Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
101,116
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Sedar tak sedar... sudah sepuluh tahun peristiwa itu berlaku. Osman telah tiada lagi di dunia ini. Kini Salina meneruskan kehidupannya bersama Faizal. Siapa sangka Faizal yang dahulunya banyak menimbulkan masalah di sekolah akhirnya telah berjaya di dalam hidupnya. Salina benar-benar bersyukur kehadrat Ilahi kerana anaknya telah berubah dan kini berjaya menjadi seorang pegawai polis dan yang paling penting menjadi seorang anak yang sangat baik dan sentiasa menjaga kebajikannya. Ke mana sahaja Faizal ditukarkan, Salina pasti akan dibawanya bersama.

“Kalau Faizal berkahwin, isteri Faizal kena terima hakikat yang mak akan sentiasa tinggal bersama Faizal. Kalau tak nak, Faizal tak akan terima dia,” ujar Faizal apabila Salina menyuarakan kebimbangannya lebih-lebih lagi Faizal masih lagi tidak mahu membincangkan mengenai kahwin.

“Mak tak nak menantu mak rasa terbeban dengan kehadiran mak nanti. Orang dah berkahwin selalunya nak privacy,” ujar Salina sambil mengusap lembut kepala Faizal.

“Apa yang terbebannya, mak? Bukankah memelihara orang tua kita satu kebajikan, malah mendapat pahala yang begitu besar daripada ALLAH?” jawab Faizal.

“Itu kata Faizal,” jawab Salina lagi.

“Sebagai isteri, dia kena dengar cakap suami. Kalau dia membantah, maka dia bukan isteri yang baik. Perempuan yang begitu, tidak sesuai untuk dijadikan isteri mak. Lagipun, mak tak akan bebankan sesiapa. Faizal kan dah ambil pembantu rumah. Jadi tidak ada alasan untuk isteri Faizal nak merungut lagi,” jelas Faizal lagi. Dia mempunyai pendiriannya sendiri tentang gadis pilihan yang akan menjadi suri hidupnya nanti. Biar wanita itu tidak cantik di pandangan matanya tetapi cantik budi bahasanya.

Sejuk hati Salina mendengar kata-kata Faizal. Salina mengusap lembut rambut Faizal apabila Faizal baring dan meletakkan kepalanya atas ribaan Salina. Tidak lama, kemudian Faizal bangun memicit kaki Salina.

“Kaki mak lenguh lagi?” tanya Faizal sambil menuangkan beberapa titis minyak hijau ke tapak tangannya.

“Kurang sikit dah sejak Mak Lijah tu urut,” jawab Salina sambil tersenyum.

“Ituah mak... malam-malam masa nak tidur, pakailah selimut. Tak pun pakai stoking. Kaki mak tak tahan sejuk,” nasihat Faizal sambil tangannya terus mengurut kaki emaknya.

“Yalah... mengalahkan doktor pula anak mak ni,” jawab Salina kemudian ketawa kecil.

Faizal ketawa apabila diusik begitu.

“Kalau mak ada menantu kan senang. Boleh jugak teman-temankan mak kat rumah.” Salina memancing lagi topik yang sering ditepis oleh Faizal.

“Faizal kan ada. Kan kita sedang berbual-bual sekarang ni,” ujar Faizal sambil mengerling wajah emaknya yang semakin dimamah usia.

“Lelaki lain... sembang dengan perempuan lain,” jawab Salina masih cuba untuk memujuk hati lelaki Faizal supaya kasihankan dirinya dan memenuhi permintaannya.

“Apa yang lainnya mak? Mak tak suka ya bercakap dengan Faizal.” Sengaja Faizal membuat nada merajuk.

Salina ketawa kecil. Diusapnya lagi rambut Faizal sambil menggeleng.

“Ada ke macam tu. Bukan apa, kalau Faizal dah kahwin mesti mak akan dapat cucu tak lama lagi. Nanti semakin meriahlah rumah kita ni,” jelas Salina.

“Insya-allah, mak. Kalau dah sampai seru, dah jumpa jodoh Faizal, dapatlah mak menantu ya,” jawab Faizal sambil terus memicit-micit kaki Salina.

“Janganlah lama-lama sangat Faizal. Kalau dah jumpa yang berkenan tu, bawaklah jumpa mak ni.”

“Ish... mak ni. Nak pilih isteri bukan macam pilih baju kat pasaraya. Suka saja terus ambik. Kita kena kaji betul-betul mak, banyak aspek kena nilai sebab kahwin ni bukan perkara main-main mak. Faizal nak perkahwinan yang akan Faizal tempuhi, sekali sahaja dalam hidup Faizal mak sebab Faizal tak nak sia-siakan isteri Faizal.”

Salina mengangguk. Ada getaran di dalam hatinya kerana dia cukup faham apa yang dikatakan oleh Faizal sebentar tadi. Membesar dengan pengalaman melihat emaknya sendiri disia-siakan oleh seorang suami membuatkan Faizal bertekad untuk tidak melakukan perkara yang sama seperti dilakukan oleh ayahnya.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha