34
Hari ini hari terakhir aku di sini. Selepas ni selamat
tinggal mat singa. Selamat tinggal
kenangan. Berakhir hari ini makanya berakhirnya tugas aku sebagai pemandu. Kali
ini aku berhenti sebagai seorang pemandu yang terhormat. Memang gila apabila
aku bersetuju mengikut kehendaknya selama seminggu ini. Tapi aku bahagia walau
seketika. Cukup sudah aku melayan kerenah si mat singa.
Firuz Eidil...ah lelaki itu permintaannya bagai melayan
anak kecil. Semuanya nak kena ikut arahan dan kehendak dia. Walau sering
berbalah pendapat dan bertegang urat namun adakalanya ia menimbulkan detik-detik
lucu. Firuz Eidil! Lelaki itu memang pelik.
Kata-kata Sofea
malam tadi terngiang-ngiang ditelinganya. Firuz Eidil sanggup ketepikan tunang
dan hal kerja hanya kerana dia. Tapi kenapa ya dia lakukan semua itu? Walhal
antara dia dan Firuz Eidil bukannya ada sebarang ikatan. Susah betul nak
memahami hati seorang lelaki.
Elfira mengunci
keretanya. Sewaktu Elfira memulas tombol pintu ruang tamu kelihatan terang
benderang. Dia berasa hairan. Selalunya pada waktu –waktu begini Firuz Eidil
belum bangun lagi kerana sudah menjadi kebiasaan Firuz Eidil akan tidur semula
selepas bersolat subuh tetapi hari ini berlainan pula suasananya.
Bahkan ruang tamu
juga kelihatan begitu kemas. Sedangkan sebelum ini ruang tamu akan berselerak
macam reban ayam. Dia tahu Firuz Eidil sengaja menyemakkannya sebab Firuz Eidil
pernah membuat pengakuan jujur tentang itu.
“Hai selamat pagi,
dah lama sampai. Tak sedar pulak awak dah sampai. Apa lagi tercegat tu. Marilah
tolong saya bawakan sarapan ke meja.”
Elfira berpaling ke
arah suara yang menegurnya. Matanya tertancap pada gerak geri Firuz Eidil yang
tekun mengatur pinggan. Dia rasa bagai mahu pitam melihat Firuz Eidil saat ini.
“L kenapa wajah
awak pucat?” soal Firuz Eidil cemas.
“Saya okey. Cuma
terkejut.”
“Awak terkejut
sebab apa?” Firuz Eidil menyoal. Dia kurang mengerti.
“Betul ke ni mat
singa yang saya kenal?”
“Betullah.”
Firuz Eidil
mencubit pipi Elfira.
“Adoi, sakitlah!
Apa main cubit-cubit ni? Awak ingat pipi saya ni pipi teddy bear?”
Elfira terus sahaja
melenting. Hilang sudah rasa terkejutnya. Tangannya mengusap lembut pipinya.
Tak pernah pipinya dicubit sekuat itu. Tak guna punya mat singa!
Kali ini Firuz
Eidil pula yang ternganga. Tetapi dia terus ketawa. Lucu melihat gelagat Elfira.
“Ha, ini barulah L
yang saya kenal. Kalau begitu berbisa
juga cubitan saya pada awak tu.”
Tawa Firuz Eidil
masih bersisa. Elfira menjeling tajam kepada Firuz Eidil.
“Gila!”
“Gila pun gilalah
asalkan awak sayang saya.”
Firuz Eidil semakin
galak mengusik.
“Heee...perasan!
Siapa sayang dia entah. Muka tembok!”
Elfira mencebikkan
bibirnya. Meluat dia melihat senyuman Firuz Eidil yang tidak lekang dari bibir.
Mengejek akulah tu.
Hish biol aku dapat majikan macam ni. Nasib baiklah hari ini hari terakhir.
Kalau tak boleh mati sakit jantung aku dibuatnya. Selisih malaikat 44, minta
dijauhkan.
“Sudahlah, jom
tolong saya hidangkan sarapan pagi. Hari ini saya masakkan untuk awak.”
“Awak mimpi apa
malam tadi?” tanya Elfira.
“Tak ada mimpi apa,” jawab Firuz Eidil selamba.
“Kalau begitu sah
awak mamai.”
“L apa yang awak
mengarut ni?”
“Selalunya awak
yang merengek pagi-pagi buta nak makan itulah, inilah. Hari ini terbalik pula
awak yang masak sarapan. Itu yang saya tanya mimpi apa malam tadi?”
“Saya mimpikan
awak. Dalam mimpi itu awak merayu-rayu pada saya agar buatkan nasi goreng untuk
awak. Awak siap cakap lagi, tolonglah masak ya Firuz, sayang.” Firuz Eidil
berkata romantik. Dia semakin galak mengusik Elfira.
Elfira menjelirkan
lidahnya. Menyampah dia mendengar kata-kata Firuz Eidil. Terasa mual tekaknya.
“Sejak bila awak
jadi kuat perasan ni? Saya tak ingin nak merayu kat awaklah!”
“Eh, jangan cakap
L. Mana tahu suatu hari nanti awak datang merayu pada saya. Ha! masa tu nanti
saya akan gelakkan awak puas-puas.”
“Jangan haraplah
saya nak merayu pada awak. Apa kelas!”
Elfira mengatur
langkah kakinya menuju ke dapur. Dia memasukkan nasi goreng ke dalam mangkuk.
