Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
101,121
Kategori: Novel
Genre: Cinta
bab 12

Mira tiba semula di pejabat lebih kurang pukul 1.30 petang. Dia cuba mencari Nazuha tetapi sahabatnya itu tidak berada di mejanya. Dia menelefon telefon bimbit Nazuha pula tetapi hampa apabila talian tidak dijawab.

‘Mana minah ni pergi pulak,’ getus hati Mira. Perutnya semakin berkeroncong. Lapar. Mana tidaknya, pagi tadi dia hanya bersarapan dua keping roti dan secawan air Milo sahaja.

‘Alahai... mana Zuha ni. Takkan pergi makan sorang-sorang kot. Tak syok la,’ rungut Mira lagi. Sesekali dia menekan perut yang semakin pedih kelaparan.

“Hoi!” Satu tamparan hinggap di bahu kanan Mira membuatkan dia terlompat akibat terlalu terkejut. Apabila dia menoleh, dilihatnya Zuha sedang ketawa besar melihatkan tingkahnya yang begitu.

“Hantu betullah kau ni, Zuha. Nasib baik aku tak ada sakit jantung tau,” bebel Mira sambil mengurut-ngurut bahunya yang pedih akibat ditampar tadi.

“Sakit tau,” rungut Mira lagi sambil mengerut-ngerutkan dahinya.

“Alaa... macam tu pun kau kata sakit. Training kat PULAPOL tu lagi teruk tau. Berjaya jugak kau jadi polis,” ejek Zuha lalu terus melabuhkan punggungnya ke kerusi. Fail yang berada di tangannya sebentar tadi diletakkan ke atas meja.

“Kau dapat kes apa tadi?” tanya Zuha sambil memandang tepat ke wajah rakan baiknya itu.

“Ada perempuan Melayu meninggal. Tapi yang kesiannya kan, anak dia kata dia nampak seorang lelaki cekik mak dia,” terang Mira dengan wajah kesal. Kesal dengan keadaan manusia sekarang yang semakin tidak berhati perut dan menjadi semakin tidak berperikemanusiaan.

Bulat mata Zuha apabila mendengar kata-kata Mira.

“Iya? Ya ALLAH... kesian kat budak tu kan,” balas Zuha.Sedih hatinya mendengar cerita-cerita sebegini walaupun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang baru bagi mereka.

Mira mengangguk lalu duduk di kerusi berhadapan dengan Zuha.

“Kes bunuh zaman sekarang ni macam-macam fesyen kan. Takut aku nak dengar,” bebel Zuha lagi.

“Manusia semakin kejam,” komen Mira. Dia menarik nafas panjang. Lupa sebentar perut yang sebentar tadi menjerit-jerit minta diisi.

“Eh, fail apa tu? Kes baru ke?” tanya Mira sambil menjeling fail-fail yang dibawa oleh Zuha.

Zuha mengangguk sambil tersenyum sumbing. “Biasalah... hari-hari ada kes baru. Kes lama pun berlambak tak selesai lagi, dah tambah kes lain. Kalaulah aku ni boleh diklon, lama dah aku buat,” jawab Zuha kemudian ketawa.

“Nak buat macam mana kan. Dah tugas kita. Eh, Zuha, jomlah pergi makan. Perut aku dah lapar ni,” ajak Mira apabila pedih perutnya sudah tidak mampu ditahan lagi. Dahinya berkerut. Perutnya semakin berdondang sayang.

“Laaa... tak makan lagi ke?” tanya Zuha.

Mira mengangguk. “Kau dah makan ke?”

“Belum. Aku tunggu kaulah ni. Nasib baik aku tak keluar dengan ASP Ramli tadi. Dia ajak pergi Ipoh Parade tadi. Tapi, masa tu aku banyak kerja. Aku ingat kau tak sempat balik tengah hari,” jawab Zuha sambil tangannya menyusun fail-fail yang agak berselerak di atas meja. Bermacam-macam warna fail yang ada di situ dan setiap fail mempunyai kategori kes masing-masing yang perlu disiasat mengikut keutamaan.

“Hisy... kau ni. Tanya macamlah dah pergi makan. Tadi, aku pun ingat tak sempat jugak. Tapi nasib baik post mortem habis cepat. Aku suruh driver pecut balik. Perut aku ni dah main macam-macam lagu tau,” ujar Mira sambil tersenyum kelat.

Zuha tersengih. “Lagu Anuar Zain ada tak?” Sempat lagi dia mengusik walaupun dia tahu Mira sangat-sangat kelaparan pada waktu itu.

“Kau ni... time-time macam ni pun nak main-main,” rungut Mira. Sememangnya Zuha adalah peminat setia penyanyi terkenal itu. Album Anuar Zain dari yang awal sehingga terbaru tidak pernah lupa dibelinya dan kalau sehari tidak mendengar lagu Anuar Zain, dia macam cacing kepanasan.

“Mestilah... boyfriend aku tu,” jawab Zuha sambil memuncungkan bibirnya.

“Ish... perasan sorang-soranglah kau,” balas Mira sambil bangun dari kerusi.

Zuha tersengih mendengar jawapan Mira. “Okey, jomlah. Nak makan kat mana?” tanya Zuha apabila dilihatnya Mira begitu tidak sabar hendak bergerak.

“Kat Mee Rebus Ramlee dah la,” cadang Mira.

Zuha mengangguk bersetuju.

Apabila mereka tiba di restoran Mee Rebus Ramlee, jam telah menunjukkan pukul 1.50 petang. Walaupun telah hampir pukul 2.00, tetapi masih ramai orang yang berada di kedai makan yang amat terkenal dengan mee rebus dan nasi ayamnya.

Mira mencari-cari meja yang sesuai sementara Zuha membuat pesanan di kaunter. Tidak lama kemudian, Zuha datang semula ke meja lalu duduk berdepan dengan Mira.

“Dah stail baru pulak. Tak payah beratur di kaunter. Nanti dia orang ambik pesanan kat meja,” jelas Zuha. Peluh yang berminyak di muka dilap dengan tisu kecil.

“Ya ke? Tapi lagi senang, kan. Tak payah beratur lama-lama,” jawab Mira. Dia turut mengelap peluh yang bermanik di wajahnya.

“Panas betul cuaca sekarang ni. Dah dua minggu tak hujan.” Zuha memulakan perbualan mereka setelah masing-masing terdiam beberapa minit.

Mira hanya mengangguk. Nasib baik mereka tidak menanam pokok-pokok bunga di rumah mereka. Jika tidak tentu bunga-bunga yang ditanam di dalam pasu akan cepat kering tanahnya dan perlu disiram setiap hari. Tetapi jika difikirkan, bekerja sebagai pegawai polis seperti mereka ini memang tidak boleh mempunyai komitmen seperti itu kerana panggilan bertugas mereka tidak kira masa. Kadang-kadang jika tengah malam dipanggil bertugas, mereka terpaksa akur begitu juga jika dipanggil pada awal pagi.

Itulah sebabnya pada permulaan, Ida iaitu emak Mira membantah apabila dia mahu memilih pekerjaan ini kerana dia cukup faham dengan waktu bertugas mereka. Semua ini pernah dialaminya sewaktu bapa Mira bekerja sebagai pegawai penyiasat. Jarang sekali papanya dapat bersama keluarga pada pagi raya. Dan kadang-kadang hendak bercuti pun susah. Oleh kerana Mira tetap berkeras dan mendapat sokongan padu daripada bapa dan datuknya, akhirnya Ida terpaksa mengalah.

“Hoi, panjang menung. Ingat apa?” tegur Zuha.

Mira tersentak.

“Hisy, kau ni suka buat macam tu tau. Tak ada apa-apalah. Tak sampai lagi ke nasi ayamnya?” Mira terus memanjangkan batang lehernya ke arah kaunter.

“Tu hah.. panjang umur nasi tu. Kau sebut aje dia dah sampai. Tapi, ayamnya pulak pulak pendek umur. Sikit lagi nak jadi makanan aku,” gurau Zuha.

Mira ketawa geli hati mendengar kata-kata Zuha. Jika sehari Zuha tidak ada di rumah, terasa sunyinya rumah mereka itu walaupun ruangan di dalam rumah itu tidaklah berapa besar.

Apabila semua makanan dan minuman yang dipesan telah sampai, Mira terus mencapai sudu dan garpu lalu mula menyuapkan nasi ke mulutnya. Dia memang terlalu lapar pada waktu itu.

“Amboi... kau ni lapar betul ke Mira? Lain kali aku masakkan nasi gorenglah pagi-pagi ya. Tak cukup kau makan roti aje,” tegur Zuha dengan mata buntang. Sengaja dia mengusik Mira apabila dilihatnya Mira makan begitu cepat.

“Kau jangan perli akulah. Sibuk aje. Makanlah... Hari ni aku banyak kerja, tu sebab lapar,” jawab Mira.

Zuha ketawa. Memang dia suka mengusik Mira yang lebih sopan dalam bercakap berbanding dirinya yang memang bercakap ikut sedap mulut.

“Alhamdulillah...” ucap Mira apabila dia sendawa kekenyangan. Lega dirasakannya apabila perutnya telah diisi. Dia bersandar di kerusi sementara menunggu Zuha menghabiskan air minumannya.

“Sedap kan nasi ayam kat sini. Nasi dia lembut macam pulut. Bau pun wangi. Belum makan lagi dah terliur,” komen Zuha. Mira mengangguk.

Ini lagi satu kebolehan Zuha. Dia memang pakar menilai dan mengkritik makanan. Kadang-kadang mengalahkan juri antarabangsa. Hanya dengan merasa makanan tersebut, dia dapat meneka apakah bahan-bahan yang dimasukkan.

“Kau ni sepatutnya jadi tukang masaklah Zuha.” Pernah sekali Mira memberitahunya.

“Aku memang minat memasak tapi mak bapak aku lebih suka aku kerja gomen,” jawab Zuha dengan mulut muncungnya.

“Kenapa mak bapak kita dulu ramai yang masih fikir begitu kan. Mereka rasa hidup hanya akan senang jika kerja dengan kerajaan. Apa salahnya jadi tukang masak, kan?” Mira menyuarakan pendapatnya.

Zuha hanya menjungkitkan bahunya. Dia teringatkan keluarganya di kampung. Kadang-kadang apabila difikirkan sedalam-dalamnya, dia rasa dia seperti mempunyai dua personaliti yang berbeza. Seorang sukakan kerja-kerja memasak dan kewanitaan manakala seorang lagi lebih sukakan kerja-kerja yang lasak seperti polis. Tetapi jika difikir-fikirkan semula, sebenarnya tidak mustahil untuk dia gabungkan kedua-duanya sekali.

Oleh itu, setelah berfikir semasak-masaknya Zuha memilih untuk menjadi polis dan memasak hanya dijadikan minat sahaja.

“Oi... panjang menungnya. Dahlah. Jom balik. Karang marah harimau tu,” tegur Mira sambil menarik tangan Zuha.

Zuha tersenyum apabila mendengar gelaran yang diberi oleh Mira kepada ASP Faizal.

“Kau orang berdua ni, tak habis-habis bergaduh. Kang aku kahwinkan baru tau,” selar Zuha. Dia tersengih apabila melihat wajah Mira yang kelat.

“Hisy... tak ingin aku tau,” balas Mira sambil memuncungkan bibirnya.

“Jangan tak ingin, tak ingin. Mana tahu semua ini takdir kau berdua untuk dipertemukan semula,” balas Zuha lagi kemudian mengerling wajah Mira. Dia cuba mencari reaksi spontan yang akan ditunjukkan oleh kawannya itu.

Mira hanya menggeleng. “No way, katanya.

“We’ll see,” jawab Zuha sambil mengenyitkan mata.

Previous: Bab 9
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.