Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,354
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
16


     Mata Zahrane yang sedikit layu terbuka luas semula apabila terdengar telefon bimbitku berbunyi.  Paparan skrin pada telefon menunjukkan penerimaan pesanan ringkas.  Aku hairan siapa pula yang menghubungiku pada waktu ini.  Sudah hampir tengah malam waktu Malaysia.

     ‘Hai Mamat.  Amelia di sini.  Maaf lewat menghubungi.  Mamat apa khabar?’

      Aku tergamam sebentar.  Jantungku terasa berhenti berdegup.  Antara percaya dan tidak.  Aku baca berkali – kali menatap paparan skrin tersebut.

      Dadaku terasa ringan seketika ibarat melepaskan beban yang bertinggung selama ini.  Hatiku bagaikan ditujah bertubi – tubi dengan rasa girang.  Ingin sahaja aku melompat – lompat sepertimana aksi Haziq sewaktu menonton televisyen pagi tadi.  

      Aku mengambil nafas seketika.  Menunggu Zahrane menghabiskan minuman dan menyerahkan botol susunya padaku.  Dia bangun dan merangkak perlahan – lahan meninggalkanku.  Mungkin dia turut sedar aku sedang mengawal perasaan yang menari – nari di dalam dada ini.  Telefon bimbit kucapai semula lalu terus menaip.

      ‘Hai Amelia.  Saya sihat.  Amelia bagaimana?

      Tidak perlu rasanya aku beritahu betapa gelisahnya hari – hari yang berlalu menunggu kemunculan sepotong ayat daripadanya walaupun baru sahaja tiga hari berlalu sejak pertemuan kami di atas keretapi.

       ‘Saya pun sihat alhamdulillah.  Mamat berada di mana sekarang?’ aku tidak perlu menunggu lama untuk menerima balasan pesanan ringkasnya.  Mungkin dia juga sepertiku sedang menatap skrin paparan telefonnya.

      ‘Saya masih di Edinburgh.  Di rumah adik.  Amelia masih ada di Edinburgh lagi kah?

      ‘Ya.  Saya masih berada di sini dengan kakak.

      Pelbagai soalan tersusun di benakku.  Aku terasa ingin sahaja mendail nombor telefon yang terpampang itu dan mendengar suaranya.  Rasa seperti tidak puas menaip ayat – ayat pendek dan ringkas sahaja.  Kalau boleh aku ingin terus pergi menemuinya memandangkan dia masih berada di Edinburgh.  Bagaikan tiada esok pula.

      Perlahan - lahan aku menarik nafas panjang.  Dada ini terasa berdebar – debar.  Perbualan kami berdua terhenti.  Terasa segan pula untuk bertanya lanjut.  Aku memutuskan untuk menangguhkan perbualan sebentar untuk membantu Ila apabila melihat dia sibuk menguruskan anak – anaknya.  Tambahan pula Zharif masih belum pulang dari kerja.

      Hanya selepas menunaikan solat jama’ Maghrib dan Isya’, dan setelah budak – budak ini semuanya masuk tidur baru aku kembali mencapai telefon bimbit.  Kala itu aku sudah berbaring di atas sofa dan lampu ruang tamu pun telah dimatikan.  Tinggal hanya cahaya lampu jalan dari luar yang menembus lembut dengan rona jingganya.  Suasana di luar bangunan begitu sepi.  Semuanya sudah berselubung dalam selimut tebal masing – masing mencari rehat.  Mencari hangat.  Melainkan bunyi satu dua buah kenderaan yang masih melintas di jalan luar.

      Aku mengumpulkan segala keberanian dan menaip pesanan ringkas semula.

      ‘Memandangkan Amelia berada di Edinburgh, mungkin kita boleh berjumpa sebelum penerbangan pulang saya minggu hadapan.  Lagipun saya belum habis melawat sekitar Edinburgh.

      Pesanan ringkas dihantar.  Aku merenung skrin paparan menunggu jawapan.  Sedetik, dua detik.  Entah berapa detik sehingga aku tertidur.  Aku tersedar sejam kemudian apabila pintu flat dibuka.  Zharif baru sahaja pulang dari kerja.  Dia menyangkutkan jaketnya pada belakang kerusi makan dan menyapaku sebentar sebelum memasuki biliknya.  Barangkali dia keletihan.

      Aku menatap paparan skrin telefon yang masih gelap dan kosong.  Apakah Amelia masih tidak membaca pesananku.

      ‘Boleh.  Saya pun ingin melawat Edinburgh juga.

      Bingkas aku bangun sambil mengangkat tangan ke udara.  Menumbuk ke langit.  Aku terasa seperti juara.  Berdiri tegak dengan kedua - dua belah tangan menggapai tinggi.  Seperti iklan Milo yang selalu kutonton dalam peti televisyen sewaktu kecil dahulu.  Tegar mengawal diri agar tidak terlepas rasa seronok itu dari mulutku di tengah – tengah malam yang sunyi ini.

      Pesanan ringkas daripada Amelia masuk lagi.

      ‘Mamat hendak berjumpa di mana? Kalau boleh kita pergi makan sekali.

      Aku tersenyum simpul.  Apa jenis lelaki pula aku ini kalau tidak membelanjanya makan semasa janji temu.

      ‘Saya berjanji Amelia tidak akan kelaparan.

      ‘Hahahaha...’ Aku dapat membayangkan tawanya.

      ‘Bila kita boleh berjumpa minggu depan?’ tanyaku mengharap.

      ‘Boleh kita berjumpa pada hari Ahad ini? Minggu depan saya ada urusan dengan kakak.’  Balas pesanan ringkas daripadanya setelah terhenti sejenak.

      Aku menepuk dahi.  Baru sahaja aku berjanji dengan Omar dan Ibrahim untuk mengikuti mereka ke Glen Nevis pada hujung minggu.

      ‘Saya mungkin tiada di Edinburgh pada hari Ahad ini.’  Aku menaip perlahan.

      ‘Yakah?’ Dia meletak emoji muka sedih.  Aku tersenyum sendiri melihat reaksi emoji itu.

      ‘Bagaimana pada hari Sabtu?’ pesanan ringkasnya kuterima lagi.

      ‘Saya keluar dari Edinburgh pada hari Sabtu.  Mungkin pulang pada hari Isnin.’  Aku turut merasa buntu dan serba – salah.  Barangkali boleh sahaja aku batalkan rancanganku dengan Omar dan Ibrahim.  Pasti mereka memahami betapa gentingnya situasiku ini.

      ‘Saya mempunyai urusan pada pagi esok di Harrison Road.  Mungkin kita boleh berjumpa selepas itu.’  Pesanan ringkasnya masuk setelah beberapa minit kemudian.

      Aku langsung tidak tahu di mana kawasan yang disebutkan itu.  Entah jauh atau dekat.  Yang penting esok aku berpeluang untuk menemuinya.  Namun esok adalah hari Jumaat.

      ‘Saya boleh berjumpa Amelia esok.  Cuma mungkin selepas selesai solat Jumaat.

      ‘Baiklah.  Kita jumpa esok.  Selamat malam.

      ‘Selamat malam.’  Bait - bait huruf kususun satu - persatu.  Seakan ingin memperlahankan waktu. 

      Hatiku yang tadi berdebar – debar kini ibarat terapung – apung dalam mimpi yang menyenangkan.  Malam ini persoalanku selama beberapa hari ini telah terjawab.  Wajah Amelia kembali terbayang di ruang mata.  Mengukir senyuman di bibirku sehingga aku terlena sendiri.



Previous: 15
Next: 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.