Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,393
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 25

MiaKarmila mendengus geram apabila telefon bimbitnya terus berdering ketika dia sedang khusyuk membaca Surah al-Waqi’ah di dalam bilik usai Solat Maghrib berjemaah bersama mama dan papanya sebentar tadi.

Dia sedang berusaha mengamalkan untuk membaca sekurang-kurangnya satu surah setiap malam sebagaimana yang disarankan Ustazah Habibah. Deringan telefon yang membingitkan telinganya itu benar-benar telah mengganggu konsentrasinya.

Mia Karmila segera mencapai telefon untuk melihat siapakah yang menelefonnya pada waktu-waktu begitu. Hatinya bertambah sebal apabila terlihat nama Adrian terpapar di skrin. Spontan jari Mia Karmila menekan butang ‘reject’ dan kemudian mematikan telefon bimbit itu kerana tidak mahu konsentrasinya membaca al-Quran terganggu.

Mia Karmila tahu Adrian pasti akan cuba menghubunginya lagi selagi panggilannya tidak dijawab. Sejak petang tadi, sudah tiga kali Adrian menelefonnya tetapi Mia Karmila agak keberatan untuk menjawab. Dia yakin, pasti lelaki itu mahu bertanya tentang penampilannya yang dilihat ketika di restoran tengah hari tadi.

Hakikatnya Mia Karmila masih belum bersedia untuk berbicara tentang perubahan penampilannya dengan sesiapa pun, kerana apa yang penting bagi Mia Karmila sekarang adalah untuk memujuk mamanya supaya terus merestui perubahan yang sedang Mia Karmila cuba terapkan di dalam keluarga mereka.

Setelah usai menunaikan Solat Isyak, Mia Karmila tiba-tiba teruja untuk mencuba tudung dan jubah yang baru dibelinya siang tadi. Dia bercadang untuk memakainya esok ketika ke rumah Ustazah Habibah.

Puas Mia Karmila meneleng-neleng dan melenggok-lenggokkan badannya di hadapan cermin, cuba menggayakan jubah dan tudung yang sepadan.

“Cik Mia pasti nampak cantik dan manis kalau pakai jubah tu.”

Tiba-tiba Mia Karmila bagaikan terdengar suara mersik Shahriman seolah-olah berbisik di telinganya. Dia segera berpaling mencari tuan punya suara itu.

Oh, aku berkhayal rupanya, bisik hati Mia Karmila setelah menyedari dirinya sedang berseorangan di dalam bilik itu. Entah mengapa hati Mia Karmila tiba-tiba rasa bergetaran dan amat rindu untuk menatap wajah Shahriman yang sentiasa tenang dengan senyumannya. Mia Karmila berpaling memandang cermin, cuba membetulkan tudungnya tetapi dia jadi agak terkejut apabila seolah-olah terpandang Shahriman sedang merenungnya dari dalam cermin itu.

Oh, mengapakah wajah itu yang menjelma? Gila bayangkah aku? Bisik hati Mia Karmila keliru. Bagaikan dipukau, Mia Karmila segera mencapai telefon bimbit dan menghidupkan kembali setelah dimatikannya ketika tidak mahu diganggu Adrian selepas maghrib tadi.

Hmm... nasib baik aku sempat mintak nombor telefon dia tadi, bisik hati kecil Mia Karmila keriangan sambil jarinya terus menekan nombor telefon bimbit Shahriman dari dalam ‘contact list’ nya.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara mersik Shahriman memberi salam setelah beberapa saat Mia Karmila menunggu panggilannya dijawab.

Mia Karmila tergamam. Lidahnya bagaikan kelu apabila terdengar suara yang bagaikan berjaya menggoncang jantungnya itu. Denyutan jantungnya bertambah laju sehingga membuat kerongkongnya bagaikan tersumbat untuk bersuara.

“Assalamualaikum. Helo, nak cakap dengan siapa?” tanya Shahriman hairan apabila tidak terdengar sebarang suara di hujung talian.

“Helo, siapa ni?” Kedengaran Shahriman terus bertanya dengan nada agak prihatin apabila telefon di hujung talian masih senyap.

“Wa...waalaikumussalam, ustaz.” Akhirnya terdengar suara yang agak bergetar menjawab salam.

Mia Karmila tiada pilihan lain tetapi terpaksa menguatkan hatinya untuk segera bersuara kerana khuatir Shahriman mungkin akan memutuskan talian sekiranya tiada jawapan dari hujung talian.

“Oh, Cik Mia ke? Kenapa senyap aje tadi?” soal Shahriman mesra.

“Err... maaf saya tak sengaja tertekan nombor ni tadi,” ujar Mia Karmila cuba berselindung.

“Tak apa. Saya pun tengah free sekarang, jadi panggilan Cik Mia ni tak mengganggu apa-apa pun,” ujar Shahriman. Kemesraan suaranya masih jelas kedengaran.

“Tapi macam mana Ustaz Aiman tahu saya yang panggil?” soal Mia Karmila terkejut.

Seingat Mia Karmila, dia belum pun lagi mengenalkan diri sejak tadi dan dia juga tidak pernah memberi nombor telefonnya pada Shahriman, jadi sudah pasti lelaki itu tidak tahu itu nombor telefonnya. Tetapi bagaimana dia boleh tahu aku yang memanggil? Hati kecil Mia Karmila bertanya, hairan.

“Hmm... suara perempuan yang pernah berbicara dengan saya, takkan saya boleh lupa,” ujar Shahriman bagaikan sengaja mahu mengusik.

“Tapi saya pasti ramai perempuan lain yang pernah berbicara dengan Ustaz Aiman. Mungkin jugak suara salah seorang daripada mereka tu boleh menyerupai suara saya,” ujar Mia Karmila cuba menduga kerana agak teruja dengan nada suara Shahriman yang jelas kedengaran nakal mengusiknya.

“Betul, saya tak nafikan bahawa memang saya pernah berbicara dengan ramai perempuan lain dan dah dengar berbagai-bagai gaya dan nada suara perempuan, tetapi suara yang satu ni tak sama dengan suara-suara yang lain tu,” ujar Shahriman semakin seronok mengusik.

“Maksud Ustaz Aiman?”

“Suara Cik Mia lain daripada yang lain. Sebab tu saya mudah kenal.”

“Betul ke tu? Atau Ustaz Aiman saja nak kenakan saya?” ujar Mia Karmila tertawa kecil.

“Nak kenakan apa pulak? Dalam telefon cuma boleh dengar suara aje, jadi macam mana nak kenakan? Lainlah kalau sedang berdepan mata, boleh jugak kenakan Cik Mia lagi macam siang tadi. Kali ni pekena ayam panggang ke atau pun kambing panggang ke, best jugak kan?” usik Shahriman tertawa riang.

“Wah, nampaknya Ustaz Aiman memang betul-betul nak pekena saya ya? Nasib baik hari dah malam, kalau tak...”

“Kalau tak, apa?” soal Shahriman seolah-olah mencabar.

“Sekarang jugak saya keluar dan bawa Ustaz Aiman pekena kambing panggang. Saya nak tengok banyak mana sangat yang Ustaz Aiman larat nak makan,” ujar Mia Karmila semakin seronok membalas gurauan Shahriman.

“Tapi esok kan masih ada untuk kita,” komen Shahriman, mesra.

Mia Karmila tergamam. Tidak menyangka Shahriman akan berkata begitu kepadanya. Spontan terbayang wajah Shahriman yang tampan dan tenang di tubir matanya. Hati Mia Karmila melambung-lambung keriangan.

“Betul esok masih ada untuk kita tetapi nyawa kita belum tentu masih ada sampai esok,” balas Mia Karmila mengikut rentak Shahriman.

Hakikatnya Mia Karmila benar-benar terasa amat gembira apabila mendengar suara Shahriman yang begitu jelas seronok berbicara dengannya. Rasa malu yang membelenggu hatinya awal-awal tadi bagaikan sudah terbang jauh. Yang tinggal dalam hatinya sekarang hanyalah rasa bahagia dan syukur di atas reaksi Shahriman yang bagai membayangkan bahawa lelaki itu juga sememangnya sentiasa menunggu-nunggu panggilan daripadanya.

Shahriman juga bagaikan terkedu mendengar kata-kata Mia Karmila. Tidak menyangka gadis yang pertama kali dilihatnya sebagai seorang gadis yang sosial tetapi kini telah sentiasa mengaitkan kekuasaan ALLAH di dalam setiap tutur katanya. Hati Shahriman benar-benar syahdu terhadap perubahan drastik Mia Karmila.

Tiba-tiba terbayang di tubir matanya wajah ayu yang seolah-olah sedang tersenyum manis kepadanya. Hati muda Shahriman bergetaran tidak menentu. Keinginan untuk terus mendekati gadis itu bagaikan membuak-buak. Bunga-bunga rindu bagaikan mula berkembang dalam hati kedua-dua teruna dara itu.

“Wah, tak sangka Cik Mia boleh bermadah bagaikan seorang pujangga. Amat menusuk kalbu saya. Tak terlawanlah saya dibuatnya,” puji Shahriman.

“Alhamdulillah, tu semua adalah anugerah ALLAH pada saya. Mungkin ALLAH kesian tengok saya selalu kena perli dengan Ustaz Aiman,” balas Mia Karmila sambil tertawa kecil.

“Eh, bila pulak saya perli Cik Mia? Tak betul ke semua apa yang saya katakan? Tak baik tau, Cik Mia tuduh saya macam tu,” bidas Shahriman dengan nada yang lirih seolah-olah merajuk.

“Hu...hu...hu... tak sangka ada orang merajuk malam ni. Jangan sampai tak boleh tidur pulak nanti, dahlah,” ujar Mia Karmila tertawa terkekeh-kekeh. Dia tahu Shahriman sengaja mengusiknya.

“Hmm... sesekali nak merajuk, apa salahnya.”

“Jadi, betullah Ustaz Aiman merajuk?”

“Kenapa? Kalau saya merajuk, Cik Mia tak nak pujuk ke?” soal Shahriman bagaikan tidak percaya kata-kata itu boleh terlontar daripada bibirnya.

Sekali lagi Mia Karmila tergamam. Kata-kata Shahriman itu benar-benar berjaya mencuit naluri kewanitaannya. Rasa rindu untuk menatap wajah yang tampan dan tenang itu terus membuak-buak, mendebarkan hatinya.

Oh, tak sangka kau seorang yang begitu romantis. Alangkah indahnya hidup ini kalau aku mendapat seorang suami yang soleh sepertimu, bisik hati kecil Mia Karmila. Kelopak cinta bagaikan mula memekar dalam hatinya.

“Cik Mia? Cik Mia masih di situ ke?” Kedengaran suara Shahriman di hujung talian. Bimbang apabila Mia Karmila terus menyepi seketika.

“Ya...ya.. err... saya masih kat sini. Maaf saya terlepas telefon ni sekejap jadi tak berapa nak dengar apa yang Ustaz Aiman cakap,” ujar Mia Karmila gugup, cuba menyorokkan hatinya yang sentiasa bergetaran. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab.

“Oh, iya ke? Cik Mia sedang buat apa yang sampai boleh terlepas telefon? Kalau Cik Mia sedang sibuk, saya mintak maaf kerana terus berbicara tadi walaupun Cik Mia kata tersalah tekan nombor saya tadi,” ujar Shahriman dengan agak terkilan.

Namun Shahriman berasa lega apabila Mia Karmila mengatakan yang dia tidak berapa dengar apa yang dikatakannya tadi. Entah mengapa tiba-tiba Shahriman terasa malu pada diri sendiri kerana begitu berani bergurau dengan Mia Karmila yang dia sendiri tidak tahu apakah anggapan gadis itu padanya. Terasa gelombang rindu yang begelodak dalam hatinya mendayu sayu.

Oh, adakah aku aje yang syok sendiri sedangkan dia langsung tak mempunyai apa-apa perasaan pun terhadapku, bisik hati kecil Shahriman.

“Eh, tak apa. Saya tak sibuk pun, cuma tangan saya ni agak licin sikit sebab baru lepas sapu krim muka tadi. Sebenarnya saya...” Mia Karmila bagaikan keberatan untuk meneruskan kata-katanya.

“Sebenarnya apa, Cik Mia?” soal Shahriman tidak sabar.

“Sa... saya seronok dapat berbual dengan Ustaz Aiman macam sekarang, cuma...” Sekali lagi Mia Karmila terhenti kerana tidak tahu bagaimana mahu menyatakan apa yang difikirkannya.

“Cuma apa? Beritahulah saya, jangan segan-segan. Saya sedia mendengarnya,” ujar Shahriman.

“Err... sa...saya rasa kita ni terlalu formal.”

“Maksudnya?”

“Ustaz Aiman ada cakap pagi tadi yang Ustaz Aiman sudi terima saya sebagai sahabat Ustaz Aiman, kan?” soal Mia Karmila.

“Ya, memang saya lebih daripada bersedia untuk jadi sahabat Cik Mia. Kenapa? Cik Mia masih ragu keikhlasan saya itu ke?” soal Shahriman khuatir.

“Saya tak pernah meragui keikhlasan Ustaz Aiman.”

“Habis tu, apa yang Cik Mia maksudkan?”

“Sebagai sahabat, saya rasa kurang selesa kalau kita terlalu formal begini. Boleh tak Ustaz Aiman tak payah ber‘cik-cik’ dengan saya? Panggil aje saya Mia ataupun apa-apa nama yang Ustaz Aiman rasa selesa,” pinta Mia Karmila.

“Oh, pasal tu ke? Saya ingatkan apalah tadi sampai risau saya dibuatnya. Tapi betul ke Cik Mia nak saya panggil Cik Mia dengan panggilan yang saya suka?” soal Shahriman minta kepastian.

“Ya, kenapa? Ustaz Aiman tak percaya?”

“Bukan tak percaya tetapi saya seronok sangat sebab diberi penghormatan begitu. Sesuatu yang saya belum pernah terima daripada seorang gadis manis macam Cik Mia,” ujar Shahriman sambil tertawa riang.

“Hah, tu masih lagi ber‘cik-cik’ tu pasal apa?” sergah Mia Karmila, namun jelas kedengaran nada nakal dalam suaranya.

“Hmm... baiklah tuan puteri. Mulai sekarang saya akan panggil tuan puteri dengan nama Humairah. Boleh?” soal Shahriman tertawa kecil.

Segera terbayang di mata Shahriman senyuman manis yang sentiasa terukir di wajah yang polos dan ayu itu. Hati Shahriman akan terus bergetaran setiap kali wajah itu muncul di tubir matanya. Manakala di hujung talian, Mia Karmila tersentak kerana keliru kenapa Shahriman memberinya nama baru begitu.
Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.