Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,360
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
7


      Rupanya keretapi sudah bergerak meninggalkan stesen.  Aku tidak sedar pun bila keretapi ini memulakan perjalanannya.  Di luar kaca tingkap yang lebar ini hanyalah suasana malam yang gelap.  Kadangkala disertai barisan – barisan warna terang sewaktu melintasi perumahan di tepi landasan.  Aku mengagak keretapi ini masih lagi berlarian dalam sekitar lingkungan luar kota London atau Greater London.

      Aku berpaling semula kepada gadis di sebelahku.  Masih menunggu jawapan daripadaku.

      “Saya bukan seorang pelajar,” jawabku.

      Dia mengamati wajahku sekali lagi.  Kemudian meneliti pakaianku dari atas ke bawah untuk memastikan.  Aku sedar mungkin kerana aku berpakaian serba kasual dan berseluar jeans lusuh menyebabkan dia menyangka begitu.  Rambutku juga tidak dipotong pendek dan kemas seperti orang – orang yang bekerja di pejabat.

      “Saya sudah bekerja.  Sekarang dalam perjalanan melawat adik di Edinburgh.  Isterinya sedang menuntut di sana,” ujarku panjang – lebar.  Biarpun soalannya pendek sahaja.

      “Kakak saya pun pernah menuntut di Edinburgh University.  Dia baru sahaja tamat pengajian tahun lepas.  Sekarang dia bekerja di Edinburgh,” ujarnya sambil bersandar pada kerusi.

      “Jadi sekarang ini awak sedang melawatnya?” tanyaku dengan soalan yang bodoh.  Sungguh tidak mencerminkan usiaku yang sebenar.  Patutlah dia menyangkakan aku masih bersekolah lagi.

      “Kami merancang untuk bercuti bersama – sama seminggu dua.  Tidaklah lama.  Tetapi mungkin ingin berjalan – jalan di sekitar wilayah Scotland.”

      “Jadi kakaknya ada di sini juga,” aku membuat kesimpulan.  Patutlah dia merasa selesa hidup di perantauan.

      Dia memandangku tersenyum.  Sekali lagi menguakkan rambutnya dan menampakkan batang lehernya yang jinjang.  Pada lehernya terdapat tahi lalat manis.  Aku menjadi ralit meneliti kehalusan kulit lehernya dihiasi seutas rantai emas yang terkalung di kelilingnya.  Terasa sungguh dekat jarak tubuhnya.  Harum.  Aku menahan nafas dalam diam.  Menundukkan pandangan.  Berpaling dari pesona yang hanya sejengkal dua cuma dari bibirku.

      “Berapa ramai adik – beradiknya?” tanyaku setenang yang boleh.  Perasaan di dalam masih lagi sabung – menyabung seperti badai petir langit hitam yang menyinga.

      “Saya ada empat orang adik – beradik.  Yang pertama dan kedua adalah lelaki.  Kemudian kakak dan saya yang bongsu,” ujarnya.

      “Berapa ramai ada di sini?”

      “Hanya saya dan kakak.  Yang lainnya bersama mama dan papa di Petaling Jaya.”  

      “Ibu bekerja?”

      “Mama tidak bekerja.”

      Aku membuat telahan bapanya mungkin seorang yang berpangkat tinggi atau mempunyai pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan.  Agaknya seorang ahli akademik yang disegani di universiti tempatan.

      “Bapanya bekerja di mana?”

      “Papa bekerja di Hospital KPJ,” ujarnya.  Menyulam intonasi manja pada sela bicaranya.  Mungkin dia anak kesayangan bapanya.

      “Memang keluarganya berasal dari Selangor?  Kampung orang tuanya di mana?”

      “Mama berasal dari Singapura.  Keluarga sebelah mama masih lagi berada di sana.  Papa berasal dari Johor.  Tetapi dilahirkan di Pulau Pinang.  Kemudian datuk berpindah ke Johor semasa papa masih kecil lagi,” tangan gadis itu turut melayang – layang seperti melakar perjalanan di atas peta semasa bercerita.

      “Pulau Pinang di mana? Saya juga pernah bersekolah di sana,” tanyaku.

      “Saya tak ingat,” jawabnya setelah diam berfikir. “Tetapi seingat saya datuk pernah berkhidmat dalam rejimen tentera British di sini.”

      Di sini? United Kingdom?

      Gadis ini bukan calang – calang orang rupanya.  Susur galur keluarganya jauh berbeza daripada keluargaku.  Aku hanya dibesarkan di kampung ibu.  Bersama ayam, lembu dan kambing.  Dan bila hujan turun, kambing – kambing semuanya berlari ke bawah rumah.  Meninggalkan tahi mereka yang bulat – bulat.

      “Saya terlupa nama awak tadi?”

      Tiba – tiba dia bertanya sambil menyentuh lengan baju panasku.

      Aku menjadi tergamam sebentar.  Aku memang sengaja tidak memberitahu namaku padanya.  Aku tidak tahu sama ada dia sudi berkenalan denganku awal tadi.  Atau mungkin selepas itu aku menjadi leka dengan perbualan kami.

      “Mamat,” jawabku pendek.

      Tiba –tiba dia tergelak besar sambil menutup mulutnya dengan jari – jari yang runcing dan halus.  Beberapa helai rambut panjang jatuh di wajahnya sewaktu bahunya bergoncang melepaskan tawa.  Wajahnya begitu hampir denganku.  Seperti anak kecil, dia seolah tenggelam dalam keseronokan. 

      “Sukanya dengar nama saya,” aku tersenyum memandangnya.

      Dia kembali reda.  Senyuman manis terukir semula di bibirnya.  Rasa kekok dalam diri ini beransur hilang.

      “Nama awak pula siapa?” tanyaku.

      “Amelia,” jawabnya lembut.  Secantik sepasang mata yang bundar itu.

      Aku mengangguk perlahan.

      Ain – mim – ya – lam – ya – ha.  Aku mengeja dalam hati.

      “Jadi bagaimana agaknya penuntut – penuntut phD di Cambridge menghabiskan masa lapang?” Aku ingin tahu kehidupan seharian gadis ini.  Setiap selirat dan untaiannya.

      “Saya sering ke London.  Meluangkan masa bersama kawan – kawan.  Kadangkala menonton teater muzikal di West End,” jawabnya sambil tersenyum.

      “Teater muzikal kegemaran?” tanyaku.

      “The Witches of Eastwick,” ujarnya.  Terpalit bunyi girang di hujung baris ayatnya.

      Aku tidak tahu – menahu mengenai teater tersebut.  Malah aku tidak pernah menonton teater muzikal.  

      “Awak minatkah menonton teater muzikal?” tanyanya apabila aku mendiamkan diri.

      “Saya boleh cuba untuk berminat,” jawabku dengan jujur.

      Dia ketawa.  Tentu sekali menyangka jawapanku sekadar menjaga hatinya.  Namun aku tidak pernah berlaku sesopan itu.

      “Meluangkan masa bersama kawan – kawan? Atau teman istimewa barangkali? Sepanjang perbualan kita, saya belum lagi mendengar awak berbicara mengenai teman istimewa,” aku merenung matanya.

      “Sudah punya teman istimewa?” tanyaku lagi.  Kali ini lebih berani.

      Aku tidak tahu mengapa aku perlukan kepastian itu.  Mengasak terus batas kesopanan perbualan dengan gadis ini.  Apa sahaja rahsia yang dikulumnya ingin aku singkap kala itu.

      Dia diam.  Mengalihkan pandangannya daripadaku.

      Aku merasa terusik.  Sangkaan demi sangkaan menerpa ke benakku.

      “Awak sudah bertunangkah?” tanyaku sambil memandang tepat pada jari – jarinya.  Aku teliti satu – persatu jari – jari yang runcing itu namun tidak pula tersemat sebarang bentuk cincin.  

      “Tidak, saya belum bertunang,” jawabnya segera memandangku.

      “Kami baru berkawan.  Dia pun masih lagi menuntut,” jawabnya perlahan.  Suaranya seakan berbisik.

      “Pengajian doktor falsafah juga?”

      Dia mengangguk.  Menguak rambut yang jatuh di sisi wajahnya.

      “Berapa umurnya?” suaraku menjadi sedikit keras tanpa kusedari.  Aku merenung dalam– dalam setiap riak di wajahnya.

      “Dia lebih kurang tua enam bulan daripada saya,” matanya menjeling padaku.

      “Bulan berapakah itu?” lanjur aku bertanya.

      “Bulan dua belas.”

      Aku berhenti bertanya.  Aku tidak lagi bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut tentang teman istimewanya.  Ada perasaan yang tidak enak menghimpit hatiku.

      “Jadi awak lahir pada bulan tujuh?” aku menukar tajuk perbualan.  

      Dia mengangguk.

      “Awal atau akhir?” tanyaku lagi.  

      “Pertengahan.”

      “Lima belas haribulan?” tanyaku seperti kehairanan. 

      “Dua puluh tujuh,” jawabnya.

      Matanya merenung tepat ke mataku.  Mungkin dia sedang meneka apa yang bermain di fikiranku. 

      “Tarikhnya sama seperti tarikh hari lahir arwah ibu angkat saya,” ujarku terkenang sebentar.

      “Oh, I am sorry.  Apa yang terjadi?” dia bertanya lembut.

      “Dia menghidap kanser.  Tetapi sudah lama meninggal.  Saya pun sudah tidak berapa ingat wajahnya.  Cuma senyumannya.  Dan suaranya kadang – kala terngiang apabila saya teringat padanya,” aku cuba mengingat kembali.  Sudah banyak yang aku lupakan.  Semuanya dikunci rapat - rapat dalam peti kenangan silam.

      Sepasang mata yang bundar itu mengalah lembut.  Tiada lagi soalan yang bertubi – tubi dari mulutku.

      Keretapi ini telah berhenti dua kali di stesen lain selepas meninggalkan London.  Selepas ini keretapi akan berhenti seterusnya di Newcastle.  Tinggal hanya satu jam setengah lagi baki perjalanan.  Baki masa yang terluang untuk aku habiskan bersama Amelia.

      “Mamat kerja apa?” tanyanya.

      “Saya bekerja di syarikat pembinaan.”

      “Sebagai?” tanyanya lanjut.

      Aku membayangkan apa reaksi gadis ini sekiranya aku menjawab sebagai buruh kasar.  Agaknya dia akan terguling – guling ketawa di atas lantai gerabak ini.  

      “Pengarah projek.  Kerja saya pegang rotan.  Kalau malas saya bagi sedas, kalau rajin saya potong kambing,” terangku.

      Dia ketawa lagi.  

      “Saya sangkakan Mamat juga penuntut di sini,” ujarnya.

      “Saya sudah tua, Amelia.  Sudah bekerja hampir lima belas tahun,” aku berterus – terang.  Selama ini aku sering mengelak daripada bercerita kisah – kisah peribadi dan zaman silam.  Aku tidak tahu ilmu apakah yang digunakan oleh Amelia sehingga menyebabkan aku merasa selesa untuk meluahkan segala – galanya pada dia.

      “Berapa umur Mamat?”

      “Minggu depan saya akan berumur tiga puluh enam tahun.”  Aku pun baru tersedar harijadiku akan tiba tidak lama lagi.  

      “Yakah?” Amelia sedikit terperanjat.

      “Selamat Hari Jadi,” ujarnya kegembiraan.  Lantas dia menyuakan kotak puding yang disimpannya semenjak hidangan snek tadi kepadaku. “Nah.”

      Aku tergelak melihat perangainya seperti kanak – kanak kecil yang manja.  Aku menggeleng dan menolak pemberiannya tanpa sebarang alasan.

      Wajahnya terus berubah.  Menyembunyikan rasa tersinggung.  Amelia kembali mengukir senyuman dengan sopan dan menyimpan kotak puding itu semula.

      Aku hanya diam mengamati riak wajahnya.  Biarpun secara jujurnya perutku merasa amat kelaparan, namun debaran kencang di hatiku menyebabkan aku hilang selera makan.  Kenyang barangkali dengan senyuman Amelia sepanjang perjalanan ini.


Previous: 6
Next: 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.