Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 18 : Pak usu Aleeya ada makwe x? Part I

LA LA LA LA. Sambil bernyanyi riang, Zahra mengemas biliknya yang dah lama tak dibersihkan. Ida pula dah pulang ke KL. Bosan duduk sorang-sorang tanpa teman, jadi dia bercadang mengubah kedudukan perabot dalam kamar tidurnya. 

Pernah sekali dia bercita-cita nak jadi interior designer tapi tak kesampaian. Tiada bakat punya fasal. Akhirnya subjek bermain dengan nombor menjadi pilihannya. Masa sekolah dulu pun, Zahra selalu skor untuk subjek add maths dengan math mod. Selalu tip top.

“Ish! Macam tak kena je letak katil kat sini. Kalau pintu terbuka, mau nampak aku tertonggeng atas katil. Tak boleh jadi ni.” Zahra mengubah semula katilnya kepada kedudukan asal. Sedang sibuk mengalih itu dan ini, Puan Sofea melaungkan namanya dari bawah.

Tahu ibunya memanggil, bergegas dia turun ke bawah. “Ya ibu. Jap, jap.”

“Eh, macam kenal je? Ni anak saudara Encik Arif. Aleeya, kan?” Zahra bertanya saat dia melihat Aleeya yang sedang duduk atas riba Puan Sofea.

“Haah, tadi abah terserempak dengan pak usu dia di taman permainan,” kata Encik Rahman yang sedang melabuhkan punggungnya sebelah Puan Sofea.

So?” Sudah! Abah bawa balik Aleeya pula. Hari tu Ustaz Pink. Lepas ni siapa? Mak bapak ustaz tu? Abah siap tahu ustaz tu pak usu dia pulak tu.

“Abang dia, Asyraf terjatuh masa main kat taman tadi. Rasanya tangan dia terseliuh. Jadi Arif terpaksa bawa Asyraf ke klinik. Kebetulan abah lalu di situ. Arif minta tolong abah supaya tolong jagakan Aleeya sekejap sebab Aleeya ni takut klinik. Hospital tak payah cakap. Dengar pun tak boleh,” terang Encik Rahman panjang lebar.

Zahra yang sudah mengambil tempat duduk berhadapan dengan kedua-dua ibu bapanya hanya terangguk-angguk dari tadi. Macam burung belatuk. Tekun benar dia mendengar. Seolah-olah abah sedang menceritakan bed time stories.

“Kesian Asyraf. Parents dia dah tahu ke ni?” Zahra bertanya lagi.

“Arif dah bagi tau. Papa dia ada meeting. Mama dia ke Kulim sebab kena hantar pesanan pelanggan,” terang Encik Rahman lagi.

“Susahkan kalau dua-dua kerja. Takde orang nak jaga. Tapi nasib baik dia orang ada ayah saudara yang boleh jagakan.” Zahra berasa simpati. Bagi dia kalau boleh, dah ada anak nanti, dia nak jaga sendiri. Biar anak dia ada depan mata selalu.

“Nak buat macam mana? Itulah realiti dunia sekarang. Tapi ada yang bijak mengurus. Walaupun dua-dua kerja tapi mereka masih bijak urusan anak-anak. Tak perlu pengasuh atau bibik.” Puan Sofea pula bertutur. Sambil itu, rambut Aleeya yang mencecah paras bahu dibelai lembut. 

Aleeya dari tadi hanya mendiamkan diri sambil memeluk erat teddy bearnya yang berwarna krim-krim putih. Siap ada reben merah lagi pada leher beruang tu. Mujur juga dia tak menangis masa ikut Encik Rahman tadi. Agaknya muka Encik Rahman nampak baik dan lembut macam atuk dia, sebab tu dia boleh ikut.

“Abah nak ke atas dulu. Nak mandi dan solat zohor. Lepas ni abah nak ke rumah pak Samad. Ada gotong-royong sikit. Esok anak dia nak akad nikah dah.” Encik Rahman mula bangun dari duduknya dan menuju ke tingkat atas.

Puan Sofea turut sama bangun. “Zahra, ibu nak ke rumah sebelah sekejap. Nak hantar barang sikit. Zahra tolong tengok-tengokkan Aleeya. Aleeya duduk dengan kakak ni eyh. Kakak ni boleh main dengan Aleeya.” Puan Sofea meyakinkan Aleeya.

“Ta..ta..pi...” bilik Zahra belum habis dikemas lagi. Zahra menyambung ayatnya yang tergantung dalam hati. Puan Sofea dah berlalu pergi. Aleeya pula ditinggalkan bersama dengan Zahra.

Aku ni tak pandai jaga budak-budak. Aku nak buat apa dengan budak ni? Selama 5 minit dia pandang Aleeya dengan mata jernihnya, Aleeya pandang dia dengan mata bundarnya. Akhirnya sebuah keluhan lepas dari mulut Zahra. Dia bangun dan berdiri di hadapan Aleeya.

Zahra tarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus perlahan-lahan. “Okey, here we go. Aleeya nak main apa?” Zahra tarik senyum sampai nampak barisan gigi putihnya yang tersusun elok.

Aleeya senyap memandang Zahra. 

Zahra mati akal.

“Jom ikut akak ke bilik.” Zahra menghulurkan tangannya. Mujur Aleeya menyambutnya. Zahra terus memimpin Aleeya ke biliknya.

“Tada! Ni lah bilik akak.” Zahra menunjukkan biliknya yang dalam keadaan tongkang pecah. Aleeya tetap dalam keadaan yang sama. Senyap dan hanya memerhati. Macam manalah aku nak berinteraksi dengan budak ni? Sebuah keluhan lagi kedengaran dari mulut Zahra.

“Okey, Aleeya duduk sini jap. Akak pasang Upin & Ipin eyh. Akak nak kemas bilik akak jap.” Zahra meletakkan Aleeya yang masih memeluk teddy bearnya di atas katil. Laptop dipasang dan diletakkan di hadapan Aleeya. Apabila Zahra hendak pergi, dia merasakan hujung bajunya ditarik. Spontan dia menoleh. Aleeya sedang memegang hujung bajunya. Mata bundarnya memandang Zahra. Seolah-olah mengajak Zahra untuk menonton bersama.

“Nak akak teman Aleeya ke?” teka Zahra. Aleeya mengangguk sekali. Nak tak nak kena jugak teman. Zahra mengambil tempat di sebelah Aleeya. Pelik betul aku tengok budak ni? Ada emas ke dalam mulut dia? Dari tadi tak buka mulut langsung. Nak buat apa ya supaya dia bercakap? Nak juga dengar suara dia macam mana. Mesti comel.

“Umur Aleeya berapa eyh?” Eh, kan dulu Encik Arif pernah bagi tau.

Senyap.

“Tadika dekat mana eyh?”

Masih senyap.

“Siapa bagi teddy bear ni eyh?”

Senyap juga. Zahra garu kepala. Macam mana ya?

“Erm... pak usu Aleeya tu... dah ada makwe tak?” Apa punya soalan da.

Aleeya terus toleh pandang ke arah Zahra dengan muka tanda tanya.

Aik? Aku sebut je pak usu, terus dia bagi respons. Eh? Jap jap, apesal aku boleh tanya fasal Ustaz Pink tu pula? Budak ni pun bukan tahu makwe tu apa? Ish! Mengarut je aku ni. Zahra garu kepala.

“Makwe?” Tiba-tiba Aleeya bersuara. 

Alahai comelnya suara dia. Macam pelakon cilik Mia Sara Nasuha.

“Hah?” Terkulat-kulat Zahra. Dia mengetap bibirnya. Tulah mulut ni gatal sangat gi tanya soalan macam tu watpa. Kan dia dah pelik. Mestilah dia tak tahu makwe tu apa.

“Akak tanya je sebab nak dengar suara Aleeya.” Pandailah kau Zahra. Aleeya masih memandangnya tak berkelip-kelip.

Zahra mengaru pelipis kanannya. “Erm...erm... Aleeya nak makan puding tak? Akak ada buat puding triple choco.” Zahra cuba lari daripada topik yang dia sendiri cipta tadi. Teruk wei kalau Ustaz tu tahu dia tanya anak saudara dia macam tu. Malu tak terhingga.

“Aleeya tunggu jap. Akak pergi ambil eyh.” Terus Zahra ke dapur. Dia kembali dengan dua piring kecil berisi puding triple choco di tangan. Satu untuk Aleeya dan satu lagi untuk dia. Mujur juga Puan Sofea ada. Kalau tak, tak jadi puding la namanya.

Sejenak kemudian, filem Upin & Ipin masih terpasang. Aleeya pula dah terlena di pangkuan Zahra. Zahra yang tak berani nak bergerak sebab tak nak Aleeya terbangun turut sama terlentok. Dan bilik dia masih seperti tongkang pecah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera