Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 11 : Eh? Aku suka dia ke?

ARIF cuba untuk menumpukan perhatian terhadap pembacaannya. Namun satu pun tak dapat dicernakan dalam pemikirannya. Buku di tangan ditutup dan diletak ke tepi. 

Sejak bertemu dengan Zahra tempoh hari, hatinya mula bergolak. Seolah-olah ada manis kerinduan. Rindu untuk menatap wajah mulus itu lagi. Dia juga terkejut dengan perubahan penampilan Zahra. Syukur alhamdulillah padaMu Ya Allah, kerana telah memberikan petunjuk jalan yang baik kepada Zahra. Indah sungguh perubahannya.

Adakah benar hatiku ini sudah mula menyukai Zahra? Tapi aku masih merindukan arwah Ati? Atau aku yang sebenarnya tak sanggup untuk menggantikan tempat arwah dengan orang lain? Ya Allah, apa yang harus aku lakukan? Arif meraup wajah dengan kedua-dua tangannya.

Sejujurnya dia takut apa yang dirasainya hanya mainan syaitan untuk membolak-balikkan hatinya. Ya Allah, aku takut sekiranya apa yang aku rasai ini, akan membawa keburukan kepada diriku dan agamaku. Engkau lindungilah hambaMu ini daripada termakan dengan hasutan syaitan. 

Nafas panjang ditarik. Bagi menjaga hatinya itu, dia mula berzikir dan berselawat berulang-ulang kali. Dia juga mengamalkan beberapa ayat-ayat al-Quran sebagai pelindungan.

Semasa bertemu Zahra tempoh hari, dia hanya memandang Zahra sekilas lalu kerana hendak menjaga mata dan hatinya daripada tersungkur. Semakin dia tidak memahami apa yang dirasai di dalam hatinya lagi. Seakan tidak mampu untuk mengawal hatinya lagi. 

Teringat akan dia tentang satu hadis, ‘Memandang wanita adalah panah beracun daripada berbagai panah Iblis. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla, maka Allah akan memberi balasan iman kepadanya, yang akan didapati kelazatan di dalam hatinya.’ (Riwayat Ahmad)

Arif mengurut belakang lehernya yang terasa lenguh. Kemudian dia bangun dari katil dan menuju ke rak buku kayunya yang bertingkat tiga. Sebuah album gambar yang tersusun bersama dengan deretan buku-buku dikeluarkan dari rak itu. Dibawanya album tersebut ke katilnya semula. Badan disandarkan pada kepala katil. Kulit album yang diukir dengan corak bunga lili berwarna putih ditatap sepenuh hati. Penuh dengan perasaan. Bunga kegemaran arwah. Pada kulit album itu juga, terukir indah namanya bersama dengan nama arwah.


~Arif ♥ Atiqah~


Bibir mengukir senyuman hambar saat melihat gambar-gambar yang masih tersemat indah di dalam album itu. Satu persatu halaman album dibelek. Matanya terhenti pada satu gambar. Gambar Ati yang sedang duduk bersimpuh dengan berlatarbelakangkan Baitullah. Bongkah batu yang menjadi tumpuan seluruh umat Islam di dunia ini didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s bersama dengan anaknya Nabi Ismail a.s atas perintah Allah s.w.t. Dalam gambar yang masih tampak baru itu, arwah yang sedang bertelekung dan berjubah hitam, seolah-olah sedang memberikan senyuman manis kepadanya.

Wajah arwah sentiasa kelihatan bersih dan berseri-seri. Menunjukkan arwah sentiasa rajin berwuduk. Arwah sememangnya gemar berada dalam keadaan berwuduk. Kerana itu akan menjadikan dirinya sentiasa tenang walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Arwah juga sentiasa rajin membasahkan bibirnya dengan zikrullah. Menjadikan bibirnya nampak merah bak delima.

Arif masih ingat lagi, selepas setahun mendirikan rumah tangga, dia membawa arwah untuk menunaikan umrah. Ternyata kenangan bersama arwah masih segar dan tidak pernah pudar ditelan masa. Ati, apa yang harus abang lakukan? Abang tidak tegar menduakan kamu. Menerima wanita lain dalam hidup abang bererti abang mengkhianati cinta kita. Arif menarik nafas panjang lagi. Album tersebut dipeluk sehingga dibawa bersama dalam tidurnya.


