Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,963
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
32


      Bunyi kenderaan yang bersimpang – siur di luar bangunan menerjah ke telingaku.  Lantas mataku teralih ke jendela bilik yang separuh terbuka.  Sahaja aku buka selepas menunaikan solat Subuh tadi.  Membiarkan angin segar kota London menolak masuk dan berkitar menggantikan udara yang berkuap di dalam bilik sejak malam tadi.  Terasa sunyi bilik ini dibatasi jendela tersebut.

      Terimbas kenangan bersama Amelia pagi semalam di St Andrews.  Aku tidak menyedari pukul berapa aku terlena di sofa panjang setelah Amelia tertidur di bahuku malam sebelumnya.  Itupun kerana terleka melihat dia tersenyum dalam tidurnya.  Mimpi apa barangkali, aku tertanya dalam hati.  Dan hanya bila kakaknya, Nadia pulang lalu mengejutkannya, baru aku turut sama terjaga.  Sambil terpisat – pisat aku memikirkan tempat penginapan yang masih dibuka pada waktu itu.  Amelia masuk membawa selimut untuk aku tidur di sofa ruang tamu.  Aku hanya tersipu.  Segan rasanya menumpang di asrama pelajar.  Nadia langsung tidak berkata apa – apa, hanya merenungku tajam dari sudut matanya.

       Pagi esoknya itu Amelia menemaniku berjalan menuju ke hentian bas yang terdekat.  Langkah kami beriringan disapa hembusan bayu pagi yang dingin.  Matahari sedang menguak terbit.  Burung – burung terapung – apung di udara.  Rumput yang tadinya gelap kini menghijau.  Disinari cahaya yang mengintai daripada lapisan awan tebal.  Masih basah berembun dipijak kasut Amelia.  Gugusan awan pula berarak perlahan.  Memberi ruang kepada matahari untuk menyimbahkan sinarnya pada bandar yang masih lena ini.

      Amelia tersenyum simpul apabila kami tiba di hentian bas yang sepi.  Hari masih awal.  Sungguhpun begitu beberapa kenderaan telah mula lalu – lalang di atas jalanraya.  Asap putih berkepul – kepul keluar dari ekzos yang sejuk.

      “Kenapa Amelia?” tanyaku kehairanan.  Aku masih teringat wajahnya yang tersenyum saat kepalanya terlentok di bahuku.

      Dia menggelengkan kepala.  Tersenyum lagi menjadikan aku lebih tekad untuk mengetahui.

      “Nadia kata raut muka awak ini garang macam kucing saya,” dia menjeling padaku.  Barangkali cuba meneka reaksi daripadaku.

      Aku mengangguk.  Itu bukanlah kali pertama aku dengar.  Kebiasaannya itulah tanggapan pertama yang singgah bagi mereka yang tidak mengenaliku.

      “Muka sahaja garang.  Hati baik.”  Aku membela diri seolah – olah Nadia ada di sini untuk mendengar.

      “Tulus ikhlas,” tambahku lagi.  Amelia ketawa kecil.

      Beberapa orang pelajar menaiki basikal melintasi hentian bas ini.  Mereka sedikit pun tidak mempeduli.  Sibuk berkejar ke kampus agaknya.

      “Tetapi yang berwajah lembut dan bermata redup macam Amelia ini, berbeza pula.  Selalunya keras hati.  Betul tidak?” aku bertanya separuh mengusik.  Separuh ingin tahu.

      Amelia terdiam sejenak dan mengerutkan keningnya.  Mungkin cuba memastikan.  Memikirkan kesahihan ayatku.

      “Bergantung kepada keadaan.  Selalunya saya dengar dan turutkan sahaja.  Tetapi ada sesetengah perkara tidak boleh dipaksa.  Saya ada pendapat dan kehendak sendiri yang perlu diambil kira.”  Jelas Amelia sambil menyeka rambutnya ke belakang telinga.  Suaranya sahaja yang lembut tetapi nadanya tegas.

      Aku sekadar mendengarkan.  Mataku terpaku pada wajah gadis ini yang menawan seakan mencabar keindahan mentari pagi yang bersinar.  Teringat harum rambutnya yang kucium semalam.  Kehalusan kulitnya dan jari – jemari yang kuelus sehingga terlena.  Kelembutan sepasang bibir yang merah itu.  Pagi ini kami menyimpan tangan masing – masing di dalam saku kerana kesejukan.  Aku ingin menyentuh gadis ini sekali lagi sebelum pergi.

      “Saya perlu pulang sekarang Mamat.  Alya sedang menunggu untuk membawa kami bersarapan pagi di Club House.  Uncle Dollah dan Aunty Norma menanti kami di sana,” dia bersuara sambil menatap wajahku.

      Aku tidak dapat menyembunyikan kilasan rasa kecewa yang bertampuk di hati apabila dia berkata begitu.  Namun bibirku gigih mengukir senyuman sambil mengangguk tanda setuju.  Tanda membenarkan.  Apa sahaja tanda asalkan bukan rasa terkilan.  Atau riak wajah garang seperti yang disebutkan oleh kakaknya.  Tanganku masih berteleku di dalam saku jaket kulit.  Menyimpan rahsia – rahsia hati yang tidak terluah pada saat ini.

      Amelia masih berdiri di hadapanku.  Entah kenapa sepasang mata yang bundar itu memandangku dengan sedikit kekok.  Seolah malu dalam menyampaikan sesuatu.  Tangannya sudah berada di luar saku dan tergantung di sisi kot labuhnya.  Memandangku masih.

      Bagai terpanggil aku melangkah ke arahnya tanpa sedar dan mendakap tubuh gadis yang langsing ini.  Kedua – dua tangannya merangkul leherku dengan erat.  Kehangatan tubuhnya menular ke seluruh anggota tubuhku menyingkirkan rasa dingin yang menyucuk.  Bau harum terus menusuk dan membuahkan rasa di dalam jiwa.  Terasa segar semula bait hidupku.  Semangatku bangkit berkobar - kobar.  Ingin menjulang ke angkasa.

      Entah berapa lama aku mendakap Amelia di hentian bas itu, aku tidak pasti.  Hanya bila terdengar bunyi kenderaan yang melintasi jalanraya ini, barulah aku tersedar dan merenggangkan tubuh kami.  Kami berpandangan tanpa berkata apa – apa.  Sejenak.  Dua jenak.  Sehingga dia tersenyum sendiri dan berundur.  Tangannya kembali dimasukkan ke dalam saku kot labuh.

      “Nanti saya hubungi Mamat.”  Aku mengangguk.  Memerhatikan dirinya dengan seribu keinginan yang bertalu – talu.

      “Jaga diri,” ujarnya lagi.  Tersenyum simpul sebelum melangkah pergi.

      Amelia terus berjalan menuju ke simpang jalan utama untuk menyeberangi lalulintas menuju ke laluan tepi pantai kembali ke asrama East Shore.  Langkahnya laju dan ringan.  Setiap jejaknya tertulis arah dan tujuan yang khusus.  Membawa kelembutan dan kehangatan yang sebentar tadi menjadi milikku.

Previous: 31
Next: 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.