Dia mengambil senduk lalu diletakkan di dalamnya. Lalu dibawa ke meja makan. Firuz
Eidil tersenyum. Bahagia. Tangannya ligat membancuh air kopi buat minuman
mereka pada pagi itu. Elfira sudah sedia menunggu diruang makan.
Dia sengaja berbuat
demikian. Dia mahu Firuz Eidil melayannya
sebagaimana dia melayan Firuz Eidil sebelum ini. Firuz Eidil yang bagai
mengerti tingkah Elfira, menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan lalu
diletakkan di hadapan Elfira begitu juga dengan air kopi yang telah
dituangkannya ke dalam cawan. Elfira tersenyum. Seronok juga apabila sekali
sekala dilayan bagaikan puteri oleh orang yang kita ‘kurang suka’. Firuz Eidil
kemudiannya mengambil tempat di hadapan Elfira.
“Makanlah. Kenapa
tenung nasi goreng tu?”
“Doa.”
“Ops maaf. Lupa
pulak.”
Firuz Eidil membaca
doa makan.
“La, kenapa awak
tak makan lagi nasi goreng itu?”
“Entah, rasa macam
malas nak suap pulak.” Elfira sengaja menguji.
“Pulak dah!”
Firuz Eidil bingkas
bangun lalu duduk di sebelah Elfira. Dia mengambil pinggan di atas meja lalu dia
mengambil sudu dan disuakan nasi goreng itu ke mulut Elfira.
“Nah, nganga
luas-luas,” arah Firuz Eidil.
“Awak buat apa ni?”
“Buat apa lagi,
suap awaklah.”
“Ha?”
“Cepatlah.”
“Tak naklah. Saya
boleh suap sendiri,” ujarnya mengelak.
“Tadi kata malas
nak suap nasi ke mulut. Jadi biarlah saya yang tolong. Cepatlah nasi goreng ni
dah minta dimakan segera.”
“Tak apalah saya
boleh suap sendiri. Gurau je tadi tu.”
“Jangan nak
mengada-ada, cepat. Kalau tidak saya cubit lagi pipi awak,” ugut Firuz Eidil.
Elfira mencuka.
Tanpa banyak bicara dia mengikut saja kehendak Firuz Eidil. Tapi dalam hatinya
hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sakit hatinya saat itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu
manja dengan Firuz Eidil sedangkan dia amat membenci lelaki itu. Apa sahaja Firuz
Eidil buat semua menyakitkan hatinya. Tetapi tidak untuk hari ini. Semuanya
tampak indah.
Akhirnya mereka
berkongsi makanan. Sesuatau yang tidak pernah mereka lakukan terhadap orang
lain! Usai sahaja sarapan pagi, Firuz Eidil meminta Elfira untuk mengemas bilik
sementara lelaki itu mandi. Elfira melaksanakan tugasnya. Dia mengutip
pakaian-pakaian kotor lalu dibawanya ke mesin basuh.
Dia membiarkan
mesin itu melakukan tugasan membasuh. Entah mengapa hari ini dia begitu senang
hati melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh Firuz Eidil. Manakala Firuz
Eidil hari ini sungguh berlainan sekali dengan Firuz Eidil yang dikenalinya.
Jika sebelum ini Firuz Eidil, lebih suka mencari kesalahan dan kelemahannya.Bahkan
lelaki itu juga suka menyakitkan hatinya dengan bicara-bicara pedas dan
arahan-arahan yang sering membuatkan hidupnya kacau bilau. Masanya huru hara
dan kelam kabut.
Namun hari ini
tiada jerit pekik daripada lelaki itu. Melainkan usikan nakal yang tidak pernah
berubah. Sedikit demi sedikit kebaikan Firuz Eidil terbentang di hadapannya.
Ada getar dihatinya. Apakah makna semua ini? Dia keliru, dia buntu.
Jam berdenting sepuluh
kali. Rumah Firuz Eidil sudah selesai dikemasnya. Dia berpuas hati dengan hasil
kerja. Hari terakhir ini, dia dan Firuz Eidil bertungkus-lumus mengemas rumah.
“Dah siap!” laung Firuz
Eidil gembira.
“Hari ini kita
makan di luar ajelah ya,” usul Elfira.
“Awak boleh tak
awak masakkan untuk saya. Yelah, awak nanti saya dah tak dapat nak rasa masakan
awak.” Firuz Eidil membuat muka kasihan. Sengaja menarik simpati Elfira.
Alahai mamat ni
buat muka kasihan pulak. Setakat satu dua lauk okey kot, bisik Elfira.
“Okeylah. Saya akan
masak makan tengah hari. Tapi lepas itu saya nak balik tau. Ni kalau pencegah
maksiat datang confirm kena tangkap
siang-siang hari.”
“Okey apa. Kalau
kita kena tangkap kita kahwin jelah.”
“Amboi senangnya
awak cakap. Habis tunang awak itu bagaimana? Ingat-ingat sikit awak itu dah
bertunang.”
“Janganlah marah
cik L saya pun tak ingin nak kena tangkap dengan awak. Tangkap gambar tak apa,”
seloroh Firuz Eidil. Elfira mencebikkan bibir.
“Kalau begitu, saya
nak keluar dulu. Awak masak sedap-sedap ya,” arah Firuz Eidil sambil matanya mengerling
manja.
“Awak nak ke mana?”
“Adalah, saya pun
tak nak kena tangkap khalwat dengan awak. Kecewa tunang saya nanti,” selorohnya
lagi. Matanya dikenyitkan nakal.
“Ingat pun kat
tunang itu,” sinis bicara Elfira. Dia sekadar menghantar pemergian Firuz Eidil
dengan ekor matanya.