Home Cerpen Cinta Hujani Aku Dengan Cintamu
Hujani Aku Dengan Cintamu
A. Darwisy
11/12/2013 00:17:09
4,422
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Pusat pemindahan banjir itu tidak lagi riuh-rendah seperti siang tadi. Keadaan pada malam ini sedikit tenang dan lebih terkawal. Hanya sekali-sekala terdengar suara tangisan bayi kecil yang barangkali kelaparan minta disusukan. Sementara yang lain, rata-ratanya sudah masuk tidur dek kepenatan mengharung kepayahan untuk sampai ke pusat perlindungan sementara itu. Hampir 200 orang dari 25 buah keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah rendah kebangsaan di daerah Maran itu, hanya mampu bertawakal dan memanjatkan doa. Mengharap matahari galak menyinar pada keesokan hari.

Ammar masih berjaga. Matanya tidak mahu terlelap. Dia merasakan segalanya begitu ironi sekali. Semalam dia berada di Kuala Lumpur dan hari ini, entah kuasa apa yang menggerakkan hatinya untuk berada di bumi Pahang ini, bersama-sama teman sukarelawan yang lain. Sebelum ini, tidak pernah sekali dia melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan sebegini, tetapi kali ini, dia sendiri yang menawarkan diri. Bukan pengalaman yang dicari, apatah lagi untuk suka-suka tetapi Ammar terpanggil untuk membantu seikhlas hati. Jiwa mudanya seperti dikait-kait dengan satu umpan takdir yang tidak pasti.

“Berehatlah...sudah pukul 2.00 pagi,” Ammar menoleh ke belakang, mencari punca suara yang menyapanya. Seorang pemuda dengan raut jernih di wajah, tersenyum mengambil berat. Telaga mata masing-masing bertemu. Ammar menghargai keprihatinan teman sukarelawan yang baru beberapa jam dikenalinya itu.

“Aku dah biasa berjaga malam. Tak perlu kau risau...” jawab Ammar, lembut. Ridzwan menganggukkan kepala. Dia cuma bimbangkan kawan barunya itu tidak punya tenaga untuk menyambung tugas dan memikul tanggungjawab yang pastinya akan menanti mereka berdua seawal pagi esok.

“Jabatan Meteorologi dah keluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat peringkat jingga di beberapa buah negeri di Pantai Timur. Nampak gayanya, semakin banyaklah kawasan ditenggelami air lebih-lebih lagi di kawasan bertanah rendah,” Ridzwan mengajak sembang. Sebaliknya, Ammar terus berdiam. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat.

“Hujan itu tetap rahmat ALLAH yang indah meski datangnya dalam bentuk petaka...”

“Maksud kau?” Ridzwan berkerut kening. Ammar sekali lagi berdiam diri. Pemuda itu menghirup hawa hujan sepuas-puasnya. Seperti malam itu malam terakhirnya mengecap nikmat udara.

“Kalau tak kerana hujan yang lebat turun mencurah-curah, mungkin orang macam aku ni, masih leka dengan kesenangan dunia. Terpuruk dalam zon selesa,” Ammar berkaca matanya tiba-tiba. Ridzwan makin pelik dengan perubahan emosi pemuda di sebelahnya itu.

“Kenapa kau cakap macam tu?”

“Aku tak serupa kau, Ridzwan. Aku tak serupa pemuda-pemuda lain dalam grup sukarelawan ni. Aku ke sini sebab inilah satu-satunya peluang aku untuk menebus dosa-dosa aku. I just hope the rain wash away all my pain,” Ridzwan tidak faham. Buntu akalnya memikirkan di sebalik kata-kata yang keluar dari kawan barunya itu.

Tidak sempat Ridzwan bertanya lanjut, sembangnya dengan Ammar terberhenti apabila tiba-tiba lampu di dalam pusat pemindahan banjir itu tertutup. Keadaan yang tadinya malap kerana hanya dua buah lampu kalimantang saja yang terpasang, bertukar menjadi gelap keseluruhannya. Ridzwan yang lebih berpengalaman dalam menghadapi situasi genting begini, mengarahkan Ammar dan ahli sukarelawan yang lain untuk menghidupkan lampu-lampu kecemasan berkuasa bateri yang dibawa oleh mereka.

“Wan, satu bandar Maran terputus bekalan elektrik. Keadaan dah semakin darurat. Banjir makin teruk,” bisik salah seorang ahli sukarelawan ke cuping telinga Ridzwan. Bunyi bot-bot berenjin di luar memecah keheningan awal pagi itu. Sekumpulan pasukan bomba dan penyelamat negeri sudah berada di luar. Ammar terperanjat kerana baru beberapa jam tadi, kawasan di sekitar bangunan persekolahan itu masih selamat untuk diduduki. Tetapi dalam tidak sedar, sekelip mata saja sekeliling mereka sudah hampir ditenggelami air. Hujan terus menggila turunnya.

Dan pada pagi itu juga, semua mangsa banjir di pusat pemindahan itu terpaksa dipindahkan ke satu lagi pusat perlindungan sementara yang lain. Mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa buah kumpulan bagi memudahkan proses pemindahan. Jaket keselamatan dipakai bagi menjamin tidak ada sebarang kejadian tidak diingini sepanjang misi menyelamat itu dijalankan. Warga tua yang mengalami kesukaran untuk berjalan, terpaksa dipapah dan ada juga didukung untuk ke bot pihak bomba dan penyelamat. Ammar, Ridzwan berserta ahli-ahli sukarelawan yang lain, tidak menang tangan membantu sedaya upaya mereka.

“Tolong atuk saya...tolong!” Suara panik seorang perempuan menyinggah gegendang pendengaran Ammar. Bergegas dia berlari mendapatkan susuk tua yang sedang tercungap-cungap yang mana sebelahnya, gadis yang menjerit meminta tolong tadi

“Kenapa dengan atuk awak?”

“Atuk tiba-tiba aje semput,”

“Dia ada asma atau penyakit kronik yang lain?” Perempuan itu menggeleng laju. Ammar menghela nafas lega. Setidak-tidaknya, lelaki tua itu cuma mengalami sesak nafas biasa. Ammar membuat kesimpulan. Cuaca sejuk-sejuk begini, apatah lagi dengan berbaring di atas lantai simen beralaskan gebar yang tidak setebal mana, imun badan orang yang sudah berusia biasanya tidak mampu bertahan. Ammar mencapai peti pertolongan cemas lalu mengeluarkan minyak angin. Lelaki tua itu yang sedang menelentang, segera diubahkan posisinya pada mengiring. Kemudian, bahagian belakang dan dada orang tua itu disapu dengan minyak angin sehingga rasa hangat di telapak tangan.

Beberapa minit kemudian, barulah rentak pernafasan lelaki tua itu kembali seperti sediakala. Bibir yang sedikit pucat tadi, perlahan-lahan bertukar kemerah-merahan. Syukur kepada ALLAH.

“Ada pakaian lebih tebal untuk atuk awak pakai tak? Badan dia tak tahan sebab cuaca sejuk ni,”

“Kami tak sempat bawak apa-apa tadi. Sehelai sepinggang aje ke sini,” Ammar tercuit belas di hatinya. Lantas, dia bergerak ke buntilan karung yang mengandungi pakaian terpakai yang diderma orang ramai, dicarinya kalau-kalau ada baju tebal untuk orang tua itu.

“Alhamdulilah, rezeki atuk awak. Ada baju sejuk, ngam agaknya ni. Cuba awak pakaikan,” Baju sejuk benang kait itu bertukar tangan. Ammar tersenyum puas kerana dapat membantu.

“Terima kasih saudara...”

“Nama saya Ammar...”

“Saya Mawar...”

