OH TIDAK!
Semua mata tertumpu
ke arah Zahra yang sedang kaku berdiri pada anak tangga yang terakhir. Bagaikan masa
terhenti. Bagaikan bumi berhenti berputar pada paksinya.
Terbeliak mata Zahra melihat Arif yang sedang rancak berbual dengan abahnya. Yang paling memalukan ialah apabila tengok je
muka Arif, terus dia melatah, Eun Shi Kyung!
Arif juga kelihatan kaget dengan Zahra. Uh? Dia panggil aku apa tadi? Eun Shi Kyung? Eun Shi Kyung mana pulak
dah ni?
“Mak! Jo Jung Suk!” Ida yang muncul beberapa saat selepas Zahra turut sama terkejut
dengan kehadiran Arif.
Bagus... Zahra dengan Eun Shi Kyung, Ida pula dengan Jo Jung Suk.
Padahal dua-dua tu adalah orang yang sama. Mentang-mentanglah masa tu terkena penangan The
King 2 Hearts, dua-dua boleh tersasul.
“Ya Allah! Budak-budak ni. Tengok lagi drama Korea banyak-banyak.” Puan Sofea
yang sedang menatang air terkejut dengan telatah Zahra dan Ida.
Arif tergelak
kecil. Encik Rahman pula hanya menggeleng.
Cepat-cepat Zahra dan Ida mengambil tempat pada sofa berangkai tiga. Berdepan dengan Encik Rahman dan
Arif yang sedang duduk di sofa berangkai dua.
“Zahra, Ida, ni Arif.” Encik Rahman memperkenalkan Arif kepada mereka. Padahal,
mereka dah kenal.
“Tahu abah. Pensyarah kami ni.” Zahra tak memandang langsung ke arah Arif.
Kedua-dua kening Encik Rahman sudah berkerut-kerut memandang mereka bertiga.
Begitu juga dengan Puan Sofea.
“Haah pak cik. Betul tu.” Arif
membenarkan kata-kata Zahra.
“MasyaAllah! Kecil betul dunia ni. Tak sangka pula kamu ni pensyarah anak
pak cik.” Encik Rahman nampak gembira. Wajahnya seakan ceria.
“Saya pun tak sangka Zahra ni anak pak cik,” ujar Arif. Mereka sama-sama
ketawa.
Eleh, nak tunjuk sopan pulak.
Tapi macam mana abah boleh kenal dengan Ustaz Pink ni? Ish! Macam
mana la boleh terkeluar Eun Shi Kyung ni. Ida punya fasal la ni. Ida ni, aku
luku jugak kepala dia nanti. Tersengih-sengih pandang aku ni kenapa?
Zahra mengerling ke arah Ida dengan pergerakan mulut tanpa suara ‘yang kau tersengih-sengih ni kenapa?’.
Ida balas balik dengan cara yang sama ‘sukanya aku tengok bakal menantu
pak lang dan mak lang.’
Puan Sofea di sisi menepuk paha Zahra. “Zahra, Ida, apa yang terkumat-kamit tu?”
Tegurnya.
“Takde apa-apalah ibu. Ida ni.”
Selamba Zahra mengenakan Ida.
'Eh, aku pulak yang kena,' ngomel
Ida dalam hati. Tak elok pula cakap macam tu kuat-kuat depan semua orang.
“Arif, makan malam di sini sajalah. Isteri pak cik ni pandai masak.” Encik
Rahman memuji kepandaian isterinya dalam memasak.
“Eh, tak apalah pak cik. Buat susah-susah je.”
“Tak susah pun. Makan di sini saja. Mak cik boleh masak banyak.” Puan Sofea
turut sama mengajak.
Arif melemparkan senyum manis seraya mengangguk sedikit. “Terima kasih pak cik,
mak cik. Alhamdulillah rezeki saya.”
Sedang asyik memasak di dapur, Encik Rahman muncul lalu bertanya kepada
Puan Sofea. “Awak, kain pelekat yang bersih, awak letak kat mana?”
“Zahra, tolong ibu. Ambil kain pelekat dalam almari ibu. Ibu letak kat tingkat yang ketiga,” pinta Puan Sofea
yang sedang menumis bawang.
“Zahra, nanti tolong bagi terus pada Arif kat bilik tetamu.”
Encik Rahman berlalu pergi tanpa sempat untuk Zahra membantah.
Uh? Zahra tercengang seraya memandang ke arah Ida.
Ida angkat ibu jari.
Good job pak lang. Suka benar dia.
'Eee! Budak
ni betul-betul nak kena dengan aku!' rungut Zahra dalam hati.
Dengan kaki yang terasa berat seperti satu tan, Zahra memanjat satu persatu
anak tangga menuju ke bilik abah dan ibunya. Lambat-lambat dia mengambil kain pelekat seperti
yang diarahkan ibunya.
Ish!
Macam mana nak bagi dekat Ustaz Pink ni? Teragak-agak Zahra hendak mengetuk pintu bilik tetamu.
Belum pun sempat nak ketuk, pintu bilik terbuka secara
tiba-tiba. Dua-dua terkejut.
Bulat mata Arif melihat Zahra. Astaghfirullahal’azim! Nasib baik tak berlaga. Mana taknya, jarak antara mereka
hanya tinggal beberapa inci sahaja. Boleh tercium tau. Bahaya-bahaya. Bahaya sungguh.
Zahra terkebil-kebil memandang Arif. Tanpa berkata apa-apa lagi, Zahra terus
menghulurkan kain pelekat dan cabut lari. Nasib baik Arif sempat menyambut kain tu sebelum terjatuh ke lantai. Tergelak kecil Arif dengan telatah Zahra.
Lebih menggelikan hati lagi apabila Arif teringat sewaktu dia buka pintu
tadi, Zahra terkejut sampai tersasul lagi. Dia sebut ‘Oh! Mak engkau Ustaz Pink!’ Betapa merah padam muka dia tika itu. Terkulat-kulat
dia depan Arif. Dan seperti biasa, membuatkan dia nampak comel seperti
kanak-kanak kecil yang telah melakukan kesalahan.
Usai menunaikan solat maghrib secara berjemaah, Puan Sofea, Zahra dan
Ida terus ke meja makan untuk menyiapkan juadah makan malam.
“Zahra, pergi panggil abah kamu dengan Arif. Semua dah siap ni,” arah Puan
Sofea.
“Zahra lagi? Ida kau lah pergi.” Zahra berdecit. Aku lagi? Dahlah aku tak
berani nak menghadap muka dia. Rasa malu ni tak hilang-hilang lagi tau!
“Mak lang suruh kau la.” Ida kenyit mata sambil tersengih. Tak habis-habis
dengan sengihnya.
“Zahra...” Puan Sofea menegur tingkah laku anaknya itu.
Sempat Zahra menjelir ke arah Ida sebelum ke ruang tamu. Takpe kau Ida. Malam nanti tak nak
teman. Kau tengok sorang-sorang. Dengan
hati yang tak rela, Zahra menurut juga.
“Abah, Encik Arif, ibu panggil makan.” Zahra hanya memandang sekilas sahaja
kepada Arif. Perasaan malunya terhadap Arif semakin tebal. Terlanjur cakap punya
fasal. Bukan sekali. Dah banyak kali tersasul. Sejak mereka dipertemukanNya,
dah macam-macam insiden yang berlaku antara dia dengan Arif.
“TAK RUGI aku
datang rumah kau hari ni. Seronoknya. Betul-betul macam drama. Rasanya lagi best daripada drama-drama Korea yang aku tengok selama ni.” Aktiviti
menonton The King 2 Hearts disambung semula, mulut Ida tak habis-habis berceloteh
fasal kedatangan Arif.
Zahra sudah hilang mood untuk bercakap. Sejak makan malam tadi dia
hanya mendiamkan diri. Ditambah pula dengan tekak yang sukar untuk menelan
setiap butir nasi yang dirasakan seperti pasir je.
Selepas makan malam tadi, Zahra hanya
duduk di dapur. Konon-kononnya nak cuci semua pinggan mangkuk la. Nak mop
lantai dapur la. Alasan je tu sebab
tak nak kena panggil ke ruang tamu. Selama ini pun Zahra ni liat nak tolong di
dapur sebenarnya.
“Pak lang dengan mak lang siap cakap jangan segan-segan nak datang lagi.
Habislah kau aigoo.” Ida
terus-menerus mengusik Zahra.
Zahra buat-buat tak dengar.
“Wei, aku tengah cakap dengan
tunggul batu ke? Kau dengar tak ni?” Bahu Zahra dicuit.
“Hmm.” Zahra sedang menumpukan
perhatiannya terhadap salah satu babak drama. Eun Shi Kyung membawa seekor burung
kakak tua yang juga dikenali sebagai burung beo yang berwarna-warni untuk menghiburkan
hati Puteri Lee Jae Shin yang terlantar di hospital akibat lumpuh separuh
badan. Sweet giler babak tu sebab Eun Shi Kyung tergagap-gagap masa nak tunjukkan burung itu.
“Hmm je. Bagilah respons sikit.” Ida merungut.
“Bising la. Aku tengah syok tengok ni. Kau nak tengok ke tak ni? Aku tutup
karang baru tau.”
“Alah, kau nak tengok muka Eun Shi Kyung je sebab muka Encik Arif macam dia
kan?” sakat Ida lagi.
“Aku nak tutuplah.” Zahra buat-buat nak klik simbol stop pada Media Player Classic. Aplikasi yang mereka gunakan untuk menonton drama itu.
“Okey, okey, okey. Aku tak usik dah.” Jauh di sudut hati Ida, dia bersyukur
sebab sekurang-kurangnya Zahra tak lagi terkenangkan cinta dia yang lalu. Jadi
dia sengaja hendak menghidupkan suasana yang ceria buat sepupu merangkap
sahabatnya itu.
'Semoga Zahra akan bertemu dengan jodoh yang lebih baik. Amin.' Doa Ida dalam hati.
Buat pertama kalinya Zahra tonton drama Korea sehingga ke episod yang
terakhir. Tapi sedih sebab Eun Shi Kyung mati di tangan musuh. Tak sempat dia nak
bersama dengan Puteri Lee Je Shin. Masa tengok babak tu, Zahra boleh menangis bersama-sama dengan puteri
tu. Habis sekotak tisu. Okey, tipu je. Tak habis pun. Separuh je
habis. Sadis betul.