Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 39

SELAMAT TINGGAL

"Macam ni rupanya Fakulti Perubatan. Wah!" puji Marisa dengan penuh keterujaan.

"Takdalah, Fakulti Kejuruteraan pun apa kurangnya kot," balas Syafiyah merendah diri.

Marisa tiada kelas pada petang itu. Jadi, dia mengambil peluang untuk berjumpa Syafiyah di Fakulti Perubatan pada waktu senggang ini. Syafiyah mengambil kesempatan ini untuk membawa Marisa meronda di sekitar fakultinya.

Sedang dua orang gadis itu berjalan di sebuah koridor, Syafiyah menangkap kelibat seseorang yang amat dikenalinya di tengah lautan manusia pelbagai arus di sekelilingnya. Syafiyah ingin melambai, meminta perhatian gadis itu. Dia berhasrat ingin memperkenalkan Zalfa kepada seorang lagi rakannya, Marisa.

Walau bagaimanapun, Zalfa seperti tidak menyedari langsung akan kehadirannya. Mata gadis itu ralit merenung corak lantai di bawah kakinya. Segaris bibir yang masam mencuka menghiasi wajahnya. Entah apalah yang difikirkan si gadis. Syafiyah betul-betul musykil.

Zalfa berjalan seorang diri di koridor. Beberapa orang yang lalu-lalang di koridor itu tidak dipedulikannya. Masih ralit melayan perasaan sendiri. Sedang dia tenggelam dalam lautan perasaannya, ekor matanya menangkap kelibat seseorang yang amat dikenalinya sedang turut berjalan di koridor tersebut.

'Dr. Akmal? Apa dia buat kat sini?' desis hati Zalfa. Terbit rasa gerun di hatinya tatkala menyedari kehadiran Akmal di situ. Pantas dia cuba menyembunyikan kewujudannya daripada dilihat saintis itu. Dia bersembunyi di balik pelajar-pelajar lain yang turut lalu di koridor tersebut.

"Zalfa!" panggil Syafiyah teruja setelah mendapati jaraknya semakin hampir dengan Zalfa.

Terhenjut bahu Zalfa seketika tatkala mendengar seseorang memanggil namanya tiba-tiba. Dia tidak sangka pula ada orang akan memanggilnya waktu ini. Setahunya, dia tidak rapat dengan sesiapa pun di kelasnya.

"Awak ni kenapa Zalfa? Macam nampak hantu je gamaknya?" soal Syafiyah pelik melihat reaksi Zalfa.

Zalfa memandang ke hadapan. Syafiyah dan seorang lagi yang tidak dikenalinya sedang berdiri di hadapannya. Kedua-dua gadis itu sedang tersenyum ke arahnya.

"Tak. Apa yang saya nampak mungkin lebih menakutkan dari hantu," jawab Zalfa selamba. Sambil-sambil itu, dia menjeling ke suatu arah. Memerhatikan kelibat Akmal yang kian menghilang dari pandangan.

"Lebih menakutkan dari hantu? Siapa?" soal Syafiyah ingin tahu.

Zalfa kembali fokus ke hadapan sebelum menjawab, "Takda apa-apalah."

"Free ke sekarang ni?" soal Syafiyah berbasa-basi.

"Tak. Saya ada urusan kejap lagi ni," jawab Zalfa pendek dan malas. Dia tahu dia tiada masa untuk berseronok.

"Oh, sorry ya mengganggu awak. Baru nak perkenalkan awak kawan saya ni," balas Syafiyah lagi.

"Okey, saya pergi dulu," balas Zalfa lemah setelah mendiamkan diri sejenak. Dia terus berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.

Sedari tadi Marisa hanya mendiamkan diri memerhatikan Zalfa. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang disembunyikan gadis itu melalui riak wajahnya. Jadi, Marisa mengambil keputusan untuk membaca fikiran gadis itu seketika. Dia tahu perbuatan mengorek rahsia orang itu salah. Akan tetapi, hatinya dijentik rasa ingin tahu yang mendalam.

Dia tertanya-tanya, apa yang menyebabkan gadis itu kelihatan cuba menjauhkan diri daripada semua orang?

"Marisa ... Marisa ...," panggil Syafiyah berulang-kali setelah mendapati gadis itu termenung jauh.

"Ah, ya!" sahut Marisa.

"Kau ni kenapa tiba-tiba senyap je?" soal Syafiyah pelik.

Riak wajah Marisa berubah serius secara tiba-tiba. Dia mendekatkan bibirnya ke telinga Syafiyah untuk membisikkan sesuatu. Berkerut dahi Syafiyah mendengarnya sebelum mengangguk perlahan.

***

Raimi sedang membaling batu ke dalam tasik ketika dua orang gadis itu sampai ke tempat kebiasaan mereka berjumpa. Tanpa dipelawa, Marisa dan Syafiyah terus melabuhkan punggung di bangku yang terletak di tepi tasik.

