Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
101,116
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

9

“Assalamualaikum, puan.” Seorang anggota polis wanita berpakaian seragam yang lalu di hadapan mereka memberikan salam kemudian terus memberikan tabik hormat.

“Waalaikumussalam…” jawab Mira dan Zuha hampir serentak. Kemudian mereka melangkah menuju ke balai polis yang hanya terletak beberapa meter daripada kuarters yang juga terletak di dalam kawasan balai polis mereka bertugas.

Sememangnya pegawai-pegawai polis terutama yang belum berkahwin diwajibkan untuk tinggal di kuarters kerajaan untuk memudahkan urusan sekiranya ada kes kecemasan yang memerlukan tindakan segera daripada mereka.

“Selamat pagi, puan!” Seorang koperal polis lelaki berpakaian seragam yang bertugas di kaunter pertanyaan juga bangun memberi tabik hormat.

Zuha dan Mira membalas sapaan selamat daripada anggota tersebut. Kemudian mereka terus melangkah menuju ke bangunan yang menempatkan semua pegawai penyiasat.

Tiba di meja, Mira terus duduk menghadap komputer. Biasanya pagi-pagi, dia akan terus memeriksa e-mel yang dihantar oleh jabatan untuk mendapatkan arahan terkini berkaitan dengan tugasan mereka.

Telefon di atas meja Mira tiba-tiba berbunyi. Mira terus mengangkat gagang lalu dilekapkan ke telinganya.

“Puan, ada kes baru. Seorang perempuan Melayu meninggal dunia, disyaki dibunuh,” kata pengadu lelaki tersebut.

“Di mana?” tanya Mira. Pen di tangan telah bersedia untuk mencatitkan butir-butir penting yang diperlukan sebelum keluar menyiasat.

“Di Taman Tasek, rumah nombor 14,” jawab si pemanggil.

“Baiklah, saya akan ke sana segera.” Pantas Mira menjawab sebelum memutuskan talian. Seketika, dia mengangkat semula gagang telefon dan terus membuat panggilan lain.

“Malik, awak ikut saya sekarang. Kita ada kes. Lagi satu, awak tolong suruh pemandu standby. Lagi lima minit saya keluar,” arah Mira kepada Malik, yang merupakan jurugambar khas di jabatan mereka.

“Baiklah, puan,” ujar Malik. Dia cukup arif dengan tugasnya. Dia telah bertugas di situ sejak sepuluh tahun yang lepas. Sekiranya ada kes-kes yang dilaporkan, maka dia atau mana-mana jurugambar yang lain akan diarahkan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengikut mereka ke tempat kejadian bagi merakamkan gambar mangsa dan kawasan kejadian.

Lebih kurang setengah jam perjalanan dari balai, mereka tiba di tempat kejadian yang dimaksudkan. Apabila Mira turun dari jeep polis, orang ramai telah mula berkerumun di hadapan sebuah rumah teres kos rendah. Rumah yang agak lusuh dan pudar warna catnya itu telah direntang dengan tali kuning bertulisan “POLIS” yang bermaksud bahawa kawasan itu dilarang dari dimasuki oleh orang ramai.

Mira berjalan ke arah rumah yang dimaklumkan. Malik mendahuluinya dan segera mengarahkan agar orang ramai yang mengerumuni kawasan pagar rumah supaya bergerak ke tepi untuk memberi laluan kepada mereka.

Kelihatan beberapa anggota polis berpakaian seragam telah berada di situ dan berkawal di pintu masuk rumah untuk memastikan kawasan tempat kejadian tidak dicerobohi. Prosedur ini penting bagi mengelakkan kesan-kesan atau bukti-bukti yang boleh membantu penyelesaian kes ini diganggu atau diusik.

Di ruang tamu, Mira dapat melihat sekujur tubuh wanita terbaring di laluan menghala ke dapur. Separuh dari tubuh wanita itu telah ditutupi dengan selimut berwarna merah bata. Dua orang kanak-kanak diam membisu di ruang tamu dengan wajah yang sugul. Apabila melihat kehadiran Mira, mereka mendongakkan kepala dan mata mereka.

Pasti kanak-kanak ini adalah anak si mati. Hatinya tersentuh melihat keadaan kanak-kanak itu yang kusut masai.

“Malik, ambil gambar depan rumah dulu kemudian baru ambik gambar kat dalam ni,” arah Mira. Sementara itu Mira menyarungkan sarung tangan getah ke kedua-dua tangannya.

“Baik, inspektor,” jawab Malik kemudian terus melangkah keluar ke hadapan.

Doktor Karamjit, pakar Forensik juga telah berada di rumah ini apabila dimaklumkan oleh polis bahawa kes ini berkemungkinan mempunyai unsur-unsur jenayah.

“Apa khabar doktor?” sapa Mira sambil melangkah menghampiri doktor pakar tersebut. Matanya liar memerhati keadaan sekeliling rumah itu.

I’m okay,” jawab Doktor Karamjit sambil tersenyum. Lelaki berbangsa Singh, berumur dalam lingkungan 40-an itu memang sudah cukup dikenali di kalangan pegawai polis yang dikhaskan untuk menyiasat kes-kes yang melibatkan kematian. Apabila sesuatu kematian dilaporkan atau mayat dijumpai, bukan sahaja polis yang akan datang ke tempat tersebut, tetapi pakar forensik juga akan turut dipanggil untuk memastikan keadaan sekeliling, keadaan mayat sewaktu ditemui dan tempoh masa juga amat penting untuk membantu penyiasatan polis.

Doktor Karamjit bertinggung berdekatan dengan mayat wanita itu lalu membelek tubuh wanita itu beberapa kali. Dia memegang leher, pergelangan tangan dan membuka kelopak mata wanita itu yang hanya tertutup separuh.

“So, macam mana doc?” tanya Mira lagi.

“I rasa dia dibunuh. Tengok ni. Ada kesan lebam di tengkuk dia. Di dada juga ada lebam dan berdasarkan darah yang keluar dari telinga, mulut dan hidung, saya rasa dia telah dicekik kemudian dipijak dengan kuat di dada,” jawab Doktor Karamjit sambil menunjukkan beberapa bahagian badan si mati kepada Mira.

Mira agak terkejut. Siapalah yang begitu kejam sehingga sanggup memijak wanita ini? Apakah salah wanita ini sehingga diperlakukan begitu? Dan apakah motifnya?

“I rasa si pembunuh dalam keadaan yang sangat marah sebab kesan pijakan di dada amat kuat. I think tulang rusuk dia patah. Cuba yourasa di sini,” jelas doktor itu lagi.

Mira terus menyarungkan sarung tangan getah di kedua-dua tangannya lalu dia terus menyentuh tempat yang ditunjukkan oleh Doktor Karamjit. Dia dapat rasakan seperti tulang-tulang yang patah apabila dia menekan sedikit dada wanita itu.

“Ya lah, doc,” ujar Mira. Wajahnya berkerut.

“I rasa dia meninggal dalam pukul 4.00 atau 5.00 pagi. Tubuh dia sudah sejuk dan sudah mula mengeras. Make sure you hantar mayat ke hospital dengan segera.” Doktor Karamjit membuat andaian awal selepas membuat pemeriksaan dan penilaian luaran.

Mira mengangguk. Doktor Karamjit bangun kemudian melangkah ke arah sebuah beg hitam besar kepunyaannya yang diletakkan tidak jauh dari situ. Dia mengeluarkan sebuah buku nota berwarna hitam lalu mencatitkan sesuatu di dalamnya.

“Okeylah, I jumpa you di hospital nanti untuk post mortem,” ujar Doktor Karamjit lalu dia melangkah keluar dari rumah itu.

Malik telah berada di dalam rumah semula dan kini sedang sibuk merakamkan gambar di dalam kawasan rumah dan gambar mayat. Setelah selesai, Mira memberi isyarat kepada anggota polis yang datang bersamanya agar mengangkat dan membawa mayat wanita itu ke dalam jeep polis dan terus dihantar ke hospital. Sebelum mayat di bawa keluar, mayat itu dibungkus dengan plastik hitam untuk mengelakkan daripada dilihat oleh orang yang masih ramai berkerumun di luar rumah.

Setelah mayat dihantar ke hospital, Mira terus meninjau keadaan di dalam rumah itu. Dia tidak dapat melihat sebarang kesan pecah masuk atau rompakan di dalam rumah itu kerana hasil soal siasat ringkas kepada suami dan anak-anak si mati, mereka mengatakan tiada barang yang hilang. Suami si mati pula tidak tahu apa-apa kerana sepanjang malam dia tidur dan hanya sedar apabila dikejutkan oleh jiran yang datang ke rumah mereka pada pagi itu.

“Encik Borhan, pintu belakang ni memang dalam keadaan macam ni ke?” tanya Mira apabila melihat tombol pintu itu longgar dan tidak boleh dikunci.

“Err... pintu tu memang macam tu. Dah lama dah. Memang tak pernah berkunci,” jawab lelaki itu.

Mira mengerutkan dahinya. Kenapa lelaki itu begitu cuai sekali? Kenapa dia membiarkan pintu dapur tidak berkunci? Tidakkah dia fikirkan keselamatan isteri dan anak-anaknya?

Mira segera menyuruh Malik merakamkan gambar pintu belakang tersebut dan keadaan dapur yang agak kotor dan berselerak dengan pinggan dan cawan yang tidak berbasuh.

Mira membuka beg yang dibawanya bersama. Dia mengeluarkan sebatang berus berbulu hitam kemudian dicelupkan ke dalam serbuk hitam halus yang berada di dalam sebuah kotak. Setelah itu, Mira menyapukan berus itu di tombol pintu luar dan dalam pintu dapur itu. Setelah itu, dia memberus pula permukaan pintu dapur dan cermin tingkap dapur.

“Ada dapat cap jari ke, puan?” tanya Malik.

Mira menggeleng. “Dah comot. Cap jari dah bercampur-campur dan tak lengkap. Saya rasa penceroboh pakai sarung tangan berdasarkan kepada kesan pada leher si mati,” terang Mira lagi sambil tangannya memasukkan semua kesan cap jari yang dapat dirakamkan ke dalam sampul surat khas.

“Okey, Malik? Dah ambik gambar di seluruh kawasan rumah?” tanya Mira setelah dia selesai menjalankan pemeriksaan. Sarung tangan getah ditanggalkan kemudian disumbat ke dalam poket baju seragam sebelah kanan.

“Dah, puan. Ada tempat lain lagi ke puan nak saya rakamkan gambar?” tanya Malik lagi sambil memerhati keadaan sekeliling takut terlepas pandang perkara-perkara penting yang perlu dirakamkan.

“Err... nanti dulu.” Buat seketika Mira berdiri tegak sambil turut memerhati keadaan sekeliling. Dia perlu berhati-hati dan memastikan bahawa segala bukti-bukti yang ada mesti dikaji dan diteliti agar kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan memuaskan. “Saya rasa itu sahaja,” jawab Mira.

Setelah selesai menyimpan peralatan untuk cap jari, Mira mengarahkan Malik membawa balik selimut dan bantal yang digunakan oleh si mati untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikaji. Mana tahu terdapat sebarang kesan yang boleh menjadi petunjuk dalam kes ini.

Malik terus melakukan seperti yang diarahkan. Selimut dan bantal dimasukkan ke dalam sebuah plastik hitam kemudian dibawa masuk ke dalam jeep.

Mira memerhati lagi kawasan rumah itu. Dia cuba mencari sebarang kesan pencerobohan yang boleh dikaitkan dengan kes ini. Di bahagian pintu hadapan tiada tanda pecah masuk. Apakah motif pembunuh itu? Jika rompakan, tiada pula barang yang hilang dan tiada tanda pecah masuk di rumah ini.

Dari apa yang diberitahu oleh Doktor Karamjit sebentar tadi, Mira rasa pembunuh itu seolah-olah memang mensasarkan kepada si mati sahaja. Adakah kerana dendam? Apakah yang telah si mati lakukan? Pelbagai persoalan menerjah ruang fikiran Mira. Dia tahu untuk menyelesaikan kes ini banyak yang dia perlu lakukan. Dia juga perlu menemuramah beberapa saksi yang berada di dalam rumah itu.

Sedang Mira membelek tombol pintu di bahagian hadapan rumah, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Mira segera menjawabnya.

“Mira, kau ada kes apa ni? Tak cakap kat aku pun?” Suara nyaring Zuha kedengaran di hujung talian.

“Aku ada kes kat Tasek ni. Suspek kes bunuh. Dah nak habis pun. Lepas ni aku nak pergi ke hospital untuk post mortem,” jelas Mira sambil masih membelek-belek tombol pintu tersebut.

“Ada apa Zuha?” tanya Mira lagi kerana agak jarang Zuha mencarinya awal-awal pagi begini.

“Bukan apa... tadi ASP Faizal cari kau,” jawab Zuha. Kali ni nada suaranya sudah mengendur.

“Ada hal apa pulak? Kenapa dia tak call Mira sendiri?” Hairan pulak Mira kenapa ASP Faizal mencarinya tiba-tiba. Rasanya tidak ada kes-kes penting yang perlu dilaporkan kepada lelaki tersebut.

“Tak tau la pulak kenapa dia cari kau. Ada kes dia nak assign kat kau kot.”

“Hai... berapa banyak kes dia nak assign kat aku? Kes-kes dia yang dia malas buat pun dah berlambak kat atas meja aku tu,” rungut Mira. Manik-manik peluh sudah kelihatan di hujung hidung dan atas bibirnya.

“Alaa... nanti kau tanyalah dia sendiri. Okeylah ya. Nanti kita jumpa kat pejabat tau,” pesan Zuha sebelum memutuskan talian.

Mira mengertap bibirnya. Serta merta hatinya tersentap dan sakit apabila mendengar kata-kata Zuha mengenai ASP Faizal. ‘Hisy... lelaki tu, kalau tak menyusahkan aku tak boleh ke?’ rungut Mira sambil mengertap bibir. Ada getar yang menggoncang kolam hatinya waktu itu.

Malas memikirkan lebih lanjut tujuan ASP Faizal mencarinya, Mira menyambung semula tugasnya. Dia bertinggung untuk memeriksa tombol pintu rumah sambil mulutnya sekali sekala merungut juga tentang lelaki itu.

“Puan, kenapa ni?” tanya Malik apabila dilihat Mira bercakap seorang diri dengan muka yang kelat.

Kedatangan Malik yang secara tiba-tiba itu membuatkan Mira tersentak. “Errr... tak ada apa-apa. Tadi Inspektor Zuha telefon,” jawab Mira pantas.

“Ada kes lagi ke puan?” tanya Malik lagi sambil tersenyum.

Mira hanya menjungkit bahu. “Tak taulah... tadi Inspektor Zuha kata ASP Faizal cari saya. Nak assign kerja lagi la tu,” jawabnya dengan wajah kelat.

Malik tergelak mendengar kata-kata Inspektor Mira. Bukannya dia tidak pernah mendengar Inspektor Mira merungut sebelum ini tentang ASP Faizal. Malah sudah banyak kali. Dan setiap kali itu jugalah dia akan ketawa begini. Baginya tidak elok sekiranya dia memberi komen memandangkan kedua-dua mereka adalah ketuanya.

“Okeylah. Saya dah selesai kat sini. Jom kita ke hospital,” arah Mira kepada Malik setelah dia berpuas hati tidak terdapat sebarang kesan yang boleh dikaitkan dengan kes ini.

Previous: Bab 8
Next: bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.