Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 25

ARE you in love with me Cik Syafika?” Suara itu bergema. Nadanya sinis diiringi gelak ketawa ramai di kantin sekolah. Dia hanya mampu tunduk sambil merenung tray makanannya yang masih belum sempat disentuh.

Sure she is.” Jawab seorang pelajar lelaki lain,

“Selama ini dia mana ada teman lelaki lain. Kau aje yang dia suka.” Sokong yang lain pula sambil ketawa terbahak-bahak.

“Tapi aku tak suka dia. Jatuh standard aku kalau berkawan dengan budak nerd, kaki bangku, cermin mata tebal sehingga ke leher.” Suara Idham muncul lagi. Seperti biasa dengan ayat menghinanya.

“Budak nerd macam ni la yang pandai tulis surat cinta sampai meleleh. Jiwang karat beb.” Sambung teman Idham yang lain. Sekali lagi suara ketawa ramai bergema, sekaligus merancakkan waktu rehat di kantin tersebut.

Dia cuba berlagak selamba. Walhal mukanya sudah merah dan telinganya sudah perit mendengar celoteh percuma Idham dan teman-temannya.

Buat Idham tersayang,

Saya sudah lama memerhatikan awak secara diam-diam. Hati saya sudah terpaut pada awak sejak kali pertama melihat awak di padang. Kalau boleh saya ingin bertemankan awak sehingga ke tua. Merebut bintang-bintang di langit, memetik bunga-bunga di taman dan menyaksikan World Cup bersama-sama di televisyen. Kalau awak sudi, saya ingin menjadikan awak teman istimewa.My soulmate yang sejati. Forever and happily ever after.

Surat itu dibacakan semula entah untuk kali ke berapa. Idham dan teman-temannya tak sudah-sudah menginjak-injak maruahnya. Dan dia hanya mampu berdiam diri tanpa ada peluang untuk membela diri.

Semuanya kerana Gina. Surat itu milik Gina, diminta gadis itu untuk disampaikan kepada Idham. Dia cuba menolak tapi Gina tetap berkeras. Entah sejak bila Gina meletakkan surat itu di dalam failnya. Dan ketika dia di dalam dewan sekolah, surat itu tercicir dari fail yang dipegangnya dan kebetulan dikutip oleh Alissa, budak perempuan paling penyibuk di sekolah mereka. Kerana Alissa satu sekolah mula mengetahuinya dan menganggap dirinya jenaka yang tidak pernah lapuk untuk berbulan-bulan lamanya.

Cika mengesat kelopak matanya. Kesedihannya selama ini sentiasa terpendam di jiwa. Zaman persekolahannya benar-benar buruk sehingga dia enggan mengingati walau pun satu kenangan. Tetapi malam ini, dengan hanya satu ayat, Nadim Ammar telah mengingatkan dia tentang Idham Hariz. Tentang apa yang dilaluinya selama ini. Seolah-olah dia perempuan yang tidak layak untuk dicintai dan dikasihi.

Dua belas tahun lamanya dia cuba bangkit. Dua belas tahun juga dia belajar untuk mengubah diri dan penampilannya agar tidak dilihat sebagai Cika The Loser lagi. Tapi kehadiran Idham mengingatkan dia pada si Loser ini. Kata-kata lelaki di Restoran Jumbo Jeep itu juga tidak ada bezanya dengan kata-kata Idham Hariz sendiri. Kedua-dua lelaki itu memang memandang rendah pada dirinya.

Bunyi getaran telefon bimbitnya membuatkan dia tersedar. Cika cepat-cepat mengesat airmatanya. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu memeriksa panggilan yang baru sampai. Umi! Dia tersentak. Baru teringat tentang sesuatu. Jarum jam di tangannya sudah menginjak pukul 10 malam. Patutlah uminya menelefon. Cika ragu-ragu mahu menjawab panggilan wanita itu, lagi-lagi dalam keadaannya sekarang. Dia tidak ingin ibunya yang pintar itu dapat membaca bahasa suaranya yang pastinya berbeza.

Sebentar kemudian Ubek pula menghantar pesanan ringkas. Abangnya sekadar bertanya dia ke mana sehingga belum pulang. Cika segera membalas mesej abangnya. Memberitahu dia ada di rumah Gina, padahal dia masih duduk di bangku kecil di sebuah taman perumahan berdekatan Jalan Semarak.

