Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 16

PEMACU DATA

'Ah, aku diburu mimpi itu lagi!' kata Aira sendirian. Kepalanya juga turut berasa amat sakit sekarang. Peluh merenik di dahinya.

Aira memicit-micit kepalanya menahan sakit. Matanya dilirikkan ke arah jam dinding di biliknya. Jarum jam menunjukkan pukul 3.00 pagi.

Perlahan-lahan Aira merebahkan dirinya semula di atas katil. Matanya cuba dipejamkan tetapi tidak boleh. Mindanya terganggu dek mimpi yang baru dialaminya tadi. Saban malam, Aira seringkali diburu mimpi aneh yang mendedahkan segala-galanya kepada dirinya, memberi amaran akan bahaya yang bakal mendatang. Nampaknya, mimpi yang baru dialaminya ini juga ingin memberitahu sesuatu.

***

"Aira!" panggil Badrina dari ruang tamu.

Aira ketika itu seperti biasa sedang menyiapkan bab baru dalam novel yang sedang ditulisnya. Mendengarkan panggilan itu menyebabkan tumpuannya terganggu seketika. Serta-merta idea yang datang mencurah-curah terbang begitu sahaja dibawa angin lalu.

Aira mendengus kasar. Bukan dia sengaja pun untuk bersikap biadab terhadap ibunya, tetapi dia memang pantang diganggu ketika sedang menulis. Tambahan pula, pada waktu ini ilham sedang sudi menyinggah di rumah fikirannya.

"Ya, ada apa mak?" sahut Aira. Jari-jemarinya yang ligat menari di atas papan kekunci direhatkan sebentar.

"Mari kejap!" Ayat yang terpacul keluar dari mulut ibunya tidak memberitahu apa-apa akan apa sebab dirinya dipanggil, memaksa Aira untuk menurut arahan itu. Aira bangun dalam keadaan malas.

Dengan langkah yang berat Aira mengatur langkah ke ruang tamu. Sampai sahaja di ruang tamu, matanya meliar untuk mencari kelibat ibunya. Keliaran matanya dihentikan tatkala ternampak ibunya berhampiran pintu keluar. Di dalam tangannya terdapat sebuah kotak yang siap dibungkus.

Pantas Aira berjalan menghampiri ibunya. Kalau boleh Aira mahu cepat menyelesaikan urusan dengan ibunya agar dia boleh menyambung semula penulisannya yang tergendala.

"Ada apa mak?" Pandangan mata Aira ditumpukan pada kotak berbungkus yang berada dalam tangan ibunya.

"Apa tu mak? Hadiah untuk siapa tu?" Belum sempat ibunya bersuara, Aira sudah menanyakannya terlebih dahulu.

"Ni, ada bungkusan untuk Aira," beritahu ibunya lalu menyerahkan kotak itu kepada Aira.

Kotak bersaiz lebih kecil daripada kotak kasut itu bertukar tangan.

"Eh, siapa pula yang bagi ni? Aira mana ada pesan apa-apa barang on-line." Aira menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Habis, macam mana Aira boleh dapat?" Aira tiada jawapan untuk soalan itu lalu dia senyap sahaja.

Aira memandang semula kotak yang siap berbungkus itu. Di atas kotak itu tertulis namanya, Aira Syafira Binti Kamal. Akan tetapi, tiada pula alamatnya tertulis di situ. Nama pengirimnya juga tiada. Baru Aira terfikir untuk mencari nama pengirimnya agar dia tahu siapa yang telah menghantar kotak itu kepadanya.

"Pelik. Macam mana pula kotak ni boleh sampai rumah ni? Alamat pun takda." Aira dipagut kehairanan.

"Tadi masa mak nak siram pokok bunga kat luar, mak ternampak kotak ni ada kat depan pintu," terang Badrina menjelaskan.

'Pula. Macam tu pula nak bagi kat orang. Dia ni hantar sendiri kat depan pintu ke?' Aira bertanya kepada dirinya sendiri.

