BUKU NOTA
"Betul Zalfa tertinggal buku nota tu kat sini?" soal Zafran memecahkan keheningan di hutan tersebut.
Zalfa hanya mengangguk laju. Hatinya dipagut kerisauan. Entah kenapa, dia berasa tidak sedap hati sahaja tatkala menyedari yang dia tercicir buku notanya itu di tengah hutan. Bukan apa, dia risau kalau-kalau buku itu ditemui, pasti ia akan menimbulkan tanda tanya pada si penemunya. Apa yang terkandung di dalam buku itu biarlah disisip kemas sebagai rahsia antara dia dan dua orang abangnya. Dia tidak mahu orang lain mengetahui akan kebolehannya itu.
Salah Zalfa juga kerana menulis kesemua yang didengarnya melalui bisikan itu pada buku nota. Mungkin dia tidak patut melakukannya. Tujuan dia berbuat sebegitu hanyalah disebabkan rasa sayangnya dia pada ilmu yang diperoleh. Dia tidak mahu ilmu itu lenyap begitu sahaja lalu dicatatnya di dalam sebuah buku nota. Mana tahu, ia akan jadi tatapan buat generasi akan datang.
Mata Zalfa dan Zafran melilau ke persekitaran, mencari buku nota yang dimaksudkan.
"Ini ke yang kamu cari?" soal satu suara mengejutkan mereka berdua. Zalfa dan Zafran merenung serentak ke arah punca suara.
Dr. Qarin dilihat sedang memegang buku nota milik Zalfa. Dia datang seorang diri kali ini, dengan Askar Eurasia memerhatikan sahaja dari jauh. Dia tidak mahu dua orang subjek ujikajinya itu mengesyaki apa-apa.
Zalfa sudah menyorok di belakang Zafran. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki yang baru dikenalinya ini.
"Siapa kau? Macam mana buku nota tu boleh ada dengan kau?" soal Zafran kasar. Sedikit pun dia tidak mahu mempercayai lelaki di hadapannya ini.
"Relaks. Aku cuma nak pulangkan buku ni pada tuan empunya buku sahaja." Perlahan-lahan Dr. Qarin menghampiri sepasang kembar itu.
Sebagai refleks, Zafran dan Zalfa berundur perlahan-lahan, menjauhi Dr. Qarin.
"Tapi, sebelum aku serahkan buku ni, aku nak tanya beberapa soalan." Dr. Qarin membuka buku nota milik Zalfa lalu meyelak setiap helaiannya.
"Siapa yang tulis buku ni?" Soalan itu tidak dijawab. Zafran tidak mahu berunding dengan lelaki yang mencurigakan ini.
"Hebat isi kandungannya, persis catatan ahli perubatan Melayu lama. Orang yang menulisnya pasti seorang yang genius atau...." Bicaranya terhenti di situ, sengaja dibiarkan tergantung.
Zalfa dan Zafran menelan liur. Masing-masing terkedu mendengar apa yang dikatakan lelaki itu. Senyuman penuh agenda diukir di bibir Dr. Qarin, memerhatikan reaksi yang ditonjolkan kembar itu. Mereka berdua memang mudah dibaca.
"Kamu berdua ni Zafran Dasuki dan Zalfa Dayana, kan?" Sekali lagi Dr. Qarin mengajukan soalan.
Zalfa dan Zafran diam tidak terkutik. Tidak tahu apa reaksi yang patut mereka berikan saat ini. Masing-masing terkedu mendengar nama mereka disebut lelaki asing ini. Bagaimana dia boleh tahu identiti mereka?
"Kamu berdua sekarang belajar lagi, kan? Kamu ambil course Mechanical Engineering, kan? Kenapa tak ambil Medic atau Pharmaceutical? Barulah sesuai dengan anugerah kamu berdua tu, kan?"
"Medic? Huh! Percaya ke mereka? Bukankah kamu semua dah nafikan kewujudan orang macam kami ni? Bukankah kamu semua kata orang macam kami ni tak sepatutnya wujud?" Zafran melemparkan bicaranya dengan kasar sekali, seperti marahkan sesuatu.
Dr. Qarin ketawa kecil mendengar balasan kata Zafran, seperti ada yang lawak pada kata-katanya itu. Zafran pula sudah memandang jengkel akan kelakuan lelaki asing ini. Zalfa pula hanya terpinga-pinga mendengar perbualan mereka berdua.
"Apa yang kelakarnya?" soal Zafran mula berasa jengkel.
"Pasal tu. Oh, maaflah atas kebiadaban kami pihak Sains. Kamu tak boleh main pukul rata je, Zafran Dasuki. Jadi, sebagai permohonan maaf, aku nak tawarkan kamu berdua sesuatu. Bagaimana kalau aku tawarkan kamu untuk melanjutkan pengajian di Universiti Eurasia. Kamu berdua mahu tak? Rugi, kalau orang berbakat macam kamu berdua ni disia-siakan. Pengetahuan yang kamu miliki tu mungkin berguna buat Kerajaan Eurasia." Dr. Qarin memberi tawaran kepada mereka berdua.
"Huh? Seriously? Oh, takpalah. Kami dah tawar hati, pun. Lagipun, kami berdua sekarang ni tengah ambil course Mechanical Engineering kat UTM. Apa yang ada ni pun dah kira bersyukur dah." Giliran Zalfa pula berbalas bicara dengan lelaki itu.
"Oh, kamu berdua tak perlu risau. Pihak kami akan uruskan. Kan saya dah kata, kamu berdua ni berharga buat Kerajaan Eurasia," balas Dr. Qarin. Ada makna pada kata-katanya itu.
"Takpalah, kami tak berminat dengan tawaran tu." Zafran menolak tawaran Dr. Qarin.
Entah kenapa, dia berasa tidak sedap hati pula dengan tawaran itu. Setahunya, universiti itu hanya menerima pelajar-pelajar yang paling genius sahaja di seluruh wilayah Nusantara. Bagaimana dia boleh ditawarkan pula secara tiba-tiba? Lagipun, dia merasakan dirinya langsung tidak layak untuk masuk ke universiti itu. Kalau ikutkan, dia sebenarnya sudah tawar hati dengan bidang Sains. Entah bagaimana dia dan adiknya boleh mengambil bidang Kejuruteraan Mekanikal dia pun tidak tahu.
Dr. Qarin menutup buku itu lalu diserahkan semula kepada Zafran dan Zalfa. "Oh, takpalah kalau macam tu. Nah, ambillah semula buku ini! Aku tak perlukannya."
Zafran teragak-agak untuk mengambil buku nota yang dihulurkan Dr. Qarin. Susah untuk dia percayakan lelaki ini. Mana tahu, dia cuba memerangkap mereka berdua.
"Ambillah, kan aku cakap aku nak pulangkan buku ni, kan?" ucap Dr. Qarin setelah mendapati Zafran hanya tercegat di tempatnya.
Zafran mengambil buku nota milik Zalfa yang dihulurkan. Setelah itu, dia terus menarik tangan adiknya untuk meninggalkan tempat itu tanpa menoleh. Dia tidak boleh berlama-lama berurusan dengan lelaki ini. Dia khuatir lelaki ini berniat jahat terhadap mereka berdua.
Dr. Qarin hanya menghantar mereka berdua pergi dengan pandangannya. Kelibat Zalfa dan Zafran mula menghilang dari kejauhan.
"Hmm... Zafran Dasuki dan Zalfa Dayana, eh? Kamu berdua memang menarik," gumam Dr. Qarin sambil mengusap dagunya.
"Kau pasti nak biarkan dulu dua-dua subjek tu?" soal seseorang dari belakang.
Dr. Qarin terus menoleh, melihat seorang lagi penyelidik merangkap rakan sepasukannya menuju ke arahnya. Di tangannya dia turut membawa sekeping tablet.
"Takpa, aku dah selitkan tracking device pada buku nota tu. Kita akan tahu lokasi tempat tinggal mereka," jelas Dr. Qarin.
"Macam mana? Dapat kumpul banyak data?" soal Dr. Qarin.
"Banyak. Lebih dari cukup untuk confirm-kan hipotesis kita," balas penyelidik itu sambil menunjukkan data yang berjaya dikumpulnya pada skrin tablet itu.
"Ada sesuatu yang menarik tuan patut tahu," beritahu penyelidik itu lagi.
"Apa dia?" soal Dr. Qarin ingin tahu.
"Mereka berdua ada kaitan dengan seorang lagi subjek bawah pemerhatian kita, Subjek 147," lapor pegawai penyelidik itu mendatar.
"Interesting. Tiga beradik sekali ada kebolehan tu. Ini kali pertama kita berhadapan kes macam ni." Minda Dr. Qarin mula menerbitkan beberapa teori.
***
Universiti Teknologi Malaysia, Wilayah Eurasia Cawangan Nusantara
Ting!
Telefon pintar milik Zaqwan Danial berbunyi, menandakan ada mesej yang dihantar kepadanya. Kelopak mata Zaqwan terbuka pantas, terjaga dari lena dek mesej yang diterimanya.
"Oh, ada mesej," gumam Zaqwan lalu bingkas bangun.
Zaqwan merenung ke arah dinding kosong bercat putih di hadapannya seperti ada sesuatu yang tertulis di situ. Pada pandangan orang lain, dia kelihatan seperti termenung. Akan tetapi, pada pandangan Zaqwan, dia dapat lihat teks mesej yang dihantar kepadanya tadi.
Mesej itu berbunyi, "Jom jumpa hari ni kat PSZ. Kau kat mana sekarang?"
Bagaimana dia boleh melakukannya? Dia sebenarnya mempunyai kebolehan untuk menyambung otaknya secara terus ke Internet tanpa perlu menggunakan apa-apa gajet sebagai medium. Disebabkan telefon pintarnya bersambung dengan Internet, dia mampu mengawal telefon pintarnya dari jarak jauh sahaja.
Sejak dari mula Zaqwan mengaktifkan kebolehan itu, peti masuknya penuh dengan mesej yang kononnya tidak dibuka. Mana tidaknya, perkara itu boleh dilakukannya hanya dengan menghubungkan otaknya dengan telefon pintar melalui Internet. Bukan itu sahaja, malah semua peralatan yang disambung dengan Internet mampu dikawal Zaqwan dari jarak jauh.
Dengan kemajuan teknologi IOT, hampir segala-galanya boleh disambung dengan Internet daripada sistem HVAC, peralatan elektrik di rumah, kenderaan dan segala perkakasan yang mempunyai komponen elektronik, perisian, sensor, penggerak, dan akses Internet. IOT membolehkan segala objek yang disambungkan ke Internet dikawal dari jarak jauh. Perkembangan teknologi sebegini memudahkan Zaqwan untuk mengawal kesemua peralatan dengan mindanya.
"Okey. Aku on the way," ujar Zaqwan di dalam hati. Kata-katanya itu dizahirkan dalam bentuk teks yang tertulis secara automatik di telefon pintarnya. Mesej itu kemudiannya terus dihantar, bukan dengan menekan butang 'SEND' tetapi atas isyarat yang dihantar otak Zaqwan.
Satu lagi mesej masuk ke telefon pintarnya membalas kata-kata Zaqwan. Zaqwan terus berjalan ke bilik air untuk bersiap-siap.
***
Kabus pagi masih menyelimuti persekitaran Universiti Teknologi Malaysia. Suhu pada pagi itu dirasakan nyaman sekali. Suasana persekitaran masih lengang daripada sebarang aktiviti manusia, menunjukkan para penghuni universiti itu masih enak dibuai mimpi.
Zaqwan mengatur langkahnya sehingga sampai di hadapan destinasi yang ingin ditujunya. Dalam perjalanan, mata Zaqwan melirik ke arah persekitarannya memerhatikan segala objek yang berada di sekitarnya, sambil menghirup udara yang segar.
Sesekali, Zaqwan memfokuskan matanya pada objek-objek tertentu. Secara automatik, terbit teks berhampiran dengan objek yang difokusnya memaparkan maklumat mengenai objek tersebut. Jika objek yang dilihatnya ialah sebatang pokok, maka segala maklumat mengenai pokok tersebut akan muncul pada pandangannya. Dia mengembangkan kebolehan ini dengan meniru sejenis teknologi. Teknologi ini dipanggil sebagai self-recognition. Maklumat itu pula, tidak lain tidak bukan diperolehnya melalui Internet.
Tiba-tiba, Zaqwan menghentikan langkahnya. Dia melihat ke arah sebatang pokok yang tertanam di tepi jalan. Matanya difokuskan untuk memperoleh maklumat mengenai pokok tersebut.
"Ah! Setiap kali aku memandang pokok-pokok ni semua, pasti aku akan teringatkan Zalfa. Ini ke yang selama ni dia alami? Ini ke yang selama ni dia rasa? Oh, tidak! Tak mungkin kuasa aku ini setanding dengan kuasanya. Aku dapat maklumat ni semua dari Internet, yang belum tentu kesahihannya. Sedangkan dia dapat semua tu dari bisikan alam." ucap Zaqwan seorang diri sambil mendepakan tangannya.
Beberapa orang yang kebetulan lalu di situ sudah memandang Zaqwan pelik. Dia kelihatan seperti tidak siuman sahaja ketika itu. Zaqwan yang mula menyedari dirinya diperhatikan terus menurunkan tangannya. Kemudian, dia berlalu meninggalkan tempat itu, tidak mahu terus diperhatikan. Mukanya merah padam menahan malu.
Sampai sahaja di hadapan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Zaqwan terus mengubah haluannya untuk menuju ke pintu masuk. Langkahnya diatur hingga sampai beberapa meter di hadapan pintu masuk. Dua bilah pintu kaca lutsinar itu terbuka setelah mengesan kehadiran Zaqwan. Kedinginan yang mencengkam tulang daripada sistem penghawa dingin pusat sumber itu menjemput Zaqwan masuk.
Zaqwan melangkah masuk. Sampai sahaja di hadapan sebuah meja yang terletak di hadapan pintu tersebut, dia mengeluarkan kad matrik untuk dilalukan di alat pengimbas yang berada di atas meja tersebut.
"Sejuknya! Menyesal aku tak bawa sweater," rungut Zaqwan di dalam hatinya sambil matanya melilau memerhatikan persekitaran perpustakaan tersebut. Dia memeluk tubuhnya menahan kesejukan.
Idea nakal terbit di benak Zaqwan. Dia sudah terfikir untuk menggodam sistem penghawa dingin pusat sumber itu untuk menaikkan suhunya tetapi dibatalkan hasratnya itu. Sebelum ini, dia pernah melakukan sebegitu di kolej kediamannya. Akibatnya, satu blok bergelap dek kenakalannya itu. Entah bagaimana, dia telah merosakkan sistem pencahayaan di dalam blok itu. Setelah itu, berbulan-bulan dia tidak menggunakan kuasanya kerana khuatir dia akan menimpakan kecelakaan buat kali kedua.
Zaqwan terus berjalan ke arah lif. Butang untuk ke tingkat dua ditekan. Lif itu kemudian membawa Zaqwan ke tingkat yang diinginkan. Dia terus berjalan keluar. Matanya melilau untuk mencari rakannya yang berjanji ingin berjumpanya pada hari itu.
"Manalah perginya budak ni? Ingatkan dah sampai," rungut Zaqwan setelah tidak menjumpai rakannya itu.
"Takpalah, baik aku pergi cari bahan dulu."
Oleh kerana tidak mahu menunggu dan mengelakkan kebosanan, Zaqwan berjalan ke arah rak-rak buku. Dia sudah tahu ke mana dia harus tuju untuk mencari buku-buku yang diinginkan. Pengkalan data mengenai kedudukan buku-buku di pusat sumber itu boleh diakses terus otaknya memudahkan dia untuk mencari buku yang diinginkan.
"Haha, walaupun aku boleh cari semua bahan di Internet dengan otak aku je, tapi aku tetap nak cari maklumat dalam buku juga. Kelakar, kan? Yalah, maklumat di Internet bukannya boleh percaya sangat pun," celoteh Zaqwan di dalam hatinya sambil mencapai sebuah buku di rak.
Sedang dia sibuk membelek-belek beberapa buah buku, secara tiba-tiba sahaja letupan berlaku.
Boom!
Letupan itu menggegarkan seluruh bangunan lalu meranapkan keseluruhan pusat sumber tersebut. Seluruh bangunan bergelap. Zaqwan pula tidak sempat untuk menyelamatkan dirinya. Lantai tempat Zaqwan berpijak bergegar sebelum runtuh lalu menenggelamkan tubuh Zaqwan dalam runtuhan. Rak buku di hadapannya tumbang lalu menimpa tubuh Zaqwan. Buku-buku tebal berkulit keras di dalam rak jatuh satu-persatu lalu menghentam kepala Zaqwan. Impak daripada buku-buku itu menyebabkan Zaqwan hilang kesedaran.
Sekarang, Zaqwan terperangkap dalam runtuhan, tidak sedarkan diri.
***
Letupan itu telah meranapkan hampir keseluruhan kawasan Universiti Teknologi Malaysia. Sementara itu, seluruh kawasan universiti itu telah terputus bekalan elektrik dipercayai disebabkan letupan itu sendiri.
Syahmi sedang berjalan seorang diri untuk pulang ke kolej kediamannya semasa letupan itu berlaku. Dia dapat rasakan impak daripada letupan itu mengenai tubuhnya. Bangunan di sekitarnya hampir ranap menerima impak letupan tersebut. Akan tetapi, tubuh lelaki itu tidak apa-apa, cuma kepalanya sahaja berasa sakit saat ini. Kepalanya diurut perlahan untuk menahan kesakitan yang diterimanya.
"Aduh, sakitnya kepala ni! Dah lama aku tak rasa sakit kepala macam ni sejak peristiwa tu." Terduduk Syahmi menahan rasa sakit. Rasa sakit di kepalanya itu telah mengingatkannya semula pada suatu peristiwa lama.
Dia memandang ke arah punca letupan.
"EMP? E-bomb?" soal lelaki itu menggumam.