Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 33

APPRENTICE SCIENTIST

"Oh, nampaknya kita ada pelajar barulah. New student, please introduce yourself," arah Zahran secara tiba-tiba.

Alangkah terkejutnya Ilham tatkala disuruh oleh pensyarah itu secara tiba-tiba. Semua pelajar di dalam dewan itu terus memfokuskan pandangan ke arah Ilham serentak. Panik tiba-tiba menyerang kalbu lalu menjalar di segenap tubuh. Serta-merta tangannya menjadi sejuk seperti baru keluar dari peti ais. Denyutan jantungnya berdetak semakin laju secara medadak.

Ilham terus terbangun dari kerusinya dek reaksi secara spontan. Mulutnya cuba dibuka untuk memulakan bicara. Ayat cuba disusun dengan baik agar tidak memalukan dirinya sendiri pada hari pertamanya di sini.

Namun entah kenapa kerongkongnya terasa gatal secara tiba-tiba tatkala dia mula bersuara. Suara yang cuba dikeluarkan dari peti suara tersekat dengan tidak semena-menanya. Hanya dua ulas bibirnya sahaja bergerak.

Ilham berdehem sejenak demi meredakan rasa gatal di kerongkong. Cuba untuk menutup rasa malu yang menjengah kalbu kerana hilang suara secara tiba-tiba. Setelah kerongkongnya terasa lapang, lagi sekali Ilham cuba bersuara.

"Sa ... saya Ilham Hakimi. Sa ... ya masih baru di sini. Sila beri tunjuk ajar." Dengan tergagap-gagap Ilham cuba memperkenalkan dirinya. Dialog yang keluar dari mulutnya terasa kaku sahaja dek rasa gugup yang terbentuk.

Zahran tidak menjawab apa-apa. Sebaliknya dia melemparkan renungan yang cukup lama buat Ilham. Pelajar-pelajar lain yang turut berada di dalam dewan kuliah itu turut melemparkan renungan yang sama.

Ilham tidak berani duduk. Dia terus berdiri memerhatikan mereka semua. Menanti respons daripada mereka dan masa yang sesuai untuk duduk.

Ilham memerhatikan renungan yang dilemparkan Zahran. Dilihatnya pensyarah itu sedang merenung wajahnya dalam-dalam, seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Mungkin ada agenda yang cuba disembunyikan di sebalik wajahnya itu.

"Okey, kamu boleh duduk. Lepas habis kelas ni kamu jumpa saya sekejap. Saya ada perkara nak bincang dengan kamu lepas ni," beritahu Zahran setelah beberapa ketika mendiamkan diri.

Ilham baru sahaja ingin menarik nafas lega tetapi niatnya itu terbantut setelah mendengar pemberitahuan daripada pensyarah itu. Entah apa lagilah yang pensyarah itu mahukan daripadanya. Adakah dia akan menanyakan soalan seperti hari itu?

Ilham kembali duduk di tempatnya. Selepas itu kelas berjalan seperti biasa. Pada hari pertamanya di sini, Ilham tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran. Semangatnya sudah hilang berterbangan ditiup angin.

Manakan tidaknya, masuk-masuk sahaja sudah disuruh memperkenalkan diri. Tidak cukup dengan itu, hatinya pula dilanda kegusaran. Memikirkan tentang pengumuman yang diberitahu Zahran tadi. Jantungnya berdegup tidak seirama. Berdebar-debar menunggu sehingga habis kelas ini. Entah apalah yang menantinya setelah habis kelas nanti?

***

Pelajar-pelajar lain sudah pun beransur meninggalkan dewan kuliah itu untuk ke kelas seterusnya. Dalam sekelip mata sahaja dewan itu sudah lengang. Meninggalkan Ilham dengan Zahran sahaja di dalam dewan kuliah itu.

"Kamu tahu tak apa tujuan saya panggil kamu ke sini?" soal Zahran memulakan bicara.

Ilham menjulingkan matanya ke atas. Mulutnya sengaja dikunci. Berasa malas untuk menjawab. Sudah tentulah dia tidak tahu apa tujuan dia dipanggil ke sini.

Melihatkan Ilham yang tidak menjawab soalannya, Zahran terus mengambil inisiatif untuk menjawab soalan itu sendiri.

"Begini, saya mahu masukkan kamu dalam satu program khas untuk pelajar cemerlang. Kamu berminat untuk menyertainya?"

Ilham yang sedang menunduk kala itu terus mengangkat wajahnya spontan. Matanya membuntang luas mendengarnya. Hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Zahran pula seperti sengaja menekankan perkataan 'pelajar cemerlang' itu untuk memancing perhatiannya.

"Bagaimana? Kamu berminat?" soal Zahran sekali lagi setelah lama Ilham mendiamkan diri.

Ilham sebenarnya hampir tidak terkata. Dia tidak tahu bagaimana reaksi yang harus diberikannya.

"Pro ... program apa tu?" soal Ilham mula menunjukkan minat.

Zahran menyimpulkan senyuman penuh agenda di bibirnya. Sekali lagi dia merenung wajah Ilham dalam-dalam. Ilham pula berasa tidak selesa tatkala direnung sebegitu. Wajahnya lagi sekali ditundukkan untuk mengelakkan panahan daripada renungan itu.

"Apprentice Scientist. Program ni untuk melatih pelajar cemerlang macam kamu untuk menjadi pelapis pada bakal-bakal penyelidik di universiti ni. Kalau kamu berminat, petang ni pukul lima datang lab C18 111. Pastikan kamu datang tau," pesan Zahran sebelum beransur meninggalkan Ilham.

Ilham hanya menghantar pensyarah itu keluar dari dewan kuliah dengan pandangannya.

'Pelajar cemerlang? Aku ni pelajar cemerlang ke? Hah, professor ni silap orang apa. Aku baru satu hari masuk dah diserap masuk dalam program ni,' getus hati Ilham sebelum turut sama meninggalkan dewan kuliah itu.

Langkah mula diatur untuk ke kelas seterusnya. Telefon pintar dikeluarkan untuk melihat lokasi kelas dan subjek apa yang bakal dipelajari selepas ini.

Dalam jadual kelasnya, subjek selepas ini merupakan subjek Elementary Particles. Subjek itu subjek elektif, iaitu hanya subjek pilihan kepada para pelajar. Selain Quantum Mechanics I yang merupakan subjek teras, para pelajar pada semester itu dikehendaki untuk mengambil tiga lagi subjek elektif daripada empat pilihan subjek.

Semasa pendaftaran subjek, Ilham tidak terlibat, sebaliknya diuruskan semua oleh pegawai yang bertugas. Dia pun tidak faham kenapa dia tidak diberi peluang untuk mendaftarnya sendiri. Walau bagaimanapun, dia berpuas hati dengan subjek elektif yang dipilih untuknya. Dia memang meminati ketiga-tiga subjek elektif itu.

Elementary Particles juga subjek kegemaran Ilham selain Quantum Mechanics. Subjek ini mengajarkan tentang partikel-partikel halus dalam skala mikroskopik yang membentuk asas kepada segala objek yang berada dalam alam ini berserta interaksinya.

Walau bagaimanapun, sama seperti subjek Quantum Mechanics, subjek ini juga amat sukar untuk difahaminya kerana dia jarang sekali memunculkan dirinya di kelas. Dia terfikir juga, kalaulah sebelum ini dia rajin untuk ke kelas, pasti dia tidak akan menghadapi kesukaran untuk mengikuti pelajarannya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Peluang yang diberikan kepadanya kali ini Ilham tidak mahu sia-siakan lagi. Tabiat buruknya sebelum ini harus dilempar jauh-jauh. Segala perasaan negatif harus diusir daripada membina sarang di dalam hati.

***

"C18 ... 111," gumam Ilham sendiri sambil mencari-cari tempat yang dimaksudkan Zahran pagi tadi.

Setelah ternampak bangunan C18 yang dimaksudkan, Ilham menghayun langkah menuju ke arah bangunan itu. Sampai sahaja di bangunan itu, matanya melilau ke segenap persekitaran untuk mencari makmal C18 111. Orang ramai yang lalu-lalang di koridor tingkat satu bangunan itu tidak dipedulikan Ilham.

Kaki terus diatur ke arah satu demi satu bilik yang berjujuk di sepanjang koridor itu untuk menuju destinasi yang diingininya. Di hujung koridor, Ilham dapat lihat beberapa orang yang masuk ke sebuah bilik yang terbuka separuh pintunya. Cahaya putih dari dalam bilik itu melimpah keluar dari celahan pintu. Menerangi koridor yang agak gelap.

"Itu ke?" soal Ilham sendiri.

Jam di tangan dikerling sekilas. Hanya tinggal beberapa minit sahaja sebelum pukul lima. Nampaknya dia masih tidak terlambat untuk menghadiri perjumpaan itu. Kaki diatur dengan penuh debaran di dada menuju ke hujung koridor.

Sampai sahaja di muka pintu makmal itu, Ilham dapat lihat beberapa orang pelajar lain telah pun menunggu di dalamnya. Mungkin mereka pelajar-pelajar yang turut serta dalam program itu. Kelibat beberapa orang pensyarah turut kelihatan. Walau bagaimanapun, Ilham langsung tidak nampak kelibat Zahran. Mungkin dia masih boleh sampai agaknya.

Dalam keadaan teragak-agak, Ilham mengatur langkah untuk masuk ke dalam bilik itu. Pelajar-pelajar lain yang berada di bilik itu langsung tidak menoleh ke arahnya. Mereka seperti tidak perasan atau tidak peduli dengan kedatangan Ilham. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Dengan perasaan yang sedikit kekok, Ilham mengambil salah satu tempat duduk yang masih kosong. Kepalanya ditundukkan ke arah meja. Pandangannya seperti mahu menembusi meja putih tersebut.

Orang-orang yang berada di sekelilingnya tidak dipedulikan. Dia berasa terlalu takut untuk menegur mereka. Maklumlah, mereka semua mesti pelajar genius. Tidak seperti dia, yang hanya biasa-biasa sahaja keputusannya. Wajah-wajah mereka hanya ditenung Ilham sekali imbas sebelum kembali menundukkan muka. Sungguh dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang.

Lamunannya tersentak tatkala merasakan bahunya seperti ditepuk seseorang. Ilham menoleh ke belakang. Mahu melihat siapakah gerangannya yang menepuk bahunya secara tiba-tiba. Pelik. Setahunya, dia tidak mengenali sesiapa pun lagi di universiti ini selain Fizri dan Raimi. Siapa pula yang tiba-tiba menegurnya ini? Dia ada buat apa-apa salah ke?

Dilihatnya Fizri sedang berdiri tercegat di belakangnya. Bibirnya mengukir senyuman. Ilham membalas senyumannya dengan kekok. Dia masih tidak membiasakan dirinya dengan lelaki ini.

"Fizri? Apa kau buat kat sini?" soal Ilham terpinga-pinga.

Fizri mengambil tempat kosong di sisi Ilham. Dia membuka mulutnya untuk memulakan perbualan.

"Aku pun salah seorang yang terlibat dalam program ni. Nama aku kau dah kenal, kan? Okey, aku pergi dulu eh. Nanti mereka akan briefing tentang program ni dulu." Fizri menepuk bahu Ilham perlahan sebelum berlalu pergi.

Ilham hanya memerhatikan sahaja Fizri yang nampaknya menuju ke arah tempat beberapa orang pensyarah berkumpul. Terdetik di hati Ilham, adakah dia juga pelajar di sini? Jika ya, kenapa Ilham langsung tidak nampak kelibatnya semasa di kelas tadi? Mungkin juga dia pelajar senior. Lupa pula Ilham untuk bertanya kepada Fizri, sekarang dia berada di tahun berapa.

Hari ini dia terlampau mengejar masa sehingga tidak sempat berkenalan dengan sesiapa pun. Lagipula, pelajar-pelajar di sini kelihatan agak dingin dan sombong, sehinggakan Ilham terlalu takut untuk menegur mereka. Mereka seperti ada aura pembunuh yang mengelilingi tubuh masing-masing.

Mungkin, ini lumrah kehidupan pelajar di sini. Semuanya terlampau sibuk belajar sehingga tiada masa untuk bersosial.

Ilham hanya memerhatikan Fizri dari jauh. Dia nampaknya sedang membincangkan perkara yang serius dengan sekumpulan pensyarah itu. Sedikit sebanyak, timbul rasa kagum Ilham terhadap Fizri. Dia mampu berkomunikasi dengan baik. Dia kelihatan begitu profesional tatkala berbincang dengan mereka.

'Mereka tunggu apa lagi ni? Bila nak mula perjumpaan ni? Kalau tak mula lagi aku nak baliklah macam ni.' Ilham mengerling jam di tangannya sekilas. Jam sudah menunjukkan pukul 5.15 petang.

'Solat asar pun belum lagi ni,' desis hati Ilham.

Baru Ilham hendak mengangkat punggung meninggalkan tempat itu, Zahran telah pun berada di muka pintu. Niat nakalnya itu dibatalkan sahaja. Punggung kembali diletakkan semula di atas kerusi.

Ilham kembali fokus ke arah muka pintu. Nampaknya bukan Zahran seorang sahaja pensyarah yang baru datang ke makmal itu. Ada seorang lagi pensyarah turut bersama beliau. Memandangkan pensyarah itu berada di belakang Zahran, dia tidak dapat melihat mukanya dengan jelas. Samar-samar sahaja wajahnya di sebalik koridor yang gelap itu.

Setelah beliau benar-benar berada di muka pintu, barulah Ilham dapat melihat muka beliau dengan jelas. Alangkah terkejutnya Ilham tatkala mendapati siapakah gerangan pensyarah yang datang bersama Zahran itu. Dia kenal sangat dengan pensyarah itu. Malah, dia lebih mengenali beliau daripada Zahran sendiri.

'Dr. Luqman! Apa dia buat kat sini?' Reaksi spontan Ilham tatkala mengenali pemilik susuk tubuh tersebut. Matanya membeliak luas memandang Luqman.

Masuk sahaja Luqman, dia terus melilaukan pandangan ke segenap ruang makmal itu, mencari kelibat seseorang. Tatkala keliaran matanya terhenti ke suatu tempat, mata Ilham dan Luqman saling berbalas pandangan. Ilham terus menunduk seketika. Menyorokkan wajahnya. Tidak mahu pensyarah itu menyedari kehadirannya di sini.

Luqman terus mengambil tempatnya di salah sebuah kerusi yang masih kosong berhampiran pensyarah lain. Fizri turut duduk berhampiran tempat itu. Dia kelihatan membincangkan sesuatu yang serius dengan Luqman yang duduk di sisinya. Ilham hanya memerhatikan sahaja tingkah mereka dari jauh.

'Mereka saling mengenal?'


Previous: BAB 32
Next: BAB 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.