Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,354
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
31


      “Bos, jumlah kontrak untuk bekalan perabot ini agak besar.  Mr Ng hendak berjumpa dengan Bos dulu sebelum dia boleh setuju terima kontrak ini.  Mungkin dia mahu deposit atau jaminan bayaran daripada kita dahulu,” suara Arip berkumandang di pembesar suara telefon bimbit.

      Pagi – pagi lagi aku sudah disajikan dengan perkembangan terkini mengenai urusan syarikat.  Set televisyen hotel masih memaparkan gambar – gambar berita tempatan berulang kali.  Diselang – selikan dengan imej pemberita yang bersuara bisu.  Hanya bibir merahnya yang bergerak – gerak bercerita.  Siaran Sky News.  Aku tidak lagi dapat menumpukan perhatian lantas kucapai set kawalan jarak jauh dan menutup siaran sekaligus.

      “Jumlah kontrak hanya tiga juta.  Berapa deposit yang dia mahu?  Bukankah dia sudah biasa berurusan dengan syarikat Dato’ Megat?” Aku menyilangkan tangan tanda kurang bersetuju dengan permintaan remeh - temeh sebegitu.  Masih lagi dalam baju tee yang kupakai tidur malam tadi.  Sudahlah tiba di lapangan terbang London Stansted lewat, terpaksa pula berkejaran menaiki keretapi ke stesen London Euston selepas itu.  Hampir pukul 12 tengah malam baru aku sempat daftar masuk ke Ibis Hotel.  Mujur setiausahaku cerdik mengaturkan penginapan berdekatan dengan stesen keretapi awam yang utama seperti ini.  Tidaklah aku berkeliaran di lorong – lorong kota London dengan beg galas yang berat bersendirian pada tengah malam buta.

      “Ya, Bos.  Itu sebabnya dia minta jaminan bayaran.  Katanya syarikat Dato’ Megat masih belum melunaskan bayarannya untuk bekalan sebelum ini,” nada suara Arip seakan malas berbaur geram.  Padanya ini berpunca daripada orang – orang yang sama yang tidak tahu menguruskan kewangan syarikat sendiri.

      “Kita sudah dapatkan semua dokumen perolehan daripada Jaafar atau belum?  Dia sudah tiada, bukan?”

      “Ya, Bos.  Dia sudah lari.  Tapi aku sempat berjumpa dengannya sehari sebelum itu.  Failnya sekarang berada di pejabat kita.”

      “Kenapa kau tak pukul saja dia Arip?  Budak tu bawa masalah.  Dari mula lagi aku dah tak berkenan,” suaraku mendadak keras.  Entah pada siapa kutujukan rasa kesal ini, aku kurang pasti.

      “Mana aku tahu dia nak lari, Bos.  Pakai segak – segak macam itu, mengarah orang sana – sini.  Dato’ Megat pun angkat dia tinggi – tinggi, aku ingatkan dia ada saham dalam syarikat Dato’.”

      Aku mendengus.  Nak luah geram sekarang pun dah tak berguna.  Masalah yang sedia ada ini pun tidak selesai juga.  Tanganku mencekak dahi.  Mencongak.  Membilang.  Mengatur.  Menyusun buah fikiran.

      “Tak mengapa, nanti aku bincang dengan bahagian kewangan.  Mungkin kita boleh beri jaminan bayaran bank.  Asalkan dia boleh selesaikan penghantaran sebelum tarikh pemeriksaan dengan Kementerian,” ujarku beberapa saat kemudiannya.

      “Baik, Bos.  Memang menurut Mr Ng, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat penghantaran.  Cuma dia perlu berjumpa dengan Bos.  Katanya dia tidak mahu lagi berurusan dengan Dato’ Megat,” ulang Arip sekali lagi.  Masih menekankan pentingnya untuk aku bertemu dengan pembekal bagi memeterai kontrak ini.  Aku tahu jumlah ini agak besar bagi pembekal tersebut untuk aku hubungi menerusi talian telefon jarak jauh sahaja.  Dia mahukan kepastian dengan secara bersemuka.  Berjabat tangan.  Mengikrarkan kepercayaan bahawa dia tidak akan ditipu lagi seperti sebelum ini.

      “Aku ada hal di sini, Arip.”

      “Itulah, Bos.  Pekerja kita di pejabat ini semua tertanya – tanya, ‘Bos pergi berkahwinkah, cuti lama – lama ni’.”  Sempat juga Arip berseloroh.  Aku tersenyum menahan ketawa.  Sangkaan itu tidaklah jauh meleset.  Kalau ikutkan hati yang meluap – luap dengan rasa ghairah malam kelmarin, menikah sudah aku hari ini.  Mujur tidak ada pejabat Kadi di St Andrews.

      “Urusan perniagaan, Arip.  Ada mesyuarat di London minggu ini.”

      “Aku dengar Dato’Megat pun akan ke London minggu ini.  Mesyuarat dengan Bos kah?”

      Aku menggeleng.  Merasa pelik kerana berita itu tidak dikhabarkan secara rasmi pun kepadaku.

      “Aku tak dengar cerita pula.  Tak mengapalah, kau selesaikan apa yang patut dengan Mr Ng.  Suruh dia maklumkan mengenai permintaan jaminan bayaran itu secara bertulis segera.  Nanti kita akan proses sewajarnya.  Sampaikan juga aku akan berjumpa dengannya selesai urusanku di sini,” aku mengakhiri perbualan dengan Arip lantas mematikan talian.  Aku kembali membaringkan badanku di atas katil.

      Terkebil – kebil aku menatap siling bilik yang putih.  Seolah – olah pandanganku bisa menembus ke lantai tingkat atas dan lantai berikutnya.  Malah lantai berikutnya lagi sehingga pecah melubangi bumbung dan mencapai langit.  Entah berapa kali aku melepaskan keluhan yang panjang pun aku tidak sedar.  Fikiranku sibuk menerawang ke dalam lipatan silam dalam peti ingatan, cuba mengenal pasti pada titik manakah aku telah cuai dan membiarkan masalah sebegini terus melarat sehingga menjadi genting seperti ini.

Previous: 30
Next: 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.