“Mummy,
macam mana rancangan kita nak pergi meminang Mia? Mummy dah bincang
dengan daddy ke?” tanya Adrian sebaik sahaja dia melihat kelibat Puan
Sri Zalina ketika dia masuk ke rumah petang itu.
“Eh,
Andy. Terkejut mummy dibuatnya. Apa ni masuk rumah main terjah aje. Tak
reti nak beri salam ke?” komen Puan Sri Zalina terkejut dengan kemunculan
Adrian secara tiba-tiba di hadapannya.
“Err...
Andy dah beri salam tapi mummy yang tak dengar,” bohong Adrian.
“Cepat
Andy balik hari ni. Kenapa?” soal Puan Sri Zalina. Selalunya susah betul hendak
melihat anak lelakinya itu berada di rumah sebelum bulan mengambang.
“Tak
boleh ke Andy balik awal?” soal Adrian dengan nada nakal seolah-olah sengaja
mahu mengusik mummynya.
“Tak
adalah. Selalu tu kalau bulan belum mengambang jangan haraplah mummy nak
nampak Andy sampai rumah,” perli Puan Sri Zalina.
“Alah,
dah kebetulan hari ni tak banyak kerja yang nak dibereskan. Lagipun Andy rasa
macam tak sedap badan, sebab tulah Andy balik awal,” balas Adrian sambil
menggeliat.
“Kenapa?
Andy demam ke?” soal Puan Sri Zalina bertanya sambil menyentuh dahi anak
kesayangannya itu.
Adrian
hanya menggeleng sebelum berjalan menuju ke sofa di ruang rehat.
“Hmm...
badan Andy tak panas pun. Mungkin Andy penat sangat kerja agaknya, sebab tulah
rasa tak sedap badan. Andy tak nampak daddy kat pejabat tadi?” tanya
Puan Sri Zalina sambil turut melabuhkan punggung di atas sofa di sebelah
Adrian.
“Pagi
tadi semasa mesyuarat dengan Audit Committee, daddy ada sama tetapi bila
lepas balik makan tengah hari tadi, Julia beritahu yang daddy dah keluar
dengan Dato’ Teoh ke Putrajaya kerana ada mesyuarat dengan menteri, katanya,”
jelas Adrian apabila teringat kata-kata setiausaha papanya tengah hari tadi.
“Hmm...
padanlah mummy telefon beberapa kali daddy tak jawab,” dengus
Puan Sri Zalina.
“Iya
ke? Kenapa mummy nak telefon daddy?” soal Adrian ingin tahu.
“Mummy
ingatkan daddy main golf petang ni, jadi saja mummy nak
ingatkan daddy supaya merisik-risik kalau dia jumpa Dato’ Kamal tentang
bila boleh kami ke rumahnya untuk bincang pasal pertunangan kamu dengan Mia
tu,” balas Puan Sri Zalina.
“Oh,
jadi mummy dah bincanglah dengan daddy pasal rancangan Andy nak
kahwin dengan Mia? Daddy setuju tak?” soal Adrian sambil menegakkan
badan bagaikan amat teruja dengan berita itu.
“Hmm...
daddy tak kisah dan dia pun bersetuju sebab kita dah kenal siapa
keluarga Mia tu. Cuma daddy risau adakah Andy dah bersedia untuk pikul
tanggungjawab sebagai suami kelak kerana Andy masih terlalu muda,” ujar Puan
Sri Zalina sambil memandang tepat ke wajah Adrian. Adrian membalas renungan mummynya
dengan pandangan tenang dan redup.
“Pada
umur 27 tahun, Andy tak rasa yang Andy terlalu muda untuk jadi seorang suami
yang bertanggungjawab kepada seorang gadis yang Andy cintai dengan sepenuh
hati,” ujar Adrian dengan nada yang lirih penuh syahdu.
“Itulah
pun yang mummy beritahu daddy. Malah mummy kata, kalau
Andy boleh laksanakan tanggungjawab Andy sebagai Pengarah Urusan, membantu daddy
kat Suria Gemilang Holding dengan jayanya selama ni, maka pasti Andy jugak
boleh laksanakan tanggungjawab Andy sebagai seorang suami yang baik. Betul tak
apa yang mummy kata?” duga Puan Sri Zalina.
“Yes,
of course. Mummy tengok anak lelaki mummy yang handsome ni
layak tak jadi suami gadis secantik Mia tu?” soal Adrian tersenyum nakal.
“Iyalah
tu. Kalau setakat handsome aje tetapi tak pandai nak ambil hati
perempuan, macam mana nak dapat?” usik Puan Sri Zalina.
“Mummy
cabar Andy ya?” soal Adrian. Terdetik di hati kecilnya rasa bimbang apabila
teringatkan perubahan penampilan Mia Karmila.
Oh,
dapatkah aku memikat cinta Mia seandainya dia mahukan lelaki yang lebih
berpengetahuan dalam bidang agama? Atau sudahkah dia mempunyai lelaki pilihan
hati maka dia sanggup membuat perubahan pada penampilannya dengan begitu
drastik sekali, bisik hati kecil Adrian risau.
“Mummy
bukan cabar Andy, tapi mummy cuma nak ingatkan Andy bahawa orang
perempuan ni perasaannya agak sensitif dan mereka akan lebih cenderung kepada
orang yang memahami hati mereka. Jadi, sebab tulah mummy nak suruh daddy
risik-risik dulu dengan Dato’ Kamal sama ada Mia setuju tak kalau kita
pergi meminang dia. Mama tak nak kita dimalukan nanti kalau Mia menolak,” ujar
Puan Sri Zalina sambil mengelus lembut lengan Adrian.
“Err...
kenapa tak mummy aje yang risik dengan Datin Mariam? Kan mummy selalu
jumpa dia di kelab?” saran Adrian pula sambil berpaling merenung mummynya.
“Mummy
tak nak tanya Datin Mariam dulu
kerana mummy nak Dato’ Kamal sebagai papa Mia lebih dahulu merestui
tujuan kita tu. Mummy tahu Datin Mariam dengan senang hati akan terima
pinangan kita tetapi dengan keadaan Mia yang Andy kata agak keberatan untuk
selalu berjumpa tu, mummy khuatir kalau-kalau dia menolak. Jadi kalau
Dato’ Kamal yang setuju, tentu Mia tak berani nak bantah arahan papanya,” ujar
Puan Sri Zalina.
“Hmm...
betul jugak kata mummy tu. Tapi...”
“Tapi
apa, Andy?”
“Kita
tak boleh lambat-lambat lagi, mummy. Andy bimbang kalau lagi lambat kita
pergi meminang lagi susah Andy nak pujuk Mia,” ujar Adrian agak lirih.
“Maksud
Andy?”
“Takut
kalau-kalau ada orang lain yang lebih dahulu meminang dia pulak,” balas Adrian
bimbang.
“Kenapa?
Andy agak Mia ada kawan lelaki lain ke?” soal Puan Sri Zalina dengan nada
kurang senang.
“Taklah,
Mia bukan jenis gadis yang sebegitu. Andy kenal hati budinya. Tetapi Andy cuma
risau sebab gadis cantik dan baik macam Mia tu tentu ramai yang bersedia nak
buat menantu. Andy tak boleh lepaskan dia pada orang lain, mummy. Andy
benar-benar cintakan dia,” luah Adrian tanpa segan silu.
Terbayang
di tubir mata Adrian, lelaki yang dia kategorikan sebagai segak dan tampan yang
menemani Mia Karmila dan sahabatnya di restoran tengah hari tadi. Apakah
hubungan mereka bertiga? Tapi yang pasti, lelaki itu bukan abang atau adik Mia
Karmila. Dan tidak mustahil Mia Karmila boleh terpikat dengan lelaki itu
apabila kelihatan gelagat mereka yang begitu mesra dan gembira itu. Hati Adrian
tiba-tiba jadi risau tidak keruan.
“Hmm...
tulah sebabnya mummy nak daddy risik dulu dengan Dato’ Kamal
sebab kalau daddy dah cakap dengan Dato’ Kamal, mummy yakin dia
takkan terima pinangan orang lain,” ujar Puan Sri Zalina cuba meyakinkan.
“Kalau
begitu mummy tolonglah cepat-cepat suruh daddy risik dengan Dato’
Kamal ya,” saran Adrian sambil memegang kedua-dua tangan mummynya
seolah-olah merayu.
“Iyalah-iyalah,
hai macam dah tak menyempat-nyempat anak mummy ni nak kahwin. Entah
kemaruk apalah agaknya,” perli Puan Sri Zalina sambil tersenyum nakal.
“Alah mummy
ni, Andy nak cepat kahwin pun sebab nak cepat beri mummy dan daddy
cucu. Biar riuh sikit rumah kita ni. Taklah sunyi aje macam ni,” balas
Adrian dengan senyuman nakal juga.
Oh, alangkah indahnya hidup ni kalau aku dapat
bersama Mia setiap masa. Akulah lelaki yang paling bahagia jika dapat berkahwin
dengan gadis pujaanku itu, bisik hati kecil Adrian penuh mengharap.