Mia Karmila terus memandu pulang ke rumah dengan hati
yang berbunga keriangan. Tidak diduga, dia bertemu lagi dengan Shahriman. Dia
benar-benar tidak menyangka bahawa Shahriman adalah seorang anak muda yang
tampan dan bergaya. Malah gayanya langsung tidak menggambarkan yang dia adalah
seorang pemandu teksi.
Pada pengamatannya, umur Shahriman dalam lingkungan lewat 20-an.
Tetapi mengapa dia bekerja sebagai pemandu teksi? Sedangkan gaya dan
perwatakannya seolah-olah dia seorang yang terpelajar.
Mungkin sebab itulah dia berada di karnival jualan buku itu. Ia
menggambarkan Shahriman seorang yang meminati buku dan bahan bacaan. Mengapa
ya? Hati kecil Mia Karmila terus berfikir kehairanan.
Hatinya kembali bergetar ketika membayangkan senyuman Shahriman
yang begitu manis. Perwatakannya yang tenang dan ramah itu benar-benar
menyenangkan matanya saat memandang. Entah kenapa, tiba-tiba hati Mia Karmila
bagaikan meronta-ronta untuk bertemu lagi dengan Shahriman.
Oh, kenapa aku tak mintak nombor telefon dia tadi? Macam mana aku
nak jumpa dia lagi? Hati kecil Mia Karmila berbisik kesal.
Tumpuan Mia Karmila terganggu ketika hendak memarkir kereta
apabila telefon bimbit berbunyi. Setelah mematikan enjin, dia segera menjawab
panggilan itu tanpa melihat pemanggilnya.
“Helo...”
“Hai, Mia. Mia telefon Andy tadi ya? Sorry, Andy tengah meeting
dengan clients sebab tu tak dapat nak jawab telefon Mia. Kenapa,
sayang?” soal Adrian di hujung talian.
“Oh, Andy. Tak ada apalah, semuanya dah okey,” jawab Mia Karmila
cuba menceriakan suaranya.
“Kenapa? Apa yang dah okey? Mia, you tak apa-apa kan?” soal Adrian
bimbang.
“Tak. Tak ada apa-apa. Mia baru sampai rumah ni,” ujar Mia
Karmila.
“Oh, baru sampai rumah. Mia pergi mana tadi? Kenapa Mia telefon
Andy?” soal Adrian masih bimbang dengan panggilan telefon Mia Karmila tadi.
Terdetik juga rasa kesal di hati kerana tidak dapat menjawab
panggilan telefon Mia Karmila. Dia khuatir Mia Karmila akan terus merajuk dan
menjauhkan diri daripadanya.
Sejak peristiwa malam minggu tempoh hari, sehingga ke hari ini Mia
Karmila masih keberatan untuk keluar dengannya. Pelbagai alasan yang diberikan
gadis itu setiap kali Adrian cuba mengajak keluar makan malam atau berhibur.
“Err... Mia pergi ke karnival jualan buku Karangkraf kat Shah
Alam, tetapi tiba-tiba tayar kereta pancit. Mia tak tahu apa nak buat. Mia cuba
telefon papa tetapi papa pun tak jawab. Sebab tulah Mia telefon Andy,
kalau-kalau Andy boleh tolong. Anyway, sorrylah kalau panggilan Mia tadi
ganggu Andy sedang mesyuarat,” ujar Mia Karmila dengan nada kesal. Dia khuatir
Adrian tidak berapa selesa andai terganggu begitu.
“No. No. Not at all! Mia tak ganggu Andy pun cuma waktu tu
Andy sedang pengerusikan mesyuarat. Tak manis pulak kalau Andy berhenti dan
jawab panggilan telefon Mia. Andy harap Mia tak marah pada Andy sebab tak dapat
jawab panggilan Mia. Anyway, macam mana tayar kereta Mia? Siapa yang
tolong Mia?” soal Adrian prihatin.
“Alhamdulillah, Mia bersyukur sebab ALLAH masih sayangkan Mia. Ada
seorang pemandu teksi yang baik hati yang telah tolong tukarkan tayar kereta
Mia tu dan sekarang Mia dah selamat sampai kat rumah,” balas Mia Karmila.
Adrian tergamam. Sejak bila Mia begitu lancar menyebut
alhamdulillah serta menyebut nama ALLAH di dalam perbualannya? Dia tak pernah
begitu sebelum ini. Apa yang membuatkan dirinya berubah? Bisik Adrian dalam
hati.
“Oh, iya ke? Jadi sekarang Mia nak Andy datang jumpa Mia ke?” soal
Adrian.
Perasaan rindunya untuk berjumpa dengan Mia Karmila sudah
membuak-buak. Gadis itu benar-benar bagai merpati, boleh didekati tetapi segera
menghindar apabila disentuh.
“Err... tak apalah, tak payah. Jangan susahkan diri Andy. Mia dah
sampai rumah pun. Biarlah Pak Manap aje yang uruskan nanti,” jawab Mia Karmila
spontan.
Dia tidak mahu menyusahkan Adrian. Tambahan lagi tiba-tiba dia
berasa serba salah untuk berhadapan dengan lelaki itu. Fikirannya masih
terbayangkan senyuman Shahriman yang amat menyenangkan hatinya itu.
“Betul ke Mia tak nak Andy pergi jumpa Mia sekarang?”
“Ya, Andy kan tengah kerja sekarang, jadi Mia tak nak susahkan
Andy pulak. Lagipun dah tak ada apa yang nak dirisaukan lagi. I’m safely
home now,” kata Mia Karmila cuba meriangkan nada suaranya dengan tertawa
kecil.
“Hmm... okeylah kalau Mia dah kata begitu. Tapi, boleh tak Andy
datang ambil Mia malam nanti? Dah lama kita tak minum-minum sambil berkaraoke.
Rindu pulak rasanya,” ajak Adrian.
Mia Karmila terdiam seketika. Tidak tahu sama ada mahu keluar
dengan Adrian atau tidak malam nanti. Perasaan bimbang terhadap perbuatan
Adrian ke atas dirinya masih membelenggu fikiran.
“Macam mana, Mia? Boleh ke?” soal Adrian tidak sabar.
“Hmm... kita minum-minum aje ya. Lepas tu kita balik awal sebab
Mia tak boleh tidur lewat-lewat sekarang. Mia akan mudah sakit kepala,” jawab
Mia Karmila bersetuju tetapi dengan bersyarat, sekadar tidak mahu Adrian terasa
yang dia telah mula tawar hati untuk selalu bersama lelaki itu.
“Okey, agreed. Jadi pukul berapa Andy boleh datang ambil
Mia?” tanya Adrian gembira.
Jangan lupa solat dan sujud syukur. Semoga Cik Mia akan sentiasa
dikasihi ALLAH.
Tiba-tiba Mia Karmila bagaikan terdengar suara mersik Shahriman
mengingatkannya. Dia terkedu. Hatinya tiba-tiba bergetaran apabila wajah yang
tenang dan tampan itu bagaikan memenuhi ruang tubir matanya.
“Err... lepas pukul 8.45 malam boleh tak? Sebab waktu Isyak malam
nanti masuk pukul 8.30 malam. Elok kita Solat Isyak dulu sebelum pergi,” ujar
Mia Karmila bagaikan tidak sedar bagaimana ucapan itu boleh terlontar daripada
mulutnya.
Sekali lagi Adrian tergamam mendengar jawapan Mia Karmila. Sejak
bila pulak minah ni rajin bersolat? Soal Adrian dalam hati bagaikan tidak
percaya. Selama dia mengenali Mia Karmila, jarang benar dia mendengar gadis itu
begitu menjaga solatnya.
“Hmm... okey, Andy tak kisah pukul berapa pun asalkan dapat jumpa
Mia malam ni. Kalau macam tu Andy datang ambil Mia pukul 8.50 malam, boleh?”
cadang Adrian.
“Okey. See you then,” balas Mia Karmila selamba, bagaikan
tidak sabar mahu memutuskan talian.
“Mia...”
Mia Karmila yang mahu memutuskan talian agak terkejut apabila
masih mendengar suara Adrian memanggil namanya.
“Ya.”
“Betul ya, Mia akan tunggu Andy dan keluar dengan Andy malam ni?”
soal Adrian seolah-olah meragui janji Mia Karmila.
“Kenapa Andy tanya macam tu?” soal Mia Karmila hairan.
Adrian terkedu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan walaupun
hakikatnya dia risau dengan perubahan sikap Mia Karmila. Gadis itu seolah-olah
mahu membataskan pergaulan sosialnya.
“Tak. Tak ada apa-apa. Mungkin sebab Andy rindu sangat pada Mia
sebab dah lama kita tak keluar bersama, jadi Andy risau kalau Mia akan berubah
fikiran,” ujar Adrian berterus terang.
“Hmm... don’t worry. I’ll keep my words this time,” janji
Mia Karmila.
“Good, tak sabar rasanya nak tunggu malam nanti,” ujar
Adrian menghembus nafas lega.
“Sabar tu separuh daripada iman. Kita harus sabar dalam apa jua
perkara dalam mencari keredaan dan kasih sayang ALLAH,” ujar Mia Karmila tanpa
disedari.
Dia sendiri tidak tahu mengapa harus berkata begitu kepada Adrian.
Tapi apa yang dia pasti ialah ungkapan itu diucap Ustaz Azhar Idrus dalam
ceramah yang didengarinya melalui Youtube. Ia amat menyentuh hatinya. Mia
Karmila mahu berkongsi ungkapan itu bersama orang lain yang belum mendengar
ceramah itu. Dia yakin Adrian belum pernah mendengarnya.
Terbayang lagi di tubir mata Mia Karmila wajah Shahriman yang
seolah-olah turut tersenyum riang mendengar ungkapan yang disebutnya itu. Hati
Mia Karmila tiba-tiba bergetaran setiap kali terbayangkan senyuman yang menawan
itu.
Oh, alangkah seronoknya kalau Shahriman yang merinduiku dan
bukannya Andy. Hati kecil Mia Karmila seolah-olah mengharap walaupun hakikatnya
dia tahu bahawa itu adalah mustahil. Lebih-lebih lagi dia tidak tahu sama ada
mereka akan bertemu lagi ataupun tidak.
Entah untuk keberapa kalinya Adrian tergamam tengah hari itu
apabila mendengar kata-kata Mia Karmila yang tidak pernah diduga.
Wah, dah mengalahkan ustazah pulak minah ni mengajar aku, bisik
hati kecil Adrian bagaikan hendak tergelak.
“Baiklah, ustazah. Saya faham,” jawab Adrian dengan nada nakal,
seolah-olah sengaja mahu mengejek.
“Alhamdulillah, kalau Andy dah faham. Okeylah, kita jumpa nanti,”
balas Mia Karmila dengan nada sinis sebelum memutuskan talian. Sindiran Adrian
itu dirasakan jengkel.
Adrian terkejut kerana talian telah terputus sebelum sempat dia
menjawab kata-kata Mia Karmila. Dia hanya mampu menelan liur sambil terus
memerhati telefon bimbit yang masih ada di tangan dengan seribu macam
persoalan.