Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 36

Afiyah menarik nafas dalam. Dia menoleh ke arah Aliya yang sedang rancak berbual dengan Daffa.

“Awak okay?” soal Dahin apabila melihat Afiyah yang kurang selesa. Afiyah hanya menjeling lelaki tersebut tanpa berkata apa-apa.

“Masih marahkan saya?” tanya Dahin lagi dengan nada perlahan. Afiyah ingin menjawab namun telefonnya yang berdering menghalangnya. Dia melihat skrin telefon. Nama Eijaz jelas terpampang. Dahin yang turut melihat nama lelaki tersebut berdehem perlahan. Afiyah bangun untuk menjawab panggilan Eijaz. Daffa dan Aliya hanya memandang telatah gadis itu.

“Siapa?” soal Aliya sambil memandang Dahin.

“Eij,” jawab Dahin sambil bersandar pada kerusinya. Aliya hanya mengangguk perlahan. Daffa diam membisu.

“Nak apa? Kalau pasal kerja, esok kita boleh jumpa,” tanya Afiyah apabila sudah agak jauh dari kumpulan Dahin.

“Saya nak jumpa awak. Saya dah pun sampai depan rumah awak,” balas Eijaz dengan tenang.

“What?!” Afiyah menggigit bibirnya apabila perasan suaranya yang agak tinggi.

“Are you okay?” soal Aliya separuh menjerit. Terkejut mereka mendengar suara gadis itu yang agak tinggi. Afiyah sekadar melambaikan tangannya.

“Sekarang ke?” soal Afiyah dengan kening yang berkerut.

“Yes,” balas Eijaz dengan senyuman. Afiyah mendengus perlahan. Dia berjalan menuju ke pintu pagar utama.

“Tuan Eijaz dah lama tunggu Fiyah,” beritahu Pak Jamail pemandu papanya sambil tersengih di hadapan pintu pagar. Dia membuka pintu pagar tersebut untuk Afiyah.

“Terima kasih pakcik,” ucap Afiyah dengan senyuman nipis. Dia mengampiri Eijaz yang sedang bersandar tenang pada keretanya.

“Nak apa? Tak boleh tunggu esok?” soal Afiyah tidak sabar. Dia memandang pintu pagar sebelum beralih memandang Eijaz semula. Afiyah agak takut sekiranya Dahin tiba-tiba muncul dan akan berlaku perang yang tidak diingininya. Sudahlah sejak akhir-akhir ini Dahin semakin berani menunjukkan keinginan mahu memilikinya. Afiyah mengeluh perlahan.

“Sorry kalau saya dah ganggu awak. Masuk lah dulu,” ucap Eijaz separuh mengarah sambil membuka pintu keretanya. Berkerut kening Afiyah.

“Awak nak apa sebenarnya?’ soalnya agak keliru dengan sikap lelaki itu. Sekejap tenang sekejap marah. Kadang-kadang ada masa dia rasakan lelaki itu tidak pernah mengenalinya.

“Jangan risau. Saya dah beritahu papa Shim,” balas Eijaz dengan senyuman. Semakin berkerut kening Afiyah. Dia masuk ke dalam kereta lelaki itu dengan berat hati.

“Kita nak ke mana?” tanyanya apabila melihat Eijaz mula menghidupkan enjin kereta. Eijaz hanya tersenyum tanpa menjawab. Afiyah mendengus lagi.

Pening aku dengan perangai lelaki ini.

*****

“Gelanggang?” berkerut kening Afiyah memandang lelaki itu. Eijaz mengangguk tersenyum.

“Dah lupa tempat ini?” soal Eijaz sambil merenung gadis itu. Mereka sekarang berada di hadapan gelanggang bola keranjang yang menjadi tempat mereka bertemu buat pertama kalinya. Afiyah terdiam mendengar soalan lelaki itu.

“Kenapa? Awak nak imbau kenangan lalu?” tanya Afiyah membalas tajam pandangan lelaki itu. Eijaz tersenyum mendengar soalan gadis itu. Dia membuka pintu kereta.

“Jom,” ajaknya dengan senyuman. Afiyah mengeluh perlahan.

Nak kena mamat ini.

Walaupun geram Afiyah tetap mengikut langkah lelaki itu.

“Bila jumpa awak buat pertama kalinya, terus terang saya memang tak ingat awak. Malah tak tahu pun nama awak. Saya langsung tak ingat awak adalah Ainun Afiyah yang saya pernah kenal semasa kita masih kecil. Maafkan saya,” ucap Eijaz tanpa memandang gadis itu. Afiyah tersenyum sinis memandang lelaki yang sedang berdiri membelakanginya itu.

