Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 30

UJIAN DEMI UJIAN

Ilham mendapati dalam bilik ini penuh dengan mesin-mesin perubatan seperti yang ada di hospital. Dia sendiri pun tidak tahu apa fungsi mesin-mesin itu semua. Ada sebuah katil pemeriksaan di tengah bilik itu. Beberapa orang pegawai yang mengenakan kot makmal menyambut kedatangannya.

Kaki Ilham terasa lemah secara tiba-tiba. Bila-bila sahaja dia boleh tumbang. Akan tetapi, dia cuba juga menggagahkan dirinya. Kekuatan harus dikumpul di dada. Kaki sedia untuk melangkah seribu seandainya keadaan memerlukan dia untuk melarikan diri.

Tanpa diduga, salah seorang pegawai yang berada di bilik itu merapati Ilham lalu mendorong tubuhnya ke katil pemeriksaan. Seluruh tubuh Ilham terasa keras secara tiba-tiba. Tubuhnya seperti dibekukan di suhu bawah takat beku. Tangan dan kakinya yang sudah sedia sejuk bertambah sejuk.

"Rileks. Prosedur ni sekejap je." Pegawai yang memegang tubuh Ilham cuba menenangkan.

Datang seorang lagi pegawai lain berjalan ke arah Ilham untuk membantu. Tubuh Ilham dibaringkan ke atas katil. Kali ini Ilham tidak mampu melawan. Kudratnya tidak mampu melawan kekuatan dua orang lelaki dewasa.

Setelah dibaringkan di atas katil, beberapa orang pegawai melekatkan elektrod di bahagian kepalanya. Elektrod itu tidak bersambung dengan wayar. Hanya disambung dengan IOT. Bahagian tubuhnya yang terdedah turut dilekatkan sejenis alat. Alat itu leper dan diperbuat daripada logam.

"Rileks," ujar seorang lagi pegawai yang melekatkan alat itu di kepala Ilham. Ia dalam bentuk arahan, bukan saranan.

Beberapa orang pegawai yang mengenakan kot makmal kelihatan sedang mengambil bacaan yang tertera pada mesin di sekitar Ilham. Ilham hanya mampu memerhatikan mereka semua membuat kerja. Dalam hatinya pula terdetik beberapa persoalan.

'Ini bangunan apa? Kenapa ada satu bilik ni macam hospital pula? Lengkap dengan facility perubatan. Kenapa prosedur untuk daftar masuk di universiti ni complicated sangat?'

"Apa yang kamu sedang fikirkan sekarang?" soal salah seorang pegawai secara tiba-tiba. Dia kelihatan sedang menekan sesuatu pada skrin sesentuh salah satu mesin yang berada berhampiran Ilham.

"Ah ... tak ... da apa," balas Ilham tergagap-gagap.

"Kamu tipu," ujar pegawai itu.

'Ha? Dia ni boleh baca fikiran aku ke? Tak pun, benda alah yang pasang kat kepala aku ni gunanya untuk baca fikiran aku.' Ilham mula membuat andaian bukan-bukan.

"EEG ni detect aktiviti otak kamu sekarang dalam gelombang beta. Kamu sedang aktif berfikir, kan sekarang ni," terang pegawai itu tanpa melihat ke arah Ilham.

"Oh, macam tu," balas Ilham berasa lega. Sangkanya, alat itu memang mampu membaca fikirannya. Dek terlebih berimaginasi, dia mula membuat andaian bukan-bukan.

"Sekarang ni, cuba kamu fikir tentang soalan paling susah yang pernah kamu jawab masa exam," arah pegawai itu lagi.

'Tadi suruh rileks, lepastu suruh aku fikir soalan susah-susah pula. Macam-macamlah dia ni,' marah Ilham di dalam hati.

"Soalan paling susah? Kejap...." Walaupun dia marah, dia cuba juga laksanakan arahan pegawai itu. Dia mahu cepat menyelesaikan prosedur ini agar dia boleh cepat balik ke biliknya dan berehat.

'Kalau soalan paling susah, soalan Prof. Zahran-lah, siapa lagi. Soalan dia tu kalau nak compare dengan pensyarah lain, hmm ... soalan kuiz dia aje 100 kali ganda soalan final pensyarah lain,' bebel Ilham di dalam hati.

Ilham cuba mengingat kembali soalan paling susah yang pernah diberikan Prof. Zahran semasa dalam peperiksaan. Seingatnya, Prof. Zahran itu pernah mengajar kelasnya dua subjek iaitu Nuclear Physics dan Quantum Mechanics. Sudah tentulah soalan paling susah ialah soalan peperiksaan akhir.

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang mengganggu benak Ilham sejak sekian lama. Bagi Ilham, soalan paling susah yang pernah diberikan pensyarah itu ialah satu soalan kuiz yang pernah diberikannya tempoh hari. Malah, soalan itu lebih susah daripada mana-mana soalan ujian dan soalan peperiksaan akhir tahun yang pernah dilaluinya. Pelik sungguh.

Mengingatkan saat itu menyebabkan Ilham mengerutkan dahinya. Keningnya bercantum di tengah. Sama berkerut seperti masa dia menjawab kuiz itu.

"Dah, cukup. Kamu tenangkan diri dulu," arah pegawai itu secara tiba-tiba.

Tersentak Ilham daripada lamunannya. Bertambah pening dia dibuatnya dengan arahan pegawai itu. Sekejap suruh itu dan sekejap suruh ini. Kalau boleh, dia mahu cepat-cepat menghabiskan prosedur ini. Dia sudah tidak tahan lagi.

Setelah melalui prosedur itu, Ilham akhirnya dilepaskan pergi. Lega Ilham dibuatnya setelah menghabiskan pemeriksaan kesihatan ke atas dirinya. Sungguh dia rimas untuk melalui pemeriksaan kesihatan.

Keluar sahaja daripada bilik pemeriksaan, Ilham mendapati Mustaqim telah pun menunggu di luar bilik. Baru dia terfikir untuk melarikan diri daripada bangunan ini. Hatinya berasa tidak sedap secara tiba-tiba. Dia mula berasa aneh dengan segala prosedur yang perlu dilaluinya sedari tadi.

Prosedur itu terlalu rumit. Tidak akanlah semua pelajar yang mendaftar masuk di universiti ini perlu melalui pemeriksaan seketat ini? Bangunan ini pula terlalu pelik bagi Ilham. Kalau betul bangunan ini bangunan pentadbiran untuk para pelajar berurusan, kenapa dia langsung tidak nampak kelibat pelajar lain?

Ilham mengekori langkah pegawai itu ke bilik yang dia pergi sebelum ini. Sampai sahaja di bilik itu, dia terus diberikan soalan ujian yang lain pula. Dia turut ditinggalkan keseorangan di dalam bilik seperti tadi.

'Ada test lain lagi ke? Berapa banyak test aku kena jawab?' keluh Ilham di dalam hati.

"Berapa dia dapat untuk IQ test?" soal Mustaqim kepada Malik yang memberikan Ilham soalan ujian tadi.

"Hmm ... tak memberangsangkan. 132," balas Malik seperti tidak berpuas hati.

"132? Are you sure kita tak silap orang seperti apa yang Prof. cakap?"

"Itulah. Kalau 130 tu level RO kategori lain. Kategori scholar macam dia ni mesti lebih tinggi."

"Ya. Subjek 237 pun IQ 210. Sudah tentu dia sepatutnya jauh lebih baik, kan? Kalau tak sama level pun."

Sementara itu, di dalam bilik khas yang disediakan untuk Ilham, dia berhempas-pulas untuk menyelesaikan soalan-soalan ujian itu. Kepalanya berasa sakit hingga berdenyut-denyut. Jari-jemarinya naik ke kepala memicit kepalanya yang sakit. Semakin lama, semakin susah soalan yang dijawabnya.

Lama-kelamaan, Ilham langsung tiada idea untuk menjawab soalan-soalan itu. Soalan bahagian kira-kira juga tidak mampu dijawabnya dengan baik tanpa melakukan jalan kerja di atas kertas. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu melakukannya. Dia rasa mereka tidak membenarkan jalan kerja kira-kira dilakukan di tempat lain. Jika tidak, pasti mereka telah memberi kalkulator kepada Ilham.

Satu idea nakal terbit di minda Ilham. Dia terfikir untuk menggunakan kalkulator saintifiknya bagi memudahkan kerja pengiraan. Akan tetapi, kalkulator itu berada di dalam beg sandangnya. Beg sandangnya pula tidak dibawa bersama ke bilik ini. Bengang Ilham dengan kecuaiannya sendiri.

Ujian kali ini ialah ujian aptitud. Ujian untuk menguji tahap kemampuan manusia berfikir mengikut pengkelasan tertentu. Ada beberapa kebolehan akan diuji di dalam soalan ini. Ujian kali ini lebih mencabar buat Ilham. Soalan yang diberikan terlampau susah. Dia fikir, bagi setiap bahagian ujian itu, satu pun dia tidak dapat menjawab dengan baik.

'Jawab jelah Ilham, apa nak jadi pun jadilah. Yang penting aku nak cepat selesaikan semua ni.'

Ilham cuba memerah otak sekering yang boleh untuk menjawab semua soalan. Soalan yang tidak mampu dijawabnya pula ditembak sahaja. Dia sudah tidak peduli lagi akan apa akibatnya. Apa yang dia tahu, dia ingin menyelesaikan soalan ini secepat yang boleh.

Tok! Tok! Tok!

Pintu yang diketuk Ilham berkali-kali mengejutkan mereka berdua yang rancak berbual. Salah seorang daripada mereka pantas berjalan ke arah pintu. Muka Ilham yang dibasahi peluh menyapa pandangannya tatkala pintu dibuka. Meskipun Ilham berada di bilik berpenghawa dingin, dia tetap bermandi peluh.

Kertas ujian itu diserahkan Ilham dengan tangan menggigil-gigil. Kertas itu diambil.

"Banyak lagi ke test yang saya kena jawab?" soal Ilham sambil bersandar lemah di dinding bilik.

Melihatkan keadaan Ilham yang sudah penat menyebabkan mereka berdua berbalas pandangan. Dengan isyarat mata sahaja mereka berbincang seketika. Setelah persetujuan dicapai, akhirnya salah seorang daripada mereka bersuara.

"Okey. You can take five now. Lepasni kamu kena jawab satu je lagi test," beritahu Malik kepada Ilham.

"Not again," rungut Ilham setelah mendengarnya.

Ilham terus melorot ke bawah sehingga terduduk di atas lantai. Sungguh dia sudah penat dan tidak larat lagi. Melihatkan keadaan Ilham, Mustaqim terus menghampiri tubuh Ilham lalu dipapahnya ke sebuah kerusi panjang untuk pesakit. Dia disandarkan di atas kerusi itu untuk berehat. Malik turut menghampiri Ilham.

"Takpa, soalan ujian lepasni tak susah pun. Kamu tak payah pakai otak pun." Malik cuba memujuk Ilham.

"Habis tu pakai apa? Kepala lutut?" Sebaliknya Ilham membalas dengan perlian. Dia sudah terlalu penat sekarang sehingga tidak sedar apa yang keluar dari mulutnya. Rasionalnya sudah habis berterbangan ditiup angin.

Setelah puas berehat, Ilham diberikan satu lagi ujian. Ujian selepas ini ialah ujian konsepsi Sains. Ujian ini untuk menguji cara berfikir dan pendekatan seseorang dalam memahami konsep-konsep Sains.

Benar seperti yang dikata. Soalan-soalan yang diberikan tidaklah susah kerana soalan ini bukan untuk menguji tahap kepandaian tetapi lebih kepada cara berfikir. Ujian ini berbentuk ujian personaliti. Ilham hanya perlu menjawab sama ada setuju, tidak setuju atau neutral dalam ujian kali ini.

Dia juga tidak lagi duduk di bilik khas seperti sebelum ini. Dia sendiri yang menolak. Dia sebenarnya sudah fobia untuk masuk lagi ke bilik itu. Ujian itu disiapkannya dalam masa beberapa minit sahaja. Setelah selesai menjawab soalan yang terakhir, kertas itu diserahkan dengan perasaan teruja dan penuh kelegaan.

Fikir Ilham, dia boleh pulang selepas ini. Walau bagaimanapun, mereka berdua hanya senyap sahaja. Tidak memberi apa-apa kata putus.

"Alright, kamu boleh balik sekarang." Setelah momen senyap terbentuk seketika, barulah kata putus dikeluarkan. Ilham menarik nafas lega. Dia akhirnya dibenarkan pulang.

Pantas Ilham mencapai beg sandangnya yang tergeletak di sisi. Dalam hatinya sudah menjerit penuh keterujaan. Rasanya seperti baru melepasi peperiksaan akhir tahun.

"Okey, saya iring kamu keluar," ujar Mustaqim sambil membuka pintu. Ilham terus melangkah keluar.

Dia berjalan melewati beberapa koridor yang bersimpang-siur seperti tadi. Jika tidak ditunjukkan jalan, pasti dia sudah tersesat dalam bangunan ini. Sampai sahaja di ruang legar di pintu masuk bangunan itu, Ilham dapat lihat Akhtar sudah pun menunggu kedatangannya.

Dia kelihatan sedang mencicip kopi yang dibelinya daripada sebuah coffee maker yang terdapat di ruang legar itu. Santai sahaja dia di atas sofa yang turut disediakan di ruang itu.

"Oh, dah siap ke? Kejap eh, saya nak habiskan kopi ni dulu," pinta Akhtar dengan selamba.

'Adeh, minum kopi pula. Aku dahlah nak cepat balik ni, rindu bantal. Dari tadi lama-lama tak minum kopi. Masa aku nak balik nilah, baru kau nak minum,' marah Ilham di dalam hati.

***

Semasa dalam perjalanan ke kolej kediamannya, Ilham memerhatikan bangunan-bangunan yang berdiri gah di sekitar kawasan kampus melalui tingkap kereta. Semuanya kelihatan mewah sekali. Amat berbeza sekali dengan keadaan universiti tempat dia belajar dahulu yang kelihatan agak uzur.

Terdetik rasa pelik di benak Ilham. Dia pelik bagaimana universiti ini begitu mewah. Sedangkan keadaan universiti tempat dia belajar sebelum ini agak uzur sehinggakan terpaksa ditutup secara tiba-tiba. Begitu juga dengan keadaan di kampungnya yang amat menyedihkan. Adakah ini yang dipanggil sebagai ketidak adilan sosial? Ternyata ada jurang perbezaan yang ketara di situ.

Perjalanan yang dilalui Ilham agak jauh. Luas sungguh kawasan kampus ini. Setelah kereta yang dinaikinya melewati beberapa kawasan yang menempatkan kolej kediaman para pelajar, akhirnya kereta itu membelok ke suatu simpang. Sangka Ilham mereka sudah hampir sampai, tetapi sangkaannya meleset. Lagi sekali kereta itu melalui perjalanan yang agak jauh.

Dalam perjalanan ke kolej kediamannya, bangunan-bangunan yang berada di kawasan sekitar semakin berkurangan. Ilham mula berasa curiga. Ke mana dia ingin dibawa pergi? Jauh sangatkah kolej kediamannya dengan kolej-kolej lain?


Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.