APA kena dengan Zahra ni? Dari tadi asyik termenung je. Sah! Ni mesti teringatkan Ustaz Pink dia ni. Ingat aku tak perasan ke? Sejak bertemu dengan Encik Arif, dia ni lain macam je. Terkena penangan cinta ke?

“Zahra. Kau ni dari tadi mengelamun je ni, kenapa?” Ida mula bertanya.

“Wei, aku panggil ni.” Ida mencuit bahu Zahra apabila Zahra tidak memberikan sebarang respons.

“Hah, kau cakap apa tadi.” Zahra tersentak dan terpinga-pinga. Pen yang dipegangnya turut terlepas daripada pegangan.

“Aku tanya, yang kau dok mengelamun dari tadi tu, kenapa?” Ida menggeleng. Nak tergelak juga dia melihat telatah Zahra.

Pen yang terjatuh dari meja bulat yang diperbuat daripada batu marmar diambil. “Mana ada,” nafi Zahra.

“Kau ingat aku tak tahu ke?” Ida tersengih lebar.

“Tahu apa?” Berkerut-kerut kening Zahra memandang Ida.

“Mai sini.” Ida melambaikan tangan, memanggil Zahra agar mendekatinya. Dia ingin membisikkan sesuatu. Merah padam muka Zahra apabila mendengar apa yang dibisikkan oleh Ida.

“Kau ni Ida. Merepek jelah. Mana ada. Tak adalah,” sangkal Zahra yang terus-menerus menafikannya walaupun hatinya tidak menafikan langsung. Wajah dialih ke tempat lain. Sebabnya, tak nak Ida mengesan sesuatu dari wajahnya yang semakin menghangat.

“Eleh, tak nak mengaku pula. Cakap jelah yang engkau ni tengah fikir fasal...” Ida tidak menghabiskan ayatnya. Sengihan nakal masih melekat di bibir.

“Memandai jelah kau ni. Aku tak fikir pun fasal dia. Aku tengah fikir fasal assignment ni.” Sehelai kertas bersaiz A4 di hadapannya diambil dan ditunjuk di depan muka Ida.

Ida mengalihkan kertas itu lalu berkata, “Kau tahu tak? Kat...”

“Tak tahu.” Selamba Zahra memotong sambil menjongket bahu.

“Memanglah kau tak tahu. Aku belum habis cakap lagi." Ida tarik muncung sebelum menyambung lagi. "Kat muka kau tu dah tertulis yang kau tu dah suka kat dia. Kau tu je yang tak nak mengaku.” Susahnya sepupu aku ni nak mengaku.

Senyap.

Melihat Zahra hanya membisu, Ida menyambung lagi. “Bertuah tau kalau sape dapat suami macam Encik Arif tu. Baik, peramah dan yang paling penting he looks religious, beriman. Suka budak-budak pulak tu. Kau tak tengok ke macam mana dia layan anak-anak saudara dia yang comel giler tu? Chou kawaii (comel sungguh).

“Apa-apa jelah kau ni Ida.” Zahra malas hendak berbicara lagi. Biar sahaja Allah yang menentukan jodohnya. Lagipun dia tak percaya semudah itu dia boleh jatuh cinta. Tambah-tambah lagi, dia baru putus tunang. Lagilah dia tak percaya.

“Kau nak ke mana ni?” Pelik melihat sepupunya itu sudah bangun dan mengemas barang. Aku belum habis cakap lagi dia dah nak pergi.

Zahra menunjukkan jam pada pergelangan tangannya. “Kau dah lupa ke kita ada class? Dah dekat pukul dua setengah dah ni. Tak fasal-fasal ada juga yang kena denda lagi. Buatnya dia suruh tawaf tujuh kali dewan kuliah tu baru kau tahu.”

“Hehehe, aku tahulah kau tak sabar nak tengok muka Encik Arif yang alim macam ustaz tu,” usik Ida.

Zahra hanya berdecit. Tak kuasa nak layan lagi. Makin dilayan, makin menjadi-jadi usikan Ida ni nanti.

Sejujurnya Zahra tolak ke tepi dulu bab-bab kahwin ni. Cukuplah dia menderita sekali disebabkan lelaki. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia menganggap apa yang berlaku adalah untuk menjadikan dia lebih matang. Buat masa ni, dia hanya ingin menumpukan sepenuh perhatiannya kepada studinya dahulu. Apa yang penting, cita-citanya dahulu. Dia hanya berserah kepada Allah s.w.t kerana hanya Dia sahaja yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera