Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 41

PEKERJA YANG MENCURIGAKAN

"S-288, S-019, dan S-029 tidak dapat dikesan kedudukan masing-masing," lapor Fizri kepada orang atasannya.

Di hadapan Fizri sekarang terpancar imej hologram seorang lelaki tua memakai kot makmal. Imej hologram itu terpancar dari sebuah peranti berbentuk seperti pen. Sebenarnya peranti berbentuk seperti pen itu merupakan alat telekomunikasi yang digunakan Fizri untuk berhubung dengan orang atasannya. Peranti itu sengaja direka sebegitu untuk tujuan perisikan.

Selain sebagai alat telekomunikasi, peranti itu turut berfungsi sebagai peranti penjejak dan penyimpan maklumat. Fungsi sebagai pen hanyalah kegunaan sampingannya sahaja untuk mengelirukan pihak musuh. Fizri memang akan membawa peranti itu ke mana sahaja dia pergi.

"Apa? Macam mana kamu boleh hilang jejak mereka bertiga sekaligus?" Seorang lelaki tua yang terpancar daripada peranti itu. Dia berasa amat terkejut sekali mendengar berita itu.

"Sebenarnya bukan tiga, tetapi empat. S-114-B turut menghilang. Maaf, saya cuai kali ni." Fizri kecewa dengan kecuaian dirinya.

"Takpa, teruskan saja tugas kau seperti biasa. Kamu pasti akan berjumpa mereka di dalam lab juga nanti," balas lelaki tua itu.

"Itu saya tak pasti lagi. Sebab saya takda akses untuk berjumpa semua subjek. Memandangkan saya hanya fokus pada S-209 seperti yang dipinta prof.," jawab Fizri.

"S-209? Bagaimana dengan dia sekarang? Kamu dapat berhubung dengan dia?" Tumpuan lelaki tua itu terus beralih tatkala S-209 disebutkan Fizri.

"Susah saya nak pastikan keadaan dia, sama ada dia sihat atau tak dari segi mental dan fizikal. Dia ni agak kurang bersosial. Susah saya nak dekat dengan dia."

"Kamu dapat hampiri dia melalui Program Apprentice Scientist tu kan? Bagaimana? Adakah S-209 menjalankan tugasan dengan baik?" Lelaki tua itu semakin lama semakin berminat dengan S-209.

"Itulah masalahnya. Dia tu jarang no muncul kat lab. Susah saya nak approach dia." Fizri melepaskan keluhannya.

"Okey, takpa. Kamu teruskan observe S-209 tu. Perhatikan kalau ada apa-apa perubahan pada keadaan fizikal atau mental dia. S-209 antara subjek paling penting dan paling berbahaya dalam rancangan mereka." Lelaki tua itu memberi penekanan pada hujung bicaranya.

"Baik prof. Saya akan pastikannya," balas Fizri sebelum imej hologram itu menguncup dan masuk ke dalam sebuah lubang kecil pada peranti tersebut.

Fizri ambil peranti berbentuk pen itu lalu dimasukkan ke dalam poket baju kemejanya. Dia ingin bersiap-siap untuk ke sebuah makmal penyelidikan rahsia. Lokasi makmal penyelidikan itu hanya diketahui orang-orang yang terlibat dalam projek rahsia itu sahaja. Malah, laluan untuk ke makmal penyelidikan itu juga tersembunyi.

***

Semasa Fizri ingin keluar daripada bangunan asramanya, dia berselisih dengan seseorang yang bukan penghuni blok itu. Dilihat dari segi pakaiannya, dia mungkin seorang pekerja. Mungkin dia datang ingin membetulkan lampu di salah sebuah bilik di sini.

Entah kenapa hati Fizri berasa tidak sedap tatkala berselisih dengan pekerja itu. Dia sempat membetulkan topi yang dipakainya tatkala lalu di sebelah Fizri. Menutup sebahagian wajahnya. Tingkah yang mencurigakan. Kenapa dia harus menutup sebahagian mukanya?

Tatkala pekerja itu menghampiri lif, Fizri menghentikan langkahnya. Dia mengeluarkan sejenis peranti berbentuk segi empat tepat dan bersaiz lebih kecil sedikit daripada telefon pintar. Fizri perhatikan spektrum yang tertera pada skrin peranti tersebut. Matanya membeliak luas memerhatikannya.

'Ada apa yang aku tak tahu ke?'

Pantas Fizri menoleh ke belakang. Pintu lif itu terbuka. Pekerja itu mula melangkah masuk ke dalam lif. Fizri sempat melihat senyuman sinis terukir di bibir pekerja itu sebelum pintu lif tersebut tertutup semula. Senyuman penuh makna itu seperti ditujukan buat dirinya.

Fizri terus berjalan menghampiri pintu lif. Skrin di sebelah lif yang memaparkan tingkat lif itu berada diperhatikan Fizri. Satu, dua, tiga dan empat. Sampai angka empat, lif itu berhenti. Dia mungkin pergi ke bilik Ilham, tetapi boleh jadi juga dia pergi ke bilik lain.

Dengan pantasnya Fizri berjalan ke arah tangga kecemasan bangunan itu. Jika dia mengejar pekerja itu dengan lif sudah pasti tidak sempat. Terkocoh-kocoh Fizri mendaki tangga sehingga ke tingkat empat. Dia mahu sekurang-kurangnya menyaingi langkah pekerja itu jika tidak dapat mendahuluinya pun.

Fizri tidak tahu apa yang ingin dilakukan pekerja itu. Memandangkan seorang demi seorang subjek telah jatuh ke tangan mereka, tidak mustahil Ilham pula bakal mangsa seterusnya. Namun, dia tidak menyangka secepat ini mereka bertindak.

Sesampai sahaja di tingkat empat, Fizri tidak dapat melihat kelibat walau seorang pun di aras itu. Entah ke mana pekerja tadi menghilang. Mungkin dia telah berjaya mendapatkan Ilham terlebih dahulu sebelum dirinya.

Fizri berjalan melewati dari satu bilik ke bilik yang lain dengan berhati-hati. Mana tahu, pekerja itu telah memasang perangkap ke atas dirinya, lalu menangkapnya sekali bersama Ilham. Dia harus berhati-hati agar tidak dikesan pekerja itu. Identitinya akan terdedah jika dia tertangkap.

Sampai sahaja di hadapan pintu bilik Ilham, Fizri cuba bersembunyi di balik dinding berhampiran bilik itu. Pintu bilik itu kelihatan terbuka. Kedengaran suara dua orang bercakap di dalamnya. Salah seorangnya adalah suara Ilham sendiri. Seorang lagi pasti lelaki itu.

Fizri pasang telinganya betul-betul untuk mendengar butir perbualan mereka berdua. Peranti berbentuk seperti pen tadi dikeluarkan dari dalam kocek bajunya lalu ditekan salah satu butang padanya. Butang itu untuk merakam suara. Mikrofon yang terdapat pada peranti tersebut sangat sensitif dan mampu merakam sehalus-halus suara dalam jarak sepuluh meter.

Peranti itu dimasukkan semula ke dalam kocek.

"Terima kasih. Maaflah sebab susahkan encik datang sini berkali-kali sebab nak betulkan lampu bilik saya," ucap Ilham kepada lelaki itu.

"Takpa, dah tugas aku dah. Eh, kau ingat rupa aku?" Pekerja itu merenung tajam ke arah Ilham, seperti mengesyaki sesuatu.

"Ehm, saya ni memang senang ingat muka orang, tapi nama saya susah nak ingat." Ilham menjawab tanpa sedikit pun berasa gementar akan renungan tajam pekerja itu.

"Oh, haha. Okeylah, aku pergi dulu. Kalau rosak lagi, report-lah lagi, jangan segan-segan. Aku bukan ada kerja pun." Pekerja itu mula beransur pulang.

Ilham menutup pintu biliknya. Lampu biliknya yang sudah diganti ditenung lama-lama. Puas melihat cahaya putih yang terpancar daripada lampu pendrafluor tersebut. Ralit melihat cahaya lampu tersebut, mengingatkan Ilham akan sifat ingin tahunya semasa kanak-kanak dahulu.

Dia fikir, cahaya itu mesti bergerak sangat laju. Oleh sebab itulah sebaik dibuka sahaja lampu, cahaya terus merambat ke segenap ruang dalam bilik ini. Jika cahaya bergerak terlalu perlahan, Ilham terfikir, adakah dia akan melihat dahulu cahaya itu merambat perlahan-lahan untuk menerangi sebuah bilik?

Apabila cahaya mula memotong kita, masa pun bermula. Apabila kita mampu bergerak selaju cahaya, masa akan berhenti. Ilham pernah terfikir untuk mengejar kelajuan cahaya lampu di dalam biliknya sendiri, agar dia mampu melihat bagaimana proses rambatan cahaya itu ke segenap ruang biliknya. Bolehkah Ilham mengejarnya?

Walau bagaimanapun, persoalan itu terjawab setelah Ilham mempelajari dua postulat Einstein dalam subjek Fizik Moden. Postulat pertama, dalam bingkai rujukan inersia, hukum Fizik harus dipatuhi. Postulat kedua, dalam bingkai rujukan inersia, kelajuan cahaya tetap sama iaitu bersamaan nilai c.

Postulat kedua menunjukkan, tidak kisah selaju mana dan sehampir mana si pemerhati cuba mengejar cahaya, kelajuan cahaya tetap sama. Hal ini bermakna, cahaya memang mustahil untuk dikejar. Sebaliknya masa yang berubah untuk membenarkan postulat ini dipatuhi. Dari situlah datangnya Teori Relativiti. Bagi membolehkan kedua-dua postulat dipatuhi, masa seharusnya relatif.

Sekurang-kurangnya persoalan pertama Ilham telah terjawab. Dia memang tidak mampu mengejar cahaya itu. Akan tetapi, muncul pula persoalan lain.

Bagaimana pula masa boleh berhenti dengan menyamai kelajuan cahaya? Jika dia seorang sahaja yang berjaya menyaingi kelajuan cahaya, masa akan berhenti pada dirinya sahaja atau pada persekitarannya sekali?

Mungkin sebab itu Ilham kurang berminat dengan Subjek Relativiti. Konsep-konsep di dalam Relativiti lebih sukar difahaminya berbanding konsep di dalam Mekanik Kuantum.

***

Tatkala pekerja itu ingin melangkah keluar dari bilik Ilham, Fizri dengan pantasnya cuba bersembunyi di salah sebuah bilik kosong yang berada berhampiran dengan tempat dia bersembunyi. Dengan menggunakan master key dalam bentuk sekeping kad, Fizri membuka pintu bilik itu lalu melangkah masuk.

Pintu bilik itu dibiarkan terbuka sedikit agar dia mampu memerhatikan gerak-geri pekerja itu. Lampu bilik tidak dibukanya agar pekerja itu tidak mengesyaki apa-apa. Pekerja itu mula berjalan melintasi bilik tempat persembunyian Fizri. Dia menghentikan langkahnya seketika seakan menyedari gerak-gerinya diperhatikan seseorang.

Pekerja itu kemudian mula berjalan ke arah lif. Setelah memastikan pekerja itu sudah berjalan jauh, barulah Fizri meninggalkan bilik itu. Dia berasa lega kerana Ilham tidak diapa-apakan. Mungkin lelaki itu sekadar pekerja biasa dan dia terlampau paranoia.

Akibat terlalu penat berkejar-kejaran menaiki tangga, Fizri bercadang untuk turun menggunakan lif sahaja. Sampai sahaja dia di hadapan lif, sekali lagi dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Angka yang tertera di skrin LED tepi lif itu berhenti di nombor satu.

'Ah, sudah! Jangan kata ni cuma umpan saja.'

Sekali lagi dia berkejar-kejar ke tangga kecemasan. Terkocoh-kocoh dia menuruni ke tingkat satu. Sampai sahaja di tingkat tersebut, Fizri melangkah dengan penuh hati-hati ke biliknya. Fizri perasan yang pintu biliknya terbuka dan lampunya terang-benderang.

Dengan pantas tetapi senyap Fizri melangkah ke arah biliknya. Dia tidak kisah apa akan terjadi. Apa yang pasti, dia tidak mahu identitinya terbongkar. Dari luar bilik, Fizri mengintai ke dalam biliknya. Pekerja itu dilihat sedang memerhatikan lampu pendarfluor di biliknya.

Sejenak kemudian, dia terus berjalan semula ke pintu lalu menutup lampu. Pintu bilik Fizri ingin ditutup. Fizri pula sudah bersedia untuk memukul pekerja yang berkemungkinan menyamar itu pada bahagian tengkuk.

Walau bagaimanapun, Fizri tidak bersedia. Pekerja itu telah pun keluar terlebih dahulu. Tatkala ternampak Fizri bersembunyi di dinding bahagian luar biliknya, pekerja itu terperanjat seperti ternampak pontianak.

"Eh, maaf, kau ke yang duduk kat bilik ni? Aku ingatkan takda orang tadi. Tu yang aku masuk je tadi." Pekerja itu meminta maaf dengan tertib.

"Ah ... ya, lain kali check-lah dulu ada penghuni ke takda penghuni. Macam mana kalau barang berharga saya hilang? Encik juga yang akan dipertanggungjawabkan. Saya ingatkan pencuri tadi, tu yang terhendap-hendap tadi," balas Fizri dalam keadaan gemuruhnya yang masih belum reda.

"Maaf sekali lagi," ucap pekerja itu lagi sekali sebelum mula berlalu pergi.

Fizri menghantar pekerja itu pergi dengan pandangannya. Meskipun dia kelihatan tenang di hadapan pekerja itu, tetapi jantungnya dirasakan seperti ingin tercabut keluar sahaja kala ini. Fizri menghela nafas kelegaan. Sekali lagi dia terlampau paranoia. Pekerja itu cuma pekerja biasa dan ingin memeriksa keadaan lampu di bilik ini.

'Fuh, kalau hari-hari macam ni, boleh kurus aku macam ni. Tapi kenapa aku rasa macam pernah nampak je muka orang tu? Tapi kat mana eh?' Fizri biarkan persoalan itu berterbangan dibawa angin lalu.

Pekerja tadi membawa dirinya ke tingkat G. Ketika melangkah keluar dari blok tersebut, dia mengukirkan senyuman sinis.

'Nampaknya dia tak ingat siapa aku, eh? Takpalah, senang sikit tugas aku.'

Pekerja itu mengeluarkan sejenis peranti berbentuk sebatang pen dari dalam poket seluarnya. Satu butang ditekan. Dia mendekatkan mulutnya ke arah pen tersebut lalu berkata sesuatu.

"Mission accomplished." Peranti itu dimasukkan semula ke dalam poket seluar.

"Ingat kau je ada alat canggih," ujar lelaki itu lagi sambil melangkah pergi menjauhi kawasan kolej kediaman itu. Dia masuk ke dalam kawasan semak-samun di tepi jalan lalu menghilang di dalamnya.

***

"Hai, Fizri! Lambat pula kamu malam ni. Kamu pergi mana? Apasal tercungap-cungap je ni? Kamu okey tak ni?" Luqman mengajukan soalan ke arah Fizri yang masih tercungap-cungap kepenatan.

Dia agak terkejar-kejar untuk pergi ke makmal penyelidikan rahsia ini memandangkan dia sudah terlambat. Risau pula orang lain akan mengesyaki apa-apa terhadap dirinya.

"Panjang ceritanya," jawab Fizri malas memanjangkan ceritanya. Dia tidak boleh menceritakan apa yang berlaku tadi di sini. Habislah identitinya sebenar akan terbongkar jika dia menceritakannya di sini.

"Ha?" soal Luqman tidak faham.

'Dr. Luqman, please read the situation.' Fizri berharap di dalam hati.

"Okeylah, kalau kamu tak boleh ceritakan di sini takpa. Lain kali jelah. Lagipun, kita dah lambat dah ni. Prof. kata ada berita baik yang dia nak sampaikan pada kita," beritahu Luqman sambil mencapai kot makmal yang tergantung di kerusi.

Luqman mula melangkah pergi. Fizri turut mengikuti dari belakang. Tidak sabar ingin mendengar berita baik apa yang bakal disampaikan ketua projek penyelidikan rahsia ini.


Previous: BAB 40
Next: BAB 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.