Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,267
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 14

“Mia, papa tengok Mia ni asyik tengok TV aje. Bila Mia nak mula kerja?” tanya Dato’ Kamal apabila melihat anak gadisnya sedang khusyuk menonton televisyen di ruang rehat keluarga ketika Dato’ Kamal baru balik dari bermain golf tengah hari itu.

“Oh, papa. Hmm... keputusan periksa belum dapat lagi, macam mana Mia nak kerja?” balas Mia sambil melempar senyuman manja kepada Dato’ Kamal yang sedang memerhatikannya.

“Nak tunggu keputusan periksa apanya? Mia bukan nak mintak kerja kat syarikat orang lain. Pergi aje dulu, tengok-tengok pejabat dan belajar sikit-sikit daripada pegawai yang ada kat sana. Sekurang-kurangnya ada jugak benda yang Mia dah belajar sebelum papa beri Mia jawatan yang tetap nanti. Ni duduk kat rumah asyik menghadap TV aje, takkan tak puas-puas lagi Mia nak berehat?” komen Dato’ Kamal sambil melabuhkan punggung di sofa bersebelahan Mia Karmila.

“Err... nantilah, papa. Berilah Mia seminggu dua lagi. Mia nak habiskan dulu projek yang Mia tengah buat sekarang,” pujuk Mia Karmila dengan nada manja.

“Hah? Projek apa yang Mia sedang buat tu?” soal Dato’ Kamal terkejut.

“Projek belajar mengumpul saham,” jawab Mia Karmila perlahan, cuba meniru ungkapan Ustaz Azhar di dalam ceramahnya yang didengar di dalam Youtube.

“Hai, sejak bila pulak anak papa ni pandai main saham? Dari mana Mia dapat duit beli saham tu?” soal Dato’ Kamal ragu.

“Saham yang Mia buat ni tak banyak pakai modal, jadi tak perlu duit,” jawab Mia Karmila seolah-olah seronok dapat membuat papanya terus berteka-teki.

“Mana ada saham yang tak perlu duit? Mia jangan berani-berani nak main jual beli saham pakai kontrak atas angin tu. Mia jangan mudah sangat percaya pada spekulasi pasaran. Dibuatnya saham tu tiba-tiba merudum sebelum sempat Mia jual, karang tak pasal-pasal Mia tanggung kerugian,” komen Dato’ Kamal bimbang dengan kebolehan anak gadisnya itu.

“Saham yang Mia buat ni bukan pakai spekulasi tetapi memang benar-benar boleh dipercayai. Janganlah papa bimbang kerana ia pasti akan memberi keuntungan kepada kita nanti,” ujar Mia Karmila yakin, seolah-olah mahu papanya memberi sepenuh sokongan terhadap projeknya itu.

“Hei, saham apa yang Mia beli tu sampai beriya-iya benar yakin akan keuntungannya? Syarikat tempatan ke syarikat antarabangsa?” usik Dato’ Kamal dengan nada sinis.

“Antarabangsa, sebab saham tu ada kat seluruh dunia,” jawab Mia Karmila sambil tersenyum bagaikan sengaja mahu papanya terus keliru.

“Hah? Saham antarabangsa? Mia, Mia jangan cuba-cuba main dengan pasaran saham kalau Mia belum betul-betul faham selok-beloknya. Papa tak nak Mia terperangkap dengan spekulasi yang belum tentu tu. Kalau apa-apa jadi nanti, papa tak nak tanggung kerugian Mia tau. Siapa yang ajar dan ajak Mia main-main saham ni?” soal Dato’ Kamal terkejut.

“Papa jangan bimbang. Mia jamin saham Mia ni takkan rugi.”

“Siapa ajar Mia dan kat mana Mia bukak akaun saham tu?” soal Dato’ Kamal dengan nada tegang.

“Ada yang Mia belajar secara on-linedan ada jugak yang Mia belajar dan buat kat rumah ni aje,” balas Mia selamba, semakin dalam teka-tekinya pada papanya.

“Hah? Mia belajar main saham secara on-line?Apa yang Mia buat sebenarnya ni? Kenapa tak tanya papa kalau Mia nak sangat belajar pasal saham-saham ni? Sebab tulah papa suruh Mia pergi pejabat dulu dan kat sana nanti Mia boleh belajar macam-macam pasal perniagaan termasuklah jual beli saham ni,” saran Dato’ Kamal, semakin bingung memikirkan tindak-tanduk anak gadisnya itu.

“Tapi saham yang Mia belajar ni tak ada kat syarikat papa,” jawab Mia Karmila mendatar.

“Saham apa sebenarnya yang Mia main ni? Kat bahagian akaun syarikat papa tu ada satu unit yang mengurus hal ehwal pelaburan syarikat. Kat situ Mia boleh belajar macam mana nak jual beli saham yang betul dan menguntungkan. Jadi kenapa Mia masih tak nak mula kerja sekarang?” soal Dato’ Kamal dengan mata membulat.

“Kat syarikat papa tu ada ke jual beli saham akhirat?” tanya Mia Karmila sambil menegakkan badan yang tadinya bersandar di sofa. Dia bagaikan sengaja mahu merungkai teka-teki yang berselirat di fikiran papanya.

“Saham akhirat? Apa maksud Mia?” soal Dato’ Kamal masih dengan matanya yang membulat, bagaikan tidak senang dengan soalan Mia Karmila itu.

“Iyalah, kat syarikat papa tu ada ke ustazah atau ustaz yang boleh ajar Mia mengaji al-Quran dan mendalami hukum-hukum agama, tentang perlaksanaan ibadah solat yang betul dan ibadah-ibadah yang lain tu? Itulah saham akhirat yang Mia sedang balajar,” ujar Mia Karmila perlahan.

Dato’ Kamal tergamam. Ditenungnya wajah manis anak gadisnya itu dengan mata yang tidak berkelip seolah-olah cuba mencari sesuatu daripada wajah itu.

Tiba-tiba hati Dato’ Kamal berdetik sendu. Terasa amat berdosa kerana lalai di dalam memberikan didikan agama yang sepatutnya kepada kedua-dua anak-anaknya. Malah dia dan isterinya juga sering lalai di dalam melaksanakan tanggungjawab yang wajib terhadap ALLAH yang Esa kerana terlalu mengejar kekayaan dunia. Dato’ Kamal benar-benar rasa terpukul dengan kata-kata Mia Karmila itu. Dia menarik nafas dalam-dalam dan kemudian terdengar keluhan yang amat berat terlontar daripada kerongkongnya.

“Papa, ampunkan dan maafkan Mia,” ucap Mia Karmila segera bangun lalu berteleku di hadapan papanya seolah-olah memohon simpati apabila melihat papanya mengeluh.

Dia pasti papanya amat kecewa dengan tindakannya yang lebih mengutamakan pengajian agama daripada bekerja di syarikat papanya.

“Untuk apa?” soal Dato’ Kamal keliru.

“Kerana sorokkan perkara ni daripada papa. Mia belajar mengaji tanpa restu papa dan mama,” ujar Mia Karmila sambil mencapai kedua-dua tangan Dato’ Kamal dan mencium telapak tangan itu dengan penuh syahdu.

Hati Dato’ Kamal bertambah tersentuh dengan reaksi anak gadisnya itu. Bagaikan dipukau, Dato’ Kamal segera menarik bahu Mia Karmila lalu mencium ubun-ubun anaknya itu dengan penuh kasih sayang.

“Mia tak salah. Papa yang bersalah kerana tak beri didikan agama yang sewajarnya pada Mia dan Khai. Papa bangga kerana Mia pandai berusaha sendiri untuk mencari saham akhirat tu,” balas Dato’ Kamal dengan nada sendu.

“Jadi papa tak marah Mia?”

“Mengapa mesti papa marah? Mia buat perkara yang baik, bukannya perkara yang salah. Err... dengan siapa belajar mengaji?” soal Dato’ Kamal ingin tahu.

Mia Karmila merenung wajah papanya dengan pandangan yang sayu. Masih berbelah bahagi sama ada harus memberitahu perkara yang sebenar atau tidak kerana khuatir papanya mungkin tidak senang dengan penglibatan Mak Kiah di dalam perkara itu.

“Kenapa, Mia? Siapa yang ajar Mia mengaji?” soal Dato’ Kamal sekali lagi apabila melihat Mia Karmila hanya membisu.

“Mia harap papa tak marah orang tu kalau Mia beritahu siapa yang ajar Mia mengaji,” pohon Mia dengan nada sayu.

“Macam papa cakap tadi, mengapa papa harus marah kalau perkara tu baik?” ujar Dato’ Kamal seolah-olah memberi janji.

Mia Karmila menarik nafas panjang.

“Mak Kiah yang ajar Mia mengaji. Mia nak mengaji dengan ustazah atau ustaz yang berkelayakan tetapi Mia tak cukup duit untuk bayar ustazah tu. Jadi, sebab tulah Mak Kiah yang ajar Mia sekarang,” ujar Mia Karmila perlahan.

Dato’ Kamal tergamam sekali lagi sambil matanya terus membulat memandang tepat ke wajah Mia Karmila yang kelihatan resah. Oh, terlalu banyak jasa kedua-dua suami isteri itu di dalam mendidik anak-anakku selama ini, sedangkan aku dan Mariam hanya sibuk mencari kepentingan dunia, bisik hati kecil Dato’ Kamal sendu.

“Papa, tolong jangan marah Mak Kiah. Dia tak salah, Mia yang suruh dia ajar Mia,” ujar Mia Karmila segera memegang lengan papanya, seolah-olah merayu.

“Kenapa Mia cakap macam tu?” soal Dato’ Kamal, hairan.

“Mia tak nak papa marah Mak Kiah macam papa marah dia semasa dia dan Pak Manap nak ajar Mia dan Khai baca Iqra’ ketika kami masih sekolah dulu sebab papa dan mama tak nak kami ponteng kelas swimmingdan kelas piano. Tapi sekarang Mia dah tamat belajar, jadi Mia harap papa takkan marah Mak Kiah kerana Mia tak perlu ponteng mana-mana kelas lain,” ujar Mia Karmila terus memohon simpati sambil merenung Dato’ Kamal.

“Mia ingat papa akan marah Mak Kiah ke?” soal Dato’ Kamal kesal kerana tidak menyangka sehingga begitu sekali anggapan buruk anak gadisnya itu terhadapnya.

“Mia tahu papa marah sebab Mia tengok mata papa yang dah membulat itu. Tapi, macam yang Mia kata tadi, semua tu bukan salah Mak Kiah, jadi Mia harap sangat papa jangan marah Mak Kiah. Mia sayang Mak Kiah,” rayu Mia Karmila dengan nada sendu.

Hati Dato’ Kamal tiba-tiba tersentuh dengan ucapan anak gadisnya itu. Terdetik juga rasa cemburu di hatinya apabila anak gadisnya itu beriya-iya benar mahu melindungi dan menyayangi tukang masak mereka. Lalu terfikir juga di hati Dato’ Kamal, adakah anak-anaknya juga akan melindungi dan membela dia sebegitu sekiranya sesuatu perkara berlaku ke atasnya? Hati Dato’ Kamal bertambah sendu.

Namun Dato’ Kamal tetap bersyukur kerana daripada penglihatan mata kasarnya, kedua-dua anaknya, Mia Karmila dan Khairil membesar dengan akhlak yang baik dan Dato’ Kamal juga yakin bahawa Mia Karmila adalah seorang gadis yang pandai menjaga maruah diri walaupun dia dan isterinya tidak pernah menitikberatkan didikan agama kepada anak-anaknya. Mereka hanya memberi kemewahan zahir kepada kedua-dua anak mereka itu tetapi tidak daripada segi kemewahan iman.

Ya ALLAH, ampunkanlah segala dosa-dosaku di atas kelalaianku ini kerana aku terlalu taksub terhadap kemewahan dunia yang telah KAU anugerahkan kepadaku. Namun aku amat bersyukur kepada-MU, kerana KAU masih sayang pada kami sekeluarga dan memelihara anak-anakku daripada segala kejahatan dan maksiat. Ampunkanlah aku, ya ALLAH, doa Dato’ Kamal dalam hati.

“Oh, janganlah Mia bimbang. Papa takkan marah Mak Kiah,” balas Dato’ Kamal sambil mengelus lembut bahu anak gadisnya seolah-olah memberi keyakinan.

Hakikatnya Dato’ Kamal amat terhutang budi kepada Mak Kiah dan Pak Manap kerana kedua-dua suami isteri itulah yang telah membantunya mendidik Mia Karmila dan Khairil dengan baik selama ini.

“Jadi, papa benarkan Mia terus belajar mengaji?” soal Mia Karmila dengan mata yang bercahaya.

“Boleh,” jawab Dato’ Kamal sambil turut tersenyum.

“Kalau macam tu...” Mia bagaikan teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya.

“Kalau apa?” soal Dato’ Kamal.

“Kalau...kalau macam tu, boleh tak papa beri Mia duit lebih supaya Mia boleh suruh Pak Manap cari ustazah yang berkelayakan untuk ajar Mia mengaji al-Quran dan jugak lain-lain hukum-hakam Islam yang perlu Mia pelajari?” pinta Mia Karmila manja.

Dato’ Kamal merenung seketika wajah Mia Karmila yang manis itu, seolah-olah cuba mentafsir apa yang ada di fikiran gadis itu dengan senyuman yang terus terukir di bibirnya, sebelum dia mengangguk tanda bersetuju dengan apa yang dipinta anak kesayangannya itu.

“Oh, terima kasih papa. Sayang papa,” ucap Mia Karmila sambil memeluk Dato’ Kamal dengan penuh kegembiraan.

“Tapi...” Tiba-tiba Mia Karmila bagaikan tersedar sesuatu.

“Tapi apa lagi ni, sayang?” soal Dato’ Kamal hairan.

“Macam mana dengan mama? Dia setuju ke kalau Mia pergi mengaji?” soal Mia Karmila berkerut dahi.

“Hmm... kalau papa dah beri, mama mesti ikut aje. Mia janganlah bimbang pasal tu. Tapi mana mama? Dari tadi papa tak nampak mama pun?” soal Dato’ Kamal seolah-olah baru tersedar yang isterinya tiada bersama mereka ketika itu.

“Mama dah pergi kelab. Tadi mama tunggu jugak papa untuk makan tengah hari sama-sama, tapi bila papa balik lambat dari main golf, kami makan bertiga aje. Lepas tu Mia dengar Puan Sri ada telefon mama, ajak jumpa kat kelab. Mereka ada latihan poco-poco katanya,” jawab Mia Karmila.

“Hisy mama kamu ni tak habis-habis dengan kumpulan poco-poconya tu. Hmm... tak apalah, kalau macam tu biar papa pergi mandi dan berehat sebab malam nanti papa ada jamuan makan dengan clientspulak. Err... kalau Mia dah dapat ustazah ataupun ustaz yang nak mengajar Mia tu, Mia beritahu papa ya, sebab papa pun nak jumpa dia jugak. Pasal duit tu, nanti papa suruh Rita masukkan lebih dalam akaun bank Mia mulai bulan ni,” ujar Dato’ Kamal sambil bangun untuk ke bilik.

“Terima kasih banyak-banyak, papa. Nanti Mia akan ingatkan jugak Kak Rita, setiausaha papa tu tentang duit tambahan tu ya,” balas Mia Karmila dengan senyuman meleret.

Dia berasa seronok apabila papanya telah bersetuju untuk membiayai bayaran untuk mengaji al-Quran dan mendalami hukum-hakam Islam.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.