Memang pun! Masih kecil kot masa itu.

“Memang benar pada mulanya saya hanya ikut cakap Liya sebab sayangkan dia. Tak nak tengok dia sedih bila keinginannya tak tercapai. Mengenali awak untuk kali yang kedua membuat saya tak keruan Fiyah. Bila awak tuduh saya sayangkan awak sebab nak sakitkan hati Liya itu sangat tidak adil buat diri saya,” sambung Eijaz sambil berpaling memandang gadis itu.

“Saya sayangkan awak sebab diri awak. Bukan disebabkan nak sakitkan hati sesiapa ataupun sebab dulu masa kecil saya pernah kenal awak. Itu hanya alasan Fiyah. Saya tak ingat pun dengan janji yang saya dah pernah ucap itu. Betul kata awak, masa itu saya baru 5 tahun. Masih budak sangat. Saya dah tak ingat apa-apa,” katanya lagi dengan tenang.

“Wait! So, sekarang ini awak nak kata saya pula yang teringat dengan janji awak itu?” bulat mata Afiyah memandang lelaki itu. Eijaz tersenyum nakal. Dia berjalan menghampiri gadis itu. Kini dia berdiri tidak jauh dari Afiyah.

“I know you love me too, Fiyah. Cuma awak takut untuk akuinya. Saya faham. Masa lalu buat awak lebih berhati-hati. Tapi saya tak akan ulangi kesilapan yang sama. Sekiranya terpaksa kahwin lari dengan awak, saya sanggup,” katanya dengan riak wajah penuh kesungguhan. Afiyah terkedu.

“You…, gila,” katanya dengan suara tersekat. Eijaz tergelak kecil. Afiyah mendengus perlahan.

“Awak memang sengaja nak kenakan saya kan? Awak berdendam dengan saya sebab tolak lamaran awak tiga tahun yang lalu,” balas Afiyah dengan nada agak kasar. Eijaz menggeleng.

“Tak sayang. Okay, I’m sorry. Dah hampir sebulan Eij buli Fiyah. Eij sebenarnya rindu Fiyah. Rindu sangat,” kata Eijaz sambil menyentuh dadanya.

“Tiga tahun Fiyah. Saya terpaksa simpan dalam-dalam rasa rindu itu. Sakit itu memang sakit,” sambungnya dengan nada sayu.

“Cukup Eij. Awak buat saya takut,” balas Afiyah akhirnya. Dia berpaling untuk berlalu ke kereta semula.

“Fiyah, saya cintakan awak. Tapi kali ini saya tak akan paksa awak untuk terima diri saya. Saya cuma nak awak tahu. Saya cintakan awak sebab diri awak. Sebab awak Ainun Afiyah,” kata Eijaz dengan nada tegas. Afiyah mengeluh perlahan.

“Cepat lah! Saya nak balik!” katanya sambil membuka pintu kereta. Eijaz menggigit bibir. Dia melepaskan keluhan perlahan sebelum berjalan menghampiri keretanya.

*****

Datuk Hashim berpaling memandang Afiyah selepas kelibat kereta Eijaz menghilang.

“Fiyah okay? Tadi Eij ada call papa beritahu nak ajak Fiyah keluar. Papa bukan nak halang Fiyah keluar dengan sesiapa. Kalau nak bincang pasal kerja esok pun boleh. Waktu kerja dah lama berakhir,” soalnya separuh merungut. Afiyah hanya tersenyum mendengar kata-kata papanya itu. Dia hanya menurut langkah Datuk Hashim dari belakang masuk ke dalam rumah.

“Fiyah rehat lah dulu. Semua orang pun dah masuk bilik untuk berehat,” kata Datuk Hashim sambil menepuk bahu gadis itu lembut.

“Papa tak suka Fiyah keluar dengan Eij?” soal Afiyah sambil menatap wajah yang mula dimamah usia itu. Dia dapat merasakan yang papanya itu tidak menyukai apabila melihat Eijaz menghantarnya balik sebentar tadi. Walaupun papanya tersenyum, namun pada pandangan matanya senyuman itu tidak ikhlas. Datuk Hashim tersenyum.

“Papa tak halang kalau keluar bersama itu sebab kerja. Selain daripada itu, papa agak keberatan,” balasnya sambil berlalu menutup pintu utama semula.

“Fiyah rehat dulu,” sambung Datuk Hashim separuh mengarah sebelum berlalu naik ke tingkat atas. Afiyah mengeluh perlahan.

*****

“Morning,” sapa Daffa sambil menghampiri Afiyah yang sedang memberi makan pada ikan peliharaannya. Afiyah hanya mengangguk tersenyum membalas pandangan lelaki itu.

“Daf balik hari ini. Maaf lah kalau Daf buat Fiyah tak selesa,” ucap Daffa perlahan.

“Tak apa. Fiyah pun minta maaf sebab tak layan Daf sangat. Memang Fiyah tak selesa sebenarnya,” balas Afiyah berterus terang. Daffa tersenyum.

“Fiyah masih boleh terima Daf semula? Sebagai kawan dan juga saudara,” tanyanya dengan perasaan berdebar. Afiyah tersenyum sinis.

“Daf pula?” soalnya tanpa menjawab. Dia ingin tahu apa yang ada dalam fikiran lelaki itu. Kalau boleh dia memang tidak mahu lagi bertemu dengan Daffa. Namun perjalanan yang telah diatur bukanlah dia perancangnya. Allah maha merancang. Dia redha. Daffa menarik nafas dalam. Tidak menjangkakan soalan gadis itu.

“Daf dah redha Fiyah. Tapi Daf tak nak putuskan hubungan dengan Fiyah. Daf harap kita masih boleh berkawan,” balas Daffa dengan penuh harapan. Afiyah mengangguk tersenyum.

“Boleh. Saya tak ada masalah. Saya harap mama awak pun boleh terima saya juga. Manalah tahu mama awak masih tak suka saya jadi kawan awak,” katanya separuh menyindir. Daffa tersenyum pahit.

“Maaf,” ucap Afiyah semula apabila sedar dengan keterlanjurannya.

Buat apa aku nak ungkit lagi. Aku kan dah redha.

Afiyah menggeleng perlahan. Daffa tergelak kecil.

Alahai hati. Bertabah lah.

“It’s okay Fiyah,” balasnya dengan senyuman. Afiyah ikut tersenyum.

*****

“Semalam Eij keluar pergi mana?” tanya Puan Sri Erma dengan senyuman. Dia agak teruja kerana sudah lama lelaki itu tidak keluar malam.

Anak aku ini ada girlfriend baru ke?

Soal hatinya sambil merenung tajam Eijaz yang sedang menjamah nasi lemaknya.

“Jumpa Fiyah,” balas Eijaz pendek tanpa memandang wanita itu. Puan Sri Erma terkedu. Hampir saja dia terlepas cawan panas yang berada di tangannya.

“Fi…, Fiyah? Why?” soalnya dengan suara yang tersekat-sekat. Eijaz membalas pandangan mamanya itu. Tan Sri Fakrul hanya menggeleng melihat telatah isterinya itu.

“Just…, pasal kerja,” jawab Eijaz sebelum menyambung suapannya semula.

Sorry ma. Next time Eij cerita.

Berkerut kening Puan Sri Erma mendengar jawapan anak lelakinya itu.

“Okay. Dah habis waktu kerja pun masih nak bincang pasal kerja?” soalnya masih tidak berpuas hati. Eijaz hanya tersenyum sebelum bangun dari kerusinya.

“Eij pergi dulu,” katanya sambil terus berlalu. Puan Sri Erma menggeleng perlahan.

“Tak payah lah nak soal Eij itu macam detektif. Kasihan Eij,” celah Tan Sri Fakrul sambil bangun dari kerusinya.

“Dah siap ke?” soal Puan Sri Erma dengan kening berkerut.

“Ha ah, lain kali buat lah lagi ruang makan ini macam ruang pesalah ya Puan Sri Erma,” sindir Tan Sri Fakrul separuh mengusik sebelum berlalu ke ruang tamu. Puan Sri Erma mendengus perlahan.

Aku pula yang salah.

*****

Sebelum melangkah masuk ke dalam kereta Afiyah berpaling memandang jiran sebelahnya.

“Rindu ke?” tegur satu suara. Afiyah terkedu melihat Dahin yang sudah berdiri di sisi keretanya.

Aik, dari mana pula mamat ini.

Afiyah tidak membalas kata-kata lelaki itu. Dia membuka pintu kereta.

“Fiyah,” panggil Dahin lembut sambil menahan gadis itu daripada masuk ke dalam keretanya.

“Nak apa?” tanya Afiyah dengan nada agak keras.

“Maaf pasal semalam,” ucap Dahin dengan perasaan bersalah. Terangkat kening Afiyah memandang lelaki itu.

“Semalam?” soalnya dengan nada sinis. Dahin menarik nafas perlahan.

“Dahin serius Fiyah. Semalam itu bukan satu gurauan. Dahin sayangkan Fiyah. Dahin nak Fiyah jadi isteri Dahin,” katanya dengan nada agak tegas. Afiyah terkedu.

“Dahin takut Fiyah. Dahin tak nak kehilangan Fiyah lagi. Beri Dahin peluang. Dahin akan buat yang terbaik,” sambung Dahin dengan wajah penuh mengharap.

“Dahin…,”

“Bulan depan keluarga Dahin akan datang merisik. Dahin harap Fiyah tak hampakan Dahin,” pintas Dahin dengan senyuman hambar sebelum berlalu meninggalkan halaman rumah gadis itu. Afiyah melepaskan keluhan berat.

*****

Afiyah melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya dengan perasaa berbaur apabila melihat Eijaz yang sedang duduk di kerusinya.

“Morning,” ucap Eijaz dengan senyuman manis. Dia bangun lantas menghampiri gadis itu.

“Awak ingat bilik saya ini tempat melepak ke?” soal Afiyah separuh menyindir. Eijaz tergelak kecil.

“Sorry. Tak sabar nak jumpa awak sebab itu saya datang awal,” ucapnya separuh berbisik sambil tersenyum nakal. Afiyah menolak tubuh lelaki itu yang agak rapat dengan dirinya.

“Cepatnya awak berubah. Dua bulan yang lalu bukan main awak buli saya. Sekarang nak menggatal pula?” katanya dengan nada sinis sebelum berlalu ke kerusinya.

“Saya menggatal dengan awak aje,” balas Eijaz dengan senyuman nakal. Dia berpeluk tubuh memandang gadis yang kini duduk di hadapannya. Afiyah mendengus perlahan.

“Apa dah jadi dengan awak dan Dahin? Boleh tak sehari jangan peningkan kepala saya? Sakit otak saya ini nak fikir tahu tak!” bentaknya geram sambil meraup wajahnya. Eijaz terkedu.

Dahin?

Eijaz merenung lama gadis yang sedang menundukkan kepalanya itu.

“I’m sorry,” ucapnya perlahan sebelum berlalu keluar perlahan dari bilik gadis itu. Afiyah mengeluh perlahan.

*****

Aliya mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Daffa sekadar tersenyum membalas pandangan gadis itu.

“Jadi ke balik petang ini?” tanya Aliya.

“Jadi. Kenapa?” soal Daffa pula kini meletakkan buku yang ada di tangannya ke atas meja sambil mula menumpukan perhatiannya kepada Aliya. Melihat saja riak wajah gadis itu dia sudah tahu ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh Aliya.

“Liya tahu Liya tak sepatutnya tanya soalan ini. Tapi Liya tetap nak tanya juga sebab nak kepastian,” kata Aliya agak serba salah. Daffa tergelak kecil. Dia seperti dapat meneka soalan yang akan diutarakan oleh gadis itu.

“Tanya lah. Daf janji tak melatah,” balasnya separuh mengusik. Aliya tergelak kecil.

“Siapa Fiyah di mata Daf?” soalnya dengan kening yang terangkat. Daffa bersandar tenang pada kerusinya.

“Yang teristimewa,” balasnya dengan senyuman. Berkerut kening Aliya.

“Walaupun Daf dan Fiyah dah putus. Fiyah tetap ada tempat yang istimewa di hati Daf. Liya jangan risau. Daf dan Fiyah dah mulakan hidup baru,” sambungnya dengan senyuman. Aliya tersenyum hambar. Rasa simpati bersilih ganti dengan perasaan lega.

“Sekarang aunty Wiyah dah boleh terima Fiyah. Kalau lah Daf tak jumpa Dayana. Daf nak tak kembali dengan Fiyah?” soalnya lagi masih mahu menguji lelaki itu. Daffa terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Maaf lah kalau…,”

“Mungkin,” pintas Daffa dengan senyuman. Terangkat lagi kening Aliya memandang lelaki itu.

“Jodoh itu rahsia Allah, Liya,” sambung Daffa dengan senyuman penuh makna. Aliya ikut tersenyum.

Betul kata Daf. Manusia hanya lah mampu merancang. Tapi Allah adalah perancang yang sebenar.



Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.