rumah Yayasan Bakti. Dari jauh dia
sudah melihat Erry Edrian yang sedang asyik melayan sekumpulan kanak-kanak. Dia
melihat Erry Edrian begitu gembira. Elfira melajukan langkahnya. Dia merapati Erry
Edrian.
“Assalamualaikum,” sapa Elfira.
Erry Edrian yang
leka melayan karenah kanak-kanak berpaling ke arah suara yang memberi salam. Erry
Edrian terkejut melihat kedatangan Elfira. Dia yakin Elfira sudah tahu apa yang
berlaku.
“Hai sejak bila pulak angah tak pandai jawab salam.
Cantik sangat ke L ni sampai angah buat muka begitu?”
“Waalaikumussalam. Bagaimana L tahu angah ada di sini?”
“Angahkan abang L. Walau ke mana angah melangkah pasti L
dapat hidu. L ini kan superwoman,”
ujarnya berlelucon.
Erry Edrian sekadar tersenyum. Dia tahu Elfira cuba
menghiburkan hatinya.
“Sekejap ya L.”
Elfira mengangguk. Dia hanya memerhatikan tingkah
angahnya yang sedang memujuk kanak-kanak itu agar bermain di tempat lain.
“Bye, Kak L.”
Kanak-kanak itu melambaikan tangan ke arahnya. Elfira
membalas kembali lambaian mereka.
“Angah tahu kenapa L datang sini. Mesti L nak tanya pasal
hubungan angah dengan Kak Lea,” duga Erry Edrian.
“Taklah. L lagi suka kalau angah bercerai dengan Kak Lea.
Dari dulu lagi L tak suka dengan sikap Kak Lea yang selalu abaikan angah dan
Alaisyah. Dia bukan isteri dan ibu yang terbaik angah. L minta maaf kalau angah
terasa dengan kata-kata L. Tapi L datang sini cari angah bukan sebab Kak Lea
tapi papa...”
“Papa? Kenapa dengan papa?” tanya Erry Edrian cemas.
“Papa sakit. Sekarang papa ada di IJN. Angah pun tahukan
yang papa ada sakit jantung.”
“Ini mesti sebab papa dah baca cerita pasal angahkan. Ya
ALLAH, kejamnya aku kerana membuat papaku sakit.”
“Angah, ini bukan salah angah. Semua yang terjadi bukan
kehendak kita. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.”
“Dah besar adik angah ni rupanya.”
“Janganlah cakap macam itu. Malu L.”
Erry Edrian ketawa.
“L tunggu sini dulu, angah nak jumpa dengan Kak Liza.
Nanti dia cari angah pula.”
“Okey, tapi jangan lambat sangat tau.”
Erry Edrian sekadar mengangguk. Matanya melorot pada
langkah Erry Edrian. Dia tahu angahya sedih. Bahkan bertambah sedih dengan
berita yang baru disampaikan. Dia mengalihkan pandangannya kepada kanak-kanak
yang sedang seronok bermain galah panjang. Dia rasa terhibur dengan keletah
kanak-kanak tersebut. Jadi tidak hairanlah mengapa angahnya suka datang ke
sini.
Dalam keasyikannya, telefon bimbitnya menjerit minta
diangkat. Nama mat singa tertera di skrin. Elfira mengeluh berat.
“Hish dia ni nak apa pula? Dia tak faham bahasa ke yang
aku cuti,” rungut Elfira.
Butang hijau ditekannya. Belum sempat dia memberi salam, Firuz
Eidil terlebih dahulu menyerangnya.
“Hei, perempuan! Kau ni tak tahu etika bekerja ke? Kau
ingat aku ni apa? Yang sesuka hati kau je nak cuti. Lepas itu kau tak boleh nak
cakap sendiri yang kau cuti. Kenapa pula kau suruh Sofea yang beritahu aku? Kau
tahu tak yang petang ni aku ada mesyuarat penting. Dengan surat tak berhantar,
dengan cek yang yang tak bank in lagi. Kau ingat aku bayar gaji kau guna air
liur ke?
Kalau kau nak protes sebab aku tak makan mi goreng kau
janganlah sampai kau nak ponteng kerja. Perangai itu dahlah tak serupa
perempuan tapi janganlah sampai tak tahu beradab pula. Malang sungguh mak bapa
kau ada anak macam kau! Kau ingat...”
Elfira terus mematikan talian telefon tanpa menunggu Firuz
Eidil menghabiskan patah bicara. Buat sakit hatinya sahaja. Firuz Eidil
terpempan dengan tindakan Elfira. Dengan pantas dia mendail kembali nombor Elfira.
Telefon bimbit Elfira berbunyi lagi. Nama mat singa
terpapar di skrin. Elfira menarik nafasnya lalu butang hijau ditekannya. Kali
ini dia yang menyerang Firuz Eidil.
“Kau ingat aku nak ke buat kau macam itu. Kau tak faham
bahasa yang digunakan oleh Sofea. Aku yakin yang Fea dah beritahu kau sebab aku
cuti. Kan aku dah kata yang aku ada urusan keluarga. Susah sangat ke kau nak
faham? Papa aku sakit! Kalau apa-apa terjadi kepada papa aku kau nak tanggung?
Mentang-mentang kau anak orang kaya,
anak Tan Sri kau nak tunjuk kuasa veto pada aku. Kau silap Firuz Eidil.
Biar miskin harta jangan miskin budi bahasa.”
“Kalau pasal mi goreng, aku langsung tak ambil hati
dengan kau. Lantak kaulah nak makan ke tidak. Aku peduli apa! Manusia macam kau
ni memang tak boleh dibuat baik. Aku lagi kasihan dengan mak bapak kau kerana
dapat anak yang tak tahu nak bertimbang rasa. Aku ingat mak bapak kau sakit pun
kau buat tak tahu. Sebab kau lebih pentingkan kerja daripada keluarga kau
sendiri. Lagi satu Encik Firuz, saya tak kisah kalau Encik Firuz nak
berhentikan saya kerja sekali pun. Tak ada perkara yang lebih penting daripada
keluarga saya. Faham!”
Talian telefon terus dimatikan. Dada Elfira turun naik.
Geram, marah benci bersatu menjadi satu. Kali ini dia betul-betul tidak dapat
menahan sabarnya. Air matanya mengalir dari tubir matanya.
Firuz Eidil terkasima. Dia tidak menyangka yang Elfira
akan mengherdiknya sehingga begitu sekali. Seingatnya walau Elfira bersifat
kasar, namun dia penuh dengan sifat humor. Firuz Eidil seakan tidak percaya
dengan apa yang dialaminya kini. Nombor Elfira
didailnya lagi. Namun hampa apabila nombor itu masuk ke peti simpanan suara. Firuz
Eidil kecewa.
Erry Edrian yang sedari tadi berdiri di belakang Elfira
duduk di sisi adiknya. Elfira memandang ke arah Erry Edrian. Lalu tubuh Erry
Edrian di dakap erat. Air matanya semakin deras mengalir. Erry Edrian yang
telah mencuri dengar perbualan adiknya tu cuba menenangkan Elfira.
“Dah lama angah tak lihat adik angah ni menangis. Kalau L
rasa menangis itu dapat memujuk hati L, menangislah sepuasnya dik. Angah akan
sentiasa meminjamkan baju angah untuk dibasahkan.”
Elfira memandang angahnya. Dia kemudiannya tersenyum.
Walaupun senyuman itu kelihatan plastik tetapi Erry Edrian puas. Erry Edrian
mengesat baki air mata yang mengalir dipipi adiknya.
“L sayangkan angah,” beritahu Elfira manja.
“Angah pun sayangkan L. Sudah jom kita pergi lawat papa. Mesti
mereka dah tunggu kitakan?” ujar Erry Edrian memujuk. Elfira mengangguk.
Firuz Eidil merebahkan tubuhnya ke sofa.
“Eh along, kenapa balik? Ada barang tertinggal ke? Kak L
mana?” tanya Dira Nadia hairan.
“Tak ada mood nak kerja. Kak L cuti,” beritahu Firuz
Eidil bersahaja.
“Cuti? Kereta dia?”
“Dia dah ambil tadi. Along balik tadi tengok kereta dia
dah tak ada.”
“La...bila masa pulak Kak L ambil kereta dia. Tak perasan
pula Dira. Kalau Kak L cuti yang along cuti sama ni kenapa?”
“Dira jangan banyak
tanya boleh tak? Rimas along. Dahlah along nak naik atas.”
“Tanya pun marah.”
Firuz Eidil berlalu
tanpa menghiraukan omelan adiknya. Firuz Eidil merebahkan tubuhnya ke katil. Dia
cuba memejamkan matanya. Tetapi payah. Wajah Elfira melayar di ruang matanya.
Bahkan kata-kata gadis itu menerewang ke mindanya. Hatinya resah, gelisah. Lantas
dia bangkit dari katil lalu turun ke tingkat bawah. Dia menuju ke dapur. Pintu peti sejuk dibukanya. Dia mengambil satu
tin 100plus. Dia terpandangkan mi yang telah dibuangnya ke dalam tong sampah.
Entah kenapa rasa sesal menular dalam hatinya.
Untung kau semut dapat rasa mi goreng yang dibuat oleh L.
Kenapalah aku ego sangat! gerutunya dalam hati.
“Tak payahlah ditenung lagi mi tu along, bukan boleh
kutip balik pun,” sindir Ain Nadia yang tiba-tiba muncul di belakang Firuz
Eidil.
“Ain ni kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Yelah suka-suka nak sindir along.”
“Along terasa ke?”
Firuz Eidil tidak menjawab pertanyaan Ain Nadia. Dia
lantas mengatur langkah menuju ke biliknya.
“Hem, egolah tu,” ujar Ain Nadia.
Firuz Eidil bercekak pinggang apabila melihat biliknya
bersepah pakaiannya yang bertaburan di lantai. Dia memungut kembali pakaiannya
yang sengaja disepahkan pagi tadi. Dia berbuat demikian dengan tujuan untuk mengenakan
Elfira. Tapi kini dia sendiri yang terpaksa mengemasnya semula.
Padan muka aku. Nak sangat kenakan orang akhirnya aku
sendiri yang terkena.
Seusai dia mengemas biliknya dia merebahkan tubuhnya ke
katil. Siling direnungnya dengan pandangan yang kosong.
Dia tersenyum sendiri apabila melihat wajah Elfira di
siling. Gadis itu sedang ketawa. Kemudian kelihatan Elfira membuat wajah
selamba, kerlingan tajam gadis itu mencuri pandangannya. Semua karakter gadis
itu bersatu menjadi satu. Bagaikan tayangan gambar. Lepas satu slide ke satu
slide. Bila dia tertidur dia sendiri tidak sedar.