23
Firuz Eidil menghempaskan tubuhnya ke sofa. Kepalanya
dipicit perlahan. Dia merasakan kepalanya sakit sangat. Berdenyut-denyut.
Hatinya masih lagi membengkak. Peristiwa yang berlaku di Mid Valley masih
terbayang-bayang diruang matanya.
Kemesraan di antara Erry Edrian dan Elfira benar-benar
membuatkan hati dan perasaannya tertekan. Setiap kali tangan Elfira memaut
lengan Erry Edrian, darah mudanya akan menyerbu ke muka. Bertambah sakit
hatinya apabila melihat Erry Edrian mencium dahi Elfira. Jantungnya berdegup
pantas. Melihat senyum bahagia Elfira membuatkan jiwanya resah.
Dari baring dia kemudiannya duduk. Majalah yang tersusun
kemas di mejanya dipandang kosong. Dia bagaikan ternampak wajah Elfira sedang
senyum mengejek kepadanya di muka hadapan majalah tersebut. Firuz Eidil sakit
hati lalu dilemparkan majalah tersebut ke lantai. Lalu menjerit kuat.
“Arggghhh benciiiinyaaaa!”
Firuz Eidil menjerit sekuat hatinya. Lalu menghela
nafasnya kasar. Puas rasa hatinya. Dia bingkas bangun lalu menuju ke biliknya.
Dia bercadang untuk merehatkan mindanya.
Firuz Eidil menghenyakkan tubuhnya ke atas katil. Matanya
dipejamkan. Baru hendak terlena, telefon bimbitnya pula menjerit. Firuz Eidil
tertekan. Dia melihat nama yang tertera di skrin. Firuz Eidil mengeluh berat.
Butang merah ditekan. Kemudian dia menutup telefonnya. Matanya kembali
dipejamkan.
“Hish tak guna punya tunang. Boleh dia matikan telefon!” bentak
Julia.
Julia menghentakkan tangannya ke stereng. Sakit ditangan
tak dipeduli kerana hatinya lagi sakit saat ini. Julia membelokkan keretanya
menuju ke rumah Firuz Eidil. Tunangnya itu harus dijejaki. Sudah sebulan dia
tidak bertemu dengan tunangnya.
Julia mula berasa curiga. Setiap kali diajak Firuz Eidil
keluar, pelbagai alasan akan diberikan oleh Firuz Eidil. Penatlah, sibuklah,
letih, tak ada masa dan pelbagai alasan yang adakalanya tak munasabah. Dia mula
bosan dengan keadaan itu. Apatah lagi mama dan papanya sudah sibuk bertanya hal
mereka. Dia sudah naik jemu mendengar semua pertanyaan itu sedangkan Firuz
Eidil buat tak endah.
Dalam Julia
melayan perasaan marahnya, dia terlanggar kereta di hadapannya. Julia terkejut.
Kereta dihadapannya memberikan isyarat agar mereka berhenti di bahu jalan.
Julia berasa tidak sedap hati. Dia tidak keluar dari kereta. Seorang lelaki
mendekatinya.
Lelaki itu mengetuk cermin kereta Julia. Dalam
keterpaksaan Julia menurunkan sedikit cermin keretanya.
“Maaf encik. Saya tak sengaja. Begini, encik bawa kereta
encik ke bengkel mekanik saya. Segala kos membaikinya saya akan tanggung,”
beritahu Julia senafas.
Lelaki itu menghulurkan senyuman ke arah Julia. Mata
mereka saling bertembung. Julia dapat rasakan sesuatu dalam hatinya.
“Soal kereta tak ada masalah. Lagi pun sikit aje. Nanti
saya boleh suruh mekanik saya baiki. Awak tak perlu bayar ganti rugi,” ujar
lelaki tersebut. Dia kelihatan amat tenang.
Julia khayal dalam dunianya sendiri. Dia tidak dapat
mendengar tutur bicara lelaki itu. Lelaki itu yang perasan akan keadaan Julia
memanggil Julia.
“Cik, cik yuhuuu cik,” lelaki itu memanggil kuat.
Lamunan Julia terhenti.
“Ha? Ya saya akan bayar ganti rugi. Nanti encik beritahu
berapa. Hem encik cakap apa tadi? Encik...” soal Julia terpinga-pinga.
“Saya Tengku Naim. Tapi awak boleh panggil saya Quim.”
Tengku Naim memperkenalkan dirinya.
“Saya Julia.” Julia memperkenalkan dirinya.
“Begini cik Julia...”
“Tak payah panggil cik panggil Julia aje.”
“Okey Julia, begini, soal kereta hal kecil je. Saya boleh
selesaikan. Julia tak perlulah risau. Cuma nasihat saya, lain kali bawa kereta
itu berhati-hati. Jangan leka atau berkhayal.”
Julia mengangguk faham. Tetapi dia juga terasa bagai
disindir oleh lelaki itu.
“Terima kasih Quim. Sekali lagi saya minta maaf,” ujarnya
dalam nada bersalah.
“Tak apa. Ini kad saya. Kalau ada apa-apa nanti bolehlah
hubungi saya. Tak pun Julia boleh baiki kereta itu di tempat saya.”
Julia mengambil kad yang dihulurkan oleh Quim. Kemudian
dia pula memberikan kadnya.
“Soal kereta saya boleh uruskan sendiri. Saya ada mekanik
sendiri,” jelas Julia.
“Baiklah, kalau begitu saya gerak dulu.”
“Terima kasih Quim. Maaf sebab susahkan awak.”
“Tak apa.”
Mereka berbalas salam. Julia memerhatikan kereta Tengku
Naim yang sudah berlalu pergi. Rasa marahnya pada Firuz Eidil tenggelam tatkala
memandang Tengku Naim. Entah kenapa ada debar di hatinya. Dia tidak pernah
mengalami perasaan seperti ini sekali pun dengan Firuz Eidil. Tetapi hari ini
hati wanitanya goyah pada insan yang baru beberapa minit dikenalinya.
Julia meneruskan perjalanannya menuju ke rumah Firuz
Eidil. Setibanya di rumah Firuz Eidil, dia memakirkan keretanya di luar rumah.
“Kereta ada, tapi kenapa telefon tak berangkat?
Menyusahkan orang betullah dia ni,” rungut Julia sendiri.
Dia segera membuka pintu rumah Firuz Eidil dengan
menggunakan kunci pendua. Sebaik pintu dibuka, dia mendapati ruang tamu
kelihatan kosong. Hanya majalah yang berselerakan di atas lantai.
“Apa kena dengan tunang aku ni? Dengan majalah bersepah.
Tak tahu susun elok-elok ke?” omel Julia.
Tangannya ligat mengutip majalah-majalah yang bertaburan
di atas lantai. Dia kemudiannya menuju
ke bilik Firuz Eidil. Pintu bilik Firuz Eidil dikuaknya lebar. Kelihatan
Firuz Eidil sedang lena tidur dibuai mimpi. Julia mendekati Firuz Eidil. Dia
melihat dada Firuz Eidil turun naik dengan teratur sekali. Julia tidak jadi
mengganggu tidur lelaki itu. Dia kembali menuruni anak tangga. Dia terus sahaja
menuju ke dapur. Dia bercadang untuk masak makan malam buat Firuz Eidil.
Seingatnya sudah lama dia tidak memasak makanan buat Firuz Eidil.
Firuz Eidil menggeliat malas. Matanya terpisat-pisat. Dia
terbau sesuatu yang enak menusuk ke hidungnya. Bau masakan.
L, bisik hati Firuz Eidil.
Dia bingkas bangun dari katilnya lalu dia berlari anak
menuju ke dapur. Sebaik tiba di dapur dia terkejut melihat Julia berada di
situ.
“Julia?”
“Hai sayang. Tadi I call
you tak angkat. SoI datanglah
sini. I tengok youtengah tidur. I
tak sampai hati nak kejutkan you. I tengok rumah you bersepah. I tolonglah
kemaskan dan I masakkan makan malam untuk you.”
“Oh terima kasih. Maaf, I tak perasan you datang.”
“Tak apa. Pergilah mandi nanti kita boleh dinner sama. I
pun ada hal yang nak dibincangkan dengan you.”
“Assalamualaikum,” Ain Nadia dan Dira Nadia menghulurkan
salam. Mereka membuka pintu. Mereka terkejut melihat Julia ada di situ.
“Kak Julia,” sapa
Ain Nadia.
Ain Nadia dan Dira Nadia mendapatkan Julia. Mereka
bersalaman dengan Julia.
“Kak Julia buat apa kat sini? Kan tak elok masuk rumah
orang bujang. Kalau ada pencegah maksiat bagaimana? Ni nasib baik kami yang
balik,” Dira Nadia berkata selamba.
“Kak Julia...” Julia serba salah.
“Tak apalah kak. Lain kali jangan buat lagi. Nanti kalau
sesuatu yang buruk terjadi buat malu keluarga je,” sampuk Ain Nadia.
“Yelah!” jawab Julia angkuh.
“Dah lah tu hal kecil je. Along nak pergi mandi. Ain
dengan Dira boraklah dulu dengan Julia.” Firuz Eidil berlalu ke biliknya.
“Ain nak mandi.”
“Dira pun. Akak duduk bawah dulu ya. Jangan pulak akak
masuk bilik along.” Dira Nadia berkata
sinis.
“Akak tahu!”Julia sudah memasamkan wajahnya. Geram pulak
dia melihat telatah kembar itu.
“Ain dan Dira pergi mandi dulu, nanti kita boleh makan
malam sekali,” beritahu Julia.
“Okey kak,” sahut Ain Nadia dan Dira Nadia serentak.
Sementara itu, Julia menghidangkan makanan di atas meja.
Lima belas minit kemudian Ain Nadia dan Dira Nadia turun ke ruang makan.
“Terima kasih kak sebab masakkan untuk kami,” ucap Ain
Nadia.
“Sikit je Ain. Bukan selalu pun.”
“Along tak turun lagi kak?” tanya Dira Nadia.
“Belum.”
“Ala Dira ni macam tak biasa dengan perangai along. Mandi
macam perempuan. Lama,” sampuk Ain Nadia.
