EH? Macam
ada orang datang je. Ni bukan ke
kereta Ustaz Pink? WTD 111. Sah ni kereta dia.
Zahra yang baru pulang dari bandar memasuki perkarangan rumah. Handbrake dinaikkan dan enjin kereta dimatikan. Lalu Zahra membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Tadi dia ke Queensbay Mall bersama
Ida. Sebelum itu, dia menolong Ida untuk mengangkut barang ke bilik sepupunya itu.
Dari sem satu sampailah terakhir, Ida masih menghuni di Desasiswa Tekun. Bilik
yang sama seperti sem lepas. Duduk seorang lagi tu. Jenuh juga sebab kena naik
sampai ke tingkat lima. Lif pun ramai yang nak guna. Disebabkan semester baru
dah nak mula, para
pelajar mula pulang semula ke kampus.
Habis saja kemas, mereka jalan-jalan di Queensbay Mall. Pusing-pusing dua
jam pun tak beli apa-apa. Akhirnya Ida saja yang beli. Itu pun dia hanya
membeli sepasang pin peniti untuk tudung yang berjenama Tiffany. Cantik dan simple. Sebab ada batu-batu kecil berwarna biru muda yang
disusun menjadi bentuk bunga. Warna kegemaran Ida.
Melihat kepulangan
Zahra, Encik Rahman menyambut anaknya itu di muka pintu. Zahra pantas
menyalami tangan abahnya itu. “Abah macam ada ramai tetamu je. Luar tu kereta Encik Arif kan?” Zahra ternampak beberapa
pasang kasut yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.
Encik Rahman menghadiahkan senyuman buat anaknya. “Masuk dulu Zahra.”
Zahra kelihatan terpinga-pinga apabila Encik Rahman memperkenalkan kedua-dua
orang tua Arif kepadanya. Arif pun ada sama.
“Zahra, kenapa tercegat lagi di situ? Salam dengan mak cik Kalsom.” Puan
Sofea menegur.
Zahra baru sedar dia masih lagi berdiri di sebelah Encik Rahman. Apa la aku
ni boleh blur pulak. Betul apa yang aku fikir sebelum ni.
Sebelum ni Ustaz Pink yang datang. Lepas tu Aleeya. Sekarang mak bapak dia pulak.
Usai menyalami dan mencium tangan Hajah Kalsom yang duduk bersama ibunya
pada sofa berangkai tiga, Zahra mendapatkan tempat di sebelah ibunya.
Berhadapan dengan bapa Arif sekali dengan Arif yang duduk di sofa berangkai dua.
Encik Rahman kembali duduk di tempatnya pada sofa berangkai satu.
“Jadi ni lah Zahra rupanya. Besar dah anak kamu ya, Man,” ujar Haji Daud
kepada Encik Rahman.
“Zahra, Haji Daud ni kawan lama abah masa sekolah dulu. Hajah Kalsom ni pula
kawan lama ibu kamu. Kami berempat satu sekolah dulu.”
Zahra hanya mengangguk sambil memberikan senyuman kepada Haji Daud dan
Hajah Kalsom. Sebetulnya dia kehilangan kata-kata untuk bercakap. Jadi lebih
baik dia mendiamkan diri.
“Cantik anak kamu ni Sofea.” Hajah Kalsom memuji.
“Anak kamu Arif ni pun apa kurangnya. Segak,” balas Puan Sofea.
Mereka di situ ketawa. Kecuali Zahra dan Arif. Masing-masing hanya tersenyum
nipis dan melayan perasaan. Ada perasaan yang hadir tanpa diundang.
Sudah! Umi dah kenal Zahra. Pasti lepas ni umi akan sentiasa bertanyakan fasal Zahra. Arif
teringat akan anak buahnya Aleeya yang tiba-tiba menyebut ‘anak atuk Rahman’. Mana
la si kecik tu belajar cakap macam tu? Arif bermonolog sorang-sorang.
“Nasib baik saya ke masjid dengan Arif tadi. Kalau tak, tak jumpalah kita.
Tak tahu pula kamu dah pindah ke sini. Patut la cari dekat KL tak jumpa,” kata Haji Daud.
Seronok dapat jumpa kawan yang dah lama terpisah.
“Saya pun tak sangka dapat jumpa dengan kamu semula. Alhamdulillah, ALLAH
temukan kita semula.”
Zahra mengerling pada jam di dinding. Hampir pukul tiga setengah petang. Dia
baru sedar bahawa dia belum menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH. Astaghfirullahal’azim.
Boleh terleka pula. “Erm ibu. Zahra nak ke bilik dulu eyh,” bisik Zahra perlahan.
Sebelum berlalu pergi, Zahra sempat mengerling ke arah Arif. Rupa-rupanya
Arif sedang memerhatikan dia juga. Masing-masing terkedu buat seketika. Entah apa yang dirasai kedua-duanya. Apa yang
pasti setiap kali bertatapan mata dengan Arif, Zahra merasakan jantungnya
berdegup pantas.
Apa hal mamat ni pandang aku? Aku cucuk mata tu karang baru
tau. Sah, sah jadi Kassim Selamat. Ish! Tak baik la aku cakap macam ni. Sorry erk Ustaz Pink. Rasa pelik pulak. Masa SMS boleh pula bergaduh.
Sekarang ni nak buka mulut pun tak boleh. Dia pun nampak senyap je tadi. Hari
tu beria-ria kenakan aku kaw kaw. Zahra teringat sewaktu dia dan Arif berbalas
SMS.
Usai menunaikan solat zohor, Zahra mundar-mandir di dalam biliknya. Tak
pasti sama ada mahu turun semula atau duduk senyap-senyap di bilik je. Malu
pula nak turun. Dahlah nak menghadap Encik Arif pun susah. Ada saja yang tak
kena dengan diri dia. Akhirnya dia hanya turun semasa Arif dan ibu bapanya
hendak pulang. Itu pun Puan Sofea yang ajak dia turun.
***
BOSAN memerap
dalam bilik sorang-sorang, Zahra turun ke bawah. Melihat kedua-dua ibu bapanya
sedang asyik menonton televisyen, Zahra pun
join sekali. Dia terus duduk di sisi Puan Sofea. Lalu baring
dan meletakkan kepala di atas riba ibunya itu.
“Cerita apa ni?” Mata dipaku pada skrin TV.
Tanpa menjawab soalan Zahra, Encik Rahman mula mengusik. “Manjanya anak awak
seorang tu.”
“Abang baru tahu ke?” Puan Sofea ikut sama.
Zahra menyengih. “Kalau bukan pada ibu dan abah, dengan siapa lagi Zahra
nak bermanja-manja.” Mata masih tumpu pada kaca televisyen. Tak pasti drama apa
yang sedang ditonton oleh kedua orang tuanya. Apa yang dia tahu, tiba-tiba je
majikan dengan pekerja dia tengah berperang mulut. Fasal apa pun dia tak tahu. Bos
dia siap sebut fasal kopi terlalu manis. Sah hero dia yang bos tu. Heroin
dia pembantu kepada bos dia. Macam kelakar je cite ni. Macam dalam novel pun ada.
“Nanti-nanti ada orang lain dalam hidup Zahra juga. Tempat Zahra bermanja,”
tutur Encik Rahman lagi dengan penuh makna.
“Ada meh?” Zahra mengerutkan keningnya. Dengan siapa lagi aku nak manja
kalau bukan dengan parent aku. Pelik ni. Apa maksud abah?
“Zahra ni buat-buat tak faham ke atau memang tak tahu?” Giliran Puan Sofea
mengusik. Dia sememangnya faham apa hendak disampaikan oleh suaminya itu.
“Tak fahamlah Zahra.” Zahra semakin blur.
“Sampai masa nanti Zahra akan tahu juga.” Puan Sofea membelai rambut Zahra.
“Ala ibu ni cakap jelah terus.
Nak tahu juga.” Zahra mendesak. Selagi tak tahu tak boleh duduk diam. Nanti nak
tidur pun tak boleh.
“Siapa lagi kalau bukan dengan suami Zahra. Tak faham lagi.”
Muka Zahra bertukar menjadi merah. Terasa kehangatan pada pipinya. “Apa la
ibu dan abah ni. Ke situ pulak.”
Zahra buat-buat merajuk.
“Betul apa yang ibu Zahra cakapkan tu. Dah kahwin nanti, Zahra tak
manja-manja dengan kami dah. Muka Zahra merah ni kenapa?” Encik Rahman
terus-menerus mengusik anaknya itu.
“Abah ni. Mana ada.” Zahra memuncungkan mulutnya.
“Malu la tu.” Sambung Encik Rahman lagi.
“Ibuuu tengoklah abah ni.” Zahra merengek, buat-buat mengadu.
“Zahra belum lahir lagi ibu dah tengok abah kamu. Tiap-tiap hari ibu
tengok.” Seronok Puan Sofea bersekongkol dengan suaminya menyakat anak mereka.
“Nak merajuklah. Takde geng.” Tak boleh jadi ni. Huhu.
“Siapa cakap Zahra takde geng, kan Sofea?” Encik Rahman membalas sambil
tersengih. Kopi o yang disediakan oleh isterinya diteguk perlahan sebelum
meletakkan semula cawan beralaskan piring di atas meja di hadapannya.
“Betul tu bang. Arif kan ada.” Puan Sofea menjawab dengan menarik senyum.
“Apa kena mengena pula dengan Encik Arif?” Habis la kalau ibu dah mula
sebut nama Encik Arif. Aduh!
“Aik? Sejak bila Zahra dah pandai panggil Encik Arif? Sebelum ni ibu
tengok, Zahra asyik panggil dia, Ustaz Pink.”
“Tu dulu ibu. Ibu juga cakap tak baik ejek orang. Dahlah. Asyik kena buli je.
Naik tidur lagi bagus.” Zahra bangun dari perbaringan. Lalu menapak menuju ke
tangga.
“Merajuk dah anak kita Sofea. Zahra nak abah panggilkan Arif? Dia boleh
tolong pujukan Zahra.” Encik Sofea menoleh kepada anaknya.
“Abah!” Zahra terjerit kecil sebelum naik ke atas. Tahu abahnya hanya
bergurau. Encik Rahman dan Puan Sofea ketawa kecil.
“Abang, saya suka kalau Zahra dengan Arif. Boleh juga Sofea berbesan dengan
Kalsom.” Puan Sofea menyatakan hasratnya.
“Abang pun suka. Tapi Zahra kan baru putus tunang. Tak elok pula kalau kita
mendesak dia.” Ada sedikit nada sedih dalam suara Encik Rahman. Sedih
mengenangkan ketidaksetiaan Johan pada anak kesayangannya. Namun, jauh di sudut
hatinya, dia amat bersyukur kerana ALLAH s.w.t telah melindungi anaknya dengan menunjukkan
kebenaran. Agaknya apa la yang akan terjadi sekiranya Johan dan Zahra jadi
berkahwin. Ada kemungkinan Johan akan menduakan Zahra secara rahsia.
Sesungguhnya semua ibu bapa di dunia ini hanya mengharapkan yang terbaik untuk
anak-anak mereka.
“Kita berdoa sahaja ya bang. Sofea percaya Arif boleh jaga Zahra dengan
baik.” Puan Sofea masih mengharap kalau-kalau Zahra ada jodoh dengan Arif.
“Abang juga akui Arif tu memang baik orangnya. Tak ada cacat cela sikit
pun. Solat pun sentiasa dijaga. Pandangan dia dalam Islam pun amat meluas. Abang
kagum kebolehan dia dalam berusrah.” Encik Rahman teringat kembali semasa aktiviti
usrah di masjid baru-baru ini. Setiap kali ingin menyuarakan pandangan, Arif pasti akan merujuk kepada Al-Quran dan hadis. Anak muda itu juga pernah mengatakan kepadanya bahawa
dia amat meminati cara berdakwah dan karya ulama terkenal iaitu Dr.
Yusuf Al-Qardhawi.
“Sofea, kopi o awak ni sedap bebenor.” Encik Rahman menunjukkan teko yang
dipegangnya.
“Cakap jelah abang nak lagi.” Puan Sofea bangun dari duduknya dan mengambil
teko tersebut sebelum berlalu ke dapur.
“Terima kasih,” ucap
Encik Rahman dengan sengihan. Sebagai seorang suami, dia tidak pernah kekok
mengucapkan terima kasih kepada isterinya. Kata-kata penghargaan buat isteri
tercinta. Menunjukkan bahawa dia adalah seorang suami yang amat menghargai apa
yang dilakukan dan disediakan oleh isterinya.
p/s : enjoy^-^v