“Kenapa Humairah?”
soal Shahriman menjawab soalan Mia Karmila apabila terdengar keluhan gadis itu
di hujung talian.
“Kenapa
apa?” soal Mia Karmila hairan.
“Saya
dengar Humairah mengeluh. Humairah dah letih ke kerana kita berbual dah agak
lama ni?” soal Shahriman serba salah.
“Eh,
tak adalah. Saya seronok dapat berbual dengan Ustaz. Sekurang-kurangnya ada
jugak sedikit ilmu yang saya dapat tadi. Tapi, kalau Ustaz Aiman ada kerja lain
tak apalah. Mungkin kita boleh berbual lain kali,” ujar Mia Karmila sedikit
terkilan kerana tidak dapat berlama-lama dengan lelaki itu.
“Hmm...
saya pun sebenarnya seronok dapat berbual dengan Humairah, tetapi memandangkan
hari dah lewat ni, saya rasa eloklah kita berhenti setakat ni dulu. Macam
Humairah cakap, mungkin lain kali kita boleh berbual lagi. Tapi...” ujar
Shahriman juga seakan-akan kesal kerana terpaksa memberhentikan perbualan
walaupun hatinya bagaikan tidak rela berbuat begitu.
“Tapi
apa, Ustaz Aiman?” pintas Mia Karmila tidak sabar.
“Saya
rasa macam tak adillah pulak,” balas Shahriman, selamba.
“Apa
yang tak adil tu?” soal Mia Karmila keliru.
“Humairah
suruh saya buang perkataan cik dan panggil Mia atau Humairah aje tetapi
Humairah pulak asyiklah ber’ustaz-ustaz’ dengan saya. Kenapa sebelah pihak aje
yang kena tukar sedangkan yang sebelah lagi tak. Itu kan tak adil namanya,”
protes Shahriman.
“Dah
Ustaz Aiman kan memang seorang ustaz, jadi apa salahnya saya panggil dengan
panggilan tu?” soal Mia Karmila keliru.
“Apabila
Humairah rasa lega kerana menjadi sahabat saya yang takkan mudah dilupai, maka
adakah Humairah akan rasa mesra kalau kita terus dengan panggilan yang agak
formal tu?” duga Shahriman.
Mia
Karmila terkedu seketika. Tidak menjangka lelaki itu akan bertanya begitu.
“Jadi,
apa yang Ustaz Aiman nak?” soal Mia Karmila.
“Panggillah
apa aje yang Humairah rasa selesa dan mesra,” umpan Shahriman.
“Oh,
iya ke? Hmm... semua orang panggil Ustaz Aiman, jadi sebagai sahabat yang tak
mudah dilupai, saya tak nak sama macam mereka. Boleh ke kalau saya panggil
Eiman aje?” soal Mia Karmila dengan nada nakal tetapi mesra.
“Kalau
itu yang Humairah rasa mesra, saya terima dengan senang hati,” balas Shahriman
gembira.
“Ada
tak perempuan lain panggil Ustaz Aiman macam tu?” soal Mia Karmila ingin tahu.
“Kalau
ada, kenapa?” soal Shahriman sengaja menduga.
“Tak
adalah, takut kalau-kalau Ustaz Aiman keliru pulak siapa yang panggil nanti
kalau ada perempuan lain yang panggil begitu jugak,” jawab Mia Karmila selamba.
“Hmm...
pandai Humairah nak uji saya ya.”
“Uji
apa pulak? Kan betul apa yang saya kata tu. Katakanlah perempuan tu telefon
Ustaz Aiman dan Ustaz Aiman tak sempat tengok siapa pemanggilnya, tentu Ustaz
Aiman keliru jika dia pun menyebut Eiman nanti. Tak pasal-pasal nanti Ustaz
Aiman pun panggil dia Humairah pulak,” balas Mia Karmila, sengaja memprovokasi.
“Janganlah
Humairah risau pasal tu sebab belum ada lagi perempuan lain yang panggil saya
dengan nama Eiman. Hanya Humairah yang beri nama tu pada saya. Jadi mulai
sekarang, kalau kita berbicara berdua aje, jangan lagi panggil saya ustaz tau.
Panggil aje saya Eiman kerana saya suka nama yang Humairah beri tu,” ujar
Shahriman seolah-olah memberi amaran.
“Betul
Eiman suka nama tu? Kenapa?” soal Mia Karmila cuba merisik.
“Sebab
Humairah yang beri,” jawab Shahriman nakal.
“Terima
kasihlah kerana ada jugak orang yang menghargai pemberian saya yang tak
seberapa ni,” balas Mia Karmila tertawa kecil.
“Alhamdulillah
kerana ada jugak orang yang sanggup jadikan saya sahabat yang tak mudah dilupai
dan berbual mesra dengan saya walaupun hari dah jauh malam ni. Jadi maafkanlah
saya kalau nanti Humairah terlewat tidur pulak,” ucap Shahriman.
“Tak
apa. Saya yang sepatutnya mohon maaf kerana telah tersalah tekan nombor Eiman
tadi. Bagaimana pun, terima kasih kerana telah sudi melayan saya walaupun
panggilan yang tak disengajakan. Harap Eiman takkan serik berbual dengan saya.
Assalamualaikum,” ujar Mia Karmila, cuba berbasa-basi.
Hakikatnya
Mia Karmila cuba melindungi tindakannya yang sengaja menekan nombor telefon
Shahriman tadi kerana hatinya yang tiba-tiba rindu untuk mendengar suara lelaki
itu. Mia Karmila tidak mahu Shahriman mengesani resah hatinya itu.
“Waalaikumussalam.
Semoga kita dapat berbual lagi di lain masa,” balas Shahriman terpaksa walaupun
pada hakikatnya hati Shahriman bagaikan masih belum puas berbual dengan Mia
Karmila.
Mia
Karmila yang masih lagi merenung telefon yang baru diputuskan taliannya jadi
agak terkejut apabila telefon itu berdering. Dia segera melihat nama yang
tertera di skrin telefon itu kerana khuatir mungkin Shahriman ada sesuatu yang
dia terlupa sebentar tadi. Namun Mia Karmila hanya menarik nafas panjang dan
membiarkan telefon itu terus berdering apabila melihat nama Adrian yang
terpapar di skrin telefon itu.
Sebaik
sahaja deringan telefon itu terhenti, terdengar pula bunyi menandakan ada SMS
masuk di telefon itu. Dengan hati yang malas Mia Karmila membaca SMS itu dan
ternyata ia hanyalah pesanan yang menyatakan ada tiga missed calls daripada
Adrian. Mia Karmila hanya mendengus kecil sambil meletakkan telefon di atas
meja di sisi katil.
Namun
apabila Mia Karmila baru bersiap-siap untuk tidur, tiba-tiba dia dikejutkan
lagi dengan deringan telefon. Mia Karmila tahu, pasti Adrian yang memanggil
itu. Mahu tidak mahu terpaksa juga Mia Karmila menjawabnya kerana tidak mahu
Adrian terus-terusan mengganggunya malam itu.
“Helo,”
ujar Mia Karmila dengan nada malas seolah-olah baru terjaga daripada tidur.
“Helo,
Mia,” sahut Adrian teruja.
“Siapa
ni?” soal Mia Karmila terus berlagak seolah-olah dia sedang melamun.
“Mia,
Andy ni. Mia dah tak kenal suara Andy ke?” Suara Adrian lirih di hujung talian.
“Hmm...
Andy. Kenapa?” soal Mia Karmila sambil buat-buat menguap.
“Andy
telefon Mia beberapa kali sejak petang tadi, kenapa Mia tak jawab?” tanya
Adrian.
“Iya
ke? Sorry, Mia tak dengar. Mungkin masa tu Mia kat bawah dan telefon tertinggal
dalam bilik. Lepas tu Mia pun tak tengok-tengok telefon sebelum masuk tidur
tadi,” jawab Mia Karmila cuba melembutkan suaranya, seolah-olah terkilan.
“Oh,
Mia dah tidur ke ni?”
“Ya,
Mia tidur awal tadi sebab tak sedap badan. Sekarang pun masih rasa pening lagi
ni,” balas Mia Karmila dengan harapan Adrian akan segera menamatkan perbualan.
“Oh, sorry
kalau Andy telah ganggu Mia. Tetapi Andy ada perkara mustahak nak bincang
dengan Mia. Bila agak-agak Andy boleh jumpa Mia?” soal Adrian mengharap.
“Nantilah
Mia fikirkan. Sekarang Mia pening sangat, jadi sorrylah Andy, Mia tak
boleh nak fikir apa-apa. Esok kalau Mia dah okey, Mia akan telefon Andy ya.
Assalamualaikum,” ujar Mia Karmila sengaja melemahkan nada suaranya seolah-olah
sedang mengantuk sangat, mencari helah untuk memutuskan talian segera.
“Waalaikumussalam
dan good night.”
Dengan
nada yang penuh kekecewaan, mahu tidak mahu Adrian terpaksa menerima hakikat
bahawa Mia Karmila tidak mahu lagi berbual panjang dengan.
Perlahan-lahan Adrian menarik nafas dalam-dalam,
cuba memujuk hatinya yang terus-terusan resah gelisah itu. Matanya terus
merenung telefon di tangan yang sudah pun terputus taliannya.