"Hmm, takpalah mak. Biar Aira ambil je kotak ni. Aira nak tengok apa yang orang ni nak bagi kat Aira," ujar Aira lalu berjalan semula ke biliknya.

Kotak itu diletakkannya di atas meja. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Kotak itu ditenungnya lama-lama.

'Dahlah. Daripada lama-lama termenung lebih baik aku tengok apa yang ada dalam kotak ni.' Pantas tangan Aira membuka bungkusan kotak itu.

'Ringannya kotak ni. Entah apa yang ada dalam ni. Entah-entah kosong je. Entah-entah ada orang nak main-mainkan aku.'

Otak Aira ligat membuat berbagai-bagai andaian sambil tangannya membuka bungkusan itu.

'Aira, dalam kotak tu ada sesuatu yang penting.' Tiba-tiba sahaja suara itu memberitahunya sesuatu.

Tangan Aira kaku seketika setelah mendengar suara itu bergema dalam mindanya. Kemudian dia meneruskannya semula. Tidak sabar pula rasanya untuk mengetahui isi kandungan kotak tersebut tatkala diberitahu oleh suara itu.

Kotak itu dibuka. Alangkah terkejutnya Aira tatkala mendapati ada sebuah pemacu data berwarna biru di dalam kotak tersebut. Pemacu dataitu diambil lalu ditatapnya.

'Tengoklah apa yang ada dalam pemacu data tu.' Suara itu memberi arahan.

Dengan pantas Aira memasukkan pemacu dataitu ke dalam USB komputer riba yang masih terbuka di atas mejanya. Terdapat hanya satu fail dalam pemacu dataitu. Fail itu merupakan sebuah video.

'Video?' Minda Aira dipagut kehairanan.

Aira menggerakkan kursornya ke arah video itu lalu menekannya sebanyak dua kali untuk memainkan video tersebut.

'Eh? Ini?' Mata Aira membeliak luas.

Dia amat mengenali akan apa yang ditunjukkan dalam video tersebut. Video itu menunjukkan apa yang Aira mimpikan pada malam sebelumnya. Sama 100%. Aira menutup mulutnya dengan sebelah tangannya kerana terkejut.

'Sama betullah. Sama betul macam dalam mimpi aku malam tadi,' desis Aira di dalam hati.

'Ya, ia sama seperti yang aku tunjukkan kepada kau dalam mimpi sebelum ni.' Suara itu memberitahu.

'Siapa yang hantar video ni sebenarnya? Apa yang kau nak tunjukkan dalam mimpi? Dan apa kena-mengenanya mimpi aku malam tadi dengan video ni?' Bertalu-talu Aira mengajukan soalan kepada suara itu.

'Dia dalam bahaya. Orang yang hantar video ni dalam bahaya. Dia sedang dikejar. Dia mahu sampaikan mesej kepada kita supaya berhati-hati kerana mereka sedang mengejar kita.' Suara itu menyampaikan sesuatu dengan nada serius.

'Siapa mereka tu?' soal Aira kepada suara itu lagi.

'Eurasia.' Ringkas jawapan suara itu.

Aira terhenyak di kerusi lalu menyandar dan memandang siling. Aira meraup wajah dan rambutnya ke belakang. Kepalanya berasa sakit sekarang. Jari-jemarinya naik ke kepala lalu memicit-micit kepalanya yang sakit.

'Last question. Siapa dia tu? Yang hantar video tu... dan kenapa ia sama dengan mimpi aku malam tadi?'

'Syadiya Farzanah. Dia yang hantar video tu dan dia sampaikan mesej kepada kita malam tadi, melalui telepati.'

***

Fizri Naufal mengambil kot makmal yang tersangkut di kerusi sebelum berlalu pergi meninggalkan biliknya. Langkahnya terhenti tatkala telefonnya berdering. Fizri mengeluarkan telefon pintar dari dalam kocek seluarnya. Matanya memandang sekilas nama dan nombor yang terpapar di skrin telefon pintarnya, iaitu nama bapanya.

Pantas jari Fizri menekan lembut di atas ikon gagang telefon berwarna hijau untuk mengangkat panggilan tersebut.

"Hello." Fizri menjawab panggilan telefon.

Kemudian dia diam sejenak untuk memberi laluan si pemanggil memberitahu urusannya kepada Fizri.

Fizri mengeluh berat sejenak sebelum menjawab, "Entahlah, papa. Fizri pun tak pasti lagi."

Sekali lagi Fizri mendiamkan diri untuk mendengar bebelan si pemanggil. Dahinya berkerut seribu tatkala mendengar setiap bait bicara yang terbit dari mulut si pemanggil.

"Okeylah, papa. Fizri akan pertimbangkan. Fizri ada hal sikit ni. Fizri letak dululah ya? Bye." Fizri mengakhiri panggilannya walaupun dia tidak sibuk pun kala itu. Sengaja dia berbohong kerana tidak mahu mendengar lebih lama bebelan bapanya.

Ikon gagang telefon berwarna merah ditekan lembut untuk memutuskan panggilan. Fizri merenung sejenak skrin telefon pintarnya sebelum melepaskan satu lagi keluhan. Telefon pintar kembali disimpan di dalam kocek seluar. Sebelah tangannya menggapai beg yang terletak di atas meja. Baru kakinya hendak melangkah pergi, dia disapa lagi sekali.

"Fizri!"

Langkahnya dimatikan. Kepalanya menoleh ke arah punca suara.

"Azman!" Fizri menyapa mesra. Senyuman manis melirik di bibirnya, menambahkan ketampanan lelaki berkaca mata itu.

Perlahan Fizri menghampiri rakan yang memanggilnya tadi. Azman membalas senyuman Fizri.

"Apa kau buat kat sini, Azman?" soal Fizri membuka bicara.

"Saja. Datang melawat. Ha, Fizri! Macam mana dengan tawaran tu? Kau terima ke?" Azman mengajukan soalan dengan nada teruja.

"A... aku... entahlah...." Fizri teragak-agak untuk menjawabnya. Matanya dilirikkan ke lantai, berasa tidak selesa tatkala Azman menyentuh topik itu.

"Fizri, kenapa ni? Kau taknak ke? Rugi kalau kau tolak. Bukan calang-calang orang yang dapat masuk universiti tu tau. Hanya orang yang betul-betul genius je dapat masuk." Ayat terakhir Azman itu sengaja ditekankan.

Fizri hanya mampu tersenyum kelat tatkala mendegar butir bicara yang keluar dari mulut rakannya. Mindanya sudah menerawang jauh memikirkan berbagai-bagai perkara.

"Fizri!" panggil Azman setelah mendapati Fizri tidak membalas kata-katanya.

"Ah, ya! Ada apa Azman?" soal Fizri sambil mengukir senyuman terpaksa.

"Kau okey ke?" soal Azman mula berasa pelik. Dia mula perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu.

"Okeylah. Aku... balik dululah. Dah lambat dah ni." Fizri meminta diri setelah mengerling sekilas jam tangannya.

Fizri berlalu meninggalkan tempat itu, meninggalkan Azman terpinga-pinga. Azman pula hanya menghantar sahabatnya pulang dengan pandangannya.

***

Fizri mengatur langkah ke arah keretanya yang diparkir di kawasan tempat letak kereta. Pintu dibuka dan enjin dihidupkan. Fizri menyandar sebentar di tempat duduk pemandu, menunggu enjin dipanaskan.

Ting!

Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Fizri mengeluarkan telefon pintar dari dalam koceknya. Mesej yang dihantar dilihatnya sekilas. Berkerut dahinya membaca mesej itu.

'Ada apa doktor cari aku ni? Ada hal penting ke? Takpa, pergi jelah.' Fizri cuba menyedapkan hatinya.

Mesej itu dengan cepat dipadamkan untuk mengelakkan orang lain memintas mesej tersebut. Pantas Fizri menggerakkan keretanya keluar dari kawasan tempat letak kereta lalu memandu pulang untuk ke rumah. Dalam hatinya penuh dengan debaran memikirkan apalah yang bakal menantinya pada malam ini.

***

Universiti Eurasia Kampus Nusantara

Marisa berdiri tercegat di tengah lautan manusia yang mengalir mengikut arus masing-masing. Kesemuanya kelihatan sibuk dengan rutin harian, tidak mempedulikan gadis bertubuh mungil yang berdiri tercegat di tengah ruang legar itu. Tangannya menggenggam erat sehelai kertas yang hampir ronyok akibat dibelek berulang kali. Beg sandang yang dipakainya dirapatkan ke tubuh.

Kedua-dua tangannya terasa sejuk bagaikan baru keluar dari peti sejuk. Kaki kecilnya pula tidak berhenti menggigil sejak dari tadi. Matanya meliar ke segenap ruang, mencari kelibat seseorang yang amat ditunggunya.

'Ish, manalah Si Raimi ni. Kata dia nak tunggu aku kat sini. Lambat betul.' Sesekali Marisa mengerling jam tangannya yang menunjukkan beberapa minit sahaja sebelum pukul 8.00 pagi.

Dari jauh, kelihatan seorang lelaki berlari tergesa-gesa mencari kelibat seseorang. Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan sambil matanya meliar mencari Marisa. Batang tubuh si gadis yang kecil, menyukarkan usahanya untuk mencari Marisa yang tenggelam dalam lautan manusia. Setelah matanya menangkap kelibat gadis kecil itu, pantas Raimi mengatur langkahnya ke arah Marisa.

"Marisa! Sorry, lama ke tunggu?" ucap Raimi masih dalam keadaan tercungap-cungap.

Marisa memuncungkan mulutnya tanda merajuk. Dia memalingkan mukanya ke arah lain.

"Okey, okey. Sorry. Aku tahu aku lambat. Ada masalah sikit tadi," pinta Raimi yang mula menyedari rajukan gadis itu.

"Ingatkan kau tinggalkan aku tadi. Risau pula aku seorang-seorang kat sini. Dahlah universiti ni besar. Boleh sesat aku dibuatnya macam ni. Nasib baik kita satu kelas," luah Marisa sambil matanya melilau ke seluruh ruang legar itu.

"Dah, jom kita pergi kelas. Dah lambat dah ni," ajak Raimi yang hendak memulakan langkahnya.

Marisa pula hanya menuruti, sebelum Raimi menghentikan langkahan kakinya secara tiba-tiba lalu menoleh ke belakang. Marisa yang berada di belakang turut terhenti sama.

"Kenapa?" Kerutan di dahi Marisa terbentuk.

"Err, kat mana ya kelas? Aku terlupa bawa jaduallah." Selamba Raimi bertanya sambil menayangkan seringai.

Marisa memusingkan bola matanya ke atas lalu membalas dengan nada malas, "Hmmh, P19-lah! Macam mana kau boleh terlupa?"

"Maklumlah. Dah lama sangat berhenti, sampai dah lupa apa yang nak kena bawa," balas Raimi masih dengan seringai yang ditayangkan.

"Lain kali jadual kelas tu tampal kat dahi. Jangan alat tulis pun kau lupa nak bawa sudah. Kalau kau lupa, aku malas nak bagi pinjam." Marisa meneruskan perjalanannya lalu diikuti Raimi di sebelah.

"Alah, janganlah kedekut," rayu Raimi lalu mengejar langkah Marisa.

Marisa tidak mempedulikan Raimi. Kakinya menyusun langkah menuju ke kelasnya. Pandangannya dibuang ke arah tingkap kaca lutsinar yang berada di sebelah kiri koridor ke kelasnya. Dia tersenyum sendiri. Usikannya mengena.

Pada hari ini, mereka akan memulakan semula pengajian mereka yang dihentikan secara paksa sebelum ini, akibat penutupan universiti secara tiba-tiba. Mereka berdua ditawarkan dalam bidang yang sama sebelum ini, iaitu Kejuruteraan Elektrik.

Syafiyah pula mengambil bidang perubatan, mengikut jejak langkah abangnya. Tidak seperti Marisa dan Raimi, dia hanya seorang diri di fakulti Perubatan.

"Err, kat mana ya kelas?" Kepala Syafiyah menoleh ke kiri dan kanan, mencari-cari kelibat seseorang yang mampu menolongnya untuk ke dewan kuliah.

Sedang dia sibuk mencari, matanya tertangkap satu batang tubuh seorang gadis yang kelihatan terpinga-pinga seperti dirinya juga. Pantas Syafiyah mengatur langkahnya untuk menghampiri gadis tersebut.

"Hai, Assalamualaikum!" sapa Syafiyah cuba bermesra.

Gadis itu menyambut sapaan Syafiyah dengan senyuman terpaksa. Agak kekok baginya untuk mengukir senyuman kepada orang yang baru dikenalinya itu.

"Oh, hai! Waalaikumussalam," balas gadis itu kelihatan takut-takut.

"Nama saya Izati Syafiyah. Awak boleh panggil saya Fiya. Awak?" Syafiyah cuba berbasa-basi.

Tangan dihulur Syafiyah kepada si gadis yang baru dikenalinya itu. Gadis itu menyambut huluran tangan Syafiyah dengan teragak-agak.

"Ah, nama saya... Zalfa, Zalfa Dayana. Ah...." Perbualannya terputus di situ. Berasa kekok untuk meneruskan perbualan.

"Awak course apa?" Belum sempat Zalfa meneruskan perbualannya, Syafiyah telah memotong terlebih dahulu.

Zalfa melepaskan keluhan berat sebelum menjawab, "Medic."

"Ha? Medic? Seksyen?" Syafiyah mula berasa teruja tatkala mendapati gadis yang ditemuinya ini dalam bidang yang sama dengannya.

Zalfa melihat semula jadual yang diletakkan dalam fail merah jambu miliknya. "Satu." Zalfa menjawab ringkas.

"Samalah kita. Jom kita pergi kelas sama," ajak Syafiyah bertambah teruja.

Sebelah tangannya memimpin Zalfa untuk pergi ke dewan kuliah. Zalfa pula hanya akur diperlakukan begitu. Lega benar Syafiyah tatkala menjumpai seorang kenalan yang boleh menemaninya. Jika tidak, pasti dia terasa sunyi di sini. Semua pelajar di universiti ini kelihatan tidak peduli sahaja akan persekitaran. Semuanya kelihatan sibuk dengan hal masing-masing.

'Mungkin orang-orang genius memang macam ni kot,' fikir Syafiyah.

"Ha? Awak cakap apa tadi, Fiya?" Tiba-tiba sahaja Zalfa mengajukan soalan sambil menoleh ke arah Syafiyah, seolah-olah dia boleh mendengar apa yang Syafiyah cakapkan di dalam hatinya.

"Eh, mana ada cakap apa-apa," balas Syafiyah kehairanan.

"Ya ke? Oh, maaf. Perasaan saya je kot." Zalfa kembali memandang ke hadapan. Dahinya dikerutkan. Dia turut berasa pelik. Dia pasti yang dia memang mendengar Syafiyah sedang bercakap sesuatu sebentar tadi.

Kemudian, mereka berdua meneruskan perjalanan tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Zalfa diam membisu seribu bahasa. Syafiyah pula berasa kekok untuk memulakan perbualan.

'Apa yang aku buat kat sini? Aku patut cari abang Zaqwan dan abang Zafran. Kat mana mereka sorokkan abang?'

Minda Syafiyah secara tiba-tiba menangkap satu suara yang kedengaran asing. Dia sendiri pun tidak kenal siapakah identiti kedua-dua nama lelaki yang baru disebutkan suara itu sebentar tadi. Suara itu seperti bukan datang daripada dirinya sendiri, sebaliknya dari luar.

Dua orang gadis itu meneruskan perjalanan mereka ke dewan kuliah, sambil otak masing-masing ligat memikirkan berbagai-bagai perkara. Tanpa mereka berdua sedari, ada mata-mata yang memerhatikan gerak-geri dua orang gadis tersebut dari jauh.



Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.