Mengenangkan jarum jam semakin berputar, Cika tahu tidak ada gunanya dia duduk merintih diri di situ. Kedua ibu bapanya pasti risau. Ubek yang selalu nampak tidak kisah itu juga pasti risau kalau dia masih belum pulang-pulang lagi ke rumah. Lupakan sahaja apa yang kau rasakan Cika! Tidak guna mengingati peristiwa lama hanya kerana Nadim Ammar. Kau sudah lama meninggalkan imej The Loser itu. Kamu berdua bukan lagi orang yang sama! Bisik Cika sedikit sebak.

Perlahan-lahan dia bangkit dari bangku di taman itu. Keretanya diparkir tidak jauh dari situ. Ketika dia mahu melangkah ke arah keretanya, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Seorang tua yang sedang memakai topi lebar sedang tertunduk-tunduk mengutip sampah sarap lalu memasukkannya ke dalam karung plastik berrwana hitam.

Mulanya Cika berniat mahu terus beredar, tapi melihat orang tua itu, entah kenapa dia tidak sampai hati pula. Dah pukul berapa ni sampai orang tua itu masih mengutip sampah di sekitar kawasan ini? Dia berpaling, memerhatikan wajah yang terlindung oleh topi lebar itu.

“Nak tengok aje ke? Kalau nak tolong lagi bagus.” Muncul suatu suara dari topi lebar itu. Cika terpempan. Pantas matanya merenung wajah di sebalik topi besar dan lebar itu. Siapa agaknya? Suara macam perempuan aje!

“Err.. nenek buat apa tu sebenarnya?” Cika memberanikan diri bertanya.

“Aku tengah jogging ni ha.” Balas wanita tua itu.

Cika tercengang. Jogging? Sasau ke apa orang tua ni?

“Aku tengah kutip sampahlah, takkan jogging pulak. Orang melayu memang suka bertanya apa yang mereka dah tahu. Takkanlah kamu yang masih muda tak boleh nampak.” Ada senyuman meleret di sebalik kata-kata itu. Cika menarik nafas panjang. Loyar buruk pula perempuan ni!

“Nenek tak takut ke kutip sampah sorang-sorang kat tempat ni?”

“Nak takut apa? Mati pun sorang juga nanti.”

“Ya saya tahu tu. Tapi tempat ni kan sunyi aje malam-malam macam ni. Nanti kalau terserempak orang jahat macamana?”

“Orang jahat ke hantu ke..aku bukan kacau diaorang pun. Kamu tu pulak buat apa sorang-sorang kat taman ni?” Giliran wanita tua itu pula bertanya.

Cika terdiam. Menanya orang pandai tapi dia sendiri masih merambu di kawasan itu malam-malam buta begini.

“Tak ada apa-apa nenek. Saya cuma nak bersendirian.”

“Orang yang hendak duduk bersendirian biasanya ada masalah. Kamu ada masalah apa? Masalah negara? Masalah duit? Ke masalah sengugut?”

“Ish nenek ni, ada ke pulak masalah sengugut.” Dia hendak ketawa mendengarnya.

“Habis? Yang muka tu macam tikus mondok apasal?’

Cika terdiam. Percuma sahaja mahu bercerita pada perempuan tua bertopi lebar itu. Kalau dia bercerita pun, bukan perempuan itu boleh membantu. Buat membazir air liur sahaja.

“Masalah cinta? Kamu tak ada teman lelaki pun, mana datangnya masalah cinta tu?” Ujar wanita tua itu.

Cika tersentak. Aneh! Macamana orang tua itu tahu bahawa dia tidak ada teman lelaki? Ada iklan kat suratkhabar ke? Jangan-jangan ibunya dah mendaftar dirinya dalam agensi pencari jodoh!

“Err..macamana nenek tahu saya ni tak ada teman lelaki? Nenek ni siapa?” Tanya Cika ingin tahu. Langkahnya dihela lebih dekat ke arah wanita tua bertopi itu.

Wanita tua itu ketawa kecil lalu menanggalkan topi yang dipakainya, menyerlahkan seraut wajah berusia dalam lingkungan 50an. Pakaiannya buruk dan lusuh tapi ada seutas rantai emas tebal di leher itu.

“Aku dah selalu sangat jumpa orang macam kamu ni. Termenung sana sini kerana macam-macam masalah. Tapi masalah tak selesai-selasai jugak. Habis nak selesai macamana kalau asyik termenung aje.” Rungut orang tua itu.

“Kamu ni cantik, tapi lack of confident. Kamu kena lepaskan masa silam kamu kalau kamu nak cari kebahagiaan diri sendiri.” Ujar wanita tua itu siap berbahasa Inggeris. Terpegun sebentar Cika mendengar kata-kata wanita itu. Masa silam? Untuk bahagia dia harus melupakan masa silamnya? Kenapa bunyinya begitu dekat di hati? Terernya orang tua ni, macam tau serba-serbi berkenaan dirinya. Siapa sebenarnya dia ni?

“Nenek ni sebenarnya siapa?” Cika benar-benar ingin tahu siapakah gerangan wanita tua itu.

“Panggil aku Nenek Puteh aje. Bukan sebab aku ni putih, tapi sebab nama aku memang Puteh. Muka kamu ni aku tengok betul-betul muka banyak masalah. Kamu sepatutnya pergi bercuti, rehatkan otak dan fikiran kamu tu.” Usul nenek tersebut.

Cika hanya mampu tersenyum. Alangkah bagusnya kalau dia boleh melakukannya begitu sahaja tanpa perlu berfikir tentang syarikatnya. Tentang Idham dan semua masalah yang membekam di hatinya saat ini.

“Kamu suka kapal?” Tanya nenek tua itu seraya merenung ke wajahnya.

“Maksud nenek?” Cika tercengang.

“Kalau kamu ada peluang naik kapal besar dan bersiar-siar, pergi sahaja jangan berfikir panjang. Itu peluang kamu!” Ujar nenek tua itu.

Dahi Cika berkerut mendengar kata-kata wanita tua itu. Pelik bunyinya! Sama pelik dengan orang yang menuturkan kata-kata itu. Entah siapalah yang hendak beri peluang pada aku pergi bersiar-siar menaiki kapal? Kalau ada pun, urusan di syarikatnya bukan boleh ditinggal-tinggalkan. Mengarut sungguh nenek ini! Cika ketawa kecil seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Nah, ambil ni. Aku ada sebotol sahaja tapi sebab masalah kamu, aku rela beri pada kamu sahaja.” Ujar nenek tua itu seraya menyerahkan sesuatu ke tangannya.

Cika terkedu. Botol kecil yang sudah berpindah ke tangannya direnung sejenak. Apa benda ni? Lain macam sahaja!

“Aku ada sebotol sahaja, tapi sebab masalah kamu…”

Kata-kata wanita tua itu melekat di fikirannya. Dia mendongak memandang ke arah wanita tua yang kelihatan selamba sahaja. Biar betul! Takkan botol ini berisi…

“Tak mahulah nenek, nenek ambil semulalah. Saya tak nak minyak ni. Walaupun saya tak ada teman lelaki, tapi saya takkan gunakan minyak pengasih ni. Berdosa guna benda ni nenek.” Cika menggeleng-gelengkan kepalanya. Enggan menerima pemberian wanita tua itu.

Nenek tua itu tiba-tiba tergelak besar. Bagaikan lucu mendengar kata-katanya sebentar tadi. Cika terkelip-kelip memandang wanita tua itu. Entah apa yang lucu sangat dia pun tidak tahu.

“Kamu ingat, benda ni minyak pengasih ke? Kalau aku ada minyak pengasih, buat apa aku nak bagi kamu? Baik aku pakai sendiri saja, lagipun aku ni pun dah lama menjanda.” Gelak nenek tua itu lagi seraya menekan-nekan perutnya. Lawak sangat agaknya!

“Habis minyak apa ni?” Cika tercengang-cengang.

“Minyak angin lah. Sapu kat kepala kamu tu biar hilang sakit kepala tu, hilang masalah kamu. Lepas tu balik rumah dan tidur.”

Cika terkedu. Serentak dia menghidu botol kecil tersebut. Eh betullah, ini memang minyak angin. Aiseh, apasal minyak angin cap kapak ni duduk dalam botol berbeza? Sejak bila syarikat Cap Kapak tukar botol ni?

“Botol asalnya pecah, aku terpaksa bubuh saki bakinya dalam botol minyak urat. Itu sebab botol tu lain.” Jelas nenek tua itu bagaikan tahu apa yang sedang difikirkannya.

Cika menggaru kepala tidak gatal. Macam-macam hal dengan nenek ni. Mujur juga bukan minyak pengasih! Kalau iya, dia sudah tahu hendak digunakan bagaimana minyak pengasih tersebut. Baik dia berikan sahaja pada abangnya Ubek yang mungkin sah-sah akan menggunakan minyak itu pada jorannya. Cika tergelak besar memikirkan niat gempaknya.

“Dik, kereta tu adik punya ke?” Tiba-tiba muncul satu suara tak diduga dari arah belakangnya. Cika berpaling, lalu terpandang kelibat seorang pakcik berkopiah bulat sedang menaiki sebuah kapcai berhenti di tepi keretanya.

“Ya kereta saya. Kenapa pakcik?”

“Dah lewat malam ni. Pakcik nak beritahu aje, kawasan ni tengah-tengah malam begini banyak mat rempit yang suka merewang tak tentu fasal. Keras pulak tu. Adik tu perempuan, eloklah balik ke rumah sekarang. Kalau terserempak mat-mat rempit tu tak apa, boleh kami datang menolong. Tapi kalau dah jumpa macam-macam benda, minta maaf pakcik pun takut.” Monolog pakcik berkopiah bulat itu seraya tersengih.

“Err sebenarnya pakcik, saya…” Cika berpaling. Tapi nenek tua itu sudah lesap entah ke mana. Dia tercengang. Ke mana nenek itu menghilng? Takkan secepat itu wanita tua itu boleh lesap begitu sahaja tanpa jejak? Ini bukan kisah dalam versi superhero. Ini versi Cika The Loser.

“Pakcik ada nampak tak nenek tua yang bercakap-cakap dengan saya tadi?” Soal Cika ingin tahu. Hairan memikirkan ke mana perginya nenek tua itu.

Pakcik berkopiah bulat itu terpisat-pisat memandang ke arah Cika.

“Nenek tua mana?”

“Yang bercakap-cakap dengan saya tadi. Baru sekejap tadi.”

“Eh mengarut adik ni, mana ada.” Pakcik berkopiah itu mula memeluk kedua-dua tangannya. Tiba-tiba gerun mendengar kata-kata anak gadis di hadapannya.

“Tak nampak ke?” Cika bertambah bingung.

Pakcik berkopiah bulat menggeleng.

Cika mula merasa seram sejuk. Teringat pula dia akan kata-kata pakcik berkopiah bulat itu tentang kekerasan tempat itu. Jangan-jangan nenek tua yang dilihatnya sebentar tadi bukan manusia tapi…Aduh! Nak menyebutnya sahaja dia sudah seram sejuk.

“Tak apalah pakcik, saya balik dulu.” Ujar Cika lalu cepat-cepat memasuki perut keretanya untuk beredar. Pakcik berkopiah bulat itu masih tercegat memerhatikan ke arah Cika sehinggalah kereta anak gadis itu menghilang ke arah selekoh jalan besar.

Mata pakcik berkopiah bulat kemudiannya meliar memerhatikan kawasan taman itu. Tiba-tiba sahaja dia teringat kata-kata anak gadis itu tentang seorang nenek tua. Hai nenek tua mana pulak la yang dimaksudkan gadis itu?

Bulu romanya mula meremang tapi dia berlagak tenang dan cool. Maklum lah sebagai AJK Rela yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan perumahan itu dari mat-mat rempit yang berkeliaran, dia tidak boleh takut. Hati mesti seteguh karang. Jiwa mesti rock beb!

Dia sudah hendak pergi apabila telinganya tiba-tiba menangkap bunyi gemersik di tepi telinganya. Ada campuran bunyi desahan nafas dan bunyi suara seperti merengek kesakitan. Entah mengapa, tubuhnya mula mengigil. Aduh lain macam sahaja bunyi itu!

Pakcik berkopiah bulat berhajat mahu segera angkat kaki dan cabut lari dari tempat itu. Namun tiba-tiba sahaja ada sepasang tangan sedang memegang pergelangan kakinya. Dia tersentak. Tubuhnya sudah seram sejuk menahan gigilan yang semakin melumat-lumat dirinya.

Perlahan-lahan dia memberanikan dirinya lalu tunduk ke bawah. Di bawah kakinya, matanya terpandang sesuatu yang menyeramkan. Muncul satu kepala dengan muka menakutkan sedang menyelinap di bawah kakinya. Lembaga itu menyeringai memandangnya dengan wajah hitam legam yang berlendir. Dia sudah tidak dapat menahan diri. Dengan suara yang lebih nyaring, dia menjerit lebih kuat sebelum terjelepuk tidak sedarkan diri.

Nenek tua yang ditemui Cika sebentar tadi tercengang-cengang melihat seorang lelaki berkopiah bulat yang pengsan berhampiran tepi longkang besar tempatnya baru sahaja jatuh. Bersusah payah dia cuba merangkak naik dari longkang tersebut, akhirnya berjaya juga. Tapi mukanya habis kotor dibasahi air longkang dan lumpur tanah.

Dia mencari-cari Cika tapi gadis itu sudah tidak ada. Matanya beredar ke arah lelaki tua yang pengsan sebentar tadi. Entah apa kenanya dengan lelaki itu? Dia langsung tidak faham apa yang sudah terjadi dengan lelaki tua berkopiah itu. Ada hantu ke kat tempat ni?


Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh