Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 28

ILHAM KE?

Ilham sudah bersedia di hadapan komputer riba miliknya. Komputer riba ini sudah agak uzur. Memandangkan sudah tiga tahun dia menggunakan komputer riba ini. Sepanjang dia melanjutkan pengajian di universiti selama tiga tahun, inilah komputer riba yang telah banyak berjasa kepadanya.

Jari-jemarinya sudah bersedia di atas papan kekunci. Mata sudah difokuskan ke arah skrin komputer. Ilham hanya perlu menjana idea untuk dizahirkan melalui aksara yang akan timbul di skrin komputer.

Walau bagaimanapun, otaknya terasa kosong sekarang. Dia tidak tahu apa yang patut ditulisnya dalam cerpen kali ini. Dia fikir dia ingin menulis sebuah cerita pendek. Cerita untuk meluahkan rasa hati. Ilham benar-benar tidak tahu apa yang patut ditulisnya dalam ceritanya ini. Dia tidak tahu apa cerita yang patut disampaikan.

Setelah puas berfikir, berfikir dan berfikir, Ilham melepaskan keluhan berat. Dia meraup mukanya kasar. Dagunya ditongkat dengan kedua-dua belah tangannya.

'Cerita apa yang patut aku tulis untuk meluahkan rasa hati?' Ilham bertanya di dalam hati.

Ilham memerah otaknya. Dia memikirkan cerita apa yang sesuai untuk meluahkan rasa hati. Sungguh dia tiada idea.

'Takpa, takpa. Mula dengan dia. Kalau dia tulis cerita pasal detektif, dengan memasukkan kebolehannya dalam cerita tu. Kenapa tidak aku?'

Dia bermula dengan kisah si penulis tentang bagaimana dia boleh menjana idea untuk ceritanya. Ilham cuba mencari dan mengenali dirinya. Apa permasalahan yang menyerabutkan fikirannya sehingga dia berasa teringin sekali untuk meluahkan melalui penulisan. Apa keunikan yang ada pada dirinya yang sesuai dijadikan bahan untuk penulisannya.

'Kalau dia ada suara tu, aku ada apa?' Ilham menyoal dirinya sendiri.

Si penulis boleh mengetahui sesuatu tanpa perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu. Itu keunikan yang ada pada penulis itu.

Bagaimana pula dengan dirinya? Ilham boleh mendapat sesuatu ilham itu tanpa melalui proses berfikir. Itu keunikan yang ada pada diri Ilham.

'Ilham!' Minda Ilham menjana idea. Dia akan menukilkan sebuah cerita yang bersesuaian dengan apa yang ingin disampaikannya iaitu ilham. Ilham itu juga dipilih untuk menjadi tajuk.

Jari-jemari Ilham mula menari di atas papan kekunci. Aksara demi aksara timbul untuk membentuk perkataan. Perkataan dikesinambungkan dengan perkataan seterusnya demi membentuk ayat. Ayat-ayat bercantum membentuk perenggan. Perenggan bergabung dengan perenggan seterusnya menukilkan sebuah cerita.

Ilham tidak menceritakan perkara lain melainkan pengalaman hidupnya sendiri. Pengalaman hidupnya yang seringkali diburu ilham mengenai teori-teori Fizik sejak dari kecil lagi. Dia tidak mampu membentuk watak untuk ceritanya, atau dia malas untuk berbuat begitu. Jadi, dia memasukkan dirinya sendiri sebagai watak utama dalam ceritanya ini.

Idea diperah sehabis boleh daripada otaknya. Dia bercerita mengenai sejak bila dia mendapat ilham. Dia bercerita bagaimana ilham itu sendiri menimbulkan minatnya. Dia bercerita tentang keinginannya untuk menjadi ahli fizik sejak kecil.

Dia bercerita bagaimana usahanya ingin mengejar cita-cita itu. Malah segala pengalaman yang mampu diingatinya turut diceritakan. Kenangan-kenangan lama ketika di sekolah diimbau kembali. Sememangnya dia agak kurang cemerlang semasa mula-mula mempelajari Fizik.

Dia bercerita apa tanggapannya terhadap ilham ketika itu. Dia bercerita apa tanggapannya terhadap orang lain pada waktu itu. Dia bercerita tentang susah-payah otaknya cuba memahami konsep Fizik walaupun dia rasa dia cukup bijak untuk itu.

Dia bercerita tentang kehidupannya dari bangku sekolah hingga ke menara gading, mengalami kesukaran untuk memahami walaupun ada sang ilham menemani. Dia bercerita mengenai cara otaknya berfikir yang baginya agak aneh.

Apa yang paling penting, dia bercerita tentang ilham itu sendiri. Dia bercerita tentang teori-teori yang diperolehi mindanya begitu sahaja. Dia mengakhiri cerpen nukilannya dengan model yang berjaya diilhamkannya melalui proses berfikirnya sendiri. Model yang dikembangkan melalui salah satu teori yang diperoleh melalui ilham.

Usai menghabiskan ayat terakhir, Ilham mendaftar masuk akaun miliknya di portal penulisan yang baru didaftarkannya semalam. Dia menyalin dokumen itu ke dalam portal penulisan tersebut.

Kategori yang dipilih ialah 'Untold Story' sebab ceritanya ini cerita benar, bukan rekaan. Genre yang dipilih pula alternatif memandangkan apa yang ditulisnya ini tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana genre yang lain.

Pada asalnya Ilham ingin memilih tajuk karyanya ini dengan nama 'ILHAM', tetapi dia menukarnya pada saat akhir kepada 'ILHAM KE?'. Dia sendiri tidak pasti sama ada apa yang dialaminya itu benar-benar ilham atau bukan. Jadi, dia melontarkan persoalan itu melalui tajuknya dan di awal cerita bagi membolehkan para pembacanya berfikir sendiri.

Butang 'Save and Publish' ditekan. Maka berjayalah Ilham memuat naik satu karya sulungnya ke portal penulisan itu.

Ilham ada juga menitipkan harapan agar si penulis misteri itu turut terbaca. Dia tidak tahu apa yang penulis itu akan rasa tatkala membaca karya nukilannya ini. Akan tetapi dia berharap agar dia dapat memberitahu sesuatu kepada penulis misteri itu. Dia cuma ingin berkongsi rasa dengan penulis itu. Dia ingin memberitahu bahawa penulis itu bukan berseorangan dalam menghadapi masalah ini.

***

Dalam masa beberapa minggu, karya nukilan Ilham mendapat sambutan. Ilham tidak tahu sama ada sambutannya itu luar biasa atau biasa-biasa sahaja. Apa yang pasti, dia sudah meluahkannya dan orang lain sudah membacanya. Dia tidak tahu siapa yang membacanya dan dia tidak tahu apa reaksi mereka.

Dalam masa beberapa minggu cerpen itu dimuat naik, karya itu mendapat sebanyak ratusan 'view'. Ilham berasa lega sekarang. Setelah meluahkan segalanya, Ilham berasa bebanan berat yang selama ini ditanggung menjadi ringan sedikit.

***

Dr. Luqman melangkah masuk ke arah bilik mesyuarat di hujung koridor. Kakinya diatur tenang. Tatkala dia sampai di pintu masuk, langkahnya dihentikan. Tangan pantas mencapai kad matrik yang tersimpan di poket baju bahagian hadapan. Kad matrik itu dilalukan di atas alat pengimbas yang berada di sisi pintu.

Teks 'ACCESS GRANTED' terpapar di skrin yang terdapat pada alat pengimbas. Pintu bilik itu segera terbuka. Angin sejuk dari penghawa dingin pantas menerpa keluar mengenai tubuh Dr. Luqman yang berada di luar.

Ketika Dr. Luqman melangkah masuk, beberapa orang rakan sekerjanya telah pun berada di dalam bilik itu. Mereka kelihatan sedang membincangkan sesuatu yang serius. Menyedari kehadiran Dr. Luqman, mereka semua menoleh ke arah muka pintu serentak lalu menghadiahkan senyuman. Dr. Luqman turut membalas senyuman mereka.

"Hai, Haziq, Risya, Mariah, dah lama ke sampai?" soal Dr. Luqman berbasa-basi.

"Baru je," jawab Dr. Haziq Zakaria mewakili mereka semua.

Dr. Luqman mengambil satu tempat duduk kosong di meja mesyuarat itu.

"Apa yang korang bincangkan? Serius nampak?" soal Dr. Luqman memulakan bicara.

"Prof. Zahran dah mula bertindak. Sebahagian besar daripada subjek dah jatuh ke tangan mereka. Tapi apa-apa pun kita tunggu Prof. Zaman datang dulu," terang Dr. Amnina Batrisya dengan nada serius.

"Serius!" Mata Dr. Luqman membeliak besar. Hampir tidak percaya dengan berita yang didengarnya.

"Bagaimana dengan S-209? Kau masih tak dapat kesan kedudukan dia?" Giliran Dr. Mariah Ufairah pula mengajukan soalan.

Dr. Luqman melepaskan keluhan kecil mendengar soalan itu. Kerutan seribu muncul di dahinya.

"Entah. Dia menghilang dari radar macam tu je. Isyarat dia langsung tak dapat dikesan. Kamu semua dapat detect dia tak?" Mereka bertiga pantas menggeleng sebagai jawapan.

"Huh, takpalah." Dr. Luqman mengeluarkan telefon pintarnya. Dia keluar sekejap dari bilik untuk menghubungi seseorang, memandangkan kelibat Prof. Badrul Zaman masih tidak kelihatan.

Nama seseorang tertera di skrin. Dr. Luqman pantas menyentuh ikon gagang telefon berwarna hijau untuk mendail. Setelah beberapa saat mendengar bunyi tut, tut, akhirnya talian disambungkan.

"Hello." Suara di hujung talian memulakan sapaan.

"Hello S-201. Kau dah jumpa dengan S-209?" Dr. Luqman tidak mahu membuang masa. Dia terus kepada pokok persoalan. Dia tahu lelaki itu tidak boleh lama di talian.

"Hello. Nampaknya kelibat S-209 masih belum kelihatan," lapor individu itu tanpa berselindung.

"Okey. Takpalah. Lepas ni kau kena lebih berhati-hati. Jangan sampai mereka tahu pasal identiti kau," pesan Dr. Luqman sebelum mematikan talian.

Dr. Luqman kembali menyimpan telefon pintarnya ke dalam poket seluar. Tubuhnya bersandar ke dinding belakang. Kepalanya mendongak memandang siling.

'Ke manalah awak pergi, I....'

"Hai, Luqman. Buat apa kat sini? Kenapa tak masuk lagi? Kad matrik kau tertinggal ke?" Prof. Badrul Zaman berseloroh.

Dr. Luqman menoleh ke kiri, ke arah punca suara. Kelihatan ketua penyelidik itu sedang berdiri di sisinya. Raut wajahnya menunjukkan kemesraan. Professor itu mengeluarkan kad matriknya untuk dilalukan di alat pengimbas. Setelah pintu terbuka, Dr. Luqman turut dipelawa masuk.

Tanpa membuang masa, mereka terus memulakan mesyuarat.

***

Ilham kelihatan sedang menyapu dedaunan kering yang gugur di halaman rumah. Dedaunan kering itu akan dikumpulkan di suatu tempat untuk dibakar. Sedang Ilham sibuk menyapu di halaman rumah, ada sebuah kereta diparkir di halaman rumah. Aktviti Ilham terus tergendala seketika. Mahu memerhatikan siapakah gerangan yang bertandang ke rumahnya lewat petang sebegini.

Dahi Ilham berkerut seribu. Dia tidak dapat mengecam siapakah tetamu yang datang itu. Dia hanya melihat dari jauh. Keluar seseorang dari perut kereta. Dia pantas berjalan ke arah pintu hadapan rumah Ilham. Di tangannya ada membawa sebuah dokumen.

"Assalamualaikum." Salam diberi di pintu masuk.

"Waalaikumussalam." Salam disambut dengan segera oleh bapanya yang duduk di ruang tamu.

"Jemputlah masuk," pelawa Kauthar bapa Ilham.

Ilham hanya memerhatikan dari jauh. Tidak berminat untuk masuk campur dengan urusan orang dewasa. Kerjanya yang tergendala tadi diteruskan semula. Dia ralit menyapu dedaunan kering yang berguguran tanpa mempedulikan apa yang berlaku di dalam rumah. Mindanya sudah jauh menerawang ke tempat yang jauh.

Sedang dia asyik mengelamun, kedengaran Kauthar memanggil namanya. Hairan menjengah kalbu. Kenapa namanya tiba-tiba dipanggil? Dia ada kaitankah dengan urusan itu?

Penyapu disandarkan pada batang pohon mempelam yang ditanam di tepi pagar. Kaki mula diatur untuk menuju ke rumahnya. Dalam hatinya terasa kosong. Berasa malas untuk memikirkan lebih-lebih mengenai perkara ini.

***

"Takpalah, saya tak berminat. Carilah orang lain yang lebih layak. Saya tak layak untuk tawaran tu," ujar Ilham dengan selamba.

Tetamu yang memperkenalkan dirinya sebagai Akhtar itu sebenarnya wakil dari Universiti Eurasia.

Kauthar dan Mariah terkesima mendengar kata-kata Ilham. Mereka tidak menyangka anaknya akan tergamak berkata sebegitu. Bagi mereka, amat rugi benar jika peluang keemasan ini dilepaskan begitu sahaja. Kedatangan wakil dari Universiti Eurasia itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal buat mereka berdua.

Namun tidak bagi Ilham. Dia sudah merajuk dengan tawaran itu. Dia sudah tiada semangat untuk mengejar lagi cita-citanya. Segala-galanya sudah dibuang ke longkang. Lagipun, dia tidak yakin dengan kebolehannya. Dia berasa dirinya bodoh. Dia tidak mahu nanti peluang itu sekali lagi disia-siakannya seperti sebelum ini. Dia juga yang rugi nanti.

"Terima sajalah Ilham. Mereka nak bagi biasiswa penuh. Tu dah kira baik dah tu. Kamu nak macam mana lagi?" pujuk Mariah.

Ilham berasa serba-salah. Sama ada memilih untuk mengikut perasaannya atau mendengar nasihat ibunya.

Wakil dari universiti itu sedia menanti jawapan. Kopi yang dihidangkan dicicip dengan selamba. Langsung tidak peduli akan ketegangan yang berlaku di rumah itu. Bibirnya mengukir senyuman penuh agenda.

'Kalau dia tak mahu terpaksalah aku gunakan cara kekerasan,' desis lelaki itu di dalam hati.

'Nak terima ke taknak ni. Serba-salah pula aku. Tapi, pelik betullah. Apa yang menyebabkan mereka datang ke sini? Setahu aku bukan universiti tu layak untuk budak genius je ke? Buat apa dia susah-payah datang ke sini?' Persoalan mula timbul di benak Ilham.

"Takpa, kalau kamu perlukan masa untuk buat keputusan. Saya akan tunggu. Berapa lama pun saya sanggup tunggu. Tapi ... kalau awak dah buat keputusan, saya beri awak tempoh seminggu untuk buat persediaan."

'That soon?' Ilham terkejut mendengarnya.

"Ya. Lagi cepat lagi bagus. Dan kamu berdua tak perlu risau pasal kenderaan. Ilham akan terus ikut kami," beritahu Akhtar dengan tegas.

Usai mengatakannya, wakil dari Universiti Eurasia itu terus berangkat pulang. Ilham hanya mampu menghantar kereta lelaki itu pulang dengan pandangannya. Sedikit pun dia tidak berasa teruja dengan tawaran itu. Sebaliknya dia berasa penuh curiga dengan kedatangan lelaki itu.

Malam berikutnya, Ilham didesak dan dipujuk berulang-kali oleh ibu dan bapanya agar menerima tawaran itu. Kata mereka, dengan menerima tawaran untuk menyambung pengajian di Universiti Eurasia akan menjanjikan masa hadapan yang cerah buatnya.


Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.