"Dah lama ke kau sampai, Raimi?" sapa Marisa sekadar berbasa-basi. Raimi yang pada masa itu ralit memerhatikan kocakan air di permukaan tasik menoleh ke arah dua orang rakannya.

"Taklah. Baru je. Ada apa korang panggil aku datang sini ni?" balas Raimi dengan soalan.

Syafiyah memandang ke arah Marisa, meminta dia membuka bicara. Marisa menautkan hujung jari-jemarinya sehingga bersilang lalu diletakkan di atas riba. Topik perbincangan pada petang ini dirasakan agak berat, kerana dia bakal membuka rahsia orang lain.

Lama Marisa mendiamkan diri, tidak bersuara. Raimi dan Syafiyah sampai ternanti-nanti Marisa membuka mulutnya.

"Fiya, aku bukan apa ...." ujar Marisa membuka bicara. Syafiyah sudah mula pelik. Apa kaitan dengan dirinya?

"Tadi ... sorry-lah. Aku dah terbaca fikiran kawan kau. Sebab dia nampak susah hati je, sampai aku curious," luah Marisa berterus-terang.

"Okey, aku faham. Setahu aku, kau memang susah nak kawal pun kan kuasa kau tu? Kalau ada orang ada strong feeling terhadap kau, dengan automatiknya kau akan baca fikiran dia, betul tak?" Syafiyah mengusap bahu Marisa lembut, cuba mengusir rasa bersalah gadis itu.

"Ya, dan lagi satu, kalau ada orang yang ada strong feeling terhadap sesuatu dan lalu dekat dengan aku," tambah Marisa.

"Oh, macam tu ...." Raimi yang turut mendengar mengusap dagunya perlahan.

"Dan sebab tulah aku penat dengan kuasa aku ni." Marisa melepaskan keluhan berat di hujung bicaranya.

"It's okey, my dear. Kami akan sentiasa ada untuk support kau," pujuk Syafiyah cuba menenangkan. Bahu Marisa diusap lembut.

"Jadi, apa kena-mengenanya kawan Fiya tu dengan perbincangan kita petang ni?" soal Raimi, kembali kepada pokok persoalan. Sebagai lelaki, dia memang tidak pandai membaca situasi.

Marisa yang menunduk sedari tadi mula mengangkat wajah. Riaknya berubah serius.

"Tadi, masa Fiya lambai kat kawan Fiya, aku dapat baca fikiran dia. Masa tu dia tengah tengok seseorang dan macam cuba nak larikan diri." Marisa memulakan cerita.

"Lepastu?" sampuk Raimi tidak sabar-sabar.

"Masa tu dia cakap, 'Dr. Akmal? Apa dia buat kat sini?'. Lepastu, masa kita tengah datang dekat tu, dia cakap, 'Jangan kata dia dah tahu rancangan aku malam ni.'," cerita Marisa.

Syafiyah dan Raimi sudah berpandangan sesama sendiri. Mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

"Then, masa Fiya tegur kawan Fiya tu, dia cakap, 'Aku takda masa untuk ni. Aku perlu cari kat mana mereka sorokkan abang. Lagipun, malam ni aku sibuk dengan eksperimen dari saintis tak guna tu.'."

"Eksperimen? Saintis? A ... pa tu?" Raimi mula berasa tidak sedap hati.

"Belum lagi. Apa yang dia cakap sebelum dia pergi tu paling merisaukan aku." Marisa terhenti bicaranya seketika. Teragak-agak untuk menceritakan apa sebenarnya yang didengar melalui kata hati Zalfa.

"Apa yang dia cakap Marisa?" soal Syafiyah mula risau.

"Maaf, Syafiyah. Aku bukan taknak, aku nak sangat. Tapi, aku takut aku akan bahayakan kau. Selamat tinggal, sahabat. Mungkin esok kita takkan berjumpa lagi." Sekali lagi Marisa melepaskan keluhan di hujung bicaranya. Berat benar dirasakan bebanan yang ditanggungnya akibat mendengar suara hati gadis itu.

"A ... a ... pa maksud dia cakap macam tu?" Syafiyah menutup mulutnya yang menganga luas. Khuatir dia memikirkan kata-kata Zalfa tadi.

"Kenapa aku tak sedar langsung pasal ni?" keluh Syafiyah kecewa dengan dirinya. Kecewa kerana tidak tahu bebanan berat yang ditanggung gadis itu.

"Takpalah, Fiya. Nak buat macam mana, dia sendiri yang memilih untuk taknak menyusahkan kau. Takpa, kita fikirkan cara untuk cari kawan Fiya tu," cadang Marisa dengan bersemangat.

Raimi pula dari tadi hanya senyap memikirkan sesuatu. Dia ralit memikirkan mengenai kata-kata Zalfa tadi. Dia dapat rasakan bahawa gadis itu mungkin tahu serba sedikit mengenai rahsia yang disembunyikan di universiti ini, tetapi dia tidak salahkan gadis itu. Dia fikir, Zalfa cuma mangsa mereka sahaja.

Firasatnya juga mengatakan Zalfa mungkin ada kaitan dengan mereka bertiga, tetapi dia tidak tahu apa. Dia sekadar menebak sahaja.

"Fiya, siapa nama kawan kau tu?" Raimi tiba-tiba bersuara setelah lama mendiamkan diri. Marisa sudah memandang Raimi pelik.

"Zalfa, kalau tak silap saya," beritahu Syafiyah teragak-agak.

"Lagi? Zalfa je ke nama dia? Kau tahu tak nama penuh dia?" soal Raimi lagi.

"Zalfa ... Dayana kalau tak silap aku." beritahu Syafiyah.

"Zalfa Dayana, okey. Satu kelas dengan kau ke?" soal Raimi berterus-terusan.

"Tak, dia first year. Kenapa kau tanya macam-macam ni?"

"Aku nak cari maklumat pasal dia. Mana tahu boleh cari sedikit klu mengenai dia."

"Habis tu sekarang kita nak buat apa?" soal Marisa sudah tidak sabar.

"Sabarlah, aku tengah fikirkan plan seterusnya," ujar Raimi sebelum kembali tenggelam dalam lautan fikirannya.

"Okeylah. Kalau kau dah ada idea untuk plan seterusnya, kau inform kitorang tau," pesan Marisa sebelum mengajak Syafiyah pulang ke kolej kediaman mereka.

"Cepatnya korang nak balik," seloroh Raimi.

Marisa dan Syafiyah yang mula berjalan meninggalkan tempat itu menoleh ke arah Raimi semula. Marisa tampil memberi penjelasan. "Hmm ... sebenarnya kitorang tak boleh lama sangat kat luar. Kena balik segera. Ada peraturan kolej yang kata kitorang tak boleh balik lebih lewat dari pukul 6.00. Eh, kau bukan duduk kat Kolej Psi juga ke?"

"Memang pun, tapi apa salahnya kalau kita langgar sikit peraturan tu, kan?" Raimi tersenyum nakal.

"Taknaklah. Kitorang taknak bersubahat. Apa-apa hal kau tanggung sendiri okey," seloroh Marisa sebelum berlari meninggalkan Raimi.

Raimi tidak memberi sebarang reaksi akan seloroh Marisa. Sebaliknya, minda Raimi tiba-tiba menimbulkan suatu idea.

'Langgar peraturan? Hmm ... why not, kan?' Raimi turut mula melangkah meninggalkan kawasan tepi tasik yang tenang lagi mendamaikan itu. Tenang dan damai, tidak seperti hati mereka yang sering diserang gundah-gulana itu.

***

Tatkala Raimi mula melangkah masuk ke dalam blok asramanya, suatu suara asing terbit secara tiba-tiba di benaknya.

'Ini lagi seorang. Penat nak jaga budak-budak ni, Dr. Luqman.'

Raimi menghentikan langkah. Matanya meliar memerhatikan persekitaran ruang legar asrama itu. Dia pasti ada orang lain selain dirinya di ruang legar itu. Matanya menangkap kelibat seseorang sedang menyandar sambil berpeluk tubuh di tepi dinding berhampiran pintu keluar.

'Fizri? Dia lagi? Pelik betul mamat seorang ni,' desis hati Raimi. Dia memandang ke arah Fizri yang berjalan tenang ke arahnya dengan perasaan penuh syak dan wasangka.

"Hmm ... takpalah. Nanti kau akan tahu kenapa aku buat macam ni." Fizri berkata tiba-tiba sambil memegang bahu Raimi.

Raimi mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak mahu bertentang mata dengan Fizri.

'Dia buat apa kat sini?' Terdetik persoalan itu di benaknya.

"Aku tengah tunggu Ilham balik. Katanya hari ni dia pergi bincang pasal assignment dengan coursemate dia." Tanpa dipinta, Fizri menjawab soalan Raimi.

"Oh, Ilham ke? Kenapa kau beria nak tunggu dia? Ada something yang special ke pada budak tu?" soal Raimi cuba menduga Fizri. Dia tidak mengharapkan jawapan, cuma sengaja menduga si Fizri. Setelah habis menuturkan kata-kata tadi, Raimi terus menoleh lalu berjalan ke arah lif. Butang tingkat tiga terus ditekan.

Fizri melemparkan renungan tajam sejenak ke arah Raimi tatkala lelaki itu meluncurkan kata-kata tadi.

'Dia dah tahu ke? Sejauh mana dia mengetahuinya?' soal Fizri sendiri.

---

Apalah Marisa tu, jakun kan dia tu? XD XD

Sorry lambat update minggu ni, sebab saya sibuk update lagi satu cerita saya.



Previous: BAB 38
Next: BAB 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari