Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,268
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 15
Sudah dua hari Mia Karmila memandu sendiri ke rumah Hajah Habibah yang terletak berhampiran Pusat Tahfiz Darul Hana setelah Pak Manap menunjukkan jalan pada hari pertama Mia Karmila diketemukan dengan Hajah Habibah.

Namun pada hari ini Mia Karmila dihantar Pak Manap kerana Dato’ Kamal turut serta untuk bertemu dengan Hajah Habibah, sebagaimana yang dijanjikan Mia Karmila tempoh hari.

“Habis tu, macam mana Mia nak balik nanti?” soal Dato’ Kamal apabila Mia Karmila menyatakan yang Pak Manap tidak perlu datang kembali setelah menghantar Dato’ Kamal ke pejabat.

“Tak apa, Mia boleh balik naik teksi. Ustazah kata tak susah nak dapat teksi kat sini sebab budak-budak tahfiz tu pun selalu naik teksi kalau nak ke pekan,” ujar Mia Karmila, cuba meyakinkan Dato’ Kamal kerana tidak mahu Pak Manap bersusah payah berulang-alik untuk mengambilnya nanti.

“Eh, tak apa ke Mia naik teksi seorang-seorang?” sampuk Pak Manap spontan dengan nada bimbang.

“Haah, berani ke Mia naik teksi seorang-seorang tu?” soal Dato’ Kamal turut bimbang.

“Tak apa, Dato’. Suami saya pun ada teksi. Nanti saya telefon dia supaya tolong hantarkan Cik Mia balik. Jadi janganlah Dato’ dan Encik Manap risau pasal keselamatan Cik Mia. Insya-ALLAH, ALLAH akan sentiasa melindungi dia daripada sebarang kejahatan dan bahaya,” ujar Hajah Habibah.

“Hmm... kalau dah macam tu kata ustazah, tak apalah. Jadi saya mintak diri dulu. Ada banyak urusan kat pejabat yang perlu diurus segera. Macam yang saya kata tadi, saya amat berharap ustazah dapat mengajar Mia dengan sebaik-baiknya dan tolonglah doakan agar kami sekeluarga sentiasa mendapat kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH,” balas Dato’ Kamal dengan nada penuh mengharap.

“Insya-ALLAH, Dato’. ALLAH itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, maka DIA pasti takkan menyusahkan hamba-NYA yang beriman dan bertakwa kepada-NYA,” ujar Hajah Habibah tersenyum mesra.

“Terima kasih, ustazah. Mia, papa pergi dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Dato’ Kamal turut tersenyum mesra sambil mengelus lembut bahu Mia Karmila sebelum anak gadisnya itu bersalaman dan mencium tangannya.

“Waalaikumussalam,” jawab Hajah Habibah dan Mia Karmila serentak sambil terus memerhatikan lelaki itu masuk ke dalam kereta.

Hajah Habibah segera menepuk lembut bahu Mia Karmila seolah-olah mengajak gadis itu untuk masuk kembali ke dalam rumah untuk meneruskan pengajian sebaik sahaja kereta Dato’ Kamal yang dipandu Pak Manap meluncur laju meninggalkan halaman rumah Hajah Habibah.

“Mia, kenapa Mia tak pakai aje tudung tu pada setiap masa terutamanya bila Mia keluar dari rumah? Rambut tu kan salah satu daripada aurat wanita,” tanya Hajah Habibah lembut apabila melihat Mia Karmila yang sedang terkial-kial mengeluarkan kain selendang dari beg tangan.

Memang begitulah yang Mia Karmila lakukan sejak dua tiga hari ini, iaitu membawa tudung di dalam beg tangan dan hanya memakainya ketika belajar mengaji. Mia Karmila tersentak. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab.

“Berdosa ke kalau kita tak pakai tudung, ustazah?” soal Mia Karmila naif.

“Menutup aurat bagi perempuan-perempuan yang dah baligh, hukumnya adalah wajib. Jadi, memang berdosa kalau aurat kita dapat dilihat orang yang bukan mahram kita. Apatah lagi kalau kita sengaja pulak dedahkan aurat kita sehingga boleh dilihat orang lain yang bukan mahram kita.

Pakai tudung tu adalah wajib kalau itulah caranya dapat kita menutup aurat kita daripada dilihat orang lain yang bukan mahram dan dengan itu kita akan berdosa kalau tidak memakainya,” ujar Hajah Habibah menerangkan secara terperinci.

Mia Karmila tergamam. Terasa dirinya amat berdosa kerana mendedahkan auratnya selama ini. Patutlah ramai kawanku ketika di universiti dulu yang memakai tudung. Tetapi kenapa tiada siapa pun yang mahu menegur aku supaya menutup aurat sebelum ini? Papa dan mama pun tak pernah menegurku malah mama pun tak menutup aurat. Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan? Bisik hati Mia Karmila.

“Menutup aurat perempuan bukan setakat memakai tudung aje tetapi jugak cara pemakaiannya kerana Rasulullah pernah bersabda, akan ada golongan perempuan yang berpakaian tetapi telanjang,” ujar Hajah Habibah lagi apabila melihat Mia Karmila terus membisu.

“Hah? Apa maksudnya tu, ustazah?” soal Mia Karmila tambah keliru.

“Apabila seorang perempuan itu berpakaian tetapi pakaiannya masih menampilkan susuk tubuhnya dengan jelas sehingga boleh menarik minat orang lain untuk memandangnya, maka perempuan yang demikian itu adalah

diibaratkan berpakaian tetapi tetap telanjang,” ujar Hajah Habibah cuba menjelaskan.

“Walaupun perempuan tu memakai tudung?” soal Mia Karmila lagi dengan mata membulat.

Terbayang di matanya, ramai kawannya di universiti dulu yang memakai tudung tetapi tetap memakai seluar ketat dan baju pendek yang kadang-kadang hampir menampakkan aurat jika mereka membongkok.

“Ya, walaupun dia memakai tudung kerana tudung itu dah dijadikan sebagai fesyen, bukannya untuk menutup aurat dengan betul. Rasulullah pernah bersabda, ‘Wahai kaum wanita, labuhkanlah tudungmu agar kamu terhindar daripada api neraka’,” jelas Hajah Habibah lagi.

Tiba-tiba terbayang lagi di mata Mia Karmila bagaimana keadaan pakaiannya selama ini yang memang kebanyakannya amat seksi dan selalu mengikut fesyen barat yang terkini. Oh, adakah sebab itu Andy selalu cuba mencabuli aku kalau kami berdua-duaan? Adakah cara aku berpakaian ketika bertemunya yang telah membuatkan nafsunya bergelora? Adakah itu salahku? Bisik hati kecil Mia Karmila lagi.

“Ya ALLAH, banyaknya dosa saya, ustazah. Macam mana ni, ustazah? Saya tak nak masuk neraka,” ujar Mia Karmila sambil memegang tangan Hajah Habibah bagaikan ketakutan.

“Sabar, Mia. Macam yang ustazah kata semalam, ALLAH itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih. DIA jugak Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Mia patut bersyukur kerana ALLAH masih sayangkan Mia dengan memberi taufik dan hidayah-NYA pada Mia untuk mendalami lagi agama Islam,” ujar Hajah Habibah terhenti seketika sambil menelan liur.

“Jadi apa yang Mia perlu lakukan sekarang ialah memohon ampun daripada ALLAH atas dosa-dosa lalu yang Mia telah lakukan ketika Mia masih jahil dan bertaubat untuk tidak mengulangi lagi. Insya-ALLAH, ALLAH akan mengampunkan segala dosa-dosa Mia,” ujar Hajah Habibah lagi sambil mengelus lembut bahu Mia Karmila seolah-olah ingin memujuk gadis itu daripada terus ketakutan.

“Adakah ALLAH akan ampunkan semua dosa saya itu, ustazah?” tanya Mia Karmila sambil merenung Hajah Habibah.

“Insya-ALLAH kalau Mia benar-benar bertaubat kerana ALLAH itu Maha Pengampun dan DIA yang Maha Mengetahui segalanya. Firman ALLAH dalam Surah An-Nisa ayat 48 mengatakan, ‘Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa selain dosa syirik, kepada sesiapa yang DIA kehendaki’.

Jadi eloklah Mia segera bertaubat dan memohon ampun daripada ALLAH. Moga-moga ALLAH akan mengampuni dosa-dosa Mia yang lalu,” pujuk Hajah Habibah lagi sambil terus mengelus lembut bahu gadis yang duduk di hadapannya itu.

“Macam mana Mia nak bertaubat, ustazah?” soal Mia Karmila keliru.

“Mia, bertaubat itu adalah apabila kita mengaku segala kesalahan kita pada ALLAH dan kita menyesal atas apa yang telah kita lakukan. Lalu kita berjanji pada ALLAH dengan bersungguh-sungguh hati bahawa kita takkan sekali-sekali melakukan lagi segala dosa yang telah kita lakukan itu. Insya-ALLAH, ALLAH akan menerima taubat kita dan mengampunkan segala dosa kita tu,” jawab Hajah Habibah satu per satu supaya Mia Karmila dapat memahami segala apa yang diajarkannya itu.

“Bila Mia boleh bertaubat, ustazah?” tanya Mia Karmila. Dia masih tidak pasti apa yang perlu dilakukan.

“Kita boleh bertaubat pada bila-bila masa. Lebih cepat lebih baik kerana kita tak tahu bila kita akan mati. Amat malanglah nasib orang-orang yang tak sempat bertaubat ketika dia mati. Malahan kita digalakkan untuk bertaubat dan memohon ampun kepada ALLAH pada setiap masa terutamanya setiap kali selepas kita menunaikan solat. Namun ALLAH jugak suka kalau kita buat Solat Taubat terutamanya pada tengah malam,” ujar Hajah Habibah lagi sambil terus menatap wajah Mia Karmila yang mulus itu dengan rasa lega kerana dapat membimbing gadis itu ke jalan yang diredai-NYA.

“Tapi ustazah...” Mia Karmila bagaikan hilang kata-kata.

“Tapi apa, Mia?”

“Mia tak pandai nak baca doa-doa dan bertaubat pada ALLAH dalam bahasa Arab. Boleh ke Mia cakap dalam bahasa Melayu aje? Lagipun Mia tak tahu nak buat solat-solat sunat tu,” ujar Mia Karmila bagaikan anak-anak kecil yang baru masuk sekolah.

“Macam yang dah beberapa kali ustazah kata, ALLAH itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Jadi DIA boleh faham walau bahasa apa pun yang kita cakap. Jadi Mia boleh berdoa dalam bahasa Melayu, cumanya Mia tak boleh berdoa dalam bahasa Melayu ketika dalam solat kerana itu boleh membatalkan solat.

Dalam solat, Mia kena baca semuanya mula daripada takbiratul ihram, al-Fatihah, surah-surah lain dan lain-lain bacaan ketika rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahsyahud, semuanya kena baca dalam bahasa Arab sebagaimana yang diajarkan Nabi Muhamad.

Tapi setelah selesai solat dan memberi salam, Mia boleh berdoa dalam bahasa Melayu kalau Mia tak tahu doa dalam bahasa Arab. Namun yang afdalnya eloklah kalau kita dapat membaca beberapa doa lazim dan zikir selepas solat dalam bahasa Arab dahulu sebelum kita terus berdoa dalam bahasa Melayu. Tentang solat sunat tu, Mia jangan risau. Nanti ustazah akan ajar Mia semuanya,” jelas Hajah Habibah panjang lebar.

“Huh, banyaknya yang Mia nak kena belajar daripada ustazah,” keluh Mia Karmila sambil menepuk kedua-dua belah pipi.

“Mia, jangan mengeluh. Belajar agama dan menghadiri majlis ilmu jugak adalah ibadah dan akan mendapat pahala yang besar kerana hanya melalui pembelajaran dan ilmu kita akan dapat melakukan ibadah dengan baik dan betul. Sebab tu Islam menggalakkah semua umatnya menuntut ilmu,” saran Hajah Habibah.

“Alhamdulillah, nasib baiklah ALLAH telah bukakan hati saya untuk belajar dan mendalami lagi hukum-hakam agama Islam. Saya jugak benar-benar bersyukur kerana telah bertemu dengan seseorang yang telah menasihati saya untuk bersujud syukur ketika saya selamat daripada kesusahan tempoh hari. Kalau tanpa nasihatnya tu mungkin saya akan terus jahil tentang agama macam dulu. Tapi ustazah, sebenarnya Mia sendiri tak tahu apa itu sujud syukur. Mia sujud aje macam kita sujud dalam solat tu. Betul ke ustazah?” akui Mia Karmila perlahan.

Entah mengapa hati Mia Karmila tiba-tiba terasa rindu hendak bertemu Shahriman. Sudah hampir tiga minggu sejak Shahriman menolong menukar tayar keretanya tempoh hari, Mia Karmila langsung tidak ada petunjuk macam mana dapat bertemu lagi dengan Shahriman. Mia Karmila kadang-kadang jadi lemas apabila wajah Shahriman dengan senyuman yang menggoda itu sering muncul dalam mimpinya dan mengganggu tidurnya.

“Oh, iya ke? Siapa dia tu? Dia tak beritahu Mia macam mana nak buat sujud syukur?” soal Hajah Habibah teruja.

“Adalah dia beritahu sikit pasal sujud syukur tu. Dia kata sujud aje macam biasa tetapi seeloknya selepas solat kerana kita masih ada wuduk dan ucapkan alhamdulillah tanda kita berterima kasih pada ALLAH serta menghargai pertolongan-NYA,” jawab Mia Karmila.

“Hmm... betullah tu. Untung orang yang telah menasihatkan Mia tu kerana ALLAH jugak telah membukakan hati Mia untuk lebih dekat kepada ALLAH. Besar pahala dia kalau dia benar-benar jujur nak menunjukkan Mia jalan yang betul,” komen Hajah Habibah.

“Itulah ustazah, Mia pun bersyukur sangat terjumpa dia tempoh hari. Mia rasa ingin sangat nak jumpa dia lagi untuk ucapkan terima kasih kerana telah menyedarkan Mia daripada terus lalai, tetapi Mia lupa pulak nak tanya nombor telefon dia. Jadi sampai sekarang Mia tak tahu macam mana nak jumpa dia lagi,” ujar Mia Karmila tanpa berselindung.

“Tak apalah Mia, ALLAH itu yang Maha Mengetahui segala apa yang diaturkan-NYA. Mia berdoa ajelah. Mohon pada ALLAH, mintak kalau perjumpaan Mia dengan dia akan lebih membawa kebaikan maka pertemukanlah lagi Mia dengan dia. Insya-ALLAH, ustazah yakin ALLAH akan memakbulkan doa Mia tu. Hmm... mari kita mulakan bacaan al-Quran dulu hari ni sebelum ustazah terangkan yang lain nanti,” ujar Hajah Habibah sambil membuka al-Quran.

Apabila pembelajaran yang telah mengambil masa lebih kurang dua jam sebagaimana yang dipersetujui Hajah Habibah dan Mia Karmila hampir selesai, Hajah Habibah segera menelefon suaminya supaya balik dan menghantar Mia Karmila pulang ke rumahnya. Tambahan pula, Hajah Habibah lihat Mia Karmila agak letih ketika itu, mungkin kerana banyak sangat perkara-perkara yang dipelajarinya pada hari itu, maka Hajah Habibah tidak sampai hati untuk meneruskan pengajian lebih lama lagi.

Lebih kurang 20 minit kemudian kedengaran bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumah Hajah Habibah menandakan teksi suaminya telah sampai. Hajah Habibah segera membuka pintu untuk melihat.

Mia Karmila yang turut mengikuti Hajah Habibah ke muka pintu jadi tergamam apabila melihat lelaki yang keluar daripada teksi itu.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.