***

Sepanjang tiga hari berada di pusat pemindahan banjir yang baru itu, Ammar semakin dapat menyesuaikan dirinya dengan tugas dan tanggungjawab yang digalasnya di situ. Selama tempoh itu juga, dia mendapat perkhabaran ada seorang mangsa banjir dari pusat pemindahan yang lain telah meninggal dunia akibat wabak leptospirosis. Jangkitan bakteria yang disebabkan oleh pendedahan kencing tikus di kawasan banjir. Selepas satu, satu lagi ujian yang ALLAH turunkan.

Ammar bermuhasabah diri, melazimi lidahnya dengan surah Hud ayat 44 saban detik dan ketika. Wahai bumi telanlah airMu dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanMu. Doa Ammar serendah-rendah hati yang mungkin. Beberapa jam lagi, merangkaklah siang bertemu dengan malamnya semula. Ammar yang baru saja mengagih-agihkan roti dan biskut kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan itu, mencari ruang untuk menyendiri barang sejenak. Cuaca di luar tidak banyak bezanya dengan hari-hari sebelum. Mendung dan basah. Hujan masih turun lagi.

“Tidak ubah seperti pemandangan di Venice kan?” Ammar sedikit tersentak apabila ada suara yang mengganggu privasinya. Kerut pada kening serta-merta hilang bentuknya apabila mendapati tampang Mawar yang sedang tersenyum manis, berdiri di sebelah.

“Venice? Ha...ha...ha... Tidak lengkap tanpa gondola. Awak pernah ke sana?” Mawar menganggukkan kepala. Ammar menayang muka tidak percaya. Asalnya, soalannya itu tadi sekadar satu canda.

“Saya pelajar seni lukis di sebuah universiti di Florence, Itali. Baru habis belajar dua minggu lepas selepas 4 tahun di sana dan sekarang, saya terperangkap dalam banjir yang entah bila akan surutnya,” Mawar ketawa halus dengan ucapnya sendiri. Lucu pula dirasakannya.

“Satu introduction yang menarik!”

“Kenapa, awak tak percaya?”

“Bukan...”

“Habis tu, awak pandang rendah pada gadis kampung macam saya ni?”

“Pun bukan. Bahkan saya berdecak kagum. Dan untuk pengetahuan awak, I’m a fine art student too,”

Oh really? Jadi, datang awak ke sini sebab mahu menjadi sukarelawan atau mencari inspirasi?”

“He...he...he... tidak. Saya bukan Hieronymus Bosch yang hendak merakam peristiwa banjir zaman Nabi Nuh dalam lukisan. Saya ke sini sebab ALLAH gerakkan hati saya,” Ammar jujur dalam setiap patah kata yang diucapkannya.

“Alhamdulilah. Awak, orang Kuala Lumpur?” Kali ini, giliran Ammar pula menganggukkan kepala. “Kira awak tak bernasib baiklah...”

“Kenapa pulak?”

“Yelah, orang Pantai Timur macam saya ni, saban tahun ALLAH uji kami dengan banjir. Hujan tu kan rahmat ALLAH yang paling indah biarpun datangnya dalam bentuk petaka,” Mawar menjongketkan kening kirinya. Manis ulahnya.

“Macam pernah dengar aje ayat tu...kat manalah agaknya tu ye?”

“He...he...he... maaf saya curi-curi dengar perbualan awak tempoh hari,”

“Oh, pasang telinga ye?” Ammar sengaja menjegilkan matanya. Mawar ketawa senang. “Hmm... cuma boleh saya tahu, kenapa awak cakap orang Pantai Timur ni bernasib baik, bertuah dan beruntung? Sedangkan ramai di luar sana anggap banjir ni menyusahkan, merosakkan dan melelahkan,”

“Sebab saya jatuh cinta dengan apa yang ALLAH ceritakan dalam surah Hud. Di zaman Nabi Nuh, ALLAH menurunkan hujan sampai terjadinya bencana banjir besar sebagai salah satu peringatan kepada umat-umat terdahulu. As time goes by... peristiwa yang patut dijadikan iktibar dan pedoman merentasi zaman ni, lama-kelamaan hilang macam tu aje. Al-Quran dipandang sepi, maka apa yang tinggal lagi?”

“Maka sebab tu awak kata orang Pantai Timur ni bertuah?”

“Kalau awak faham maksud saya, memang itulah jawapannya. Tiap-tiap tahun, negeri-negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir dan ada kalanya sampai melibatkan kematian. Bukankah itu satu isyarat langsung dari TUHAN, bukan saja kepada orang-orang di Pantai Timur bahkan satu Malaysia supaya lebih dekat kepadaNYA. Dekat yang macam mana? Mudah aje. Amal makruf nahi mungkar,”

Good point! Awak patut jadi ustazah. Ustazah Mawar,”

I’ll take that as a compliment. Dakwah itu hakmilik setiap insan, Ammar...” Mawar tersenyum dan berlalu sejurus itu. Ridzwan yang memerhati ulah pasangan itu, datang merapati. Sempat dia berdehem, menggiat semata.

“Lama kau bersembang dengan budak perempuan tu? Ada apa-apa ke?”

“Kami bersembang kosong ajelah,”

“Boleh percaya ke? Aku tak pernah nampak muka kau berseri-seri macam ni,”

“Berkat wuduk...”

“Ah, sudahlah kau!”

“Ha...ha...ha...”

***

Ammar mengucap berkali-kali. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Hendak masuk campur, khuatir tindakannya nanti akan disalah anggap. Hak bersuara orang muda sepertinya, apalah sangat pada pertimbangan dua orang dewasa yang sekarang ini sedang bertelagah, menegakkan pendapat masing-masing.

“Rakyat tengah bergelut dengan kesusahan, mereka boleh pula bersenang-lenang bersidang! Pucuk pimpinan apa macam ni?” jerkah satu suara lalu merenyukkan suratkhabar yang dibacanya itu tanda protes. Tanda geram dan sakit hati.

“Mereka bersidang pun untuk kemaslahatan kita, anak-anak cucu kita juga Sani. Tak bermakna mereka berada di dalam dewan, mereka tak buat apa-apa. Bersyukurlah, sekurang-kurang gerakan bantuan dah dihantar untuk mangsa-mangsa banjir kat negeri kita ni,”

“Ah, yang banyak membantunya, badan-badan NGO! Makanan-makanan ni semua, pakaian-pakaian ni...hasil derma orang ramai. Mereka sekadar datang melawat, tunjuk muka, masuk suratkhabar, kemudian balik Kuala Lumpur semula. Kau jangan nak kelentong akulah, Deraman!”

“Kerajaan dah umumkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir. Apa yang kau nak lagi?”

“Ah, duit rakyat jugak tu! Rumah aku tu ha, serba-serbi dah tak boleh pakai sebab banjir ni. Musibah betullah! Memang siallah hujan ni!”

“Astaghfirullahalazim. Apa masalah kau sebenarnya ni, Sani? Kau marahkan kerajaan atau sebenarnya kau marahkan qadak dan qadar ALLAH?”

Ammar beristighfar. Mawar yang berada tidak jauh dari situ, hanya mampu mengangkatkan kedua-dua belah bahunya. Percanggahan pendapat di antara Sani dan Deraman itu membuatkan semua yang berada di dalam pusat pemindahan banjir itu, berpuak kepada dua buah kumpulan pemikir.

“Mendengar dua orang pak cik tu berperang mulut, saya teringat pada pertanyaan Aisyah r.a. kepada Nabi s.a.w. tentang keadaan di padang mahsyar nanti. Betapa tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja hingga langsung tak fikirkan tentang orang lain, mahu mengambil tahu tentang orang lain, apatah lagi hendak melihat aurat orang lain,”

“Okey, saya tak faham...”

“Cuba awak tengok sana, sebelah sana, dan hujung sana tu...” Mawar menuding jari ke pelbagai arah lalu diikuti arah tudingan itu oleh kedua-dua belah mata Ammar. Seperti ada pecahan-pecahan grup yang sedang hangat berbincang dengan suratkhabar di tangan.

“Melayu mudah berpuak, kuat pula asabiyahnya...”

“Apa yang awak cuba sampaikan?”

“Yelah, lepas pak cik Sani dengan pak cik Deraman tu bertengkar, orang lain pun mula sibuk soksek-soksek cari kesalahan orang tu, cari kesalahan orang ni. Drama yang sama berlaku saban tahun, cuma wataknya aje yang berbeza. Kelompok sebelah sana mungkin berpihak pada pendapat pak cik Sani dan kelompok sebelah situ pulak, berpihak pada pendapat pak cik Deraman. Sudahnya, dalam pusat pemindahan yang sekangkang kera ni pun boleh bermasam muka dan akhirnya bermusuhan. Sedangkan di padang mahsyar nanti, himpunannya lebih besar lagi. Keadaannya lebih dahsyat lagi. Dan pada waktu tu, orang tak terfikir apa-apa lagi kecuali mahu meraih syafaat Nabi s.a.w. Alangkah bagusnya, dalam pusat pemindahan ni... daripada masing-masing bertelingkah antara satu sama lain, lebih baik ramai-ramai dirikan solat hajat mohon supaya banjir ni surut.” Hujah Mawar, tegas mengusulkan pandangan. Bertambah rasa kagum Ammar terhadap perempuan itu yang tampak seperti gadis kampung biasa-biasa tetapi caranya berfikir tidak sepadan dengan penampilan.

“Mana boleh macam tu!!! Ini tak adil!!!” Baru hendak tenang suasana di dalam pusat pemindahan banjir itu tiba-tiba kecoh semula. Mawar dan Ammar saling memandang sesama sendiri. Kedua-duanya bergegas ke pintu utama. Kelihatan dua orang petugas sukarelawan yang sedang mengagih-agihkan bekalan makanan ringan seperti roti, megi cawan, air kotak dan biskut manis untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Kenapa ni pak cik?” Ammar langsung bertanya. Hairan.

“Bekalan makanan ni semua hasil derma orang ramai kan? Tapi kenapa dicatu-catukan pulak? Mentang-mentanglah kami ni keluarga miskin merempat, dapat layanan serupa banduan penjara!”

“Astaghfirullahalazim...” Ammar boleh pitam melayan kerenah seorang demi seorang mangsa banjir di pusat pemindahan itu. Ada saja cacat cela di mata mereka.

“Kami tak pernah buat catuan, encik. Kami bahagikan sama rata, saksama untuk semua orang. Biar semua dalam dewan ni dapat merasa,”

“Yelah tu. Habis, kenapa kami dapat biskut mayat tapi keluarga yang kononnya ada standard hujung sana tu, dapat biskut manis?” Ammar tergaru-garu kepala. Ridzwan berlari-lari anak apabila mendapati kekecohan yang berlaku. Sebelum terjadi perbalahan, ada baiknya dia masuk campur. Mujurlah dia menyegerakan doa selepas solatnya tadi.

“Betul ke ni, Mustafa?” soal Ridzwan kepada salah seorang anak buah dalam grup sukarelawannya. Lambat-lambat anak muda itu mengangguk.

“Saya tak ada pilihan. Tu keluarga orang besar. Nanti saya diherdik mereka,” takut-takut Mustafa mengakui. Ridzwan berkalih pandang ke arah Ammar dan kemudiannya ke tampang lelaki yang sedang membengkeng di depan mereka itu.

“Beginilah, Mustafa bagi keluarga pak cik ni makanan yang sama kamu bagi kepada keluarga tadi. Kamu kena amanah, Mustafa. Ingat tu,” pesan Ridzwan kepada anak muda itu. Mustafa menundukkan kepalanya. Surut kemarahan lelaki itu, Ridzwan, Ammar dan Mawar pun beredar dari situ. Ketiga-tiga mereka hanya mampu bermuhasabah diri. Nyata, banjir mengajar mereka banyak perkara. Tersurat dan tersirat.

***

Malam itu hujan turun dengan lebat, lebat yang luarbiasa. Bercerau-cerau bunyi bumbung dewan itu ditujah dengan air hujan. Langit pula terasa seperti mahu runtuh dengan dentuman guruh yang tidak berhenti-henti sejak petang tadi. Masing-masing di dalam pusat pemindahan banjir itu kecut perut dibuatnya. Pakat-pakat mereka semua mengaji Quran dan membilang biji tasbih dengan zikrullah.

Ammar sekali lagi menyendiri selepas surah Yasin ditamatkan bacaannya sebentar tadi. Dia memegang bahagian dadanya yang sedari waktu Asar lagi, berdebar-debar tanpa punca. Ubunnya berdenyut-denyut.

“Awak nampak pucat,” Mawar yang masih bertelekung, menegur Ammar yang sedang asyik melayan perasaan.

“Awak suka muncul tiba-tiba,” Ammar mengurut dadanya. Melihat Mawar dalam persalinan putih itu membuatnya tersentak. Tetapi menatap lunak wajah tenang Mawar, jiwanya turut terkena tempias ketenangan itu.

“Terkejut ek! He...he...he...”

“Mahunya tak?”

“Awak tak jawab soalan saya tadi, Ammar. Kenapa awak nampak pucat malam ni?”

“Sebab saya kurang tidur, kurang makan, kurang apa lagi?”

“Kurang asam! He...he...he...”

Ammar membuat muka geram. Pipinya senggaja dikembungkan. Mawar meletus tawanya. Halus dan cukup memikat hati. Ammar terus jerlus ke dasar hati. Rasa fitrah bergelora dalam diam.

“Apa sebenarnya awak cari di sini, Ammar? Saya yakin, awak jadi sukarelawan ni ada sebab awak yang tersendiri, bukan?” Mawar memberanikan diri untuk bertanya. Pertanyaan yang memang menggaru-garu hatinya sejak kali pertama melihat pemuda dari Kuala Lumpur itu. Ammar menarik nafas dalam-dalam. Hawa hujan memenuhi rongga dada.

“Bukanlah yang tinggal tetap itu rehat bagi orang yang berakal, Mawar. Air turut menjadi cemar kerana tidak mengalir. Saya mahu membantu saudara-saudara seagama saya di sini, saya juga mahu bantu diri saya sendiri. Biar saya kuyup, asal bukan iman saya yang mengontang. Inilah jihad kecil saya, insyaALLAH. Sebelum saya pergi,”

“Awak mahu pergi ke mana?”

Ammar memilih untuk berdiam barang sejenak. Ada kesayuan mencucuk-cucuk tangkai hatinya. Mawar tidak mahu memaksa. Suasana menjadi hening seketika. Terasa waktu bergulir begitu perlahan sekali.

“Ada orang lemas! Ada orang lemas!”

Ammar tersentak. Berlari dia ke arah suara yang sedang menjerit cemas. Seorang wanita yang menjadi saksi kejadian, tertuding-tuding jari telunjuknya ke satu arah. Naik turun naik turun nafasnya.

“Kenapa mak cik?”

“Mak cik nampak ada budak lemas. Depan tu longkang besar, mungkin dia tak tahu ada longkang di situ,”

“Dia buat apa di luar?” soal Ammar semula

“Dia mahu selamatkan kucing dekat pagar sekolah sana. Dari sini nampak saja cetek tapi depan pagar tu ada longkang besar. Cepat selamatkan dia!”

“Baik...baik...” Ammar bertawakal kepada ALLAH. Benar, banjir di situ cetek saja, bawah paras lutut cuma. Tetapi tidaklah hingga airnya memasuki pusat pemindahan banjir itu kerana tanahnya lebih tinggi. Perlahan-lahan Ammar mengatur langkah. Air keruh berwarna coklat kekuning-kuningan diredahnya. Semakin jauh ke depan, semakin dekat Ammar ke pagar utama sekolah. Dua ekor anak kucing yang kebasahan, mengiau mengharap belas kasihan. Ammar cuba menggapai binatang itu sebelum kaki kanannya tiba-tiba terperosok ke lubang dalam yang tidak terzahir di penglihatan.

Mawar tergamam. Batang tubuh Ammar tenggelam tidak timbul-timbul!

***

Pertama kalinya matahari galak menyinar pagi itu. Tiada lagi awan tebal hitam yang menyelubungi dada langit. Tiada lagi gerimis diikuti hujan lebat yang turun mencurah-curah. Alhamdulilah. Menurut laporan Polis Diraja Malaysia, Pahang, beberapa jalan utama negeri sudah mula dibuka untuk dilalui kenderaan berikutan banjir yang semakin surut di beberapa buah daerah di negeri Pahang. Mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat-peringkat.

Pun begitu, hujan dalam hati masih belum reda apabila melihat sekujur jasad tidak bernyawa yang sudah siap dimandikan dan dikafan, diusung ke tanah perkuburan. Sebak menyelubungi suasana. Dia cuba mencari hikmah, andai itu yang ALLAH mahu tunjukkan dalam kesenianNYA yang cukup halus sekali.

“Banjir dah surut. Apa perancangan kau lepas ni?”

“Balik ke Kuala Lumpur semula. Teruskan sesi kemoterapi aku yang entah bila akan berkesudahan...”

“Bertabahlah, aku doakan kau cepat sembuh...”

Ammar hanya menganggukkan kepala. Untuk tersenyum, tidak pada saat ini. Jiwanya tersayat sedih. Sebelum berangkat pulang, sekali lagi dia menoleh ke arah batu nisan yang bertaburan kelopak-kelopak bunga mawar merah di permukaan tanah pusara. Airmata lelakinya menghujani pipi untuk sekalian kali.

“Awak mahu pergi mana? Boleh saya ikut?” Terngiang-ngiang lagi pertanyaan Mawar kepadanya beberapa ketika sebelum arwah bertemu Tuhannya. Ketika itu, Mawar malu-malu ulahnya. Ammar terasa seperti hendak meraung mengingatkan itu semua.

“Berseru seorang penyeru di dalam syurga bahawa kamu akan selalu sihat dan tidak akan jatuh sakit selama-lamanya, akan muda dan tidak akan tua selama-lamanya, akan berasa senang gembira tidak susah atau bosan selama-lamanya,”

“Maksud awak, syurga ALLAH?” Mawar dengan mudah dapat menangkap apa yang cuba disampaikan lelaki itu. Ammar menganggukkan kepala.

“Saya dah tak tahan menderita sakit, Mawar. Saya mahu sihat selama-lamanya...”

“Awak sakit?” Mawar sayu hatinya tiba-tiba. Kasihan Ammar. Melirih batinnya. “Cuba awak pandang luar sana, apa yang awak nampak?” Mawar cuba mengentalkan semangatnya dengan senyuman di wajah.

“Banjir... airnya coklat kekuning-kuningan... kotor...” jawab Ammar jujur. Dia tidak mengerti akan signifikan kepada pertanyaan perempuan itu.

“Dunia, begitulah sifatnya. Dan sifat syurga ALLAH yang dijanjikan untuk orang yang bertakwa, adanya sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya dan sungai-sungai dari arak yang lazat bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang suci bersih. InsyaALLAH, syurga ALLAH akan terbuka pintunya untuk seorang pemuda yang baik seperti awak, Ammar.”

Mawar mengukir senyuman paling indah. Ammar benar-benar tersentuh. Airmatanya menitis terharu.

“Terima kasih, Mawar kerana menyelamatkan aku. Tunggu aku di syurga...” bisik Ammar pada angin yang setia mendengar.

TAMAT

Nota penulis: Bersama-sama kita mendoakan banjir yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur akan cepat surut. InsyaALLAH, doa itu senjata orang mukmin.

<img src="https://fbcdn-sphotos-d-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/q71/s720x720/1467231_703133969710834_975681318_n.jpg">

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.