Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 25

Aliya menghalang langkah gadis itu. Afiyah berhenti melangkah. Dia membalas pandangan gadis itu dengan tenang. Aliya menarik nafas perlahan.

“Aku masih sayangkan Eij. Aku tahu aku dah buat silap. Tapi aku masih tak boleh lupakan dia,” katanya dengan nada bergetar. Afiyah hanya memandang gadis itu tanpa berkata apa-apa.

“Aku nak kau tinggalkan dia,” pinta Aliya akhirnya. Dia sedaya upaya merendahkan egonya demi Eijaz Elman.

“Look Liya. Aku minta maaf,” ucap Afiyah ikhlas. Aliya terkedu.

“Aku memang jahat. Kalau kau tak nak maafkan aku, tak apa. Untuk pengetahuan kau, aku memang tak pernah cintakan Eij. Kau dan aku sama Liya. Aku pun gunakan Eij untuk sakitkan hati kau,” beritahu Afiyah dengan perasaan bersalah. Aliya hilang kata-kata. Lidahnya kelu untuk berkata.

“Kalau kau nak aku tinggalkan Eij, kau silap. Sebab aku tak pernah anggap Eij lebih dari apa yang kau sangka,” sambung Afiyah semula. Dia menarik nafas dalam.

“Aku rasa kita perlu bincang perkara ini sekali dengan Eij,” katanya lagi separuh mencadangkan. Dia agak simpati melihat Aliya yang sedang menundukkan kepalanya. Afiyah mengangkat tangan cuba untuk menyentuh bahu gadis itu namun menurunkan semula apabila melihat Suha sedang berjalan menghampiri mereka.

“Liya,” panggil Suha lembut. Aliya pantas mengesat air matanya.

“Aku pergi dulu,” katanya sambil mula melangkah perlahan untuk beredar. Afiyah hanya memandang langkah gadis itu tanpa berhasrat untuk menahan. Suha menarik nafas perlahan. Buat pertama kalinya dia menyaksikan tidak ada pertelingkahan yang berlaku antara kedua-dua gadis itu.

“Jom,” ajak Afiyah sambil mula melangkah. Suha tersenyum mengikut langkah gadis itu.

Ada yang berubah.

*****

Eijaz melemparkan bola yang dipegangnya ke atas tanah dengan kasar.

“Kau dan Fiyah okay ke?” soal Kamal sambil mengerling ke arah sahabatnya itu. Eijaz menarik kerusi di hadapan Kamal dan duduk tanpa memandang lelaki itu. Kamal hanya menggeleng perlahan melihat wajah kusut Eijaz.

“Aku tengok kau dah lama tak lepak dengan Fiyah. Korang gaduh ke?” soalnya lagi ingin tahu. Eijaz mengeluh perlahan.

“Aku nak kahwin Mal,” katanya perlahan hampir tidak kedengaran. Kamal terkedu.

Biar betul kawan aku ini.

“Bila? Dengan Fiyah?” soalnya bertalu.

“Dengan siapa lagi!” balas Eijaz agak keras. Kamal tersentak.

“Sorry,” ucap Eijaz apabila sedar akan kesilapannya.

“Cuba kau beritahu aku apa sebenarnya yang berlaku?” soal Kamal akhirnya. Dia pasti ada sesuatu yang berlaku kepada lelaki itu.

“Fiyah tipu aku Mal. Dia tak cintakan aku,” beritahu Eijaz dengan perasaan kecewa. Berkerut dahi Kamal memandang wajah sedih lelaki itu.

“Aku juga silap. Aku terperangkap dengan permainan sendiri. Tapi aku tak menyesal Mal. Sebab aku tahu Fiyah tak sama dengan Liya,” sambung Eijaz lagi sambil meraup wajahnya. Kamal menarik nafas panjang.

“Aku tak faham. Kenapa ada Liya pula ini?” soalnya dengan kening berkerut. Eijaz membalas pandangan sahabatnya itu dengan perasaan berbaur. Dia melepaskan keluhan berat.

*****

Datin Isnawiyah menghampiri Daffa yang sedang sibuk mengemas barang yang akan dibawanya nanti ke London.

“Daf,” panggilnya lembut.

“Ermm…,” jawab Daffa tanpa memandang.

“Mama dah jumpa calon yang sesuai untuk Daf,” beritahu Datin Isnawiyah dengan senyuman lebar. Tangan Daffa terhenti bergerak. Dia kaku.

“Ma please,” katanya dengan nada bergetar. Dia berpaling memandang wanita itu.

“Kenapa? Sebab perempuan itu lagi?” soal Datin Isnawiyah dengan nada keras.

“Daf masih sayang perempuan yang mama jijik nak sebut namanya itu. Daf masih cintakan Ainun Afiyah ma. Kenapa susah sangat mama nak terima Fiyah? Kalau perempuan lain mama boleh terima, kenapa Fiyah tak boleh pula? Apa salah Fiyah ma?” soal Daffa bertalu. Dia berlalu ke balkoni biliknya dengan perasaan kecewa. Datin Isnawiyah hanya memandang tingkah laku anaknya itu.

“Daf minta maaf. Daf bukan tak cuba. Hampir lima bulan Daf cuba tapi tak berjaya ma. Ainun Afiyah terlalu istimewa di hati Daf. Hidup Daf tak lengkap tanpa Fiyah,” kata Daffa dengan nada sayu. Tidak pernah terlintas di hatinya ingin menderhaka kepada wanita itu.

“Daf sayangkan mama?” soal Datin Isnawiyah sambil memandang tepat ke arah anak lelakinya itu. Daffa menggigit bibir.

“Ma…,” katanya dengan perasaan kecewa.

“Mama tanya ini, Daf sayangkan mama?” tanya Datin Isnawiyah lagi tidak berpuas hati apabila lelaki itu hanya membisu. Daffa berpaling memandang wanita itu dengan kening berkerut.

“Kalau mama nak guna cara ini untuk ugut Daf, terserah mama. Daf dah redha. Buat lah apa yang mama suka. Asal mama tahu, dalam dunia ini tak ada anak yang tak sayang ibu bapanya,” balas Daffa dengan nada putus asa.

“Baik lah. Mama beri Daf masa 3 hari aje. Sebelum Daf pergi London, Daf kena bawa Fiyah jumpa mama dulu. Kalau Daf berjaya, mama akan pertimbangkan permintaan Daf. Kalau tak, Daf akan terima orang yang mama dah pilih untuk Daf. Ingat, ini peluang terakhir,” katanya dengan nada tegas sebelum mula beredar. Daffa terkedu memandang kelibat mamanya yang sudah menghilang disebalik pintu.

“Mama! I love you,” ucapnya dengan perasaan gembira yang sukar digambarkan. Datin Isnawiyah hanya menggeleng perlahan mendengar ucapan lelaki itu.

Maafkan mama, Daf.

Datin Isnawiyah mengeluh berat.

*****

“Liya,” panggil Suha dengan nada lembut. Aliya hanya memandang sahabatnya itu sebelum mengeluh perlahan.

“Aku minta maaf kalau selama ini aku ada buat silap dengan kau. Aku tahu aku dah jarang luangkan masa dengan kau. Aku tak nak kau kecil hati pula dengan aku,” kata Suha perlahan dengan perasaan bersalah. Rina yang duduk berdepan dengan mereka hanya membisu.

“Aku memang kecil hati dengan kau. Kita dah kenal lama Suha. Tapi sejak Fiyah ada kat sini, kau asyik berkepit dengan dia aje. Bila aku ajak keluar, kau selalu tak dapat datang,” balas Aliya dengan jujur. Suha terdiam mendengar kata-kata sahabat baiknya itu.

“Tapi tak apa aku faham. Kau tak salah. Semuanya salah aku. Aku minta maaf,” sambung Aliya lagi sambil menyentuh bahu gadis itu. Suha menggeleng tersenyum.

“Aku pun bersalah Liya. Aku pun nak minta maaf juga,” ucapnya. Aliya tersenyum mengangguk. Rina ikut tersenyum. Dia menarik nafas lega.

“Aku nak tanya…” Aliya bersuara sambil memandang tepat wajah Suha.

“Betul ke Fiyah cuma gunakan Eij sebab nak sakitkan hati aku?” soalnya dengan hati yang berdebar. Dia yakin yang Suha ada jawapan yang diinginkannya. Suha terkedu mendengar pertanyaan gadis itu.

Adakah itu sebab utama Aliya ingin bertemu dengannya?

“Kalau kau susah nak beritahu aku, tak apa,” kata Aliya apabila melihat Suha yang membisu agak lama.

“Aku minta maaf. Pada mulanya memang aku tak tahu pasal kau dan Eij. Sebab kau tak pernah pun beritahu kami selama ini. Sejak Eij datang sini, kau cuma tunjukkan yang kau berminat dengan Eij. Memang aku terkejut bila tahu kau dan Eij sebenarnya dah lama berkawan. Aku minta maaf Liya. Bila aku tahu. Semuanya dah terlambat. Aku dilema. Kau dan Fiyah kawan aku. Aku sayang korang berdua,” beritahu Suha dengan kening berkerut.

“Pasal Eij, kami maafkan Liya. Tapi lepas ini, aku tak nak lagi perkara macam ini berlaku. Kita bertiga dah lama berkawan. Ingat itu,” celah Rina dengan nada tegas.

“Aku minta maaf,” ucap Aliya perlahan dengan perasaan bersalah. Suha memeluk bahu gadis itu.

“Semuanya dah pun berlaku. Kita cuma perlu betulkan keadaan sebelum terlambat,” katanya lembut.

“Nak menyesal pun tak guna. Liya, aku harap kau jadi Aira Aliya yang dulu,” celah Rina lagi sambil tersenyum hambar. Aliya menggigit bibir.

Jauh sangat ke aku terpesong?

*****

Langkah Afiyah terhenti apabila melihat Dahin yang sedang berjalan dari arah yang bertentangan dengannya. Langkah Dahin turut terhenti apabila melihat Afiyah yang berdiri tidak jauh darinya. Afiyah meneruskan langkah menghampiri lelaki itu. Dia behenti di hadapan Dahin.

“Sejak akhir-akhir ini awak asyik mengelak daripada saya. Kenapa?” soal Afiyah dengan keningnya yang terangkat tinggi ala-ala penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain. Dahin berdehem perlahan.

“Mana ada,” balasnya tanpa memandang wajah gadis itu. Afiyah tersenyum sinis.

“Tipu. Hari itu saya…”

“Afiyah…” potong Dahin kini memandang wajah gadis itu. Terangkat kening Afiyah memandang lelaki itu.

“Awak rindu saya ke?” soalnya tenang. Afiyah terkedu.

“Jangan nak…”

“Afiyah…”. Belum sempat Afiyah menghabiskan ayatnya terdengar satu suara menyeru namanya. Afiyah dan Dahin serentak menoleh. Kelihatan Eijaz sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Afiyah mengeluh perlahan. Dahin hanya tersenyum sinis membalas pandangan tajam lelaki itu. Dia memandang Afiyah semula.

“Fiyah…” panggilnya lembut sambil menarik jemari gadis itu dan menggenggamnya erat. Bulat mata Afiyah memandang lelaki itu. Dahin tersenyum sambil meletakkan jemari gadis itu di atas dadanya.

“Saya letak awak dalam ini,” katanya tenang. Afiyah tergamam.

“Kalau boleh saya tak nak lepaskan awak. Tapi saya tak yakin yang awak boleh menerima saya. Lagipun ada seseorang yang masih menanti awak. Saya bukan jenis yang suka rampas hak orang Fiyah. Awak kena ingat itu,” sambung Dahin dengan perasaan kecewa yang sedaya upaya cuba diselindungkan melalui senyumannya. Afiyah menarik tangannya perlahan. Dia masih terkejut mendengar pengakuan Dahin sehinggakan bibirnya terkunci rapat untuk membalas. Dahin tersenyum melihat reaksi Afiyah. Dia menyentuh ubun kepala gadis itu.

“Saya minta maaf kalau awak terasa yang saya elakkan diri daripada awak,” ucapnya perlahan. Afiyah masih membisu. Keningnya jelas kelihatan berkerut.

Masalahnya aku tanya tanpa ada maksud apa-apa!

Bisik hati kecil Afiyah yang jelas tidak berpuas hati.

“Jumpa lagi,” kata Dahin separuh berbisik sebelum berlalu meninggalkan Afiyah. Dia berjalan melepasi Eijaz tanpa berkata apa-apa. Afiyah melepaskan keluhan berat. Dia berpaling memandang Eijaz yang masih setia menunggunya.

Padan muka kau, Fiyah!

*****

“Saya dah buat keputusan. Lepas exam, keluarga saya akan masuk meminang Fiyah,” beritahu Eijaz yang sedang berdiri membelakangi Afiyah. Berkerut kening Afiyah memandang lelaki itu.

“Eij, awak tahu yang saya cuma…”

“Saya tahu,” potong Eijaz sambil berpaling memandang gadis itu. Afiyah terkedu. Eijaz mengeluh perlahan.

“Saya tahu Fiyah. Awak cuma gunakan saya. Awak memang tak cintakan saya. Tapi sekurang-kurangnya awak faham saya,” sambung Eijaz dengan perasaan kecewa. Afiyah menggeleng perlahan.

“Eij, saya tahu yang saya dah buat silap. Tapi tolong jangan buat saya macam ini,” balas Afiyah dengan nada lembut separuh memujuk. Eijaz tersenyum sinis.

“Keputusan saya muktamad Fiyah,” katanya sambil memandang tepat wajah gadis itu. Afiyah mendengus geram.

“Look Eij. Saya tahu yang saya memang bersalah. Tapi awak lupa? Awak pun silap Eij. Kalau awak tak ikut cakap Liya, tak datang jumpa saya, mungkin semua ini tak berlaku. Lagi satu, awak sanggup ikut cakap Liya sebab awak cintakan dia. Kita berkawan hanya enam bulan Eij. Awak dan Liya dah bertahun. Awak yakin yang awak itu dah lupakan Liya? Atau sengaja buat macam ini sebab nak sakitkan hati Liya? Saya tak nak awak buat keputusan tanpa berfikir panjang,” balasnya dengan nada tegas. Eijaz tersenyum mendengar kata-kata gadis itu. Dia berjalan menghampiri Afiyah. Kini jaraknya dengan gadis itu hanya beberapa inci saja lagi. Eijaz menarik lembut Afiyah ke dalam pelukan. Afiyah terkedu.

“Saya tak nak kehilangan awak lagi Fiyah. Awak adalah cinta pertama saya,” katanya separuh berbisik dengan perasaan sebak. Afiyah menolak tubuh lelaki itu dengan dahi berkerut. Eijaz tersenyum pahit.

“Awak mungkin lupa. Tapi saya masih ingat. Hari itu sebelum kita berpisah, saya janji akan datang semula jumpa awak dan jadikan awak hak saya seorang,” katanya separuh mengingatkan. Afiyah mengeluh perlahan.

“Boleh tak jangan buat lawak? Itu janji kita masa kecil Eij. Awak sekarang dah ada Liya. Kita ini bukan budak kecil lagi. Situasi dah berubah,” balasnya dengan perasaan geram. Eijaz menarik nafas dalam.

“Betul kata awak Fiyah. Situasi dah berubah. Dulu mungkin saya tak mampu tunaikan janji itu. Tapi kali ini, saya dah ada peluang. Keputusan saya tetap sama. Awak akan jadi hak saya seorang,” kata Eijaz dengan nada tegas sebelum berlalu meninggalkan gadis itu. Afiyah terduduk di atas kerusi yang berhampiran dengannya. Dia meraup wajahnya. Tanpa sedar air matanya menitis perlahan.

Mama.

*****

“Liya tak nak tipu diri lagi. Jujur Liya masih sayangkan Eij,” kata Aliya dengan nada perlahan. Dahin hanya memandang gadis yang sedang berdiri membelakanginya itu. Dalam diam dia mengeluh berat.

“Sebelum ini, Liya ingat semuanya mudah untuk Liya hadapi. Tapi Liya silap. Hidup Liya ini rasa kosong tanpa Eij,” sambung Aliya lagi dengan nada kesal.

“Sorry Liya,” ucap Dahin perlahan. Aliya berpaling memandang lelaki itu. Keningnya jelas kelihatan berkerut.

“Dahin memang bukan seorang kawan yang baik. Kalau tak Liya tak akan lalui semua ini,” sambung Dahin dengan perasaan bersalah. Dia kini sedar. Sikap sambil lewanya dengan masalah Aliya juga salah satu sebab mengapa gadis itu bersikap sedemikian. Sebagai orang yang sudah lama mengenali Aliya, sepatutnya dia perlu lebih prihatin dengan masalah gadis itu.

“Jangan nak merepek lah. Liya yang tak dengar cakap Dahin,” balas Aliya sambil menarik kerusi di hadapan sahabat baiknya itu.

“So, sekarang ini Liya nak buat apa? Dahin dah cuba bincang dengan Eijaz beberapa bulan yang lalu tapi tak menjadi. Dia siap beri Dahin sebiji,” soal Dahin dalam nada bergurau. Aliya tersenyum hambar.

“Sorry and thank you, Dahin. Liya selalu susahkan Dahin dengan masalah Liya. Dahin pun dah banyak kali bantu Liya,” balasnya ikhlas bercampur sebak. Dia akui lelaki di hadapannya itu tidak pernah mengecewakannya selama ini. Dahin adalah orang kedua tempat dia mengadu sekiranya dia menghadapi masalah. Malah dia sering rasa bersalah dengan Eijaz kerana lebih mempercayai Dahin berbanding lelaki itu.

“Kenapa Liya tak minta Dahin aje yang ganti tempat Eij hari itu? Kalau Dahin di tempat Eijaz sekarang, tentu Liya tak ada masalah macam ini,” soal Dahin dengan kening berkerut. Aliya agak terkedu mendengar pertanyaan lelaki itu. Baru sahaja dia ingin menjawab tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Nama Rina terpampang pada skrin telefonnya.

“Liya balik dulu,” katanya sambil bangun dari kerusi dan terus beredar. Dahin hanya memandang langkah gadis itu tanpa berniat untuk menghalang. Dia meraup wajahnya perlahan. Dia mendongak memandang ke arah bilik Afiyah. Gelap.

Fiyah tak balik lagi ke?

*****

Berkerut kening Afiyah memandang nombor pemanggil yang sangat dikenalinya itu. Dadanya berdebar.

“Siapa call?” tanya Datuk Hashim yang duduk tidak jauh darinya. Afiyah hanya tersenyum hambar membalas pandangan papanya sebelum berlalu keluar ke halaman rumah. Datuk Hashim hanya memandang langkah gadis itu berlalu dengan penuh tanda tanya. Afiyah menarik nafas perlahan sebelum menyambut panggilan tersebut.

“Assalamualaikum,” Daffa memberi salam.

“Waalaikumsalam,” jawab Afiyah perlahan.

“Fiyah apa khabar?” tanya Daffa sambil menarik nafas perlahan apabila mendengar suara gadis itu.

“Baik,” jawab Afiyah ringkas.

“Daf nak jumpa Fiyah,” kata Daffa tanpa berselindung lagi. Afiyah menarik kerusi yang berhampiran dengannya lalu duduk.

“Kenapa? Ada yang tak selesai lagi antara kita?” soalnya dengan nada mendatar. Daffa terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Daf…, Daf rindukan Fiyah,” ucapnya perlahan. Afiyah mengeluh.

“Daf nak bawa Fiyah jumpa mama,” sambung Daffa dengan perasaan berdebar. Hampir sahaja Afiyah terlepas telefon bimbit yang berada di tangannya apabila mendengar kata-kata lelaki itu.

“Kenapa nak jumpa? Bukan mama Daf tak suka Fiyah ke? Lagi satu, buat apa nak jumpa lagi? Fiyah dan Daf dah tak ada apa-apa,” soal Afiyah dengan nada agak keras. Daffa tersenyum lebar.

“Mama dah boleh terima Fiyah,” beritahunya dengan perasaan gembira. Ikutkan hati ingin saja dia terbang ke Johor malam itu untuk bertemu dengan gadis itu. Namun tiket yang dibelinya adalah pada hari esok. Oleh itu dia kena bersabar untuk beberapa jam saja lagi. Afiyah menggigit bibir tanda geram.

“Awak ingat saya ini barang pakai buang ke? Bila tak suka awak buang. Bila suka awak datang ambil,” balasnya dengan nada sinis. Daffa terkedu.

“Fiyah…”

“Kepala otak saya ini dah pening tahu tak! Saya mohon awak jangan tambah. Saya tak nak jumpa awak lagi Daf. Cukup lah, saya dah penat,” potong Afiyah sebelum menekan punat merah. Dia melepaskan keluhan berat.

Tak semudah itu Daffa.

Daffa masih memandang telefon bibmbitnya dengan perasaan berbaur.

Fiyah…,



Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.