HUKUM SEBAB DAN AKIBAT
"Fenomena unik? Apa maksud prof.?" Ilham tidak faham apa yang cuba disampaikan Zahran.
"Good question. Anyone volunteer to answer his question?" Zahran tidak menjawab soalan Ilham sebaliknya meminta sesiapa yang hadir dalam sesi pembentangan itu menjawab soalannya.
Pertanyaan Zahran itu hanya dijawab dengan suasana hening daripada pelajar-pelajar lain. Seorang pun tidak mahu menjawab soalan itu. Mungkin kerana terlalu takut dengan ketegangan yang terbentuk.
Melihatkan pertanyaan Zahran yang tidak mendapat sebarang sambutan, Fizri tampil untuk menjawab soalan. Dia bangkit berdiri lalu mula memberikan jawapannya. Semua mata di dalam makmal itu terus beralih tumpuan kepada Fizri yang ingin menjawab. Zahran turut mengerling ke arah yang sama.
"Okey, Fizri! Apa jawapan kamu?" Zahran melemparkan renungan tajam pula ke arahnya tetapi Fizri sedikit pun tidak berasa gentar dengan renungan itu.
"Untuk buktikan sesuatu fenomena tu wujud, ia mesti dibuktikan dengan cara eksperimen. Eksperimen tu pula mesti dibuat berulang kali untuk sahkan kewujudannya." Fizri memberi jawapan dengan penuh keyakinan.
"Apa tujuan eksperimen tu dibuat?" Zahran memintas penerangan Fizri dengan soalan.
"Sebenarnya tujuan eksperimen dibuat, sebab nak cari hubung kaitan antara dua pemboleh ubah, dua fenomena, iaitu hubung kaitan antara sebab dan akibat. Sejauh mana dua-dua fenomena ni saling berkait dan apa perkaitannya," balas Fizri dengan panjang lebar.
Ilham terdiam seketika mendengar jawapan itu. Dia berasa malu dengan dirinya sendiri kerana tidak mampu memberi jawapan yang baik seperti Fizri. Matanya tidak ralit daripada terus memerhatikan Fizri yang berdiri dengan yakin di tempatnya.
"Kenapa mesti nak kaitkan antara dua fenomena tu?" soal Zahran lagi.
"Sebab perkaitan antara dua fenomena nilah yang akan jadi permulaan kepada hukum sebab dan akibat. The laws of cause and effect. Pemboleh ubah dimanipulasi akan jadi sebabnya, dan pemboleh ubah bergerak balas pula akibatnya. Dalam Sains, semua benda berlaku kat dunia ni harus mematuhi hukum sebab dan akibat," sambung Fizri akan jawapannya tadi.
"Maksud kamu, fenomena yang tak patuh pada hukum sebab dan akibat memang mustahil untuk berlaku ke?" pintas Zahran memberikan soalannya.
"Ya. Sepatutnya tak boleh berlaku."
"Kalau berlaku juga?" Zahran terus mengasak Fizri dengan soalan demi soalan.
"Sebab tu kita ada kaedah saintifik. Sebab tu eksperimen harus dijalankan berulang kali, dan dalam keadaan terkawal supaya takda pemboleh ubah lain yang mengganggu hasil eksperimen. Kalau ada data yang berbeza daripada data-data eksperimen lain, mungkin ada ralat dalam eksperimen tu." Namun Fizri terus gagah menjawab soalan yang ditembak bertalu-talu ke arahnya.
"Ralat dalam eksperimen? Jadi, jawapan kamu sama dengan Ilham." Zahran mengerling ke arah Ilham semula yang sudah tidak senang berdiri di tempatnya.
Entah kenapa Ilham berasa tidak suka pula dengan hala tuju soal jawab kali ini. Tidak pernah dia merasakan suasana setegang ini.
"Fenomena unik memang tak wujud. Yang wujud cuma ralat dalam eksperimen. Apa pendapat kamu?"
Fizri yang masih berdiri baru sahaja ingin menjawab tetapi telah dihalang oleh Zahran terlebih dahulu. Dia mahu mendengar jawapan daripada mulut Ilham sendiri.
"Kamu jangan jawab Fizri. Biar Ilham yang jawab," arah Zahran tegas. Fizri yang mendengarnya terpaksa akur lalu duduk sahaja di tempatnya semula. Dia memandang ke arah Ilham dengan penuh kerisauan.
"A ...." Lidah Ilham menjadi kelu secara tiba-tiba untuk menjawab. Otaknya membeku secara tiba-tiba. Tidak mampu memproses apa-apa maklumat di dalam otaknya untuk dizahirkan dalam bentuk ayat.
"Ilham?" Zahran menggesa jawapan daripada Ilham yang masih termangu.
"Fenomena unik tu ... yang tak patuh pada hukum ... sebab dan ... akibatlah, kan? Taklah. Dalam Sains memang mustahil berlaku perkara yang melanggar hukum alam. Tapi ...." Minda Ilham tiba-tiba mencetuskan memori aneh masa silamnya, menyebabkan katanya terputus di tengah ayat.
Ilham ada sebuah memori. Tidak, sebenarnya ada lebih daripada satu. Dia memang pernah menyaksikan dan mendengar perkara-perkara yang tidak masuk dek akal dengan pancainderanya sendiri. Malah, ilham yang diperolehinya juga merupakan sebuah fenomena aneh lagi tidak masuk akal.
Bagaimana itu semua boleh berlaku? Sedangkan itu semua mustahil menurut jawapannya tadi. Tidakkah hujahnya tadi bertentangan dengan apa yang pernah dialaminya?
Bagaimana pula dengan apa yang tidak mampu diperhatikan dek pancaindera? Bagaimana pula dengan yang tidak mampu diukur melalui mana-mana instrumen di dalam makmal? Bagaimana Ilham dengan yakin sekali mengakui kewujudan alam di luar daripada pemerhatian sang pemerhati?
Bukankah lagi sekali Ilham telah melakukan kontradiksi terhadap dirinya? Terdapat banyak sekali kontradiksi yang berlaku antara perkara yang berlaku di sekelilingnya dan apa yang dipelajarinya di dalam Sains.
"Ilham, saya tanya kamu sekali lagi. Selain daripada apa yang mampu diperhatikan dan diukur di dalam makmal, ada tak fenomena lain yang wujud?" Setelah lama menunggu jawapan daripada Ilham, Zahran mengajukan soalan seterusnya pula.
"Macam mana dengan theoretical physics? Relativiti, Quantum Mechanics. Fenomena macam time-relativity, space-time curvature, wave-particle duality, semua tu bukannya boleh diperhatikan pun. Tentang laws of cause and effect, saya pernah baca yang dalam Quantum Mechanics, fenomena yang defies causality boleh berlaku, kan?"
Ilham tiba-tiba bersuara. Membidas kata-kata Zahran tadi. Entah kenapa kemarahannya menjadi meluap-luap pula secara tiba-tiba. Dia berasa semakin tidak selesa dengan hala tuju perbincangan kali ini.
"Oh, wujud pula. Tadi kamu kata tak wujud. Mana satu ni jawapan kamu, Ilham?" Zahran cuba menduga Ilham.
Ilham berasa sungguh tercabar mendengarnya. Akan tetapi, dia sendiri yang telah melakukan kontradiksi ke atas hujahnya sendiri. Perbincangan ini dirasakan Ilham seperti tiada hala tuju. Semakin dia cuba menyelesaikan, semakin berbelit pula jadinya laksana tali yang diikat simpul mati. Semakin banyak Ilham cuba mengemukakan hujahnya, semakin keliru dia dibuatnya.
"Maaf, saya silap tadi. Wujud sebenarnya." Ilham cuba menebus kesilapan jawapan yang diberikannya tadi.
"Macam mana kamu tahu fenomena tu wujud?" Zahran terus-menerus menembak Ilham dengan soalan mautnya tanpa belas kasihan.
"Saya tahu ...." Sekali lagi Ilham kehilangan kata.
'Macam mana ni? Takkanlah aku nak cakap aku tahu macam tu je.' Ayat ini hanya mampu dizahirkan di dalam hati kerana dia tidak sanggup mengatakannya. Hujah ini sudah tentu akan ditolak mentah-mentah.
"Macam mana kamu nak tahu sesuatu perkara tu wujud kalau pancaindera kamu tak mampu mengesannya?"
Fizri semakin tidak senang duduk dibuatnya dengan soalan yang diajukan bertalu-talu ke arah Ilham itu. Dia risau Ilham tidak akan mampu bertahan dari segi mental untuk menghadapi soalan seterusnya.
"Saya tak tahu macam mana saya boleh tahu! Tapi saya tahu macam tu je, macam ilham. Ya, ilham datang macam tu je masa saya kecil dulu. Bagitahu saya tentang kewujudan alam yang di luar daripada pemerhatian pancaindera manusia. Kalau nak marah saya dipersilakanlah! Kalau nak tuduh saya ni penipu dipersilakanlah! Lantaklah! Korang semua nak cakap apa ...."
Tercungap-cungap Ilham menghamburkan luahannya kepada semua orang. Urat-urat di lehernya menegang. Tubuhnya menjadi panas, sama panasnya seperti perbincangan ini.
Dia sudah tidak peduli apa-apa lagi. Dia betul-betul sudah buntu. Otaknya bercelaru. Mindanya bercempera. Benaknya berkecamuk. Dia sudah mula bercakap seperti orang gila sekarang.
Pelajar-pelajar lain di dalam makmal itu sudah mula berbisik sesama sendiri sambil memandang pelik ke arah Ilham. Mereka pelik melihat perubahan drastik pada diri Ilham. Mereka pelik mendengar jawapan daripada Ilham. Fizri dan Luqman sudah mula risau akan perubahan tingkah Ilham yang berlaku secara mendadak itu.
Ilham yang sedang menunduk di hadapan terus berjalan keluar dari makmal itu secara tiba-tiba. Barang-barangnya ditinggalkan begitu sahaja. Dia berjalan dengan langkah yang lemah dan wajah yang sugul. Semangatnya langsung hilang serta-merta.
Fizri bingkas bangun untuk mengejar Ilham, tetapi dia dihalang oleh Zahran.
"Tak perlulah kejar dia tu. Biarkan dia. Kita ada banyak lagi presentation dari student lain. Nanti dia okeylah tu," halang Zahran.
Langkah Fizri termati serta-merta. Dia memandang ke arah riak wajah serius Zahran. Berasa serba-salah sama ada untuk terus mengejar Ilham atau tidak. Dia memandang pula ke arah Luqman. Pensyarah itu memberi isyarat untuk tunggu dahulu. Biar Luqman yang memujuk Zahran untuk memberi kebenaran kepada Fizri untuk keluar.
Fizri terpaksa duduk dalam keadaan akur. Tiba-tiba dia ternampak beg Ilham yang ditinggalkan di kerusi kosong di sebelahnya. Dia fikir ingin menjadikannya sebagai alasan, tetapi sekali lagi Zahran menolaknya.
"Kamu boleh bagi beg dia tu lepas habis program ni nanti." Fizri terpaksa akur dengan arahan tegas daripada Zahran. Keluhan berat dilepaskan. Risau memikirkan keadaan Ilham.
***
Ilham berjalan dengan langkah yang lemah lagi tidak bersemangat di sebuah koridor untuk menuju ke kelas. Dia menunduk memandang lantai. Wajahnya sugul sahaja. Langsung tiada sinar keceriaan yang terpancar di wajahnya.
Selepas ini sepatutnya dia ada kelas untuk Subjek Quantum Mechanics. Walau bagaimanapun, Ilham berasa amat malas untuk hadir ke kelas tersebut. Manakan tidaknya, dia terpaksa menghadap wajah pensyarah kejam untuk kali keduanya buat hari ini selepas ditembak dengan teruk oleh beliau.
Langkahnya dihentikan seketika. Dia menyandar di dinding yang terdapat tingkap kaca lutsinar di sebelahnya. Dia benar-benar sudah hilang semangat pada hari ini. Orang ramai yang lalu-lalang di sekitarnya memerhatikan sahaja tingkah aneh Ilham itu sebelum meneruskan perjalanan. Ilham pula langsung tidak kisah dirinya menjadi subjek perhatian.
'Siapa yang boleh tolong jawabkan soalan aku ni? Aku betul-betul keliru sekarang. Siapa boleh tolong?' keluh Ilham sambil meraup wajahnya kasar. Rambutnya dikerjakan sehingga kusut-masai.
'Ah! Mungkin aku boleh minta pendapat budak Math genius tu.' Ilham tiba-tiba teringatkan Alisya. Dia menyeluk poket seluarnya untuk mencari telefon pintar. Dia ingin menghubungi gadis itu untuk berjumpa dengannya.
Sedang dia cuba mencari, baru dia teringat yang begnya termasuk telefon pintarnya ditinggalkan di makmal tadi. Dia terlampau ikutkan perasaan tadi sehingga terlupa mengambil begnya sendiri. Ilham berpusing ke belakang. Ingin mengatur langkah untuk pulang semula ke makmal itu. Dia berharap begnya masih ada di makmal tersebut.
***
Setelah memberikan alasan untuk ke tandas, Fizri keluar mencari Ilham. Dia mana boleh meninggalkan Ilham sendirian. Dia risau subjek pemerhatiannya itu akan membuat perkara yang di luar jangkaan. Beg Ilham sempat dicapai sekali sebelum melangkah keluar. Nasib baik tiada siapa yang perasan.
Fizri memandang ke arah skrin sebuah peranti untuk mengesan kedudukan Ilham. Pagi tadi, semasa Ilham duduk di sisinya, Fizri sempat menyelitkan peranti penjejak di bajunya untuk mengesan kedudukannya. Memang setiap pagi dia tidak pernah lupa untuk menyelitkan peranti penjejak di tubuh lelaki itu.
Melalui titik merah yang terpapar di skrin, Fizri boleh mengetahui di mana kedudukan Ilham sekarang. Nampaknya dia masih berada di Fakulti Sains.
'Nasib baik dia tak pergi jauh lagi.'
Fizri sekarang berada di koridor yang sama tempat Ilham berada. Dari jauh, dia dapat lihat kedudukan Ilham. Lelaki itu nampaknya sedang tergesa-gesa berjalan ke arahnya. Ke mana agaknya dia ingin pergi?
"Ilham! Kat sini rupanya kau. Tak sangka kita jumpa lagi." Fizri berlakon seolah-olah mereka berjumpa secara kebetulan. Dia mengukirkan senyuman mesra untuk mengelakkan Ilham mengesyakinya.
"Fizri ...," sahut Ilham lemah tanpa semangat. Wajahnya ditundukkan. Tidak mahu bertentang mata dengan Fizri. Selepas peristiwa tadi, dia sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan Fizri lagi. Dia terlalu malu setelah menghamburkan rahsianya yang tidak masuk akal bagi orang seperti Fizri.
"Nah, ni beg kau! Aku dah bawakan. Kau tertinggal tadi. Sebelum tu, kau okey tak ni?" Fizri menghulurkan beg kepada Ilham.
Ilham langsung tidak menyambut huluran Fizri. Wajahnya masih ditunduk memandang lantai.
"Fenomena unik yang tak mampu diperhatikan sang pemerhati. Perkara yang tak mampu diukur mana-mana instrumen di dalam makmal. Fenomena yang tak mampu dikesan dengan lima pancaindera manusia. Apa yang tak mampu dilihat, apa yang tak mampu didengar, apa yang tak mampu dirasa, apa yang tak mampu dihidu, apa yang tak mampu disentuh."
---
N.P:
Hukum sebab dan akibat tu aturan atau hukum alam.
Kalau dalam Islam, kita panggil sunnatullah. Maaf, kalau timbulkan kekeliruan.