Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
101,114
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Mira menyelak fail kes pembunuhan Siti yang baru dikendalikannya itu. Telah lebih dua minggu kes itu bermula, namun sehingga kini, dia tidak mendapat apa-apa perkembangan positif ataupun sebarang suspek yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan itu.

Beberapa hari yang lepas dia telah mengambil statement daripada beberapa orang yang berada di rumah Siti pada masa kejadian. Borhan, Aiman, Tina dan Farid telah memberikan kerjasama yang baik semasa dia menemuramah mereka. Mira membaca beberapa kali penyataan yang diberi oleh Aiman, iaitu anak Siti.

Laporan post mortem yang diperolehinya semalam juga mengesahkan bahawa punca kematian Siti adalah lemas kerana dicekik. Selain itu, si mati juga telah ditendang dan dipijak beberapa kali. Ini disahkan dengan hasil laporan yang beberapa tulang rusuk si mati telah patah. Siapa yang telah membunuh wanita ini? Dia buntu mencari bukti yang boleh mengaitkannya dengan sebarang suspek bagi kes ini. Suami si mati iaitu Borhan, langsung tidak sedar perkara ini kerana dia tidur. Apabila ditanya kenapa pintu dapur rumahnya tidak berkunci, Borhan hanya mendiamkan diri. Agak lama menunggu barulah dia menjawab.

“Pintu tu memang dah lama rosak. Sebelum ni tak pernah pun ada kejadian pecah masuk dalam taman kami tu. Tak sangka pulak Siti kena bunuh,” jelas lelaki itu tanpa ada sebarang rasa kesal. Sesekali dia meraup rambutnya yang agak panjang ke belakang. T-shirt hijau lumut pudar yang dipakai kelihatan agak tidak kemas di tubuh lelaki kurus itu.

“Encik Borhan, tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga adalah di tangan encik. Bahaya tau pintu dibiarkan tidak berkunci macam tu. Nasihat saya agar encik Borhan betulkan kunci pintu tu. Mana tahu, hari tu isteri encik Borhan, esok lusa siapa tahu, mungkin encik Borhan atau anak-anak pulak....,” ujar Mira cuba menasihati. Mira masih menyentuh isu yang sama kerana dia berasa kurang senang dengan jawapan lelaki itu tadi.

“Tak perlulah inspektor nak ingatkan saya. Saya tahu tanggungjawab saya,” bidas lelaki itu. Agak keras suara Borhan.

Mira agak terkejut mendengar jawapan lelaki itu. Sesekali dia memandang Borhan walaupun tangannya lancar menulis jawapan yang baru keluar dari mulut Borhan. Dengan keadaan pakaian yang tidak kemas serta misai dan janggut yang tidak dicukur, lelaki itu kelihatan begitu tertekan.

“Maafkan saya, saya tak berniat nak campur tangan urusan keluarga Encik Borhan. Saya bagi nasihat sebagai seorang pegawai polis yang memang diamanahkan untuk menjaga keselamatan kita semua,” jawab Mira masih tetap dengan pendiriannya tadi.

Lelaki itu hanya mendiamkan diri.

“Baiklah, Encik Borhan. Saya nak tanya lagi beberapa soalan tentang kes isteri Encik Borhan. Maaf jika soalan saya ni menyentuh urusan peribadi Encik Borhan,” ujar Mira.

“Encik Borhan okey ke?” Mira bertanya untuk memastikan persetujuan lelaki tersebut.

Lelaki itu mengangguk.

“Baiklah, saya nak tahu serba sedikit tentang arwah isteri encik. Selama berkahwin, encik ada sebarang masalah dengan dia ke?” tanya Mira sambil sesekali dia mengerling pandang untuk melihat reaksi lelaki tersebut.

“Masalah macam mana yang puan nak tahu?” tanya Borhan semula. Wajahnya berkerut tanda tidak berapa faham dengan soalan yang dikemukakan.

“Errr... mungkin ada sikap-sikap arwah yang Encik Borhan tak suka,” jelas Mira.

“Kalau nak cerita betul-betul memang banyak puan,” jawab lelaki itu. Satu keluhan panjang dilepaskan oleh lelaki itu. Mira sudah bersedia untuk menulis.

“Dia suka pergi rumah orang, bersembang lama-lama sampai rumah tangga sendiri pun tak terjaga. Makan pakai saya, anak-anak langsung dia tak pedulikan,” jelas Borhan lagi. Pandangan matanya kelihatan merenung jauh seolah-olah sedang cuba mengimbas semula sikap arwah isterinya selama ini.

“Selain dari masalah ni ada tak masalah lain contohnya dari segi pergaulan dia?” tanya Mira lagi ingin tahu lebih lanjut.

“Entahlah, puan. Saya nak sahkan pun tak berani. Tapi saya ada dengar-dengar yang dia ada jumpa jantan lain kat luar rumah,” jelas Borhan lagi. Ada rasa kesal dan kecewa terpamer di wajahnya.

Mira agak tersentak mendengar cerita Borhan yang merupakan orang yang pertama dirakamkan kenyataan bagi kes ini.

“Mana Encik Borhan tahu?” tanya Mira inginkan kepastian lanjut.

“Saya ni suami dia, puan. Saya tinggal dengan dia dah dekat 15 tahun. Saya tahu luar dalam tentang diri dia. Tentang perubahan sikap dia, tentang keinginan dia, tentang apa-apa ajelah. Kalau dah tiap-tiap malam dia menolak saya, apa lagi yang menyebabkannya selain daripada dia dah puas dengan jantan lain?” jelas Borhan panjang lebar. Nada suaranya berubah di hujung ayat dan kedengaran kesal dan geram dengan sikap isterinya.

Mira meneguk liur mendengar cerita Borhan. Susah dia hendak percaya bulat-bulat cerita-cerita sebegini walaupun ia bukan juga sesuatu yang mustahil. Kisah isteri yang curang, bermain kayu tiga bukanlah satu cerita yang asing lagi di zaman ini malah di mana-mana sahaja terutama di internet, cerita-cerita begini sering diwarwarkan.

Mira menggeleng. Borhan yang berada di hadapannya masih lagi bercerita mengenai arwah Siti seolah-olah Mira di hadapannya adalah seorang pakar kaunseling tempatnya mencurah perasaan dan masalah.

“Okey, Encik Borhan, ada tak Encik Borhan syak sesiapa yang membunuh isteri encik?” tanya Mira lagi. Walaupun soalan seperti ini kedengaran tidak relevan tetapi dalam keadaan sekarang semua soalan perlu ditanya untuk mengecilkan skop siasatan.

“Hai, puan ni kan polis. Itu tanggungjawab polis untuk siasat. Kenapa tanya saya pulak? Kalau saya tahu, dah lama saya pergi cari orang tu dan bunuh dia,” jawab Borhan sedikit sinis.

Tersentak Mira apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Malu pun ada. ‘Isy, lelaki ni, lain yang aku tanya, lain pulak yang dia jawab,’ bisik Mira dalam hati. Dia membetulkan duduknya yang rasa serba tak kena.

“Saya tahulah tu Encik Borhan. Tapi kalau ada sesiapa yang encik suspek, akan dapat membantu kami dan memudahkan lagi kerja kami,” ujar Mira cuba membuatkan lelaki itu faham tujuan soalannya tadi.

Nasib baik mood lelaki itu cepat bertukar-tukar. Seketika lelaki itu kelihatan tenang semula dan kelihatan termenung memikirkan sesuatu.

“Ramli,” jawab Borhan. Matanya tepat memandang wajah Mira.

“Hha?” Mira ternganga sebentar apabila tiba-tiba sahaja satu nama disebut oleh Borhan.

“Ramli. Saya nak puan siasat dia. Saya dengar-dengar cerita, dulu dia selalu keluar dengan isteri saya tapi lepas tu putus,” jelas Borhan lagi. Beberapa kali dia mengangguk selepas memaklumkan Mira perkara itu.

“Saya pernah bertumbuk dengan dia,” jelas Borhan lagi. Macam tahu-tahu sahaja, lelaki itu menjawab persoalan yang hanya bermain di dalam minda Mira.

“Apa jadi selepas itu?” tanya Mira berani.

“Saya dah bagi amaran agar dia tak jumpa isteri saya lagi. Tapi saya rasa dia nak balas dendam sebab ugutan saya tu, lalu dia bunuh Siti. Kalau puan nak tahu, dia tu askar jugak. Sekarang ni kerja di kem Terendak Melaka,” jelas Borhan lebih lanjut.

Aik! Macam tak logik pulak. Kalau dia nak balas dendam, mesti dia bunuh Borhan, bukan Siti. Mira rasa macam nak menggaru kepalanya yang tak gatal untuk menunjukkan kekeliruannya tetapi untuk menunjukkan yang dia bersikap profesional, Mira berpura-pura mengangguk.

“Baiklah, saya akan masukkan nama Ramli ni dalam siasatan saya. Err... ada sesiapa lagi tak?” tanya Mira lagi.

Lelaki itu menggeleng kemudian bersandar di kepala kerusi sambil memeluk tubuh. Matanya pula melilau memerhatikan setiap ruangan bilik Mira.

“Okey, saya rasa cukup dulu statement Encik Borhan untuk hari ni. Kalau ada apa-apa, saya akan panggil lagi,” ujar Mira. Cepat-cepat dia menamatkan sesi soal jawab itu kerana tidak selesa dengan keadaan dan tindak tanduk lelaki tersebut.

Mira bersandar kelegaan apabila lelaki itu melangkah meninggalkan pejabatnya. Letih juga apabila seharian menemuduga dan mengambil keterangan daripada beberapa saksi kes pembunuhan tersebut.

Dia berdiri untuk melembutkan urat-urat yang semakin kejang kerana duduk terlalu lama. Baru sahaja dia berdiri, tiba-tiba matanya menangkap kelibat seseorang dan secara refleks dia terus duduk kembali dan terus menundukkan kepalanya rapat ke meja.

‘Tak ada ke muka lain yang aku boleh pandang time-time macam ni?’ rungut Mira apabila tiba-tiba sahaja wajah Faizal muncul di pintu masuk ke jabatan mereka.

“Isy... nak terkencing pulak. Cepatlah pergi dari sini,” bebel Mira separa berbisik. Wajahnya berkerut-kerut menahan rasa di perutnya. Agak lama dia menahan rasa nak terkucil, dan apabila ada masa hendak ke bilik air, si Faizal itu pulak tercegat di muka pintu sedang berbual denganASP Ramli.

“Mira, ASP Faizal panggil ke bilik dia sekarang jugak,” tiba-tibaASP Ramli terjengul di belakangnya.

“Hah? Kenapapula tuan?” tanya Mira terpinga-pinga.

“Manalah saya tahu, saya ni kan hanya menurut perintah. Pergilah cepat,” maklumASP Ramli lagi.

“Ya, ya... saya nak pergilah ni,” jawab Mira kelam kabut. Dengan perasaan bebal, dia bangun dari kerusi. Sebelum itu, dia melencong dahulu ke tandas kerana dia tidak mahu pula menanggung risiko menahan perasaan itu di bilik lelaki tersebut.

Setelah selesai menunaikan hajatnya, Mira bergegas ke pejabat ASP Faizal. Walau hati sentiasa meradang apabila memandang wajah lelaki itu, tetapi kerana tugas, dia menggagahkan diri untuk menatap wajah lelaki itu.

“Kenapa lama sangat? Setahu saya dah lebih 15 minit saya panggil awak ke sini. Jarak dari pejabat awak ke pejabat saya bukannya jauh sangat. Bukannya perlu naik kereta atau naik bas. Jalan kaki aje. Rasanya kalau saya melangkah tadi, tak sampai lima minit dah boleh sampai,” bebel Faizal apabila Mira telah berdiri di hadapannya.

‘Aduh, siot betullah mamat ni! Membebel mengalahkan orang perempuan,’ rungut Mira di dalam hatinya. ‘Takkanlah aku nak bagi tahu yang aku pergi kencing tadi?’

“Kenapa awak tak jawab? Awak cuba melawan saya ke Inspektor Mira?” Kali ini suara ASP Faizal agak tinggi.

Mira terkedu. Matanya yang sebentar tadi memandang ke lantai kini bertentang dengan mata lelaki itu yang tajam memandangnya. “Maafkan saya, tuan. Tadi saya ke bilik air sekejap, nak terkencing sangat. Kalau saya tak pergi dulu takut pulak kalau tuan nak cakap lama. Saya tidak berniat hendak melawan tuan atau sesiapa pun.” Mira menjawab dengan tegas dan suara yang terang. Malas lagi dia hendak memeningkan kepala mencari alasan yang begitu sopan didengar. Gasaklah kalau kau nak gelak dengar alasan aku. Dengan kau aku tak perlu nak bersopan Faizal. Getus hati Mira.

Faizal terkejut. Dia rasa hendak tergelak mendengar jawapan Mira. Dia tidak menyangka Mira akan berterus terang begitu sekali. Dia cuba menahan rasa getar di bibirnya. Hanya satu senyuman sinis terukir di hujung bibirnya. Agak lama Faizal mendiamkan diri sambil membelek-belek beberapa fail di atas meja.

“Duduk,” arahnya dan Mira mematuhi walaupun di dalam hatinya sumpah seranah sudah menggunung tinggi.

“Baiklah... saya nak awak semak semula fail-fail ni. Saya dapati lama sangat fail-fail ni tak diusik dan siasatan tak diteruskan. Apa dah jadi dengan jabatan ni hah? Saya tengok fail-fail tak diupdate. Fail-fail yang ditutup tak direkodkan secara proper. Tunggang terbalik semuanya. Awak tak awasi ke anggota-anggota bawahan awak?” tanya lelaki itu dengan wajah yang serius. Matanya seperti pedang yang ingin menusuk ke anak mata Mira.

Mira tidak menjawab. Hanya tangannya sahaja yang diangkat untuk mencapai fail-fail tersebut. Untuk menghilangkan rasa kurang selesa, dia menyemak dan membuka fail yang berada di atas sekali.

“Errr... baik, tuan. Selepas ini saya akan buat meeting dengan mereka dan maklumkan arahan tuan,” jawab Mira. Dia malas hendak memanjangkan diskusi antara mereka kerana dia tidak berminat hendak menunggu lebih lama lagi di dalam bilik ini.

“Awak tak ada nak tanya apa-apa soalan ke pasal fail-fail tu?” tanya Faizal apabila dilihatnya Mira bersedia untuk melangkah keluar.

Mira menggeleng. Faizal merenungnya lama. Mira semakin serba salah.

“Baiklah, awak boleh pergi.”

“Terima kasih, tuan!” ucap Mira sambil memberi tabik hormat kemudian terus berpusing keluar.

Faizal pula masih bersandar di kerusi. Batang tubuh Mira diperhatikannya sehinggalah ia hilang di pintu masuk. ‘Sudah hilangkah rasa marahku selama ini terhadap gadis itu? Kenapa aku tidak ada rasa marah langsung padanya walaupun dulu kami ibarat anjing dan kucing yang pantang berjumpa pasti akan ada pergaduhan atau pertengkaran mulut.

Ah! buat apa lagi aku menyimpan dendam. Dia tidak bersalah. Hanya aku yang terlalu nakal, mengganggu ketenteraman dirinya semasa bersekolah dulu,’ bisik hati Faizal bertingkah-tingkah antara ingin berdamai dan ingin meneruskan semula persengketaannya.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha