Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
101,119
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Faizal menarik nafas panjang. Kenangan bersama Amira Saira telah lama berlalu dan kini bayangan wajah bapanya pula muncul di skrin fikirannya. Walau telah lama lelaki itu bersemadi di liang lahat namun memori yang ditinggalkannya agak sukar dikikis. Memang benar kata bapa Aswazi, mereka berdua mempunyai pertalian darah dan dia sendiri wujud dari air mani bapanya. Itu sesuatu yang dia tidak dapat nafikan kesahihannya. Oleh kerana itu, walau betapa dalam perasaan marahnya terhadap lelaki itu, dia tetap tidak dapat membuang lelaki itu dari dalam dirinya dan dia akan setiasa mengingati lelaki itu kerana nama lelaki itu akan sentiasa dibawanya bersama sampai bila-bila. Dia adalah Faizal bin Osman. Sampai bila-bila pun nama “Osman” itu akan kekal bersama-samanya.

Faizal menoleh ke kiri meja. Satu-satunya potret mereka sekeluarga yang dirakamkan sewaktu majlis perkahwinan maksu terletak di atas meja sisi berdekatan komputer. Kenangan pahit bersama bapanya bertamu lagi di ruangan fikirannya.

“Apa lagi yang dah kau buat kat sekolah ha Faizal? Anak tak guna. Tak habis-habis menyusahkan mak bapak!!!” tengking Osman apabila kelibat Faizal muncul di muka pintu.

Faizal yang masih lagi keletihan setelah berbasikal pulang dari sekolah amat terkejut mendengar suara bapanya yang kuat. Apa kena pulak orang tua ni....rungut Faizal dalam hatinya. Dia tidak terus masuk ke rumah tetapi hanya duduk di muka pintu rumah. Dia langsung tidak menyangka bapanya akan balik ke rumah hari ini setelah lebih dua minggu menghilang tanpa khabar berita. Nasib baik emak bekerja sebagai seorang kerani di pejabat sekolah. Walaupun bapa mereka tidak memberikan wang untuk berbelanja namun gaji emak masih mampu menyara kehidupan mereka. Kadang-kadang Faizal rasa lebih bagus sekiranya bapanya tidak balik langsung ke rumah mereka. Kalau balik pun hanya menyakitkan hati saja.

“Oi! Aku ni cakap dengan kamu. Bukan cakap dengan dinding!” tengking Osman lagi sambil bercekak pinggang. Perutnya yang besar bergoyang-goyang apabila dia menjerit begitu. Berdesing telinga Faizal menangkap butir-butir kata dari bapanya.

‘Ah, kan senang kalau mak ada. Tentu mak akan membantunya di saat ini,’ bisik hati Faizal. Cahaya panas di waktu tengahari terasa semakin membahang disebabkan kemarahan bapanya.

Faizal memanjangkan wajahnya ke seberang jalan, amat-amat berharap tiba-tiba emak balik awal dari waktu kerjanya yang biasa. Bagi Faizal, hanya emak yang kenal siapa dia kerana hanya emak saja yang telah memainkan peranan sebagai ibu bapa kepadanya. Baginya, bapa hanya menyumbang air mani sahaja tetapi tidak langsung memainkan peranan sebagai bapa yang sebenarnya kepada dia. Sejak kecil dia tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang bapa. Jika kanak-kanak lain riang bermain dengan bapa mereka, Faizal hanya ada seorang ibu yang tidak kurang kasih sayangnya. Jika kawan-kawannya menceritakan bahawa mereka pergi menonton perlawanan bola sepak dengan bapa mereka, Faizal hanya menelan liur cemburukan keseronokan yang mereka alami. Kenapa bapanya begitu? Kenapa dia tidak dipedulikan oleh bapa sendiri? Seringkali dia bertanya soalan itu kepada emak. Jawapan emak sama sejak dulu. Ayah Faizal sibuk...sibuk dengan kerja-kerja di pejabat untuk cari duit yang banyak. Apa gunanya kekayaan yang melimpah ruah tetapi gersang dengan kasih sayang? Dan kini, dia dapat tahu yang ayahnya telah berkahwin lain. Sudahlah masa dengan anak sendiri tidak pernah ada yang terluang, kini menambahkan lagi kesibukan yang ada dengan seorang lagi isteri.

“Tummm!!!”

Faizal terkejut apabila pintu di belakangnya berbunyi kuat. Dia bingkas bangun dan memandang wajah ayahnya yang sedang bercekak pinggang di hadapannya. Dengan berjubah panjang hijau dan berkupiah putih, wajah ayah menyinga terhadapnya. Janggut sejemput di bawah dagu bergoyang-goyang mengikut gerak bibir lelaki berbadan tegap itu.

“Ngapa kamu biadap sangat ni Faizal? Ayah kan cakap dengan kamu? Kamu dah jadi pekak ke?” Marah sungguh Osman dengan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh Faizal.

Ayah? Faizal mahu ketawa apabila lelaki itu membahasakan dirinya ayah. Buat apa mengaku diri sebagai ayah tetapi langsung tidak memainkan peranan “ayah” itu yang sebenarnya? Faizal benar-benar meluat.

“Apa yang saya buat? Saya tak buat apa-apa pun....,” jawab Faizal selamba. Dia melangkah masuk ke dalam rumah lalu duduk di sofa di ruang tamu. Tidak menghiraukan renungan tajam bapanya yang masih tercegat di pintu rumah.

“Tak ada buat apa kau kata. Macam-macam yang ayah dengar tentang kamu. Kamu usik anak dara orang, kamu merokok, kamu menconteng dinding-dinding sekolah, kamu lepak sana-sini. Apa kamu nak jadi hah?” tengking Osman lagi.

Faizal tersenyum sinis. Pelik apabila lelaki ini mengambil tahu apa yang telah dilakukannya. Selama ini di mana dia apabila Faizal memerlukannya? Di mana dia ketika Faizal terjatuh dari basikal dan perlukan bantuan untuk membawanya ke hospital kerana lututnya luka besar terkena batu? Di mana lelaki ini tatkala guru-guru mahukan ayahnya datang untuk berbincang tentang anak-anak? Di mana? Di mana?

Faizal mahu menjawab kata-kata ayahnya dan meluahkan segala ketidakpuashatiannya selama ini tetapi kata-kata nasihat ibu yang terngiang-ngiang di telinganya membantutkan niatnya. Faizal terus bangun melangkah ke bilik tidurnya. Dia terus menghenyakkan tubuhnya ke katil bujang dan menekup bantal besar ke wajahnya. Malas dia mendengar suara bapanya yang terjerit-jerit memanggilnya dari luar bilik. Ketukan yang bertalu-talu di luar pintu biliknya juga tidak dihiraukannya lagi. Agak lama dia membiarkan perkara itu dan Faizal lega apabila akhirnya lelaki itu mengalah. Faizal semakin lega apabila mendengar pintu rumah ditutup dengan kuat dan kemudiannya deruman kereta lelaki itu kedengaran semakin jauh dari perkarangan rumah mereka.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha