Ketika mereka sampai di Wood
Resort di Ulu Yam, sudah ada banyak kereta-kereta yang memenuhi kawasan letak
parkir. Ada
yang datang seorang, ada yang datang berkumpulan dan tak kurang yang datang
dengan keluarga masing-masing. Tidak jauh dari petak parkir terdapat satu
kawasan lapang yang khas untuk tapak perkhemahan.
Kolam pancing The Wood terletak di dalam kawasan pusat
rekreasi dan pusat latihan The Wood yang diuruskan secara profesional oleh
Institut Perkembangan Minda atau INMIND. Ia terletak di daerah Ulu Yam Perdana,
Hulu Selangor dan dikelilingi dengan suasana rimba yang sunyi tetapi penuh
dengan kehijauan.
Pada mulanya Cika takut juga melihat jalan yang mereka
lalui ialah hutan belukar. Gerun itu tetap ada. Tapi melihatkan Ubek seperti
tidak kenal istilah takut, dia hanya mampu berserah bulat-bulat. Mujurlah
sebaik mereka memasuki kawasan pusat reakreasi itu, ada banyak kereta-kereta
yang baru sampai seperti mereka.
“Kita pasang khemah dulu baru kita cari port memancing.” Putus Ubek seraya
mengeluarkan peralatan memancing dari dalam bonet kereta.
“Adik, tolonglah abang keluarkan peralatan khemah tu.
Jangan asyik pandang tempat lain.” Pinta Ubek.
Cika menoleh. Dia tersengih,
menyedari keterlanjurannya yang cepat ralit dengan suasana di kolam pancing itu
yang nampak meriah kali ini. Dia selalu juga mengikut ayahnya dengan Ubek pergi
memancing, tapi tidaklah seramai seperti sekarang. Macam temasya pun ada.
Masing-masing ceria memasang khemah sambil ada yang membuat gajet di sekitar
khemah masing-masing.
“Kenapa ramai sangat orang kat sini malam ni abang?
Selalunya tak ada pulak ramai macam ni?” Tanya Cika ingin tahu.
“Ada
pertandingan memancing. Hadiahnya dekat RM10,000.” Ujar Ubek selamba.
Cika membulatkan matanya. Hadiah sampai RM10,000. Aduh
ini kena tangkap Piranha la nampak gayanya baru boleh menang.
“Kalau kita dapat, abang kena kongsi dengan Cika.” Cika
membuat syarat lain. Ubek menjeling panjang. Amboi budak ni! Siapa yang
mengajak entah, alih-alih menang pun belum lagi sudah ajak berkongsi hadiah
kemenangan.
“Adik tu kalau setakat RM10,000, pejam celik pejam celik
aje. Abang ni baru betul sengkek. Kerja dengan orang pulak tu.” Ujar Ubek.
Cika hanya tersengih. Dia bergurau sahaja sebenarnya. Dia
juga tahu Ubek sebenarnya tidak kisahkan wang kemenangan itu langsung. Abangnya
itu kalau tidak ada hadiah pun akan tetap berkampung di kolam pancing demi menundukkan
seekor dua ikan Toman dengan Tongsan.
* *
* *
Mereka duduk di tepi kolam beralaskan tikar mengkuang, di
hadapan joram masing-masing. Cika sudah siap-siap menyiapkan bekalan air dan
sandwich tuna untuk abangnya dan untuk dirinya juga. Kopi pekat panas di dalam
termos memang sesuai digunakan buat berjaga malam. Dia sukakan kafein. Dan
rasanya Ubek juga memerlukan kafein malam ini untuk berjaga malam.
Sesekali mata Cika memerhatikan susuk-susuk tubuh yang
berada berhampiran dengan mereka. Kebanyakan mereka tidak banyak bercakap,
sebaliknya hanya tekun memasukkan umpan udang di mata kail.
Jarum jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 12.30
malam. Dia memang biasa melihat kaki-kaki pancing memancing pada awal tengah
malam sehingga ke pagi esok. Itu perkara biasa sebenarnya bagi kaki-kaki
pancing. Lagi-lagi yang sedikit sewel seperti abangnya Ubek.
“Pelik!” Ujar Cika seraya menggelengkan kepala.
Ubek yang baru sahaja membetulkan kedudukan jorannya
menoleh. Memandang sepintas lalu ke arah Cika yang berada di sampingnya.
“Apa yang pelik dik?”
“You all semua
la. Semata-mata sebab nak kejar ikan kat kolam ni, sanggup berkhemah kat sini
dari tengah malam sehingga ke pagi. Kan
pelik tu!”
“Memancing ni seni tau dik. Beri kepuasan meskipun ada
yang fikir berbaloi atau tidak. Sama macam orang yang suka merokok. Sudah tahu
nikotin tu bahaya, masih juga rokok laku kat pasaran.” Hujah Ubek.
“Huh kalau dah suka tu, macam-macam alasan.” Keluh Cika.
Ubek hanya ketawa. Dia memandang adiknya buat seketika.
Cika kelihatan sedikit muram. Sebenarnya dia hendak bertanya juga kenapa Cika
sampai boleh mengikutnya ke Ulu Yam? Selalunya gadis itu hanya mengikutnya jika
mereka pergi bersama-sama ke kolam pancing bersama ayah mereka. Tapi kali ini
dia dan Cika pergi berdua sahaja, di tengah-tengah malam pula. Apa mimpi Cika
kali ini?
“Adik kata tadi tak boleh tidur. Kenapa? Ada masalah dengan G-Properties ke?” Tanya
Ubek prihatin. Dia memang sering mengambil tahu perihal Cika. Apatah mereka
hanya dua beradik sahaja. Kalau bukan dia, siapa lagi yang mahu mengambil tahu
soal adiknya itu.
Cika tersenyum. Kepalanya digelengkan.
“Bukan soal G-Properties.” Ujar Cika.
“Habis? Abang tengok adik macam tak bersemangat aje tadi.
Kenapa?” Soal Ubek lagi, tekun menyelidik. Manalah tahu Cika benar-benar ada
masalah. Bolehlah dia membantu mana yang dia terdaya. Kalau soal duit, memang
dia surrender. Cika lebih banyak duit
di dalam akaun berbanding dirinya yang kering. Tapi kalau dari segi memberi
idea, Insya Allah dia lulus!
“Sarah, kawan Cika masa kat sekolah dulu hantar kad
jemputan hari ni.”
“Ahah, ini mesti kad jemputan kahwin. Cika susah hati
sebab semua kawan-kawan Cika dah nak kahwin kan?” teka Ubek tersengih.
“Bukanlah.” Cika membeliakkan matanya besar-besar. Ada pulak macam tu! Siapa
yang susah hati meskipun semua kawan-kawannya sudah mendirikan masjid
masing-masing? Like I care!
“Bukan ya? Habis itu kad apa?” Ubek berminat ingin tahu.
“Kad jemputan reunion.”
Jawab Cika lemah.
“Hei baguslah tu. Reunion zaman sekolah lah yang
paling best tau. Adik boleh jumpa
kawan-kawan lama Adik masa sekolah dulu. Abang ingatkan kad apa tadi sampai
punyalah monyok muka tu.” Gelak Ubek. Percuma sahaja dia tertanya-tanya.
Cika mengeluh panjang. Dia tahu Ubek langsung tidak tahu
apa-apa tentang masa silamnya di sekolah. Kalau dia bercerita pun, percuma
sahaja. Dia dan Ubek berbeza usia dua tahun sahaja. Sewaktu dia trauma di
sekolah lamanya, Ubek sudah melanjutkan pelajaran di universiti. Jadi Ubek
langsung tidak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku pada dirinya ketika itu.
“Ini mesti risau nak pakai baju apa kat majlis tu nanti kan?” Suara Ubek
kedengaran lagi. Sekejap-sekejap abangnya itu akan ketawa.
Cika terdiam. Dia biarkan Ubek terus dengan gelak ketawanya. Mulanya dia hendak bercerita
panjang pada abangnya, namun entah kenapa dia membatalkan hasrat hati. Mungkin
bukan masanya Ubek tahu. Sama seperti dia tidak pernah bercerita dengan ibunya
sendiri soal kenapa dia pernah meminta pada ibunya untuk bertukar sekolah
ketika itu.
“Eh nak ke mana pulak ni?” Ubek terpinga-pinga melihat
dia bingkas bangun.
Cika mendengus kecil. “Cika nak ke khemah sekejap,
ambilkan repellent cream sebelum satu
badan Cika ni berbirat kena gigitan nyamuk.” Ujarnya lalu bergegas pergi dari
situ.
Ubek ketawa kecil mendengarnya. “Huh manja!” Bisik Ubek.
Tapi sejurus dia tiba-tiba menepuk lengannya. Alamak banyaknya nyamuk!
“Adik, ambilkan untuk abang juga krim tu. Nyamuk banyak
sangat ni.” Jerit Ubek pada si adik yang sudah jauh meninggalkannya.
* *
* *
Cika merungut-rungut kerana lengannya sudah beberapa kali
menjadi sasaran kerajaan nyamuk tiruk. Mujurlah dia teringat mahu membawa
bersamanya krim pencegah nyamuk yang selalu diletakkan dalam begnya.
Ketika dia sampai ke tapak perkhemahan di The Woods itu,
suasana sudah agak gelap. Hanya ada beberapa lampu kalimantang yang dipasang
berhampiran pokok-pokok di situ. Sewaktu dia memasang khemah itu bersama
abangnya, suasana agak terang kerana ramai yang masih belum beredar dari tapak
perkhemahan. Tapi sekarang semuanya sudah berada di tepi kolam pancing.
Semuanya sedang berlumba-lumba mahu mendapatkan wang hadiah RM10,000 itu.
Di hadapan matanya ada lebih kurang 20 buah khemah
terletak berhampiran antara satu sama lain. Lampu yang dipasang di sudut pokok
pula tidak mampu menerangi hampir keseluruhan kawasan tapak perkhemahan itu.
“Alahai, yang mana satu khemah aku ni?” Rungut Cika
bingung. Dalam suasana yang gelap itu, semuanya nampak samar-samar di matanya.
Malah dia gagal menentukan lokasi khemah yang dipasangnya sebentar tadi. Entah
di mana!
Tiba-tiba senyuman Cika bertebar di bibir. Dah jumpa!
Rasanya yang itu sebab seingatnya ada pokok besar di tepi khemahnya. Salah satu
dari ranting pokok itu pula hampir patah dan tercondong ke arah pintu
khemahnya.
Cika segera meluru ke arah khemahnya. Zip pintu khemah
dibuka lalu dia meluru masuk. Poket seluarnya diseluk, sebelum dia mengeluarkan
telefon bimbitnya dan menghidupkan mod lampu. Dia mencari-cari sesuatu dalam
keadaan samar-samar. Tapi ia agak sukar dilakukan.
Tiba-tiba tangan Cika tersentuh sesuatu yang agak panas.
Dia tergaman. Apa benda ni? Wajahnya berkerut. Serentak dia mendengar bunyi
hembusan nafas di belakangnya. Ya Allah, ada orang di belakang! Dia hendak
berpaling tapi urat nafasnya seakan mahu putus. Dia langsung tidak berani
menoleh. Bimbang ternampak sesuatu yang bukan sepatutnya. Orang atau hantu,
semuanya benda yang mahu dielakkannya.
Cika mengerling ke arah pintu khemah yang terliuk-liuk
separuh terbuka. Dia harus lari! Saat itu dia hanya mahu melakukan itu! Lari
secepat mungkin!
Keberaniannya dikumpul sedikit demi sedikit. Dia sudah
membulatkan tekad. Nekad mahu beredar. Dan kalau orang di dalam khemah itu
berniat jahat, dia akan menjerit. Itupun kalau dia berani! Satu..dua..tiga..dia
membilang di dalam hati. Matanya sibuk mengawasi pintu khemahnya.
Tapi belum sempat dia mahu meluru keluar, tiba-tiba
sepasang tangan menangkap pergelangan tangannya. Cika terkejut besar
sehinggakan telefon bimbitnya terjatuh entah ke mana. Dia mahu menjerit, tapi
tangan itu lebih pantas menekup mulutnya. Dia diasak ke ke sudut khemah oleh
lembaga yang sayup-sayup kelihatan.
Lembaga itu mengambil telefon bimbit Cika yang tercampak
tadi lalu menyuluh ke wajah gadis itu. Cika tergaman. Di hadapannya kini, dia
terpandang seorang lelaki muda sedang merenung tajam ke wajahnya.
“Siapa awak? Kenapa awak menceroboh khemah saya? Awak nak
mencuri ya?” Soal lelaki itu dengan suara meninggi.
Pertanyaan lelaki itu membuatkan Cika terkedu sejenak.
Menceroboh? Mencuri? Hello mister,
ini khemah aku! Erkk…is it? Cika
menarik nafas panjang. Sudah tidak yakin bahawa khemah yang baru sahaja
dimasukinya adalah khemahnya sendiri. Damn
it! Aku salah masuk khemah!