“Ha, asyik mengata along je kamu berdua ni,” sergah Firuz
Eidil.
“Bukan mengata along tapi itukan kenyataan.”
“Hem yelah, along juga yang kena.”
“Jom kita makan,” pelawa Julia.
Mereka semua mengambil tempat masing-masing. Ain Nadia
dan Dira Nadia memandang ke arah Julia yang sedang menyendukkan nasi lalu
diserahkan kepada Firuz Eidil. Kemudian dia menyendukkan nasi pula untuk
dirinya. Lalu dia duduk di sebelah Firuz Eidil. Ain Nadia dan Dira Nadia saling
berpandangan.
Akhirnya Ain Nadia bangun lalu menyendukkan nasi untuk
dia dan Dira Nadia. Julia melayan Firuz Eidil makan sambil berbual kosong.
Sesekali tawa mereka pecah berderai. Manakala Ain Nadia dan Dira Nadia sekadar
menjadi pemerhati. Riak wajah mereka kurang senang dengan kehadiran Julia.
Usai di ruang makan, Firuz Eidil dan Julia duduk di ruang
tamu. Manakala Ain Nadia dan Dira Nadia masih lagi menikmati hidangan makan
malam.
“Apa yang you nak bincang dengan I tadi?” Akhirnya Firuz
Eidil bertanya tentang tujuan asal Julia. Julia memandang ke arah Firuz Eidil.
Wajah tampan lelaki itu direnung dengan senyuman mekar di bibir.
Elfira memakirkan keretanya di hadapan rumah Firuz Eidil.
Petang tadi dia ada buat mi kari. Jadi dia ingin memberi sedikit mi kari itu
kepada Firuz Eidil, Ain Nadia dan Dira Nadia. Elfira ingin membuat kejutan
kepada tiga beradik itu. Baru dia hendak mengetuk pintu tiba-tiba tindakannya
terhenti apabila mendengar suara seorang wanita yang sedang rancak berbual
dengan Firuz Eidil. Elfira mengamati butir bicara mereka. Telinganya ditekapkan
ke pintu.
“You sampai bila kita nak terus bertunang ni? Bila kita
nak tamatkan ikatan pertunangan kita dengan ikatan perkahwinan. Mama dan papa I
dah tanya tau,” tanya Julia dengan suara manja.
“Sayang, bukan I tak nak kahwin. Tapi I nak kumpul aset
dulu. Lagi pun kita masih muda,” tutur Firuz Eidil tenang.
“Tapi sampai bila? Umur you sekarang pun dah 28 tahun dan
I dah 27 tahun. Kita dah bertunang dekat dua tahun. Dah sampai masanya untuk
kita melangkah setapak lagi.”
“Sayang, tolong faham I. I nak bina kerjaya I dulu.”
“Kerjaya you dah kukuh, you nak bina kerjaya yang
bagaimana lagi? Atau sebenarnya you ada perempuan lain? Atau you dah tersangkut
kat driver you?” Julia menyerkap jarang.
“Apa yang you cakapkan ni? Bila masa pulak I ada
perempuan lain. Driver is a driver okay. Dia tak layak untuk
bergandingan dengan I. I takkan malukan diri I dengan mengahwini perempuan
macam dia.”
Elfira tersentap mendengar kata-kata Firuz Eidil. Kini
dia sedar dirinya dipandang kerdil pada mata Firuz Eidil.
“Firuz, I dah lama bersabar dengan you. I nak tunggu
sampai bila? Takkan nak tunggu sampai I kedut sana sini baru you nak kahwin
dengan I?”
“Kenapa? You dah bosan dengan I ke? Julia selagi I
cintakan you dan you cintakan I, walau you berkedut seribu pun I tetap akan
kahwin dengan you. Only you. Tapi
kalau antara kita dah tak ada rasa cinta yang tu... I tak boleh nak kata apalah,” usik Firuz Eidil.
“Youuuu...” Julia mencubit lengan Firuz Eidil manja. Dia
kemudian melentokkan kepalanya ke bahu Firuz Eidil. Lalu Firuz Eidil menolak
lembut kepala Julia.
“Julia, I tak suka cara you begini.” Tolak Firuz Eidil
lembut.
“I’m sorry. You
dah banyak berubah sekarang.”
“Tak ada apa yang berubah Julia. I sayangkan you. I janji
bila ekonomi I dah kukuh, baru kita kahwin.”
“Janji?”
“Janjisayang.”
“I love you,”
ucap Julia manja.
“I love you too,
sayang.”
Hati Elfira terasa pedih dan sakit. Dia tidak tahu
mengapa. Lantas kakinya diatur menuju ke kereta. Sebak dadanya. Dia merenung mi
kari yang sudah diletakkan di sebelahnya. Dia berlalu dari perkarangan rumah Firuz
Eidil.
Ain Nadia dan Dira Nadia yang melihat sandiwara itu hanya
menahan hati. Meluat mereka melihat telatah Julia. Adakalanya mereka terfikir
bagaimana Firuz Eidil boleh jatuh cinta dengan orang macam Julia. Gedik!