“Ya, bik!.. kenapa?” tanya Mia Karmila sebaik sahaja daun pintu dibuka.
“Mak
Kiah udah siapkan makanan yang Cik Mia mahu tadi. Jadi Cik Mia mahu makan di
atas atau di bawah sahaja?” soal Bibik Lela.
“Oh,
dah siap ke? Tak apalah, saya makan kat bawah. Bibik suruh Mak Kiah hantar
makanan tu kat beranda kat taman ya,” arah Mia Karmila sambil terus menutup
pintu bilik dan segera berlalu menuruni anak tangga menuju ke taman.
Begitulah
Mia Karmila selalunya kalau berseorangan di rumah. Dia lebih suka makan di beranda
di taman mini rumah banglo mewah itu terutamanya ketika waktu petang dengan
angin sepoi-sepoi bahasa yang begitu menyegarkan.
“Hmm...
sedapnya bau spageti ni, Mak Kiah. Kalau macam ni, macam mana Mia nak diet?”
puji Mia Karmila sambil melentokkan kepala dengan manja ke pinggang Mak Kiah
yang sedang berdiri di sebelahnya ketika wanita itu meletakkan pinggan yang
masih berasap di atas meja.
“Hmm...
pandailah Mia nak usik Mak Kiah. Lagipun, nak buat apa Mia berdiet-diet tu?
Badan Mia bukannya besar sangat. Silap hari bulan, kena tiup angin pun boleh
rebah,” komen Mak Kiah sambil tertawa kecil, seronok dapat mengusik anak dara
majikannya yang manja itu.
“Eh
Mak Kiah, sampai hati Mak Kiah kata Mia macam tu,” balas Mia Karmila dengan
nada sendu sambil memuncungkan mulut, sengaja merajuk manja dengan tukang
masaknya itu.
“Alah,
merajuk pulak intan payung Mak Kiah ni. Nah, makan ya. Nak Mak Kiah suapkan
ke?” Makin seronok Mak Kiah mengusik Mia Karmila sambil menyuakan pinggan yang
mengandungi spageti yang sudah digaulkannya rapat ke hadapan Mia Karmila.
“Eemmm...
untungnya Mia dapat orang yang sayang Mia macam Mak Kiah ni,” ujar Mia Karmila
sambil mengelus lembut lengan Mak Kiah yang masih berdiri di sebelah kerusinya.
“Iyalah
tu, macamlah tak ada orang lain yang sayang Mia,” balas Mak Kiah sengaja mahu
mengusik Mia Karmila kerana dia tahu benar hubungan rapat antara gadis itu
dengan Adrian.
“Memang
ada. ALLAH. DIAlah yang sentiasa sayang pada Mia,” jawab Mia Karmila sambil tersenyum
mesra penuh maksud tersirat.
Terbayang
di tubir mata Mia Karmila, wajah Shahriman yang tenang bagaikan sedang
tersenyum padanya. Hati Mia Karmila tiba-tiba bergetaran tidak menentu.
Mak
Kiah tergamam sambil membulatkan matanya, memandang tepat ke anak mata Mia
Karmila. Dia tidak menyangka, kini anak gadis majikannya itu sudah tahu menilai
kasih sayang ALLAH.
“Betul,
betul, hanya ALLAH yang akan sentiasa menyayangi setiap makhluk-NYA, tidak kira
siapa pun. Wah, tak sangka Mia dah tahu mengakui kebesaran dan keagungan ALLAH
sekarang. Alhamdulillah,” ujar Mak Kiah sambil membongkok dan mencium ubun-ubun
Mia Karmila dengan penuh kasih sayang.
Mia
Karmila mendongak dan kemudian menarik Mak Kiah duduk di sebelahnya.
“Mak
Kiah, boleh tak ajar Mia mengaji?” soal Mia Karmila perlahan.
Sekali
lagi Mak Kiah tergamam. Benar-benar hairan dengan permintaan anak gadis
majikannya yang sebelum ini langsung tidak ambil kisah akan pelajaran agama
atau membaca al-Quran walaupun dia dan Pak Manap pernah cuba-cuba menititpkan
perkara itu kepada kedua-dua beradik itu semasa mereka masih di bangku sekolah
dahulu.
“Mia
nak belajar mengaji?” soal Mak Kiah seolah-olah tidak percaya.
“Haah,
kenapa? Mak Kiah tak percaya ke Mia nak belajar baca al-Quran?” soal Mia
Karmila kembali seolah-olah sengaja mahu menduga perasaan Mak Kiah.
“Alhamdulillah,
seronok betul Mak Kiah dengar Mia nak belajar mengaji. Itu tanda hidayah ALLAH
dah sampai pada Mia. Semoga ALLAH sentiasa memberkati niat baik Mia tu,” ujar
Mak Kiah dengan penuh kesyukuran sambil memeluk lembut bahu Mia Karmila.
“Jadi,
Mak Kiah boleh tak ajar Mia?” tanya Mia Karmila, penuh harapan.
“Boleh,
tapi Mak Kiah tak pandailah nak mengajar bertaranum atau bertalaqi, sekadar
tajwid yang biasa-biasa tu bolehlah,” balas Mak Kiah.
“Apa
taranum dan talaqi tu, Mak Kiah?” soal Mia Karmila berkerut dahi.
“Cara
pembacaan al-Quran yang betul dengan lagu dan tajwid yang betul. Macam
qariah-qariah tilawah al-Quran tu,” jelas Mak Kiah sambil tersenyum mesra melihat
anak gadis majikannya yang begitu berminat hendak belajar mengaji.
“Oh,
iya ke? Kalau Mia dapat baca sikit-sikit dengan betul pun jadilah dulu. Nanti
kalau Mia dah pandai, barulah Mia fikir nak belajar taranum dan talaqi tu,”
balas Mia Karmila terus mengharap agar Mak Kiah akan dapat mengajarnya membaca
al-Quran.
“Hmm...
eloklah kalau begitu. Tapi, Mak Kiah rasa lebih elok kalau Mia terus belajar
mengaji dengan ustazah yang betul-betul pandai tajwid dan tadabbur, jadi Mia
boleh terus belajar membaca dengan betul secara tartil,” saran Mak Kiah pula.
“Kat
mana, Mak Kiah?”
“Nanti
Mak Kiah tanya pada Pak Manap. Mungkin dia ada kenal mana-mana ustazah atau
ustaz yang boleh ajar Mia.”
“Kalau
dapat ustazah yang boleh ajar Mia pasal hukum-hukum agama, lagi bagus. Mia
memang nak sangat belajar terutamanya pasal hukum-hukum solat. Tapi...” ujar
Mia Karmila bagaikan keberatan untuk meneruskan apa yang ingin dikatakannya.
“Tapi
apa, Mia?” soal Mak Kiah teruja.
“Mak
Kiah dan Pak Manap jangan cakap dengan mama atau papa pasal hal ni ya,” pinta
Mia Karmila.
“Tapi
kenapa pulak kalau mereka tahu? Bukan ke itu satu perkara yang baik?” soal Mak
Kiah hairan.
“Ya,
perkara itu memang baik dan sebab tulah Mia nak belajar. Tetapi Mia tak nak
papa dan mama tahu sebab sekarang papa nak Mia bekerja kat syarikat dia. Jadi
kalau mereka tahu yang Mia nak belajar mengaji, pasti mereka akan paksa Mia
pergi kerja dan kalau Mia dah mula kerja nanti tentu Mia takkan ada masa untuk
belajar mengaji,” jawab Mia Karmila dengan nada lirih.
“Tapi,
macam mana nak suruh ustaz atau ustazah datang mengajar kat sini Mia kalau
Dato’ dan Datin tak tahu?” soal Mak Kiah khuatir.
“Kalau
Pak Manap dah dapat ustaz atau ustazah tu, Mia akan pergi ke tempat mereka
untuk belajar. Jadi mama dengan papa pasti tak tahu,” balas Mia Karmila sambil
tersenyum nakal.
“Tapi
Mia...”
“Tapi
apa, Mak Kiah?”
“Takut
Mia tak dapat keberkatan belajar kalau tanpa restu papa dan mama Mia,” ujar Mak
Kiah perlahan.
“Iya
ke?” soal Mia Karmila seolah-olah tidak percaya.
Mak
Kiah hanya mengangguk sambil terus merenung wajah mulus Mia Karmila dengan
penuh simpati.
“Hmm...
kalau macam tu, Mak Kiah ajelah ajar Mia mengaji dan solat yang betul. Nanti
kalau mama tanya, Mak Kiah beritahulah Mia yang mintak. Jadi kalau dalam rumah
sendiri tentu mama dan papa tak kisah rasanya,” cadang Mia Karmila dengan nada
sayu.
Sekali
lagi Mak Kiah hanya mampu mengangguk lemah tanda bersetuju. Hati Mak Kiah
tiba-tiba berdetik sendu apabila melihat Mia Karmila bersungguh-sungguh mahu
belajar mengaji al-Quran dan mendalami agama Islam sedangkan Mak Kiah tahu
benar yang Dato’ Kamal dan Datin Mariam lalai di dalam melaksanakan hukum-hukum
Islam yang sepatutnya dipraktikkan dalam kehidupan harian mereka sekeluarga.
Mak Kiah terasa
amat berdosa kerana masih gagal menghalang segala kemungkaran yang dilakukan
majikannya itu dan dengan itu dia bertekad untuk membimbing Mia Karmila
sebaik-baiknya.