Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 9 : Alfiyaakob...?

Sucikanlah dirimu daripada dosa-dosamu kerna sesungguhnya Allah amat menyayangi hamba-hambaNya yang bertaubat...

SUKAR bagi Zahra memfokuskan dirinya untuk studi. Mood studinya dibawa pergi bersama kedukaan yang sedang melanda dalam dirinya. Sudahnya dia menutup saja buku setebal lima ratus tiga puluh muka surat di depannya dan bercadang untuk melayari Internet. Status relationships di facebook diubah. Daripada engaged kepada single. Melihat perubahan itu, ramai kekawan mula bertanya. Jawapannya hanya satu. No comment, go and ask Johan. Tahulah mereka bahawa Johanlah yang menimbulkan masalah.

Selesai dengan facebook, dia beralih kepada e-mel pula. Sudah lama dia tidak membuka e-melnya. Sebaik sahaja dia klik butang login, terdapat berpuluh-puluh e-mel baru dalam inbox. Mak ai! Banyaknya. Sedang dia melihat sekilas lalu, matanya menangkap satu e-mel yang seratus peratus telah mencuri perhatiannya.


To:[email protected]

From:[email protected]

Subject: Pujuklah dirimu wahai Humaira...

Attachment: Hijau Daun feat Astrid – Aku Ingin Engkau.mp3


Wahai gadis yang sedang berduka...

Setiap kedukaan yang dirasai adalah satu ujian buatmu...

Hapuskanlah air matamu...

Janganlah dikau terus bersedih lagi...

Janganlah dikau terus mengenang cinta lalu...

Kerana Allah sudah merencanakan sesuatu yang lebih baik buatmu...

Sesuatu yang tak terduga... yang lebih indah buatmu...

Maka kembalilah kamu kepadaNya...

Kerna Dia tak pernah meninggalkan dikau seorang diri...

Ketahuilah kamu bahawa Dia sedang menyayangi dirimu...

Bercintalah dikau denganNya yang setia menunggumu...

Sesungguhnya cintai Ilahi adalah cinta yang paling agung...

~alfiyaakob~

cc: Allah Azza Wajalla


Alfiyaakob? Aku ada ke kawan nama ni? Rasanya tak ada. Siap cc pada Allah lagi tu. Zahra tertanya-tanya adakah e-mel tersebut sememangnya khas untuk dirinya? Atau pengirimnya tersilap hantar? Tapi nama dia pun Humaira juga. Cuma belum pernah ada yang memanggil dia sebagai Humaira. Kata-kata yang ditaip juga seolah-olah untuk dirinya. Kena dengan keadaan dia pada masa itu. 

Membacanya, membuatkan diri Zahra terasa kerdil. Hati kecilnya cukup tersentuh dengan kata-kata istimewa yang dikarang khas dalam e-mel itu. Usai membaca, Zahra memuat turun lagu mp3 yang turut dilampirkan. Tanpa ditunggu-tunggu lagi Zahra terus memainkannya. Setiap bait-bait lirik dalam lagu itu dihayati sepenuhnya. Berulang kali Zahra memainkan lagu itu di laptop. Tak jemu-jemu dia mendengarnya.


Engkaulah hidup dan matiku

Dan juga pelita di hatiku

Disaat gelap datang dan dingin mencekam

Engkau selalu menjagaku

Ku pernah bersalah kepadaMu

Dan juga pernah menyakitiMu

Saat mata terpejam dan semua menghilang

Engkau masih tetap disampingku

Aku ingin Engkau menuntun jalanku

Genggam tanganku di saat ku jatuh

Aku ingin Engkau menemani aku

Di setiap waktu di hidupku ini


Tanpa disedari kelopak matanya mula berair. Zahra sedar terlalu banyak dosanya kepada Allah. Teringat akan dia kata-kata ibunya. Mungkin apa yang terjadi adalah untuk mengembalikan dirinya kepada Allah atau menjadikan dia lebih baik. 

Astaghfirullahal’azim! Zahra sedar selama ini dia banyak berbuat dosa kepadaNya. Banyak mana dosanya Allah masih tetap berada di sampingnya. Masya-Allah!

Pada malam tu juga dia berazam untuk membaiki dirinya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Air matanya semakin deras mengalir mengenangkan dosa-dosanya. Selama ini ibadat solatnya hanya dibuat ala kadar. Ada masa dibuat secara ekspres. Tak ada toma’ninah langsung. Lebih teruk apabila dia sering melengah-lengahkan waktu solat. Ada masa terbabas dari waktu solat. Padahal ianya merupakan satu kesalahan besar yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. 

Puasa pun tak pernah dibuat secara ikhlas. Selama berpuasa dalam bulan Ramadan tak pernah sekali pun dia menyerikan bulan ukhrawi itu dengan beribadat kepada Allah s.w.t. Hanya menunggu masa untuk berbuka. Ya Allah! Sia-sia puasa aku selama ini.

Bahkan pakaiannya pun hanya cukup-cukup syarat tapi masih belum cukup baik pada pandangan Islam. Ada masa rambutnya didedahkan kepada orang yang bukan muhrim. Ya Allah! Berdosanya aku kerana tidak menjaga rambutku. Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah.

Perlakuannya dan kata-katanya senantiasa kasar. Baru dia sedar ada masa terutamanya ketika dia dalam keadaan mood yang tidak baik, kata-kata dan perlakuannya terhadap abah dan ibunya agak kasar. Dan apa yang dia pasti dia adalah seorang yang panas baran tak bertempat dan tak kenal erti perkataan sabar.

Malahan yang paling menyedihkan sudah lama dia tidak mengaji al-Quran. Sehinggakan kitab suci itu sudah lama tidak ditatapnya. Dibiarkan berhabuk di atas almari. Rugilah seseorang itu sekiranya dia menjauhkan dirinya daripada kalam Allah. Kerana al-Quran dengan mudah meninggalkan seseorang itu jika dia tidak membacanya. Apatah lagi jika tidak beramal dengannya. Sabda Rasulullah s.a.w, ‘Teruskanlah membaca al-Quran itu. Demi Allah yang menggenggam jiwa Muhammad, al-Quran itu lebih mudah terlepas berbanding terlepasnya seekor unta dari ikatannya’. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ya Allah, Ya Tuhanku, aku ingin bertaubat kepadaMu, ampunilah segala dosa-dosaku selama ini. Berikanlah petunjuk hidayahMu kepada hambaMu yang penuh dengan dosa ini. 

Allah s.w.t sentiasa membuka seluas-luasnya pintu taubat kepada hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Bersempena dengan Maal Hijrah yang bakal tiba, Zahra nekad. Dia mahu berhijrah ke jalan Allah s.w.t. Malam itu juga, sedang semuanya masih dibuai mimpi, Zahra pula sedang berteleku di atas sejadah. Usai menunaikan solat sunat taubat tadi, mulutnya tak putus-putus beristighfar berulang kali. Tangan masih lagi mengira biji-biji tasbih pemberian arwah neneknya suatu ketika dahulu. Dia mahu membasuh segala dosa-dosanya yang terpalit dalam dirinya selama ini. Dia tidak mahu kembali kepadaNya dalam keadaan dirinya yang penuh dengan dosa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera