Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 33 : Huh? Blur...
“ENCIK ARIF!”Tak berkedip mata Zahra. Terkaku terus. Kejutan apa pulak dah ni?

Mahu jatuh tergolek jantung saat melihat Arif sedang bersarapan di meja makan. Aku tersilap rumah ke? Zahra mencubit pipinya. Ini bukan mimpi. Ini realiti. Dilihatnya, Arif sedang mengunyah seenak-enaknya roti bakar yang disapu mentega, ditabur dengan gula perang. Bersarapan bersama-sama dengan kedua-dua ibu bapanya lagi. Bila abah dan ibu pulang?

Pada Arif pula, dia sikit pun tidak menoleh ke arah Zahra. Puan Sofea beri isyarat kepada anaknya. Lupa pula dia nak pesan kepada anaknya. Ingatkan anak daranya itu masih terbungkang di atas katil.

“Alamak!” jerit Zahra. Dalam kekalutan dia naik semula ke biliknya. Patut la dia tak pandang aku. Dia tahu aku tak pakai tudung. Darah semakin menyirap naik ke muka. Zahra pegang kedua-dua pipinya. Rona wajahnya semakin berubah merah. Malunya nak turun semula. 

Nak tak nak kena turun juga. Dia mengeluh.

Sebelum mengambil tempat di sebelah ibunya, Zahra bersalaman dengan kedua ibu bapanya terlebih dahulu. “Bila abah dan ibu sampai? Zahra tak sedar pun.”

“Dekat-dekat pukul sembilan tadi. Naik flight. Kenapa Zahra tak bagi tau pada ibu dan abah fasal hal semalam? Terkejutnya ibu. Mujur Arif ada,” ujar Puan Sofea yang masih lagi terkejut dengan peristiwa semalam.

Serta-merta Zahra pandang Arif. Sah. Sudah terang lagi benderang, Arif yang bagi tau. “Zahra minta maaf. Zahra tak nak ibu dan abah risau. Lagipun pencuri tu kan dah kena tangkap. Zahra pun alhamdulillah tak ada apa-apa.” Zahra memandang sekilas pada Arif lagi. Muka nampak macam tak cukup tidur. Dia tak balik langsung ke rumah dia ke? Dia memang ada dekat sini sejak malam tadi ke? Baju pun nampak macam tak bertukar?

“Arif, pak cik tak tahu macam mana nak balas jasa kamu. Tak sangka sungguh kamu sanggup tunggu dekat luar sampai pagi. Keluarga kami dah menyusahkan kamu pula.” Encik Rahman menepuk bahu Arif.

Tergamam Zahra mendengar kata-kata abahnya itu. Tersentuh hati kecilnya apabila mengenangkan kesanggupan Arif berjaga sepanjang malam di luar rumah. Semuanya demi keselamatannya.

“Takde apalah tu pak cik. Saya ikhlas membantu,” ujar Arif penuh sopan dan rendah diri.

Selepas bersarapan, Zahra menghantar Arif pulang. Sampai pintu pagar rumah dia je. Tunggu sampai kereta Arif hilang dari pandangan.

“Masih lagi ingat nak karate anak orang? Siap dengan kayu penggelek lagi,” usik Arif bersahaja.

Zahra berdecit. Karang aku karate jugak pak cik ni. “Pergilah balik. Dah bau semacam. Baju tu dah lah tak bertukar dari semalam.” Dia buat-buat tutup hidung.

“Wah, kita dah tolong dia. Dihalaunya kita,” balas Arif yang sedang berpeluk tubuh.

“Eh, tadi bukan main lagi cakap pada abah, apa dia? Ikhlas membantu?” perli Zahra. Tanda bergurau.

Mendengar kata-kata pelajarnya itu membuatkan Arif tergelak kecil.

“Err... tak sangka saya Encik Arif boleh tunggu sampai pagi. Tak bosan ke jadi pak guard tak bergaji?” Kesian pula tengok muka dia. Nampak betul-betul penat.

“Tak. Saya mendengar dan menghafaz ayat-ayat cinta.” Senyum segaris.

“Ayat-ayat cinta? Sejak bila Encik Arif jadi mat jiwang ni?” usik Zahra.

Secarik senyuman ditarik lagi. “Ayat-ayat cinta yang saya maksudkan tu adalah ayat-ayat al-Quran,” Arif membetulkan.

“Ooo...” Zahra garu kepala. “Hmm... thanks banyak-banyak.” Dia bersuara lagi. Ikhlas.

Arif angkat kening.

“Sebab Encik Arif dah tolong saya semalam. Ikhlas ni,” tutur Zahra dengan rasa senang hati.

“Sama-sama." Arif membalas dengan senang hati. Disedekahkan sebuah senyuman manis buat Zahra.

Mata Zahra dah mula melilau. Sampai nak terjuling biji mata. Hujung kaki kanannya sedang asyik menguis-nguis rumput yang masih berembun di tanah. Hatinya tak keruan dengan renungan redup dari mata milik Arif. Tadi bukan main bergurau. Sekarang dua-dua dah membisu.

Kesunyian mereka dikejutkan dengan telefon bimbit Arif yang nyaring berbunyi dari poket seluarnya. Pantas dia menjawab panggilan itu.

“Wa’alaikumussalam umi.” Tahulah Zahra panggilan tersebut daripada umi Arif.

“Ada dekat rumah pak cik Rahman.” Umi dia tanya Arif ada dekat mana la tu.

“Balik nanti Arif cerita.” Mesti tanya kenapa? Mana taknya pagi-pagi lagi dah ada dekat sini.

“Dah nak balik.” Sesekali Zahra melihat Arif mengangguk. Dia angguk macam tu, macam umi dia nampak. Hehe. Eh, eh? Aku ni dengar pasang telinga pulak. Tak senonoh betul.

Seketika kemudian, panggilan ditamatkan dan Arif pun meminta diri untuk pulang. Tak sangka, rupa-rupanya ada penonton yang sedang tersengih-sengih mengendap mereka dari dalam rumah. Siapa lagi kalau bukan Encik Rahman dan Puan Sofea. Si abah siap naik ibu jari.

***

MALAM itu, Encik Rahman dan Puan Sofea mengadakan perbincangan dengan Zahra. “Zahra, abah dan ibu ada hal penting nak cakap dengan Zahra.” Sebagai ketua keluarga, Encik Rahman memulakan bicaranya.

“Apa dia?” Hati Zahra dah berdebar-debar ni. Tiba-tiba ada mesyuarat tergempar. Mana tak berdebar.

Encik Rahman memandang Puan Sofea sebelum beralih kepada anaknya. “Insya-ALLAH Sabtu depan ada rombongan akan datang merisik. Bukan itu sahaja, sekali dengan meminang.”

“Merisik? Meminang? Siapa?” Tiba-tiba Zahra jadi blur. Siapa lagi kalau bukan aku. Takkan ibu atau abah pula.

“Ya ALLAH! Zahra ni. Mestilah untuk Zahra.” Puan Sofea menggeleng.

Zahra terdiam. Mindanya cuba mencerna kata-kata abah dan ibunya. Aku? Ada orang nak merisik aku?Biul dah kepala otak aku ni mendengarnya... Tiba-tiba baru dia sedar. Biaq betui!!!

Encik Rahman berdeham sedikit. “Tapi abah nak Zahra tahu satu perkara.” Bunyinya macam serius je.

Zahra telan air liur. Abah ni cakap jelah terus. Boleh main full stop pula. Bertambah-tambah cuak jadinya.

“Orangnya duda, Zahra. Dah lama dia menduda. Anak pun tak ada.” Puan Sofea menjawab bagi pihak suaminya. Tangan Zahra digenggam erat.

Melopong mulut Zahra. Huh? Duda? Makin biul dah ni.

“Ibu dan abah harap sangat-sangat agar anak ibu ni boleh terima. Orangnya baik, soleh dan beriman.” Rambut Zahra dibelai lembut.

“Zahra tak tahu nak cakap apa. Boleh bagi Zahra fikir dulu tak? Semua ni datang dengan tiba-tiba. Zahra tak tahu ibu, abah.” Wajah ibu dan abahnya dipandang silih berganti.

“Zahra fikirlah dulu. Istikharah dan banyakkan berdoa. Tapi ibu dan abah harap, kali ini Zahra dapat terima. Ibu yakin dia adalah yang terbaik yang Allah hendak berikan kepada Zahra.”

Zahra hanya mampu mengangguk perlahan.

“Zahra tak nak tahu siapa?” tanya Encik Rahman. Dan sudah pasti anaknya akan terperanjat besar apabila mengetahuinya. Dan bagaimana pula agaknya penerimaan Zahra sesudah dia mengetahuinya?

Sebagai jawapan, Zahra hanya menggeleng. Tidak bersedia lagi untuk mengetahui siapakah gerangan yang hendak menyunting dirinya. Dengan langkah yang longlai dia menuju ke kamar tidurnya.

Zahra yang bingung terduduk di birai katil. Bercelaru fikirannya memikirkan kehendak orang tuanya. Tak sanggup rasanya untuk mengecewakan mereka yang telah bersusah-payah mendidik dan membesarkan dia sehingga dewasa. ‘Keredaan Allah itu terletak pada kedua ibu bapanya’. Ayat yang sentiasa disematkan dalam hati ke mana jua Zahra pergi ini disampaikan oleh seorang ustazah sewaktu Zahra menghadiri sebuah majlis ilmu yang dianjurkan pihak universiti di masjid USM tempoh hari. 

Menurut beliau, ibu bapa adalah dua insan yang sangat penting bagi seorang anak. Hilang keredaan Allah itu jika seorang itu gagal meraih keredaan daripada kedua orang tuanya. Makanya sebagai seorang anak, janganlah kita menderhaka dan tidak menghormati mereka, apatah lagi melukakan hati mereka.

Semenjak dari tadi, mata Zahra tak berkelip-kelip menekur lantai. Lama dia berkeadaan begitu. Ya Allah, apakah benar jodohku sudah benar-benar hadir dalam hidupku? Sebuah keluhan dilepaskan. 

Eh? Aku tak boleh macam ni. Tak boleh, tak boleh. Wake up Zahra! Don’t be like thisWake up! Zahra menepuk kedua-dua pipi. Daripada aku mengusutkan pemikiran aku sendiri lebih baik aku buat istikharah. Allah pasti ada jawapannya. Ya! Hanya Dia yang bisa memberikan aku petunjuk.

Zahra bangun dari duduknya dan terus menuju ke bilik air untuk berwuduk. Ingin mengadu kepada Ilahi. Usai memberi salam, tangan ditadah. Dengan rasa kerdil dan rendah diri dihadapan-Nya, Zahra memohon agar hatinya terbuka secara ikhlas untuk menerima pilihan kedua ibu bapanya. Serta ikhlas menerima kerana-Nya.

***

Seminggu kemudian, di kediaman Ikram...

“ABANG, agak-agaknya apa jawapan mereka?” Hajah Kalsom memandang suaminya.

“Kita sabar sahaja. Yang penting tawakal.” Haji Daud yang duduk bersebelahan dengan Hajah Kalsom menjawab pertanyaan isterinya itu. Betul. Paling penting sekarang ialah berserah kepada-Nya. Bukankah mereka sudah berusaha?

"Kau okey ke ni? Senyap je." Iqbal yang turut berada di situ bertanya kepada Arif. Nada suaranya seakan mengusik.

"Kau ni, aku okey la." Hujung bibir Arif terjongket.

"Arif nervous tu." Giliran Ikram mengusik seraya mengernyih. Menyebabkan yang lain tertawa.

"Along ni. Pandai-pandai je."

Tiba-tiba, telefon bimbit milik Haji Daud nyaring berbunyi. Telefon bimbit yang sedang elok terdampar di atas meja kopi dicapai. Panggilan dijawab. Yang lain sedang memasang telinga. Meneka siapa yang menelefon. Hendak tahu sangat-sangatlah kata kan.

“Siapa bang?” Sebaik sahaja panggilan tamat, tanpa menunggu lagi Hajah Kalsom terus bertanya.

“Bakal menjadi besan awak. Bakal mentua Arif,” jawab Haji Daud dengan senyuman. Lengkap dia menjawabnya. Kalau tak dapat tangkap juga, tak tahulah.

“Ish! Abang ni, betul-be...” Belum habis bercakap lagi, Hajah Kalsom sudah menunjukkan riak wajah kegembiraannya. “Betul ke ni bang? Maknanya anak mereka dah setuju?” Faham sangat apa yang disampaikan oleh suaminya.

Haji Daud mengangguk. Tanda mengiakan.

“Alhamdulillah.” Semua yang ada di situ turut sama berkongsi kegembiraan. Ada masjid yang bakal didirikan. Lain pulanya bagi Arif. Dia masih diam tak berkutik. Masih tidak percaya bahawa Zahra akan terima. Mati-mati dia ingat Zahra akan menolak.

“Aku tumpang gembira, Rif.” Iqbal memandang sahabatnya di sisi. Tetapi Arif sikit pun tak memberikan sebarang respons.

“Assalamualaikum... Arif, kau ni kenapa?” Iqbal mengawang-awang tangan depan muka Arif. Melihat keadaan Arif yang masih lagi termenung, Iqbal menepuk bahunya. Lucu melihat reaksi sahabatnya itu. Terjongket bahu Arif. Terperanjat dengan tepukan dibahunya.

“Kau ni, Rif. Itu pun boleh terkejut. Cover-cover la sikit.” Iqbal mengusik.

Merah muka Arif. Bibir tersenyum senget. Pelipis kanan digaru. Dia sendiri kehabisan kata untuk bersuara. Sudahnya bergema ruang tamu dengan gelak-tawa melihat gelagat Arif. Betul la. Arif sudah jatuh cinta tanpa disedarinya.

“Nampaknya Asyraf dan Aleeya bakal dapat mak usu,” ujar Ikram seraya menyiku lengan Arif. Ingin turut sama mengusik Arif.

“Mak usu? Siapa papa? Kak Zahra ke?” Serta-merta Aleeya menoleh dan bertanya segala macam yang bermain di mindanya. Tajam sungguh pendengaran.

“Amboi si kecil ni.” Roslinda bangun dan duduk bersama-sama anaknya di tengah-tengah ruang tamu. Dia sudah maklum bahawa Aleeya amat menyukai Zahra. Tak habis-habis bertanya pada Arif bila boleh berjumpa dengan Zahra lagi?

“Siapa mama?” gesa Aleeya. Dia sudah duduk di atas riba mamanya.

“Kak Zahra lah sayang. Siapa lagi.” Roslinda mencium kepala Aleeya.

Tersenyum-senyum Aleeya mendengarnya. Tiba-tiba dia menadah tangannya dan mengucap, “Terima kasih Allah.”

Tergamam semua yang mendengar.

“Aleeya ucap terima kasih pada ALLAH sebab bagi kak Zahra jadi mak usu Aleeya. Allah dah makbulkan doa Aleeya. Mama juga yang cakap kita boleh minta yang baik-baik daripada Allah. Jadi Aleeya minta kak Zahra jadi mak usu Aleeya.” Bersemangat Aleeya berkata-kata.

“Pandainya anak mama.” Roslinda memeluk erat Aleeya.

“Asyraf pun ada minta. Kak Zahra baik.” Asyraf turut sama tidak mahu ketinggalan.

Roslinda mencium pipi anak-anak kembarnya. Sejuk perut dia mengandungkan mereka selama sembilan bulan. Dia berdoa agar anak-anaknya akan terus membesar menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh lagi beriman. Amin. Bahagia Ikram melihat ketiga-tiga cinta hatinya.

“Tapi...” Haji Daud bersuara lagi. Ada perkara yang perlu disampaikan. Dia sendiri tidak percaya.

“Tapi apa pula bang?” Kegembiraan bertukar menjadi kebimbangan.

“Tuan punya badan belum tahu siapa yang akan pinang dia.”

“Tak fahamlah along. Cuba walid terang dengan lebih jelas. Dari tadi asyik berkias-kias je. Pening kepala along. Apa maksud walid?” Ikram pula bertanya.

“Maksud walid, Zahra belum tahu kita akan pinang dia. Dia cakap dia terima sahaja pilihan abah dan ibu dia,” jelas Haji Daud dengan lebih terang.

“Bererti... dia tak tahu Arif yang akan berkahwin dengan dia. Hah Arif, boleh ke macam tu? Buatnya masa hari pertunangan nanti, dia tengok walid dan umi, mahu pengsan anak orang tu.” Pandangan Ikram ditala kepada Arif.

Kini semua mata sedang memandang Arif yang masih lagi mendiamkan diri. Entah apa yang difikirkannya. Arif hanya jongket bahu. Pelik juga dia dengan Zahra. Apa pun berserah sahaja pada Allah. Dia lebih Mengetahui segala-galanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera