WAJAH Cika agak pucat. Perjalanan
mesyuarat itu singkat sahaja, dipengerusikan oleh Cika sendiri. Tapi ton nada
anak gadis itu seperti tidak ada mood.
Gina sesekali mengerling ke arah wajah Cika yang lesu. Tertanya-tanya dalam
hati, kenapa dengan gadis itu sebenarnya. Muram sahaja seperti ada yang tidak
kena!
Selepas mesyuarat berakhir, Cika masih duduk di bilik
mesyuarat. Gina turut menanti di situ. Sebenarnya dia mahu memberitahu Cika
tentang pertemuaannya dengan Idham Hariz semalam. Tapi melihat sikap Cika,
entah kenapa mulutnya berat untuk berterus-terang, bimbang Cika tidak suka
mendengarnya. Bukankah Cika pernah memberitahunya tidak mahu lagi mendengar
apa-apa cerita tentang Idham.
“Kau okey tak ni?” Tanya Gina ingin tahu.
Cika menoleh. Tersenyum hambar ke arah Gina sambil
mengangguk.
“Muka asam kecut ni kenapa pulak?” Tegur Gina.
“Tak ada apalah Gina. Aku cuma tak ada mood, itu je.”
Jawab Cika antara dengar dengan tidak.
“Planner hitam
kau tu ada jumpa tak?”
Cika menarik nafas panjang. Dia baru sahaja hendak melupakan
riwayat planner itu, tapi tiba-tiba
sahaja Gina mengungkitnya kembali. Lantas membuatkan dia teringat semula pada
lelaki poyo itu. Nadim Ammar! Si pemain piano di Jumbo Jeep yang bermulut tajam
berbisa. Benci! Gumam Cika geram.
“Ada
jumpa tak?” Gina mengulang pertanyaan.
“Ada.”
Jawab Cika sepatah.
“Hai baguslah tu. Tapi yang buat muka monyok macam baru
mati laki ni kenapa pulak?”
Cika mengetap bibir.Kalaulah Gina tahu apa yang berlaku
di Jumbo Jeep malam semalam, tentu gadis itu akan naik angin juga. Dia tidak
sangka lelaki itu bermulut lebih celupar dari apa yang disangkakanya. Dia hanya
mahukan buku hitamnya kembali, tapi lelaki itu enggan pula menyerahkannya. Dan
yang paling memalukan ialah insiden gambar lelaki itu yang dilukisnya. YA
ALLAH1 Malunya dia! Menyesal sungguh rasanya dia melukis potret lelaki itu di
dalam planner hitam itu. Kau yang
cari fasal sendiri Cika!
“Don’t say to me that you are in love with me Cik Syafika.”
Cika meraup wajah.
Terhimbau-himbau lagi perkataan lelaki itu yang diungkapkan di hadapannya.
Perkataan yang membuatkan dia merasa seperti baru sahaja dilanggar dengan
kereta kebal. Dilenyek sehingga tubuhnya hancur lumat. Tapi bezanya kali ini,
dia merasa hatinya sebenarnya yang sedang hancur teruk.
“Cika..kenapa
ni?” Soal Gina, hairan melihat Cika yang kelihatan serba tidak kena. Kenapa
agaknya?
Cika memandang Gina, sahabatnya yang sama-sama berkongsi
setiap duka yang dirasakannya. Ada
kesayuan bertebar di setiap penjuru hatinya saat ini.
“Gina, aku ni serupa macam dulu ke?” Tanya Cika
tiba-tiba.
Gina terpempan. Apa maksud gadis itu?
“Kenapa setiap lelaki yang aku jumpa akan menghina aku?
Akan memalukan aku seperti aku tidak layak untuk memiliki walau sedikit pun maruah
yang tinggal? Kenapa Gina?” Soal Cika sayu.
Gina tersentak mendengarnya. Airmata Cika menitis jua di
pipi. Gina segera mendekati Cika lalu memeluk bahu anak gadis itu. Dia sendiri
turut menitiskan airmata sebak.
“Jangan pedulikan mereka Cika. Kita tak perlukan
lelaki-lelaki seperti itu. Kita lebih istimewa dari apa yang mereka sangkakan.”
Bisik Gina.
“Aku cuma mahu mencari lelaki yang mampu mencintai aku
seadanya. Tapi yang selalu aku temui adalah lelaki-lelaki yang bersikap seperti
Idham Hariz. Aku benci dia Gina. Aku benci Idham Hariz.”
Gina mengeluh panjang. Lagi-lagi Idham. Apakah kehadiran
Idham yang membuatkan sikap ceria Cika berubah? Jangan-jangan lelaki itu pernah
mencari Cika malam semalam, maka itu sebabnya Cika jadi pemurung hari ini, duga
Gina.
Dia melonggarkan pelukannya. Wajah Cika yang basah disapu
dengan tisu yang tersedia di atas meja bilik mesyuarat. Anak mata Gina ralit mmerhatikan
wajah itu dalam-dalam.
“Cika, aku minta maaf..” Ujar Gina.
Cika terdiam. Wajahnya berkerut memerhatikan ke arah
Gina.
“Aku patut minta maaf dengan kau beribu-ribu kali lagi.
Dua belas tahun lalu, aku dah menyusahkan kau. Aku yang buat kau diejek dan
dihina. Aku juga yang menyebabkan kau nyaris-nyaris berhenti sekolah.”
“Gina, bukan salah kau..”
“Tak Cika, semuanya salah aku. Surat
tu surat aku. Sepatutnya
masa kau dituduh bermacam-macam, aku yang tampil dan bersihkan nama kau. Tapi
aku tak buat begitu. Aku penakut Cika. Aku bukan sahabat yang baik.” Akui Gina
muram.
Cika terdiam. Dia tidak pernah menyalahkan Gina kerana surat itu. Memang jika diikutkan
semuanya kerana Gina yang meletakkan surat
cintanya kepada Idham di dalam fail kerja kursusnya. Dan sudah takdir, surat itu jatuh dan
dikutip oleh teman-teman Idham.
“Aku ada jumpa Idham malam semalam.” Ujar Gina
berterus-terang.
“Hah?” Cika tersentak. Jumpa Idham?
“Aku balik lambat dari office kelmarin. Idham Hariz telefon pejabat kita cari kau. Aku tak
tahu macamana dia boleh dapat nombor telefon pejabat kita ni. Dia nak jumpa
dengan kau malam semalam.” Beritahu Gina.
“Dia nak jumpa aku?”
Gina mengangguk. “Maafkan aku sebab tak beritahu kau
fasal panggilan Idham tu. Aku cuma nak lindungi kau. Aku tak mahu kau disakiti
lagi Cika. Tapi kau jangan bimbang. Aku dah jumpa Idham dan beri amaran pada
dia agar jangan ganggu kau lagi.” Ujar Gina.
Cika terdiam kali ini. Perasaan serba salahnya mula
muncul. Sebenarnya dia yang merasa bersalah kerana tidak berterus-terang dengan
Gina tentang Idham yang sebenarnya. Tentang ibunya yang berniat menjodohkannya
dengan lelaki itu. Gina langsung tidak tahu bahawa ibunya dengan ibu Idham
sebenarnya adalah kawan lama sejak di universiti lagi. Banyak yang Gina tidak
tahu dan banyak juga yang cuba
dirahsiakannya dari pengetahuan Gina sendiri. Apatah lagi dia tahu Gina masih
menyimpan perasan pada Idham.
“Cik Syafika, Rossie dari Aaziz & Co nak jumpa.”
Muncul salah seorang stafnya di muka pintu bilik mesyuarat. Serentak
kedua-duanya berpaling.
“Bawa dia ke bilik saya.” Arah Cika. Staf itu hanya
mengangguk lalu segera beredar. Cika berpaling ke arah Gina yang turut memandangnya.
“Rossie dari pejabat sebelah. Dia nak apa ya?” Tanya Cika
bingung. Wajahnya berkerut sedikit memikirkan apa tujuan setiausaha Tuan Aaziz
itu datang bertandang.
“Pergilah jumpa dia.” Suruh Gina.
Cika mengangguk lalu segera melangkah ke muka pintu.
Namun sebelum dia menghilang, dia berpaling sejenak ke arah Gina.
“Gina, aku emosi sangat tadi. Kau jangan susah-susah
fikir. Agaknya aku dah nak datang PMS, itu sebab aku macam ni.” Ujar Cika. Gina
hanya tersenyum. PMS konon! Kalau Cika PMS, dia juga sama agaknya. Sama-sama
emosi, macamlah dunia sudah mahu runtuh!
* *
* *
ROSSIE meletakkan sesuatu di
atas meja. Tersengih-sengih wanita berusia dalam lingkungan 30an itu
memandangnya. Cika mengerling ke arah kepingan kertas di atas mejanya.
Terpisat-pisat dia memandang wajah Rossie yang nampak ceria serta kepingan
kertas seperti tiket itu. Apa tu? Tiket wayang ke? Cerita apa? Harry Porter
atau Breaking Dawn?
“Apa ni Cik Rossie?” Tanya Cika ingin tahu.
“Tuan Aaziz yang kasi. Hadiah dari firma kami untuk Cik
Syafika sebab banyak membantu insiden Encik Mat Topup tu.” Ujar Rossie.
“Hadiah? Tuan Aaziz yang beri?” Cika tersengih dengan
riak wajah yang pelik. Dia kenal lelaki itu, tapi mereka jarang bercakap-cakap.
Hanya sesekali bertembung di pintu masuk lift
sahaja. Wajah lelaki itu seperti ahli korporat, Maklumlah wajah seorang
peguam dikenali yang sering bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar. Tapi
airmuka Tuan Aaziz agak serius, tidak seperti ayahnya Encik Nordin yang
sentiasa tersengih-sengih sepanjang masa. Wajah seorang konduktor orkestra
mesti sentiasa manis, julang ayahnya setiap kali dia menegur kekerapan ayahnya
tersenyum.
“Saya tak fahamlah Cik Rossie. Saya bukan buat apa-apa
pun waktu tu. Kenapa pula Tuan Aaziz nak bagi hadiah ni?”
“Tuan Aaziz ikhlas Cik Syafika. Cik Syafika tengoklah
dulu apa bendanya. Saya rasa Cik Syafika tentu suka kalau nampak hadiah ni.”
Canang Rossie separuh mendesak.
Cika terdiam. Perlahan-lahan dia mengutip kepingan tiket
tersebut lalu menatapnya. Sejurus wajah Cika berkerut. Rossie masih menanti
reaksi gadis itu dengan sabar.
Sejenak kemudian, anak mata Cika beralih dari kepingan
tiket di tangannya ke wajah Rossie. Dia seperti tidak percaya. Wow! Biar betul!
“Cruise? Tuan Aaziz hadiahkan tiket cruise ni? Biar betul
Cik Rossie. Mahal hadiah ni, saya tak boleh terima.” Cika menolak. Hatinya
benar-benar mahukannya tapi dia tidak sanggup mahu menerima hadiah semahal ini.
Lagi-lagi bukan besar mana pun jasanya menyelamatkan Encik Mat Topup tempohari.
Dia hanya wirawati bidan terjun yang nyaris-nyaris hendak terjun ke bawah
bangunan.
“Jangan macam tu Cik Syafika. Kebetulan tuan punya kapal
persiaran ni salah seorang klien Tuan Aaziz sendiri. Kapal ni akan mula
berlayar dalam beberapa hari lagi selama lebih kurang 2 minggu merentasi Lautan
Pasifik. Rugi kalau Cik Syafika tolak peluang ni.” Nasihat Rossie beria-ia.
“Kat situ ada dua keping tiket merangkumi bilik
penginapan kelas pertama dan kemudahan-kemudahan lain. Cik Syafika boleh bawa
teman kalau mahu. Semuanya dah berbayar, percuma. Rugi kalau tolak.” Sambung
Rossie lagi.
Cika menghembus nafas panjang. Dia benar-benar tidak
mampu mempercayai ada orang sanggup memberinya tiket kelas pertama pelancongan
dengan kapal persiaran mewah. Dia memang sudah lama berhajat mahu melancong
dengan kapal persiaran, tak sangka kesempatan ini datang bergolek dalam keadaan
tidak diduga. Kalau begini harga budi dibayar, dia lebih dari sanggup memanjat
beranda pejabatnya sekali lagi dan menyelamatkan berpuluh-puluh Mat Bin Topup
yang lain pula.
“Kamu suka kapal? Kalau kamu
ada peluang naik kapal besar dan bersiar-siar, pergi sahaja jangan berfikir
panjang. Itu peluang kamu!”
Cika terpaku. Kata-kata itu!
Aneh! Bukankah dia baharu sahaja membicarakan tentang kapal dengan nenek tua
yang ditemuinya tempohari? Kalau dahulu kata-kata nenek itu kedengaran aneh di
telinganya. Kali ini, dengan tiket kabin kelas pertama yang ada di hadapannya,
dia merasa lebih aneh lagi. Seperti nenek tua itu tahu-tahu sahaja apa akan
berlaku terhadapnya.
“Itu peluang kamu!”
Kata-kata nenek tua itu berulang lagi di fikiran.
Peluang? Peluang apakah yang
dimaksudkan nenek tua itu? Cika menarik nafas panjang.
“Macamana Cik Syafika?” Tanya Rossie apabila dilihatnya
Cika asyik termenung sahaja. Anak gadis itu segera memandang ke arah Rossie.
“Kalau macam tu saya terima tiket ni Cik Rossie. Tolong
sampaikan ucapan terima kasih saya pada Tuan Aaziz ya.” Ujar Cika.
Rossie kelihatan berlapang
dada mendengar persetujuan Cika. Apatah lagi majikannya ada berpesan agar dia
memastikan gadis itu menerima hadiah dari firma guaman mereka sebagai tanda
penghargaan.
Sebaik Rossie beredar, Cika terus memanggil Gina. Sebaik
dia memberitahu Gina hajat kedatangan Rossie, gadis itu terus terjerit-jerit
seperti orang kurang siuman. Darren yang sedang lalu di situ tertinjau-tinjau,
barangkali hairan dan pelik melihat kedua-dua bosnya menjerit seperti orang gila. Konspirasi
apa agaknya! Keluh Darren lalu berlalu pergi dari situ.
“I don’t believe it.”
Ujar Gina terlongo.
“Yeah me too.”
Jawab Cika.
“Dalam banyak-banyak benda yang dia boleh kasi, dia kasi
kau ini. Kau tahu tak dah berapa lama kita berdua buat rancangan nak naik kapal
persiaran mewah ni pergi bercuti?” Gina benar-benar teruja.
“Entahlah Gina, hadiah ni best..tapi lama sangat. Kita ada banyak kerja nak kena siapkan. Lagipun
lagi beberapa hari kapal ni akan bertolak melalui pelabuhan Sandakan di
Karamunting, Sabah. Aku takut kita tak sempat
nak siapkan saki baki kerja yang ada ni.” Keluh Cika.
“Cika, kita berdua boleh bekerja dari kapal tu. Mesyuarat
atau taklimat boleh dibuat melalui video
conferencing. Aku percaya kapal sebesar itu tentu ada kemudahan-kemudahan
seperti itu. Kerja-kerja selebihnya di sini, Darren dengan Qistina boleh
uruskan di sini.” Cadang Gina.
Cika terdiam. Betul juga tu! Kenapa dia boleh tak
terfikir pulak. Tapi dia masih ragu-ragu lagi. Sekalipun hal dan urusan pejabat
boleh diselesaikan dengan cara itu menurut cadangan Gina, tapi bagaimana dengan
ibunya? Mahukah wanita itu mengizinkannya? Lagipun dia tidak pernah keluar dari
rumah lebih dari beberapa hari. Ini kan pula
dua minggu berada di atas kapal pesiaran, jauh dari perairan Malaysia.
“Think about it
Cika. Ini peluang terbaik kita untuk pergi jauh buat seketika, lupakan
masalah-masalah di sini dan enjoy.
Kita akan berseronok puas-puas kat atas kapal tu nanti.” Ujar Gina tersenyum.
Terkelip-kelip mata Cika memerhatikan Gina. Dari riak
wajah Gina, dia tahu gadis itu mahu sangat menaiki kapal persiaran mewah itu.
“Aku rasa kita patut berterima kasih pada Pakcik Mat tu.
Sebab dia, kita pulak dapat durian runtuh.” Gina tersengih-sengih.
Cika ketawa kecil. Tiba-tiba sahaja dia teringat pada
orang tua yang kini sedang syok-syok bermalam di lokap. Tempohari dia ada
berjanji dengan orang tua itu mahu mengambil Pak Mat bekerja sebagai pengawal
keselamatan di syarikatnya. Meskipun bangunan itu ada memiliki pengawal
sekuriti, tapi tak salah kalau dia menambah jawatan itu untuk membantu orang
tua yang mudah tension itu. Mujurlah
bila dia mengungkitnya di hadapan Gina, gadis itu langsung tidak kisah. Hanya
mereka perlu menanti orang tua itu keluar lokap dahulu! Itupun lagi beberapa
bulan dari sekarang!
Cika kembali membelek-belek tiket kapal persiaran bernama
Elemental Supreme itu. Namanya boleh
tahan dan gambar kapal yang terpapar pada tiket kelas pertama itu cukup indah
dan memukau. Ada
namanya pada tiket tersebut manakala tiket yang satu lagi pula merupakan pas
ekslusif di mana sesiapa sahaja boleh menaiki kapal tersebut dengan membawa
tiket tersebut. Tarikh boardinghanya
tinggal beberapa hari sahaja. Dan Elemental Supreme akan berlepas dari sebuah
pelabuhan di Sandakan, Sabah. Jadual
perjalanan pula akan diberi semasa penumpang selesai check in di bilik masing-masing. Begitulah maklumat ringkas yang
terdapat pada sehelai kertas yang dilampirkan bersama tiket.