8
“Kenapa tak cakap dengan angah yang L dah dapat kerja?”
“Saja. L pun tak
sangka akan dapat kerja secepat ini. Ingatkan nak tanam anggur lama sikit.”
“L kerja apa?”
“PA bos Fea.”
“Nak pula L kerja
sebagai PA. Dulu kata tak suka dengan kerja-kerja di pejabat. Tak nak pakai
kasuallah. Macam-macam alasan.”
“Angah, masa
berubah dan orang pun boleh berubah.”
“Yelah. Eloklah
itu. Sekurang-kurangnya L dapat belajar sesuatu nanti. Lepas tu bolehlah ambil
alih syarikat papa tak pun L kerja dengan angah.”
“Nantilah dulu.
Bagi L cari pengalaman dulu okey. Bila dah cukup ilmu di dada barulah L
fikirkan semula soal kerja dengan papa atau angah.”
“L bantu angahlah.
Along dah bantu papa. Kesian angah,” pujuk Erry Edrian.
“Angah, nantilah ya.
L malas nak bincang hal ni.”
“Ehem, ehem, amboi
dua beradik ni kalau dah berbual sampai lupa orang ketiga ni,” sakat Sofea.
“Alamak,
bagaimanalah kita boleh lupa dengan si Fea ni. Kesian dia kena tengok kemesraan
kita,” usik Erry Edrian.
“Yelah angah, macam
manalah kita boleh lupa dengan Fea. Kesian dia,” sampuk Elfira. Sengaja
menambah rencah.
“Amboi seronoknya
dua-dua kenakan Fea ya.”
Sofea menarik muka.
Tangannya disilangkan. Merajuk!
“Ala Fea, janganlah
merajuk. Kami bergurau je. Tak comel kau merajuk dah macam asam kecut aku
tengok kau,” usik Elfira lagi. Itu bukan memujuk tapi menambah rajuk.
“Jahat.” Sofea
menepuk lembut bahu Elfira lalu dia ketawa.
“Sudahlah L. Jangan
disakat Sofea tu lagi. Ha tu makanan dah sampai. Mari kita makan dulu.”
“Baik angah,” jawab
Elfira.
Suapan demi suapan
menyinggahi mulut mereka. Mereka makan dengan berselera sekali. Sesekali
diselitkan dengan cerita yang membuatkan mereka ketawa. Sedang asyik mereka
menikmati makan malam, mata Elfira tertancap pada seseorang yang amat
dikenalinya.
“Kak Lea?” ucapnya
perlahan antara dengar dan tidak.
“Apa dia L?” soal
Sofea. Dia memandang ke arah yang dipandang oleh Elfira. Matanya terbuntang
melihat insan yang dia amat kenal.
“Eh, itu bukan
kakak ipar kau ke?” soal Sofea kepada Elfira. Dia terlupa Erry Edrian turut
bersama mereka.
Sebaik mendengar
kata-kata Sofea, Erry Edrian memandang ke arah yang di pandang oleh Elfira dan Sofea.
Mata mereka bertiga bertembung pada seraut wajah yang mereka kenali. Hati Erry
Edrian membuak kemarahan. Elfira dan Sofea memandang ke arah Erry Edrian dengan
penuh simpati. Erry Edrian bangun dari kerusinya.
“Angah nak ke
mana?” tanya Elfira cemas. Dia tahu gelodak rasa hati Erry Edrian.
“Angah nak jumpa
perempuan yang tak kenal erti dosa dan pahala tu.”
“Angah, jangan! Ini
tempat awam. L minta angah jangan keruhkan keadaan. Kak Lea orang terkenal.
Nanti kecoh kalau perkara ni masuk akhbar. Kita kena jaga maruah keluarga kita.
Kesian papa dan mama. Sabar ya angah,” pujuk Elfira.
“Betul cakap L itu
angah. Pergaduhan tak boleh selesaikan masalah bahkan menambahkan kerumitan,”
sampuk Sofea.
Erry Edrian duduk
kembali. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menangkap gambar isterinya
bersama lelaki itu.
“Angah tak ada
selera nak makan. L dan Fea teruskanlah makan. Ambil duit ni nanti tolong
bayarkan. Angah tunggu di kereta.”
Erry Edrian
menghulurkan not seratus ringgit kemudian berlalu keluar dari restoran
tersebut. Elfira dan Sofea saling berbalas pandang.
“Geram betul aku
dengan Kak Lea tu. Ikutkan hati aku ni nak aje aku pergi lenyek-lenyek dia biar
jadi lepat. Tak sedar diri itu dah bersuami masih nak menggatal lagi. Konon
dulu cakap semua berita tersebar itu gosip sekarang ni gosip juga ke?”
“Sabar L, tadi kau
sabarkan abang kau. Sekarang kau pula hilang sabar.”
“Fea, sebab aku
masih sabarlah aku masih duduk kat sini. Kalau tak dah aku serang mereka itu.”
“Aku faham kau
sedang marah. Tapi kau pun janganlah ikut hati. Kesian abang kau itu.”
“Ya aku tahu. Fea,
kalau kau nak makan lagi aku temankan kau. Aku dah tak ada selera nak makan.
Susah hati aku tengok angah begitu.”
“Aku pun tak ada
mood nak makan. Aku kasihan kat abang kau itu.”
“Kalau begitu
jomlah kita pergi dari sini. Mata aku dah naik berbulu tengok drama swasta.”
“Elok sangatlah
itu. Perempuan jenis apa entah tak tahu nak jaga maruah suami langsung.”
“Amboi Fea, marah
nampak. Tadi bukan main lagi suruh aku
bersabar.”
“Taklah, aku geram
je.”
“Macam tu lah
perasaan aku.”
Setelah selesai
membuat bayaran, mereka meninggalkan restoran tersebut. Mereka mendekati kereta
Erry Edrian. Elfira mengetuk cermin kereta agar Erry Edrian membuka kereta.
“Kenyang dah ke?”
soal Erry Edrian.
“Kenyang sangat
angah. Angah okey ke?”
Erry Edrian menarik
nafas lalu dilepaskan berat. Dari gaya Erry Edrian itu Elfira sudah tahu
jawapannya.
“Tak apalah. Jomlah
kita balik,” ajak Elfira.
Sepanjang
perjalanan mereka hanya diam membisu seribu bahasa. Mereka lebih senang
melayani perasaan masing-masing. Di hati mereka kini adalah kemarahan mereka
kepada Amylea, isteri Erry Edrian. Akhirnya mereka tiba di apartment Sofea.
“Angah tak nak naik
dan singgah dulu ke?”
“Tak apalah L.
Angah nak balik rumah terus. Kesian Alaisya tinggal dengan Mak Munah.”
“Okey. Angah...”
“Ya?”
“Angah jaga diri
elok-elok ya. Kalau ada apa-apa angah telefon L okey.”
Erry Edrian
mengangguk perlahan. Elfira mencium tangan angahnya. Riak wajah Elfira digamit kerisauan. Erry Edrian mengerti akan
renungan adiknya itu.
“L jangan risau.
Angah tahu jaga diri angah. L itu baik-baik tinggal dengan Fea. Awak itu perempuan.”
“Okey. Love u angah.”
“Love u too sis.”
Erry Edrian mencium
pipi dan dahi Elfira. Jangan hairan ya. Sejak dari kecil begitulah mereka
menunjukkan kasih sayang. Elfira keluar
dari kereta. Dia melihat kereta Erry Edrian meninggalkan mereka. Akhirnya air mata Elfira tumpah juga setelah
lama ditahan.
“Kau nangis, L?”
Elfira lantas
memeluk Sofea.
“Aku sedih sangat
Fea. Aku tahu angah aku kecewa. Tapi dia langsung tak tunjukkan yang dia kecewa
dan sakit hati. Aku tahu hati dia hancur. Walaupun dia cuba untuk senyum tapi
hati dia menangis. Aku lebih rela tengok angah aku menangis daripada dia
menahan sakit di dadanya. Sakit Fea! Aku tak sanggup lihat angah menderita.
Kesian dia Fea.”
“L, sabar okey. Aku
tahu perasaan kau. Aku yakin abang kau kuat untuk menghadapi semua dugaan ini.
Diakan seorang peguam. Aku yakin dia tahu apa yang harus dilakukannya. Dah mari
kita naik atas dulu. Nanti kalau orang tengok apa pula orang akan fikir nanti.”
Elfira berjalan
seiringan dengan Sofea. Air mata Elfira masih tidak mahu berhenti mengalir.
Puas dia menyekanya. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah Elfira terus
melabuhkan punggungnya ke atas Sofa.
“Sudahlah itu L.
Sampai bila kau nak menangis ni? Kau ni nama je brutal tapi dalam hati ada
taman.”
“Bahagianya kau
kutuk aku, Fea. Kau tak faham perasaan aku. Memanglah aku ni brutal tapi tu
luaran je dalaman aku lembut tau. Lebih-lebih lagi ia melibatkan ahli keluarga
aku.”
Sedu sedannya masih
bersisa.
“Aku faham. Tapi
aku mana pernah tengok kau menangis sampai begini sekali. Aku risau tengok kau
macam ni. Abang kau tu lelaki, aku yakin dia tahu bagaimana nak selesaikan
masalah dia. Dahlah tu jangan menangis lagi. Hilang kebrutalan dan kecomelan
kau. Aku tengok muka kau pun dah macam udang kena bakar.”
Sofea cuba untuk
menghangatkan suasana. Elfira tersenyum kelat. Air mata yang mengalir disekanya perlahan.
“Suka hati kau aje
nak kutuk aku!” dengusnya perlahan.
Elfira akhirnya
ketawa perlahan.
“Ha! Beginilah Elfira
yang aku kenal.”
Sofea menepuk bahu Elfira.
Elfira merebahkan tubuhnya ke sofa. Dia ingin baring seketika. Saat dia ingin
memejamkan matanya, dia terpandangkan senaskhah majalah hiburan. Gambar Amylea
terpampang di muka hadapan majalah itu. Elfira mengambil majalah tersebut.
Meluat dia melihat wajah kakak iparnya itu. Dia membuka lembaran majalah itu.
Muka dah jadi cover story , awal-awal
lagi dah cerita tentang kakak iparnya. Dia melihat potongan gambar di sebelah
Amylea.
“Apa yang kau
tengok tu?” tanya Sofea sambil membawa dua mug air milo. Satu mug diserahkannya
kepada Elfira.
“Cuba kau tengok
ni.”
Elfira menunjukkan
majalah tersebut kepada Sofea.
“Eh, ini lelaki
tadi itu kan?” soal Sofea mahukan kepastian.
“Dialah itu. Cuba
kau baca yang ni.”
“Siapa Tan Sri I di
sisi Amylea?” Sofea membaca satu persatu isi cerita tersebut.
“Dia nafikanlah
hubungannya dengan Tan Sri I. Dia boleh kata yang dia tidak mengenali Tan Sri
I. Kau dengar tau aku bacakan kenyataan dia, saya tidak mengenali siapa Tan Sri
I. Saya tiada hubungan dengan mana-mana lelaki. Saya sayangkan suami dan anak
saya. Merekalah kekuatan saya. Huh! Bijak betul dia memanipulasikan statement.
Yang tadi tu dia menggedik dengan Tan Sri tu dia tak sedar. Ini majalah bila?”
“Minggu lepas.”
“Ha, minggu lepas
punya majalah. Baru seminggu dah kantoi dengan suami dia.”
“Kak Lea memang dah
melampau. Kau rasa perlu tak aku beritahu mama dan papa aku? Kalau along tahu
pasti along suruh angah ceraikan Kak Lea. Along aku itu bukannya suka sangat
dengan Kak Lea.”
“Aku rasa lebih
baik jangan. Biarlah angah kau selesaikan masalahnya sendiri. Kau sebagai adik
sekadar sokong dia daripada belakang.”
“Betul juga cakap
kau. Ah, biar jelah! Buat penat aku fikir. Lepas satu, satu masalah yang
datang. Siang tadi kisah si mat singa tu, malam ni baru nak happy sikit, kakak ipar aku pulak buat
hal. Kan bagus kalau dalam hidup ini tak ada masalah,” ujarnya.
Dia mengambil mug yang berisi air milo lalu
dihirupnya perlahan. Nasib baik tak panas sangat. Lagi lajulah dia minum.
“L, kalau dalam
hidup ini tak ada masalah, bukan kehidupanlah namanya. Bukankah masalah itu
sebagai satu warna dalam kehidupan manusia,” ulas Sofea.
“Eh, sejak bila
pula kau jadi ahli falsafah?”
“Sejak tadi.”
“Huh, malas aku nak
layan kau. Tidur lagi baik. Esok pagi-pagi aku dah nak kena menghadap muka bos
kau yang entah berapa sen tu.”
“Ha, bila kau sebut
pasal bos aku dan kau tu, aku baru teringat bukan ke kau nak cerita dengan aku
apa yang sebenarnya telah berlaku siang tadi?”
“Malaslah aku nak
ingat balik. Sekarang aku dah penat. Aku nak tidur!”
Elfira mengatur
langkah menuju ke biliknya.
“Tapi kau dah
janji. Mana boleh mungkir janji berdosa tau!”
“Maaflah Fea. Aku
memang penat sangat ni.”
“Okey tak apa,
malam ni aku lepaskan kau tapi ingat lain kali aku tak akan lepaskan kau dengan
mudah lagi.”
“Apa-apa jelah!”
laung Elfira dari dalam bilik.
Sofea menghabiskan
air milonya. Lalu dibawanya mug yang sudah kosong itu ke sinki.