“LEWAT balik Am?” Tegur Puan
Jamilah sebaik melihat kelibat anak bujangnya melintasi ruang tamu. Idham
berpaling lalu terlihat ibu dan ayahnya di ruang tamu. Dia segera menghela langkah
lalu melabuh punggung di salah sebuah sofa berhampiran.
“Dah makan?” Tanya Puan Jamilah.
Dia mengangguk. Tidak berbohong kerana perutnya masih
dipenuhi makanan yang dimakan bersama teman-teman sekerjanya tadi.
“Bila ayah balik?” Idham menegur ayahnya Encik Othman
yang baharu pulang dari China
atas urusan perniagaan.
“Ayah baru sampai. Am macamana? Ayah dengar Am dah dapat kerja.”
Ujar Encik Othman tersenyum.
“DLeBroking, syarikat tu agak kukuh di sini. Mr. Robinson
yang syorkan.” Ujar Idham ringkas.
“DLeBroking? Hmm..ayah
pernah dengar syarikat tu. Kawan-kawan ayah banyak yang buka akaun di
situ.” Sahut Encik Othman.
Idham tersenyum hambar. Dia
tidak berminat mahu bercerita panjang dengan ayahnya, lantaran hatinya sekarang
tidak tenang. Diam-diam wajah itu menjadi santapan mata Puan Jamilah. Sejak
Idham masuk tadi dia sudah perasan airmuka lelaki itu keruh semacam.
“Muram sangat ni kenapa? Lain macam sahaja mama tengok.”
Tegur Puan Jamilah sambil mengerutkan dahinya. Hairan melihat wajah itu seperti
diselubungi awan gelap. Encik Othman suaminya turut merenung ke arah Idham.
Mata Idham terkelip-kelip memerhatikan ibu dan bapanya.
Dia tidak tahu bagaimana mahu mengatakannya. Soal yang mahu diutarakannya
mungkin akan mengejutkan ibunya. Tapi dia tidak tahu lagi bagaimana mahu
menyelesaikannya.
“Mama, Am terjumpa Cika hari ini.” Ujar Idham
berterus-terang.
Puan Jamilah tercengang. “Jumpa Cika? Syafika?”
Idham mengangguk.
“Thenbagaimana?
Am suka Cika? Cantik kan
budaknya. Mama dah bilang dulu Cika tu makin ayu orangnya.” Puan Jamilah
tersenyum simpul. Mula memasang hajat mahu bermenantukan anak gadis temannya
Bahyah yang comel dan kecil molek orangnya.
Idham terdiam. Dia mengangguk. Sekadar mengiakan
kata-kata ibunya tentang Cika yang lebih cantik dan manis berbanding dahulu.
Sedar atau tidak, dia sendiri hampir terpukau menatap bening di mata anak gadis
yang pernah disakitinya dahulu.
“Boleh mama hantar rombongan merisik?” Puan Jamilah cuba
menduga.
Idham terkedu. Merisik? Apakah gadis itu akan sanggup
menerimanya sedang kebencian Cika masih berladung di hati?
“Bagilah mereka can berdating dulu, kenal hati budi
masing-masing dulu, barulah kita satukan mereka.” Sampuk Encik Othman pula. Puan
Jamilah hanya tersengih. Hajat di hati semakin berkembang!
Idham menolak daun pintu lalu melangkah lemah. Tanpa
bertukar pakaian, dia terus merebahkan diri di atas katil. Tangannya didepa di
atas dahi sambil matanya asyik merenung ke atas siling bilik. Dia teringatkan
pertemuannya dengan Cika hari ini. Bagaimana Cika dengan lantang dan tegas,
terang-terang menolak kehadirannya. Berulangkali dia melafaz kata maaf namun
semuanya tidak berkesan. Cika dan Gina, kedua-dua gadis itu seperti sudah
memasang ikrar untuk membencinya sehingga ke mati.
Usia 17 tahun adalah usia yang terlalu mentah. Dia adalah
kaki buli, meskipun dia tergolong antara pelajar yang cerdik. Teman-temannya
juga begitu. Tapi bersangkut soal Cika The Loser, kecerdikan mereka semua
seolah-olah tenggelam lalu digantikan dengan kebodohan demi kebodohan.
“Idham, The Loser tu ada kat bangku tu.” Hasrul berbisik
sewaktu mereka semua sedang bersiap-siap mahu mengadakan perlawanan bola sepak
di padang
sekolah. Dia menoleh lalu terpandang kelibat seorang gadis sedang membaca buku
di tepi padang.
Duduk bersendirian di bangku putih berhampiran.
Dia tersengih menatap ke arah gadis nerd itu
“Macamana? Nak jalankan misi baru?” Hasrul ketawa kecil.
“Kita serang?” Jeff berpaling. Imran hanya tersengih.
“Aku ada idea lagi baik.” Dia tersenyum. Coach sudah meniup wisel di tepi padang, menandakan game sedang bermula. Dan mereka mula
mengambil posisi masing-masing. Perlawanan bola sepak itu hanyalah perlawanan
persahabatan biasa, sekadar mahu mengasah skill
masing-masing.
Dia pula sudah menjeling ke arah Hasrul, Imran dan Jeff.
Ketiga-tiganya mula memahami seraya menaikkan ibu jari. Dan bola yang
sepatutnya dihala ke arah pemain lawan, dilencong dan disepak sekuat hati
sehingga ke luar padang.
Wisel berbunyi agak nyaring. Serentak jelingan tajam coach menerpa ke wajah masing-masing.
Tapi keempat-empatnya sudah ketawa besar melihat sekumpulan orang sudah menerpa
ke arah Cika yang sedang terlentang di bawah bangku putih yang didudukinya.
Tidak jauh dari situ terdampar bola yang disepaknya sebentar tadi.
“Nice shot!”
Jerit Imran sambil ketawa besar. Dia hanya tersengih. Kumpulan orang ramai yang
sedang berkerumun di situ semakin membesar, tapi dia tidak nampak kelibat Cika.
“Coach, ada
budak pengsan kat tepi padang
tu.” Tiba-tiba muncul jeritan seorang pelajar di situ. Coach terpinga-pinga lalu segera meluru ke arah kerumunan orang
ramai.
Dia menjeling ke arah
Hasrul. Temannya itu hanya menjongketkan bahu. Bunyi ketawa Jeff dan Imran
sudah tidak kedengaran. Bagai disuruh-suruh, mereka segera berlari mengekori Coachyang melangkah kian laju, menuju
ke arah orang ramai.
“YA ALLAH, teruk ni. Kita kena panggil ambulan ni, takut
ada kecederaan dalaman.” Entah siapa yang berkata sedemikian dalam kumpulan
pemerhati yang hanya mahu memerhati, bukan mahu membantu mana pun.
Dia menyelit di celah-celah orang ramai. Cuba
memerhatikan ke arah Cika. Namun dia hanya nampak kepala jurulatihnya sedang mengendong
tubuh gadis itu. Ketika Coachberpaling,
dia ternampak Cika yang tidak sedarkan diri. Lebih mengejutkan bibir gadis itu
sedang menitiskan darah segar.
Idham mengeluh kesal. Dia tidak bermaksud sebenarnya mahu
mencederakan Cika ketika itu. Dia hanya mahu mengusik, bukan mahu membunuh
sesiapa. Teman-temannya juga begitu. Mereka semua kesal dengan apa yang sudah
berlaku. Itu antara kerenah-kerenah nakalnya yang pernah dilakukan terhadap
Cika. Dan sekarang terimalah akibatnya. Cika tak mungkin dengan mudah akan
memaafkan dirinya.