37
“Ya ALLAH budak ni, tak bangun lagi?” gerutu Sofea. Dia
mendekati Elfira. Selimut Elfira ditariknya. Sofea menggelengkan kepala dan
bercekak pinggang apabila melihat Elfira tidur dalam keadaan menonggeng.
“L, L bangun
matahari dah terpacak atas kepala. Tak elok anak dara tidur sampai matahari dah
meninggi. Nanti tak laku baru tahu,” bebel Sofea.
Namun masih tiada
respon daripada Elfira.
“L, bangunlah!”
Sofea menggerak-gerakkan tubuh Elfira.
“Fea, janganlah
kacau aku. Aku nak tidurlah. Aku mengantuk tahu tak! Malam tadi aku tak boleh
tidur,” ujar Elfira yang masih lagi mamai.
“Bangunlah. Tak
eloklah anak dara tidur sampai tengah hari begini.”
“Yelah, yelah aku
bangunlah ni. Kau ni sejak bila suka berleter macam mak nenek ni?” Elfira menguap
sambil menggeliat. Matanya masih terpejam rapat.
“Cepatlah bangun.
Aku nak ajak kau pergi terapi ni.”
“Aku bangunlah ni.
Kau keluarlah dulu.”
Elfira
tergaru-garu. Dia sendiri tidak pasti apa yang gatal diwajahnya. Sekali lagi
dia menguap.
“Kau cepat siap.
Aku tunggu.”
“Yelah,” jawab Elfira
malas.
Matanya dibuka
kecil. Dia dapat melihat gerak tubuh Sofea yang sudah meninggalkan biliknya. Elfira
tersenyum kecil. Matanya masih terasa berat. Tanpa mengendahkan arahan yang
diberikan oleh Sofea tadi, dia lantas merebahkan tubuhnya ke katil semula.
Selimutnya ditarik hingga menutupi wajahnya.
Sofea berasa tidak
sedap hati. Dia tahu sangat perangai Elfira yang satu itu. Jika dia ada
masalah, pasti sahabatnya itu akan tidur tanpa mengira waktu. Seolah-olah tidur
itu dapat menghilangkan kekecewaan di hati. Sofea kembali semula ke bilik Elfira.
Tombol pintu dipulasnya. Dan seperti yang dijangkakannya!
“Subhanallah budak
ni...geramnya aku! Nanti kau. Tak nak bangun ya!”
Sofea lantas ke
bilik air. Dia mengambil segayung air. Kali ini apa nak jadi, jadilah! Dia tak
kisah. Biar katil sahabatnya itu basah lencun. Kalau basah jemur ajelah. Apa
susahnya. Sofea berdiri betul-betul di sisi katil Elfira.
“L sayang, bangunlah.”
Lembut tutur bicara Sofea. Namun masih tiada respon daripada Elfira.
“Ala kejap
lagilah.”
“Tak nak bangun eh.
Nah amik ni.”
Sofea menjiruskan Elfira
dengan segayung air. Elfira yang terkejut dengan curahan air tersebut terus
bangkit. Matanya terkebil-kebil. Mukanya diraup. Habis basah mukanya. Bukan
setakat mukanya sahaja yang basah tapi bantal dan tilamnya juga turut basah.
Argh bengangnya!
“Apa ni Fea? Sejuk
tahu tak?” Elfira merungut geram.
“Siapa suruh kau
tak bangun lagi. Puas aku kejut kau. Dah elok-elok bangun pergi tidur balik itu
buat apa?”
“Aku penatlah Fea.”
“Penat? Apa yang
kau penatkan? Kau penat fikirkan si mat singa tu? Heloooo tak ada maknanya pun
kau nak penatkan otak kau fikirkan hal mat singa itu. Sekarang ni lebih baik
kau pergi mandi. Ikut aku pergi shopping.”
“Shopping? Nak buat
apa?” tanya Elfira malas.
“L, isnin ni kan
kau nak masuk kerja baru. Jadi kau mesti nampak elegan, berkarisma. Barulah
nampak macam anak Tan Sri. Takkanlah kau nak pakai seluar jean, T shirt, topi
dengan kasut kau ke pejabat. Kau tu PA di Bumi Jaya. Takkan kau nak nampak
selekeh pulak. Faham?”
“Ni yang aku malas
ni.”
“Dah tak payah nak
malas sangat. Sekarang kau pergi mandi dan ikut aku. Tilam kau itu biar aku
tolong jemurkan.”
Sofea menghulurkan
tuala mandi kepada Elfira. Dia menarik tangan gadis itu lalu di bawa ke bilik
air.
“Mandi ya. Kalau
tak aku yang akan tolong mandikan kau,” ugut Sofea.
“Eh tak apa. Aku
boleh mandi sendiri.”
“Amboi boleh tahan
berat juga tilam saiz queen ni. Itulah gatal sangat jirus budak itu dengan air.
Aku juga yang susah,” bebel Sofea.
“Fea, buat kerja
tak baik merungut. Ikhlaskan hati ya!” jerit Elfira dari dalam bilik air.
“Itu bukan merungut
tapi cakap. Cepat sikit mandi itu. Aku tunggu kau.”
“Yelah.”
Pergh dah macam
mama aku pulak! Sebut tentang mama membuatkan aku rindu pulak.