Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 26

NADIM termenung panjang mengingatkan peristiwa di Jumbo Jeep sebentar tadi. Dia sendiri tidak mengerti kenapa gadis itu boleh mengalirkan airmata. Kasar benarkah tutur katanya ketika itu? Rasanya kata-katanya biasa sahaja. Memang bunyinya sedikit sinikal tapi itu sudah menjadi kebiasaannya. Gadis itu sahaja yang emosi tidak tentu hala! Rungutnya bosan.

Dia bingkas bangun lalu berdiri di balkoni apartmennya. Merenung ke sempadan sana. Mencari sesuatu yang kosong di hati.

Wajah Cika muncul lagi di fikiran. Dia teringatkan buku hitam yang masih berada di dalam simpananya. Di dalamnya terkandung lakaran wajahnya yang dilukis gadis itu. Mungkin itu yang Cika malukan. Gadis itu malu kerana tembelangnya pecah. Dia sendiri teringin mahu mendengar jawapan dari mulut Cika tentang kenapa gadis itu melukis gambarnya.

Mungkinkah Cika terlalu membencinya kerana peristiwa di tandas wanita di Jumbo Jeep tempohari? Ah! Tapi mana ada orang yang melukis gambar seseorang yang dibencinya. Kalau benci, nak tengok muka pun mesti tak selera. Jangan-jangan memang benar gadis itu suka padanya. Entah kenapa Nadim berfikir sedemikian rupa. Jika ditinjau dari sudut lain, macam tak mungkin. Impossible! Dia dan Cika baru berjumpa beberapa kali. Lainlah kalau mereka kerap bertemu siang dan malam Logiklah juga kalau anak gadis itu menyukai dirinya!

Nadim menggelengkan kepala. Berulangkali cuba membuang tanggapan itu dari terus bermaharajalela di kepalanya. Lagipun dia sendiri alergik dengan gadis itu. Muka comel tapi perangai brutal. Mulut gadis itu juga celupar, tak jauh beza dari mulutnya sendiri. Elok sangat!

Tapi kalau dibandingkan Cika dengan Emilia, dia lebih alergik dengan anak Tan Sri Jabbar itu. Kalau disuruh memilih antara Emilia dengan Syafika Nordin, dia lebih rela bergaduh dengan Cika setiap hari dari hidup dengan Emilia seumur hidupnya.

* * * *

GINA tertinjau-tinjau dari pintu masuk restoran. Dari jauh, kelibat lelaki segak bertubuh tinggi lampai yang duduk di meja paling hujung menarik perhatiannya. Dia mengetap bibir. Masih mengecam lelaki itu meskipun sudah dua belas tahun mereka tidak bersua. Jantan tak guna! Gumam Gina berang.

Dia lekas-lekas menuju ke arah lelaki itu. Niat hatinya kalau boleh dia nak ganyang-ganyang lelaki itu. Dua belas tahun lamanya dia menanti saat ini. Akhirnya mereka bersemuka juga.

“Encik Idham Hariz?” Gina menyebut nama lelaki itu. Nada suaranya tegas dan lantang.

Lelaki itu berpaling lalu memandang tepat ke arah Gina.

Gina yang sudah memasang azam dan tekad sebentar tadi kini sudah jadi super down. Ternyata niat hati mahu menengking, mengherdik dan memarahi Idham Hariz kini hanya tinggal sisa. Sudahnya dia pula yang ternganga melihat lelaki itu.

“Ya, saya Idham.” Ujar lelaki itu. Mengiyakan panggilan Gina sebentar tadi.

“Saudari ni siapa?” Sambung Idham dengan renungan mata yang menular ke wajah Gina. Dahinya berkerut sedikit memerhatikan anak gadis yang menegurnya.

Gina terus terkedu dan tercegat seperti patung. Jantungnya berdebar-debar apabila menatap raut wajah Idham yang semakin kacak. Dahulu Idham juga kacak, tapi wajah itu lebih keremajaan. Sekarang kacak Idham gaya lelaki macho dan maskulin. Dan sekali lagi hati Gina cair seperti ais di kutub utara.

“Saya Gina, ka..kawan Cika.” Ujar Gina tergagap-gagap.

“Kawan Cika? Gina?” Idham mengulang satu persatu. Wajah lelaki itu berkerut seribu.

“Maksud awak Syarifah Suhana, yang waktu sekolah dahulu selalu dengan Syafika?” Tanya Idham sekadar mahu memastikan.

Hendak tak hendak Gina terpaksa mengangguk. Yup itulah dia! Teman kepada Cika The Loser. Yang menjadi punca Cika trauma pada lelaki sehingga ke hari ini. Semuanya kerana dia!

I remember you. Budak lawa!” Idham tersengih.

Gina tersentak. Budak lawa? Gosh, ingatan lelaki itu memang kuat. Dalam tempoh dua belas tahun ini, Idham tetap juga mengingati nama panggilannya semasa di sekolah dahulu.

Kalau orang lain mungkin jika dipanggil lawa akan tersenyum-senyum bangga sehingga ke telinga. Tapi baginya pula, panggilan lawa untuknya diberi oleh geng-geng Idham yang pastinya bukan bersifat pujian. Mentang-mentanglah tubuhnya ketika itu agak berisi, dan wajahnya pula sentiasa dipenuhi dengan parut jerawat yang ‘lawa’, maka kerana itu muncullah panggilan budak lawa, kawan baik kepada Cika The Loser.

Menyedari wajah Gina sedikit berubah, Idham mula menyedari kesilapannya.

Sorry, saya tak sengaja.” Ujar Idham seraya tersenyum.

Gina hanya mengangguk. Hati di dalam sudah membentak-bentak memarahi lelaki itu. Tapi hanya dalam mimpi. Seperti dahulu, dia akan jadi lemah jika berhadapan dengan Idham. Suaranya akan tersekat di kerongkong. Matanya hanya akan terpaku pada wajah itu seperti dirinya disihir.

“Mana Cika? Dia tak datang sekali?” Soal Idham ingin tahu. Sejak tadi dia mengintai-intai kelibat Cika namun tidak melihat bayang gadis itu di mana-mana.

Gina mengeluh kecil. Cika! Baru menyedari tujuan sebenar kedatangannya hari itu.

“Dia tak datang.” Jawab Gina muram.

“Tak datang? Dia tak mahu datang?” Idham tergaman.

“Bukan. Saya yang tak sampaikan pesanan awak tu pada dia.” Jelas Gina berterus-terang.

Wajah Idham berubah. Kedua-duanya kini saling bertatapan, seperti sedang menilai jawapan yang keluar dari mulut masing-masing.

“Kenapa?”

Gina mendengus. Buat-buat tanya pulak! Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan lelaki itu. Wajah Idham yang kacak direnung tidak berkelip. Dahulu lelaki itu adalah pujaan hatinya. Tapi setelah dia mengetahui sikap Idham yang tidak selawa wajahnya, hati Gina jadi tawar. Apatah lagi dia saksi di atas apa yang telah Idham lakukan terhadap Cika. Malah dia menyumpah seranah dirinya saat ini kerana dalam tempoh singkat, hatinya terbuai sekali lagi dengan kehadiran Idham Hariz. Mujurlah dia cepat-cepat sedar.

“Kenapa awak nak jumpa Cika lagi? Tak cukup-cukup ke apa yang dah awak buat selama ini pada Cika?” Soal Gina dengan wajah kesal.

“Gina, saya..”

“Awak tahu macamana dia hadapi hidupnya dalam dua belas tahun ini? Dia berusaha keras untuk melupakan awak, melupakan apa yang awak dan kawan-kawan awak buat padanya. Sekarang awak muncul lagi untuk apa? Untuk terus menyakiti hati Cika?” Tuduh Gina panas baran.

Idham terdiam. Kata-kata Gina berpaksi pada sekeping hati yang sedang marah. Idham tahu gadis itu tidak salah menuduh. Dahulu dia memang berbuat salah pada Cika. Tapi kepulangannya kali ini adalah untuk menebus salahnya.

“Awak tahu tak Cika tak pernah beritahu hal awak pada keluarganya. Dia juga tidak pernah mengadu pada cikgu tentang usikan awak dan kawan-kawan awak Idham. Tapi tergamak awak malukan dia sampai macam tu sekali. How could you.” Marah Gina tanpa memberi kesempatan lelaki itu membela diri,

“Gina, sebenarnya..”

“Saya minta sangat-sangat, tolong jangan ganggu Cika lagi. Awak bagilah dia peluang untuk hidup aman tanpa melihat wajah awak lagi.” Pintas Gina sebelum sempat Idham menghabiskan kata-katanya.

Gina bangun lalu segera mengemaskan tali tas tangan di bahunya. Bersedia untuk beredar setelah amaran pertama diberikannya. Demi kerana Cika, dia harus mengajar lelaki itu agar tidak terus menyakiti hati sahabat baiknya.

Idham hanya mampu memerhatikan kelibat Gina yang langsung keluar dari pintu restoran. Keluhannya meniti di bibir. Hatinya terpalit rasa kesal terhadap apa yang telah berlaku antaranya dengan Cika selama ini. Peristiwa itu telah dua belas tahun berlalu. Dia masih remaja ketika itu dan tidak tahu berfikir panjang. Tapi dalam usia hampir 30 tahun ini, dia sudah menjadi semakin matang.

Sepucuk surat yang menjadi punca segala-galanya, masih di dalam simpanan barang-barang lama di biliknya. Surat putih di dalam sampul berwarna merah muda itu entah kenapa meninggalkan nostalgia lama. Dan wajah Cika kembali ke dalam ingatannya. Gadis itu sering dijadikan sasaran usikannya suatu ketika dahulu.

“Budak Loser tu nak berhenti sekolah la.” Telinganya mendengar bisikan salah seorang temannya.

Dia terkejut. Buku yang dipegangnya segera diletakkan. Matanya mencari-cari wajah Hasrul, antara teman paling rapatnya.

“Mana kau tahu?” Soalnya dengan wajah serius.

“Aku terdengar awek aku bercakap dengan kawan-kawan dia.” Ujar Hasrul.

Dia bingkas bangun lalu berlari keluar dari kelas. Reaksi teman-temannya yang tercengang-cengang melihatnya, langsung tidak dipedulikan. Saat ini, dia hanya mahu mencari budak Loser itu.

Ketika dia sampai di deretan kelas tingkatan empat itu, dia segera menjengah ke dalam sebuah kelas. Memerhatikan ke arah sebuah meja dan kerusi kosong yang terletak berhampiran tingkap. Itulah tempat duduk Cika The Loser. Dia mengecam tempat itu kerana dia pernah menyuruh teman-temannya menghilangkan meja dan kerusi gadis itu selama seminggu berturut-turut. Dan selama seminggu itu jugalah Cika akan mengangkat kembali meja dan kerusinya ke dalam kelas. Belajar seperti biasa bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Kini meja dan kerusi yang ditempati gadis itu sudah tidak ada pemiliknya. Benarlah kata temannya Hasrul, Cika sudah berhenti sekolah. Gadis itu sudah penat bermain-main dengannya. Tapi tidak ada seorang pun tahu bahawa sebenarnya dia merasa bersalah ketika itu. Dia merasa bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku pada Cika. Dia sedar sikapnya terhadap gadis itu agak melampau. Tapi dia benar-benar tidak mahu Cika berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan perlakuannya.

Seminggu tanpa kehadiran Cika di sekolah, dunianya tiba-tiba berubah kosong. Tidak ada lagi orang untuk disakiti. Tidak ada lagi orang untuk diusik dan dikasari. Tiba-tiba juga suasana sekolah jadi hambar dan sepi. Dia benar-benar merasa bersalah pada gadis itu. Kerananya, Cika berhenti sekolah. Ini bermakna gadis itu benar-benar terluka kerana angkaranya.

Sehinggalah suatu hari, dia masuk ke kelas Cika. Tujuannya mahu mengumpulkan pemain-pemain ragbi di kelas Cika. Ketika itu dia terpandang Cika di tempat duduknya. Hampir dia terpegun melihat gadis itu sedang tunduk menulis nota dengan wajah berbintik-bintik merah.

Sorry, lupa aku nak updatekau. Budak loser tu bukan berhenti sekolah. Da cuti sakit sebab kena demam campak.” Hasrul sempat berbisik ke telinganya.

Dia menarik nafas lega. Entah kenapa, ada satu perasaan halus menyelinap dalam jiwanya saat itu. Dia tidak lagi berminat mahu mengusik Cika. Sebaliknya dia sering mencuri pandang wajah gadis itu. Meski dengan wajah berbintik-bintik, Cika tetap sahaja mampu menarik perhatiannya meski di mana sahaja dia terserempak dengan gadis itu.

“Kau ni biar betul? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni Idham?” Hasrul tercengang seraya bulat mata memandangnya. Kawan-kawannya yang lain juga begitu.

“Aku serius ni. Jangan usik budak tu lagi. Leave her alone!” Untuk kali pertama dia memberi amaran pada Hasrul dan kawan-kawan di kelas 5Anya agar tidak lagi mempermainkan gadis malang itu.

“Kau ni kenapa? Dah jatuh cinta dengan budak nerd tu ke?” Fikri pula menyampuk seraya ketawa besar. Rakan-rakan mereka yang lain ikut ketawa. Hanya Hasrul seorang sahaja yang berdiam diri.

“Aku jatuh cinta dengan dia ke, apa ke…itu bukan urusan kau. Kalau kau usik dia lagi, kau memang sengaja nak cari fasal dengan aku.” Getusnya serius. Yang lain-lain segera terdiam mendengar amarannya.

Sejak itu dia cuba berbaik-baik dengan Cika. Tapi Cika seolah-olah langsung tidak menyedari kehadirannya. Dia cuba menegur Cika ketika terserempak di jalanan, tapi menonong sahaja gadis itu pergi meninggalkannya. Dengan erti kata lain, dia sudah tidak wujud di mata gadis itu. Noktah!

Sehinggalah suatu hari ibunya membawanya ke rumah salah seorang kenalan lamanya. Di situlah dia menemui Cika. Ketika itu dia memang terkejut apabila mengetahui Cika adalah anak gadis teman lama ibunya. Tapi apa boleh dikatakan lagi? Hakikat itu hanya membuatkan dia rasa semakin bersalah. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berpura-pura tidak mengenali Cika ketika itu. Malah unuk meminta maaf di atas segala-galanya, mulutnya bagai berat untuk meluahkannya. Egonya mengatasi keinginan diri.

Sebaik keputusan peperikaan SPM diumumkan, dia terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana keputusan peperiksaannya yang cemerlang. Ibunya mengambil peluang yang ada meraikan satu majlis perpisahan di rumahnya. Apa yang tak disangkakan, ibunya turut menjemput Cika datang. Tapi kehadiran Cika seperti biasa menjadi satu fenomena luar biasa. Cika diejek dan disakiti, semuanya kerana dirinya. Dia yang mencetuskan fenomena itu, dan anehnya dia sendiri tidak mampu menghalang perbuatan teman-teman sekolahnya.

Bahana dari malam itu, Cika menampar pipinya di khalayak ramai. Cika diseret keluar dari rumahnya. Cika beredar tanpa dia mampu melakukan apa-apapun. Dia boleh mengejar Cika malam itu jika dia mahu. Dia boleh memujuk Cika pada malam itu jika dia berkehendak begitu. Tapi semua itu tidak dilakukan. Dia hanya memerhati Syafika Nordin pergi begitu sahaja. Kerana rasa bersalah, dia berhasrat mahu melupakan Cika buat selama-lamanya. Dia akan pergi jauh dari kehidupan gadis yang disakiti hatinya. Itu tekadnya pada malam itu. Melupakan Cika The Loser adalah misi hidupnya!

Mulanya semuanya nampak mudah. Sehinggalah dia menemui Hasrul, temannya yang kebetulan sedang berbulan madu dengan isteri yang baharu dikahwini. Dan bagaikan ada tali yang mengikat mereka, isteri Hasrul adalah dua pupu kepada Cika sendiri. Dari mulut Hasrul dia mendengar khabar tentang Cika. Malah Hasrul menunjukkan gambar-gambar Cika di majlis tersebut yang sempat terselit sama.

“Dia dah banyak berubah. Makin cantik, bukan Loser macam dulu.” Ujar Hasrul. Dia hanya diam. Matanya tak sudah-sudah merenung seraut wajah yang bermekap tipis di dalam potret tersebut.

“Aku sendiri terkejut bila tengok dia. Tak sangka Cika ni sepupu Lily, isteri aku. Tapi masa jumpa tu aku tak rasa Cika ni kenal aku.” Canang Hasrul lagi.

Dia hanya mampu berdiam diri apabila mendengar cerita tentang Cika yang dibawa oleh mulut Hasrul. Beberapa bulan kemudian, ibunya pula membawa cerita yang sama tentang gadis itu. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja soal Cika menarik perhatiannya. Dia malah teringat-ingat tentang gadis itu saban waktu. Kerana itu dia nekad memasang niat untuk menemui Cika dan memohon maaf di atas apa yang telah berlaku di antara mereka suatu ketika dahulu.

Dia tahu benar hati dan perasaan Cika padanya. Dahulu Cika suka padanya. Tapi sekarang istilah suka itu tentu sudah lama terkubur. Sebaliknya dia amat pasti Syafika Nordin itu amat membenci dirinya. Jika tidak masakan Gina yang datang dan memberi amaran agar dia tidak menganggu Cika lagi. Malah dia amat pasti ibu Cika Puan Bahyah hanya memberi alasan apabila Cika tidak muncul-muncul di restoran itu seperti yang dijanjikan. Gadis itu memang tidak mahu menemuinya lagi. I hate you! Itu bisikan hati Cika padanya dahulu.

Previous: Bab 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh