Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 18 : Pak usu Aleeya ada makwe x? Part II

“ZAHRA, BANGUN.” Puan Sofea mengejutkan anaknya.

“Hmmm ibu.” Zahra menggosok-gosok matanya yang separuh terbuka.

“Shuuu.” Puan Sofea meletakkan jari telunjuk pada bibir, tanda supaya Zahra rendahkan suaranya. Dia menunjukkan ke arah Aleeya yang masih lagi tidur lena seperti dibuai mimpi. 

Perlahan-lahan Zahra bangun dari katil. Badan yang terasa tegang dipusingkan ke kiri dan kanan.

“Pukul berapa ni ibu?” Muka masih lagi kelihatan mamai.

“Dah dekat lima setengah petang. Dah asar ke belum ni?”

“Belum.”

“Pergi solat cepat. Tak elok lambat-lambatkan solat. Nak turun nanti jangan lupa pakai tudung. Arif ada kat bawah.” Sempat lagi Puan Sofea berpesan.

“Kenapa dia datang?” Zahra buat muka pelik. Blur sekejap.

“Ya Allah, Zahra ni. Mestilah dia datang. Nak jemput Aleeya. Dah, dah, pergi solat cepat. Nanti kamu bawa Aleeya turun sekali,” pesan Puan Sofea lagi sebelum keluar dari bilik Zahra.

“Lupa pulak.” Zahra tersengih mengenangkan keterlupaannya itu. Itu la orang kata jangan tidur selepas waktu asar. Kan dah mamai. Terus dia masuk ke bilik air untuk menyegarkan badan dan berwuduk sekali.

Setelah siap bersolat, Zahra terus menyarung jubah dan tudung Ariani. Dilihatnya Aleeya masih sedap terlena di atas katilnya. Tanpa sebarang bunyi, Zahra duduk di tepi katil. 

Nak kejut macam mana eyh? Comelnya rupa dia masa dia tidur. Zahra menatap wajah mulus Aleeya untuk seketika. Anak rambut yang menutupi dahi dialih sedikit. Lembut dan licin rambut dia. Macam pakai conditioner. Anak aku nanti comel macam ni juga ke? Apa yang aku berangan ni? Kena kejut Aleeya ni.

“Aleeya.” Dengan lembut Zahra memanggil Aleeya. Namun mata Aleeya masih tertutup rapat. Cuma badannya sahaja yang bergerak sedikit. Masih belum ada tanda-tanda mahu bangun. Oleh kerana takut Aleeya meragam, Zahra terus mengangkat Aleeya perlahan-lahan dan mendukungnya bersama-sama dengan teddy bearnya. Boleh tahan berat juga budak ni.

Terus Aleeya dibawa turun ke ruang tamu. Apabila tiba di bawah, semua senyap memandang Zahra. Abah, ibu dan termasuk Arif. Semua tertumpu ke arahnya. Yang paling membuatkan dirinya terasa sesak ialah pandangan Arif. Jantungnya berdegup pantas melihat panahan mata Arif. 

Apa kena dengan aku ni? Rasa macam jantung ni nak tergolek keluar je. Tak pernah-pernah macam ni. Dulu pun tak macam ni. Ish! Tak boleh jadi ni.

“Erm, puas saya kejut tapi Aleeya macam tak nak bangun je.” Apesal semua pandang aku macam tak pernah tengok aku je ni. Pelik ke tengok aku dukung budak ni? Nak kata aku pakai tudung terbalik, rasanya tak?

“Aleeya ni memang liat sikit nak bangun,” ujar Arif yang mula bangun dari duduknya untuk menuju kepada Zahra yang masih lagi berdiri di tepi tangga.

“Terima kasih Zahra.” Sempat Arif mengucapkan terima kasih semasa mengambil Aleeya daripada Zahra. Dalam beberapa saat matanya bertemu dengan mata Zahra. Berhati-hati dia mengambil Aleeya agar tak bersentuhan dengan Zahra.

Zahra garu pelipis kanannya. 

“Erm, Asyraf takde sekali? Tangan dia macam mana?” Sengaja Zahra melontarkan soalan kerana hendak menutup perasaannya yang tak keruan ketika itu. Matanya melilau ke sana sini. Hatinya tak kuat untuk terus menatap wajah Arif.

“Asyraf ada dengan mama dia. Alhamdulillah doktor cakap tak serius. Insya-Allah dalam seminggu boleh sembuh.” Terlakar senyuman manis pada bibir Arif. Aleeya yang sedang terlentok di bahunya mula merengek sedikit. Arif menepuk perlahan belakang Aleeya.

“Pak cik, mak cik, saya kena balik dulu. Nak kena hantar Aleeya pulang.”

“Kalau ada masa datanglah lagi. Jangan lupa bawa Aleeya dengan Asyraf sekali,” pesan Encik Rahman.

“Insya-Allah.”

Apabila kereta Arif semakin menghilang dari pandangan, Zahra baru teringat soalan berani mati yang dia ajukan kepada Aleeya. Alamak! Macam mana kalau Aleeya bagi tau Encik Arif. Mati aku macam ni! Rasanya Aleeya takkan bagi tau Encik Arif kot. Zahra cuba meyakinkan dirinya. Tak kot? Daripada fikir fasal hal ni, baik aku sambung kemas bilik aku. Dah rupa tempat kucing beranak.


KEDENGARAN BUNYI derap kaki yang sedang menuruni tangga. Arif panggung kepala. Kelihatan Ikram sedang menuju kepadanya. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa berdepan dengan Arif. Baju kerja masih tersarung di badan. 

Apabila mengetahui tentang anaknya Asyraf, cepat-cepat abangnya itu bergegas balik ke rumah. Segala kerja di opis ditinggalkan. Bagi Ikram sesibuk mana pun dia, anaknya harus diutamakan. Arif benar-benar kagum dengan abangnya.

“Asyraf macam mana? Menangis lagi?” tanya Arif.

“Dah tidur. Aleeya pun sama. Sedih dia tengok tangan abang dia kena balut. Arif juga tahu betapa akrabnya mereka ni. Kalau seorang menangis, seorang lagi mesti ikut sama.” Ikram tergelak kecil memikirkan anak-anaknya.

“Semua salah Arif along sebab tak jaga baik-baik.” Arif mempamerkan rasa bersalahnya.

“Along tak salahkan Arif. Along tahu Asyraf tu kadang-kadang dia lasak sikit. Budak-budak Arif. Insya-Allah lepas ni dia tak nakal-nakal sangat dah. Along dah bagi nasihat tadi.”

Sementara itu Roslinda muncul dari dapur. Tangannya sedang menatang dulang berisi air teh. “Betul tu Arif. Kami sikit pun tak salahkan Arif. Lagipun Arif dah banyak tolong akak dengan abang Ikram. Selalu tolong jagakan anak-anak kami. Sepatutnya kami berterima kasih dengan kamu.”

“Arif sayangkan budak-budak tu macam anak Arif juga.”

“Kalau macam tu cepat-cepat la kahwin. Boleh ada anak sendiri. Along tahu kamu tu sukakan budak-budak.” Ikram mencadangkan. Air teh yang dihulurkan oleh isterinya dihirup sedikit. 

Arif membalas kata-kata Ikram dengan senyuman.

“Minumlah ni Arif. Akak tak sempat nak sediakan apa-apa,” pelawa Roslinda. Cawan yang berisi air teh dihulurkan kepada Arif.

“Susah-susahkan akak je. Takpe, ni pun dah cukup,” balas Arif.

“Tadi Arif ada sebut tentang keluarga Encik Rahman? Siapa tu?” Roslinda yang sudah mengambil tempat di sebelah suaminya mula bertanya.

“Encik Rahman tu kenalan Arif. Arif selalu terserempak dengan dia kat masjid. Lagipun anak dia student Arif.” Ada nada ceria semasa Arif bercerita.

“Aik? Lain benar cara Arif bercerita ni. Macam ada ehem ehem. Betul tak Ros?” Ikram mula mengusik.

“Anak dia tu mesti perempuan kan abang?” Roslinda turut sama mengusik. Ikram dipandang dari tepi.

“Abang setuju.” Ikram angkat tangan.

“Perempuan ke, lelaki ke? Janji keluarga dia baik.” Arif membalas. Kena defend diri sendiri. Dua lawan satu ni.

“Alah Arif. Nak sembunyi-sembunyi pulak. Cakap jelah Arif suka pada anak dia. Molek benar kamu kenal dengan ayah dia dulu. Orang cakap nak kenal anak mesti kenal dan ambil hati parents dia dulu. Macam along dulu,” ujar Ikram dengan penuh bangga.

Roslinda menjeling kepada Ikram. “Betul ke abang buat macam tu dulu?”

“Tak betul ke? Ayah awak garang tau. Misai panjang. Kecut betul perut abang masa first time jumpa dia. Bersusah payah abang buat itu ini, semata-mata nak tackle hati dia tau.” Ikram kenyit sebelah mata.

“Misai panjang yang abang cakap tu ayah saya, bapa mentua abang juga.” Roslinda mencebik.

“Abang gurau jelah.”

Betapa bahagianya Arif melihat pasangan suami isteri di hadapannya ini. Alhamdulillah Allah telah memberikan kebahagiaan buat along dan kakak iparnya. Semoga kebahagiaan ini kekal sehingga ke alam abadi. Serta-merta fikirannya kembali mengingati arwah Ati. Sesungguhnya dunia ini hanyalah persinggahan sementara buat seluruh umat manusia.

Arif berdeham.

“Ros, ada orang jealous la pula. Tulah Arif, orang suruh kahwin tak nak.” Ikram mengusik lagi.

Arif hanya tergelak kecil. “Takde maknanya nak jealous. Okeylah Arif nak minta diri dulu. Banyak kerja nak disiapkan.” Terus dia bangun dan mengorak langkah untuk pulang.

“Nak larilah tu. Oh ya lupa pula. Insya-Allah walid dan umi nak datang bulan depan. Kamu tahu?”

“Tahu. Umi call semalam. Kalau along dengan akak sibuk. Arif boleh jemput walid dengan umi di airport nanti.” Arif menawarkan dirinya.

“Kita tengok macam mana nanti. Kalau kami tak ke mana-mana, kami jemput,” cadang Ikram.

Arif mengangguk. “Pergi dulualong, Kak Ros.” Lalu pintu kereta dibuka.

“Baik-baik drive tu.” Roslinda memesan.

“Insya-Allah. Assalamualaikum.”

Serentak mereka menjawab. “Wa’alaikumussalam.”

“Abang, saya doa sangat-sangat Arif akan bertemu dengan pengganti arwah. Kesian dia. Harap-harap dia takkan terus hidup keseorangan.”

Ikram yang sedang menutup pintu pagar memandang isterinya dengan senyuman. “Insya-Allah ada jodoh dia nanti. Kita doa sama-sama. Jom masuk. Abang lapar la. Awak nak masak apa hari ni?”

“Makan je abang ni. Perut abang tu dah nak buncit.” Roslinda menunjuk-nunjuk perut Ikram.

Ikram meletakkan tangan di atas bahu isterinya sambil tersengih. “Buncit-buncit ni lah yang awak peluk malam-malam. Sape suruh awak masak sedap-sedap.” Dia menarik hidung Roslinda.

Perut Ikram dicubit. “Ish! Abang ni. Tak kuasa saya nak layan. Abang kena tolong saya masak.”

“Yelah tuan puteri sayang.” Sambil berpimpin tangan, mereka mengatur langkah masuk ke dalam rumah.

Ikram dan Roslinda telah mendirikan rumah tangga sejak enam tahun yang lalu. Alhamdulillah, selepas dua tahun bersama, Allah s.w.t telah mengurniakan kepada mereka anak kembar yang sangat comel iaitu Asyraf dan Aleeya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera