Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,360
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 18

“ERR... Encik Aiman nak tunggu dalam teksi aje ke atau nak ikut sama ke kedai tudung tu?” soal Mia Karmila sambil berpaling ke arah Shahriman sebaik sahaja lelaki itu mematikan enjin teksi.

“Kalau saya ikut sama, tak apa ke?” soal Shahriman kembali.

Kalau ikutkan hatinya, Shahriman kurang selesa untuk berdua-duaan dengan Mia Karmila dalam keadaan begitu, khuatir boleh menimbulkan fitnah pula. Namun apabila teringatkan janji dengan uminya untuk menjaga keselamatan Mia Karmila sehingga selamat sampai ke rumahnya, Shahriman tiada pilihan lain melainkan terpaksa menemankan gadis itu membeli-belah di shopping mallitu.

Lagipun Shahriman terfikir bahawa Mia Karmila ke situ adalah dengan niat yang baik, maka adalah wajar untuknya menemankan Mia Karmila bagi membantu gadis itu merealisasikan tujuan baiknya itu.

Ya ALLAH, lindungilah kami daripada sebarang fitnah dan restuilah niat baik Mia yang sedang berusaha mencari keredaan-MU, doa Shahriman dalam hati.

“Saya tak kisah. Cuma takut kalau-kalau Encik Aiman rasa boringpulak nanti sebab tengok semua pakaian perempuan aje,” balas Mia Karmila sambil tersenyum.

“Oh, apa salahnya tengok-tengok pakaian perempuan? Sekurang-kurangnya boleh jugak saya tahu apa kegemaran orang perempuan,” balas Shahrima.

“Okey, kalau begitu marilah,” ajak Mia Karmila sambil membuka pintu teksi.

Shahriman membiarkan Mia Karmila berjalan di hadapan ketika mereka memasuki ruang yang menempatkan berbagai-bagai kedai pakaian di shopping mallitu. Sekali-sekala dia turut berhenti dan menghampiri Mia Karmila apabila gadis itu berhenti sambil membelek-belek kain-kain tudung yang bergantungan di kedai-kedai yang terdapat di situ, sekadar memberi pandangan apabila Mia Karmila bertanya pendapatnya.

“Assalamualaikum, ustaz. Apa ustaz cari kat sini?” Tiba-tiba kedengaran suara lembut seorang wanita menegur Shahriman.

Spontan Shahriman dan Mia Karmila berpaling memandang ke arah suara itu. Terlihat seorang wanita muda berjubah hitam bertudung litup sedang tersenyum memerhati ke arah Shahriman dan Mia Karmila.

“Waalaikumussalam. Oh, Ustazah Rodhiah rupanya. Err... saya sedang temankan anak murid umi cari tudung,” ujar Shahriman.

Kelihatan wanita yang disebut sebagai Ustazah Rodhiah itu berkerut dahi sambil merenung ke arah Mia Karmila. Mia Karmila yang kebetulan sedang memerhatikan wanita itu juga turut berkerut dahi bagaikan ada sesuatu yang menyentak fikirannya. Mata kedua-dua wanita itu bertautan buat seketika.

Rodhiah tidak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berdetik sendu apabila mendengar Shahriman mengatakan yang dia sedang menemani gadis yang ada bersamanya itu membeli-belah. Apakah hubungan mereka? Hati kecil Rodhiah terus bertanya-tanya sambil terus merenung tepat ke anak mata Mia Karmila.

“Hmm... ni Mia Karmila ke?” Tiba-tiba terlontar nama itu daripada bibir Rodhiah dengan nada teruja.

“Err... ya, saya Mia Karmila. Ni Kak Dee, kakak sepupu arwah Zila ke?” soal Mia Karmila sambil terus merenung wanita yang berdiri di hadapannya itu dengan mata membulat sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

“Ya, akaklah Kak Dee, sepupu arwah Zila. Masya-ALLAH, tak sangka dapat jumpa Mia lagi. Mia apa khabar?” soal Rodhiah sambil mencapai tangan Mia Karmila untuk bersalaman sebelum memeluk gadis itu dengan penuh keriangan.

Shahriman yang memerhati gelagat kedua-dua wanita itu tergamam seketika. Tidak menyangka mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain. Ya ALLAH, sesungguhnya KAU yang Maha Besar dan Maha Berkuasa melakukan apa sahaja yang tak pernah aku menyangka. Shariman segera berzikir di dalam hati, mengagumi kebesaran dan kekuasaan ILAHI.

“Alhamdulillah, Mia sihat. Mia pun tak sangka dapat jumpa Kak Dee kat sini. Hmm... seronoknya dapat jumpa Kak Dee lagi,” ujar Mia Karmila gembira sambil terus menggenggam erat lengan Rodhiah.

“Alhamdulillah, tak sangka kamu berdua dah kenal antara satu sama lain tanpa perlu saya kenalkan. Macam mana Cik Mia boleh kenal dengan Ustazah Rodhiah?” soal Shahriman sebelum Rodhiah sempat menjawab kata-kata Mia Karmila, sengaja ingin tahu apa sebenarnya hubungan mereka apabila melihat kedua-dua wanita itu terus asyik keriangan dengan perjumpaan itu.

“Err... saya...” ujar Mia Karmila tersekat-sekat sambil memandang tepat ke anak mata Rodhiah, seolah-olah cuba mendapatkan bantuan.

Rodhiah yang bagaikan faham isyarat Mia Karmila itu hanya mampu memandang wajah gadis itu dengan pandangan sayu, bagaikan terkenang sesuatu yang amat mengusik hati. Shahriman terus memerhati reaksi kedua-dua wanita itu dengan penuh sabar.

“Mia adalah kawan baik kepada adik sepupu saya yang dah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lepas. Kami berkenalan pada hari pengkebumian adik sepupu saya,” ujar Rodhiah menjelaskan dengan nada mendatar bagaikan cuba melupakan apa yang sebenarnya telah berlaku antara mereka ketika itu.

“Oh, maknanya dah lama jugaklah kamu berdua berkenalan,” ujar Shahriman sambil melempar senyuman ke arah kedua-dua wanita yang berdiri di hadapannya.

Mia Karmila hanya mampu mengangguk.

“Ya, tetapi kami tak pernah bertemu lagi selepas tu. Dan saya rasa seronok sangat dapat jumpa Mia lagi hari ni. Mia dah banyak berubah,” ujar Rodhiah sambil cuba menceriakan suaranya seolah-olah mahu melupakan perkara yang telah menyentak fikirannya sebentar tadi.

Rodhiah yang sedang memerhati Mia Karmila dari atas ke bawah bagaikan baru perasan yang gadis itu kelihatan begitu sopan dengan berbaju kurung dan bertudung litup, segera memegang lengan Mia Karmila bagaikan mahu membuktikan keseronokannya dapat bertemu dengan gadis itu.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Encik...err... Ustaz Aiman yang telah banyak membimbing saya,” ucap Mia Karmila sambil menjeling ke arah Shahriman yang sedang asyik memerhatikan mereka.

Dia amat bersyukur kepada ALLAH yang telah menemukannya dengan Shahriman pada malam itu sehingga membuatkan hatinya terbuka untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Lelaki itu telah benar-benar berjaya menyedarkannya daripada kejahilan.

“Oh, iya ke? Sejak bila Mia belajar dengan Ustaz Aiman? Selama ni Kak Dee tak pernah pun nampak Mia kat Darul Hana,” tanya Rodhiah berkerut dahi.

“Err... Mia tak belajar kat Darul Hana tetapi Mia belajar dengan Ustazah Habibah kat rumahnya. Kak Dee pun mengajar kat Darul Hana ke?” soal Mia Karmila pula apabila teringat Shahriman ada menyebut pasal kelas dan memanggil Rodhiah dengan panggilan ustazah.

“Haah, baru mengajar lebih kurang enam bulan sejak Kak Dee balik dari Mesir. Itu pun dengan pertolongan Ustaz Aiman jugak sebab kebetulan Kak Dee kenal Ustaz Aiman ketika sama-sama belajar kat Mesir dulu, tetapi ustaz telah tamat belajar lebih dahulu daripada Kak Dee,” jawab Rodhiah tersenyum mesra.

Dia sempat menjeling ke arah Shahriman bagaikan memohon agar lelaki itu turut mengiyakan apa yang dinyatakannya itu.

“Iya, Cik Mia. Ustazah Rodhiah ni juniorsaya semasa di Universiti Al-Azhar dulu. Dia hebat dalam ilmu fiqh dan syariah Islamiah, sebab tu saya ajak dia mengajar kat Darul Hana,” ujar Shahriman bagaikan memahami jelingan Rodhiah itu.

Mia Karmila hanya mengangguk-angguk. Namun jauh di sudut hati, terdetik juga rasa pilu apabila terasa dirinya terlalu kerdil di samping Shahriman jika dibandingkan dengan Rodhiah yang begitu luas pengetahuan agamanya. Dia tidak tahu mengapa dia harus berasa pilu begitu.

“Ilmu fiqh? Ilmu apa tu?” soal Mia Karmila berkerut dahi.

“Ilmu fiqh adalah ilmu yang mengajar kita berkaitan cara-cara yang betul untuk melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam mengikut mazhab-mazhab yang empat tu,” jelas Shahriman.

“Adakah cara-cara berpakaian yang dibenarkan Islam bagi orang perempuan itu termasuk dalam ilmu fiqh?” soal Mia Karmila ingin tahu.

“Islam tak menetapkan cara-cara berpakaian yang khusus tetapi Islam menetapkan bahagian aurat-aurat yang berbeza bagi lelaki dan perempuan yang perlu ditutup sama ada ketika melaksanakan ibadah-ibadah seperti ketika solat atau ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah ataupun pada setiap masa ketika bersama orang lain selain mahram. Jadi secara tak langsung ilmu fiqh ada jugak menyentuh tentang cara-cara berpakaian yang dibenarkan Islam,” ujar Rodhiah menerangkan sambil menepuk-nepuk lembut bahu Mia Karmila.

“Oh, iya ke? Hah, kalau macam tu boleh tak Kak Dee temankan Mia cari pakaian yang sesuai?” soal Mia Karmila teruja.

“Hmm... bagus jugak tu. Eloklah ustazah ikut bersama temankan Cik Mia mencari apa yang diperlukan. Sekurang-kurangnya dapat jugak kita elakkan fitnah yang mungkin akan timbul jika saya berdua aje dengan Cik Mia macam tadi,” cadang Shahriman spontan sebelum sempat Rodhiah menjawab pertanyaan Mia Karmila itu.

“Bolehlah, Kak Dee,” pujuk Mia Karmila, segera memeluk bahu Rodhiah.

Hati Rodhiah rasa amat tersentuh dengan kemanjaan Mia Karmila itu. Tiba-tiba terbayang di matanya wajah Zila yang dalam kesakitan seolah-olah sedang merenungnya, memohon simpati. Rodhiah jadi tambah tersentuh dan sendu. Perlahan-lahan Rodhiah memegang lengan Mia Karmila sambil mengangguk.

“Yeay! Terima kasih, Kak Dee. Lepas shoppingnanti Mia belanja Kak Dee dengan Ustaz Aiman makan ya.”

Seolah-olah pelajar sekolah belasan tahun, Mia Karmila yang bagaikan telah terikut-ikut memanggil Shahriman dengan panggailan ustaz dan bukan lagi encik seperti sebelum ini, bersorak keriangan sambil terus memeluk bahu Rodhiah.

Shahriman yang seronok memerhatikan tingkah-laku Mia Karmila itu hanya tersenyum. Sempat dia menjeling ke arah Rodhiah yang turut kelihatan begitu teruja memanjai Mia Karmila. Namun hati kecil Shahriman tertanya-tanya apakah sebenarnya hubungan kedua-dua wanita itu kerana keriangan yang jelas terpancar di wajah Mia Karmila itu banyak memberi petanda bahawa masih ada rahsia yang mereka cuba sorokkan daripada pengetahuannya.

Lebih-lebih lagi apabila Shahriman mula memikirkan mengapakah Mia Karmila masih begitu jahil tentang hukum-hakam Islam ketika berjumpa buat pertama kali malam itu kalau gadis itu telah lebih dahulu berkenalan dengan Rodhiah. Tidakkah Rodhiah pernah menasihati Mia Karmila akan syariat-syariat Islam yang perlu dia patuhi? Hati kecil Shahriman terus bertanya-tanya.

“Betul ke Mia nak belanja Kak Dee dengan Ustaz Aiman makan? Nanti kalau Kak Dee mintak macam-macam, macam mana?” usik Rodhiah dengan suara nakal ketika mereka sudah mula beriringan berjalan menyusuri kedai-kedai di shopping mallitu.

“Alah, banyak mana sangat yang Kak Dee larat nak makan?” balas Mia Karmila sambil tertawa kecil.

“Tapi saya kuat makan, Cik Mia. Macam mana?” sampuk Shahriman tertawa kecil.

“Kalau Ustaz Aiman lagi senang. Saya potong aje duit tambang teksi tu,” balas Mia Karmila dengan nada nakal sambil berpaling memandang ke arah Shahriman yang berjalan di belakang mereka.

“Saya tak kisah kalau Cik Mia nak potong tambang teksi, tapi saya hanya hantar Cik Mia takat sini ajelah,” balas Shahriman bertambah seronok menyakat Mia Karmila.

Rodhiah yang turut berpaling hanya tersenyum lebar apabila melihat Shahriman dengan nakalnya mencebik seolah-olah sengaja mengejek Mia Karmila. Namun entah mengapa terdetik di hati Rodhiah rasa cemburu terhadap kemesraan teruna dara yang dilihatnya agak rapat sehingga berani perli memerli begitu. Sepanjang perkenalannya dengan Shahriman, lelaki itu tidak pernah mahu bergurau begitu dengan perempuan walaupun dengan kakitangan di Darul Hana.

“Tak apa, kalau Ustaz Aiman tak nak hantar sampai rumah, saya boleh balik naik teksi lain tetapi Ustaz Aiman jawablah dengan Ustazah Habibah bila dia tanya nanti sebab saya pasti akan beritahu dia yang Ustaz Aiman tinggalkan saya kat tengah jalan,” ugut Mia Karmila tersenyum nakal.

“Lagipun saya ada Kak Dee yang akan temankan saya balik sampai ke rumah nanti,” ujar Mia Karmila lagi sambil mengepit manja lengan Rodhiah.

Rodhiah yang terkejut dengan reaksi Mia Karmila, bagaikan terpukau segera melengkarkan tangan kanannya ke bahu Mia Karmila dan menarik gadis manis itu rapat kepadanya seolah-olah bersedia melindungi gadis itu daripada sebarang bahaya.

“Oh, mentang-mentang dah ada Ustazah Rodhiah, Cik Mia senang-senang lupa pada teksi saya ya. Kalau macam tu, saya balik sekaranglah,” ujar Shahriman buat-buat merajuk.

“Hmm... tak sangka Ustaz Aiman pun suka merajuk ya. Ingatkan orang perempuan aje yang suka merajuk,” ujar Rodhiah sengaja mahu mengusik.

Mia Karmila yang mendengar kata-kata Rodhiah itu segera memandang ke arah Shahriman sambil mengangkat kening apabila kebetulan mata mereka bertembung. Mia Karmila seolah-olah tidak sabar mahu mendengar lelaki itu membalas komen Rodhiah itu. Tiba-tiba terdengar Mia Karmila tertawa terkekek-kekek bagaikan seronok apabila melihat Shahriman bagaikan kelu untuk berkata-kata.

Shahriman yang melihat Mia Karmila begitu gembira hanya mampu menggeleng-geleng sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah kedua-dua wanita itu seolah-olah menyatakan bahawa pasti akan ada masa nanti dia akan membalas terhadap sindiran mereka itu.

Seronok benar mereka bergurau senda dan usik-mengusik sepanjang mereka menemani Mia Karmila membeli beberapa helai tudung dan jubah sehinggakan mereka tidak sedar waktu Solat Zohor sudah hampir tiba.

“Err... lagi 20 minit nak masuk waktu zohor. Macam mana kalau kita ke masjid kat luar sana tu dulu dan kemudian kita sambung lagi membeli-belah kalau Cik Mia masih tak cukup lagi apa yang nak dicari,” cadang Shahriman sebaik sahaja Mia Karmila selesai membayar barang yang baru dibelinya.

“Hmm... lepas solat kita pergi makan kat restoran yang ada kat hujung sana. Okey tak?” cadang Mia Karmila pula.

“Saya boleh aje. Ustazah macam mana?” tanya Shahriman sengaja memancing pendapat Rodhiah yang hanya tersenyum sejak tadi.

“Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari,” jawab Rodhiah tersenyum riang.

Tanpa banyak soal, kelihatan Shahriman, Rodhiah dan Mia Karmila jalan beriringan menuju ke masjid yang dimaksudkan.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.