Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
101,121
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Salina baru selesai menunaikan solat Isyak. Dia membuka telekung yang menutupi bahagian atas tubuhnya kemudian melunjurkan kakinya yang telah merasa kebas. Urat-urat hijau makin jelas kelihatan di betisnya. Dengan begitu payah, dia cuba bangun dari duduknya. Lututnya terasa lenguh-lenguh. Terdengkut-dengkut Salina berjalan menuju ke tepi katil.

‘Beginilah kalau dah tua, sana sakit, sini sakit,’ keluh Salina sambil melipat telekung lalu disangkutkan di tempat penyidai.

Salina melabuhkan pula punggungnya di birai katil. Bantal besar di sisi ditepuk-tepuk beberapa kali. Kemudian perlahan-perlahan dia merebahkan tubuh tuanya ke atas katil. Dia mengerling jam yang terletak di atas meja kecil di sisi katil. Hampir pukul 10.00 malam. Petang tadi Faizal menelefonnya dan memaklumkan akan pulang agak lewat kerana terlibat dengan operasi. Jadi dia tidak perlu menunggu anaknya untuk makan malam bersama pada malam ini.

Berkumat kamit mulut Salina membaca beberapa potongan ayat al-Quran sebelum tidur. Memang itulah yang selalu dilakukannya sebelum tidur. Ustaz Malik yang hadir dua minggu sekali untuk mengajar ilmu agama kepada penduduk di kawasan perumahan mereka sering mengingatkan mereka tentang kelebihan membaca surah al-Ikhlas walau di mana sahaja mereka berada.

Kata Ustaz Malik, “Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah. Antara marhumnya: “Wahai Aisyah isteriku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Quran.” Aisyah lalu berkata, “Wahai suamiku, saya tidak mampu khatam Al-Quran sebanyak 30 juzuk itu.”

Apabila mendengar kata-kata Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w tersenyum lalu menjawab, “Barang siapa yang membaca tiga kali surah al-Ikhlas sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Quran keseluruhannya.”

Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., “Siapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali.”

Sejak itulah, Salina mengamalkannya setiap hari lebih-lebih lagi sejak dia mula merasakan tekanan hidup bersama Osman. Hanya solat, al-Quran dan Faizal sahaja yang menjadi pengubat segala kesengsaraan yang ditanggungnya sejak dia mula bergelar isteri.

Salina mengeluh panjang. Wajah Osman yang berkulit hitam dan bertubuh tinggi dan besar terbayang di wajahnya. Walau Osman banyak menyakiti hatinya dan tidak pernah melayannya dengan baik sebagai seorang isteri, namun dia tidak dapat menafikan masih ada perasaan sayang di hatinya untuk lelaki bergelar suaminya itu. Sehingga akhir hayat suaminya itu, dia tidak pernah berhenti mengharap agar suatu hari nanti Osman akan berubah dan menerima dirinya sepenuh hati.

Salina membawa dirinya jauh ke zaman silamnya. Semasa pertama kali dia melihat potret Osman yang diserahkan oleh emak kepadanya, dia sudah jatuh cinta pada bakal suaminya. Dia sentiasa membayangkan dan mengangankan rumah tangga yang bahagia dengan kehadiran beberapa cahaya mata yang comel. Tetapi rupanya angan-angannya hanya sebuah mimpi sahaja. Realitinya sungguh berbeza. Osman yang diharapkannya akan menjadikan mimpinya satu realiti bertindak sebaliknya dengan melakarkan satu kenangan yang begitu pahit untuk diingati di dalam hidupnya.

Di sepanjang perkahwinan mereka, Osman hanya menyentuhinya apabila nafsunya tidak dapat dikekang. Selepas memuaskan nafsunya, Osman akan bangun begitu sahaja meninggalkannya terkebil-kebil kehausan di atas katil. Dan selepas itu hanya air mata sahaja yang menjadi peneman tidur Salina.

Tetapi Alhamdulillah... ALLAH itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Hubungan badan sekali sekala itu telah membuahkan hasil yang amat diharapkan oleh Salina. Dia gembira apabila disahkan mengandung. Di waktu itu Salina masih berharap kehadiran anak mereka akan mengubah sikap Osman tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Osman masih seperti dulu. Malah sikap dinginnya semakin lama semakin membeku seperti bongkah ais di Atlantik yang tidak mungkin cair. Dan akhirnya… lama kelamaan, Salina juga menjadi semakin pasrah. Dia mula menguatkan hatinya dan mendekatkan diri kepada ALLAH untuk mencari kekuatan diri. Kalau dahulu dia sering meratapi apa yang terjadi padanya, tetapi kini dia semakin kuat dan bersabar dengan setiap yang berlaku.

Faizal, yang merupakan satu-satunya anak lelaki yang mereka ada, dididik sebaik mungkin agar tidak sesekali mewarisi sikap ayahnya. Tetapi dia sedar, semakin meningkat remaja, jiwa Faizal semakin memberontak apabila melihatkan sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Apa guna ada ayah kalau tidak bertanggungjawab pada keluarga?” marah Faizal apabila ayahnya menampar dia pada pagi itu. Bengkak bibir Faizal akibat dicium oleh tapak tangan kasar Osman. Semuanya hanya kerana Osman terlalu marah apabila bola yang ditendang oleh Faizal terkena pada cermin keretanya dan pecah berderai.

“Faizal… tak baik cakap macam tu,” pujuk Salina lagi. Dia tahu sudah banyak kali dia memujuk dengan ayat yang sama sehinggakan Faizal juga sudah muak mendengar nasihatnya.

“Faizal bukannya sengaja nak pecahkan cermin kereta dia tu mak,” luah Faizal dengan wajah yang sedih. Air mata bergenang di pipi Faizal. Sakit kesan tamparan ayahnya tadi masih berbisa di pipinya. Jika tidak difikirkan yang lelaki itu adalah ayahnya, mahu sahaja dia membalas tamparan itu.

Salina hanya mampu menggeleng mendengar kata-kata Faizal. Pipi Faizal yang merah diusapnya perlahan dengan tapak tangannya. Dia turut sebak kerana sejak melahirkan Faizal, tidak pernah dia mengasari anaknya itu. Tetapi suaminya yang hanya pulang sekali sekala sahaja ke rumah mereka pula yang seringkali ringan tangan memukul dan menampar Faizal.

Sudah habis kata-kata Salina untuk menasihati Faizal. Dulu semasa Faizal masih kecil, dia boleh mendiamkan dan memujuk Faizal dengan alasan-alasan sebegitu. Tetapi Faizal bukan lagi anak hingusan yang boleh diperbodoh-bodohkan.

Air mata Salina bergenang. Dia sendiri sudah tidak mampu menanggung bebanan perasaan ini sebenarnya. Bukan sehari dua suaminya bersikap begitu malah sejak awal perkahwinan mereka lagi. Perkahwinan yang diatur keluarga ini bukanlah menjanjikan kebahagiaan sebaliknya penderitaan yang berpanjangan buat Salina. Dalam dia mengharapkan dapat menambahkan pahalanya sebagai seorang isteri, semakin pula dia rasa dosa-dosanya bertambah kerana ada ketikanya dia mengutuki lelaki itu. Mana tidaknya, dia sering ditinggalkan kesepian seorang diri di rumah. Alasan suaminya sama sahaja, terlalu sibuk dengan tugas pejabat yang tidak pernah surut.

Setiap hari hanya air mata sahaja menjadi penemannya saban hari. Salina sering berfikir, apa salahnya? Apa dosanya? Bertahun-tahun dia cuba menilai dirinya sendiri. Apa yang kurang pada dirinya, apa yang cacat pada dirinya, apa yang tidak sempurna dirinya pada mata suaminya? Hendak bertanya, dia terlalu takut kerana suaminya seorang yang panas baran. Pantang sekiranya dia menyoal tentang apa sahaja tindakan suaminya itu. Akhirnya Salina mengambil sikap berdiam diri, mendekatkan diri dengan ALLAH, bermuhasabah dan berfikir secara positif. Ya... semua yang berlaku tentu ada hikmah-NYA. Dan dia tetap sabar menunggu hikmah ALLAH kepadanya. Salina yakin, jika dia tidak sempat menerimanya di dunia, mungkin dia akan memiliknya di akhirat nanti.

Kini dugaan menimpa lagi dan Salina tetap redha menerimanya. Suami yang jarang-jarang pulang ke rumah tiba-tiba sahaja telah menunjukkannya satu borang. Apabila diamati, jantung Salina rasa bagai ditarik-tarik dengan rakus. Tubuhnya bergetar, peluh bermanik di wajahnya. Perasaan cemburu dan marah berbolak balik dalam hatinya.

“Tandatangan saja di bawah tu.”

“Kenapa bang?” tanya Salina setelah begitu lama kata-kata itu tersimpul di dalam fikirannya.

“Jangan banyak tanya! Aku tak mintak pandangan kau. Tandatangan aje.”

Hati Salina semakin sebak, kolam hatinya semakin berkocak-kocak. Semakin lama semakin bergelombang dan akhirnya air tersebut melimpah keluar dari celahan kelopak matanya. “Abang... selama kita berkahwin saya tidak pernah mempersoalkan segala tindak tanduk abang. Ke mana abang pergi, dengan siapa abang keluar dan apa yang abang lakukan. Tapi hari ini bang, cuma untuk hari ini saya ingin tahu kenapa abang mahu berkahwin lain sedangkan tanggungjawab abang di rumah ini pun banyak yang abang gagal laksanakan dan tunaikan.

Abang minta saya izinkan abang berkahwin lain, sedangkan kami di rumah ini sendiri gersang dengan kasih sayang dan belaian abang. Nafkah zahir dan batin saya pun gagal abang lunaskan tetapi kini abang mahu menambahkan tanggungjawab abang sebagai seorang suami kepada wanita lain. Mampukah abang bersikap adil sedangkan dengan keluarga yang sedia ada juga abang tidak mampu bersikap adil?” Suara Salina yang pada mulanya perlahan semakin lama semakin kuat memukul gegendang telinga Osman.

“Berani kau menjawab ya! Siapa yang ajar kau menjadi biadap sampai macam ni?! Ini ke yang kau belajar setiap hari bila kau pergi masjid kat depan tu? Selama ini aku izinkan kau keluar sebab kau kata kau nak pergi mengaji Quran dan belajar agama. Tapi ini ke yang kau belajar selama ni? Belajar melawan suami? Setiap apa yang aku lakukan adalah hak aku sendiri! Aku suami dan aku boleh melakukan apa sahaja yang aku suka! Lainlah kau! Isteri kena sentiasa patuh kepada arahan suaminya! Kalau mak kau meninggal dunia sekalipun, kalau aku tak bagi melawat, kau tak boleh pergi tau tak. Jadi sedar diri tu sikit!” bentak Osman sambil dua tiga kali menujah nujah kepala Salina dengan jari telunjuknya.

“Abang! Saya ni isteri abang. Bukannya barang perhiasan dalam rumah ni. Buat apa abang setuju kahwin dengan saya dulu kalau abang tak suka saya?” Kali ini suara Salina semakin kuat. Salina juga menepis tangan Osman yang masih lagi mahu menunjal kepalanya.

“Kau jangan salahkan aku! Yang kau sendiri tak menolak kenapa? Kenapa kau yang gatal-gatal sangat nak jadi bini aku?” bentak Osman lagi. Matanya bulat memandang wajah Salina yang diselubungi kesedihan. Air mata yang berguguran di mata wanita itu langsung tidak berjaya mencairkan keegoaan di hatinya.

“Astaghfirullah...” Salina mengucap panjang. Kenapa dia juga dipersalahkan dalam hal ini? Kenapa pula dia yang harus menolak sedangkan dia tidak ada masalah hendak menerima lelaki asing itu dalam hidupnya?

“Abang... saya sanggup terima abang walaupun saya tidak kenal abang sebab saya tidak ada apa-apa masalah untuk berkahwin. Saya tidak menyukai orang lain dan saya sanggup membuka pintu hati saya untuk suami yang telah saya nikahi. Saya berikrar akan menjadi seorang isteri yang baik untuk abang selepas kita berkahwin. Tetapi tengoklah diri abang. Abang takut untuk membantah kehendak ibu bapa abang tetapi menjadikan saya mangsa di dalam perkahwinan ini. Kalau abang benar-benar sudah tak mahukan saya lagi, buat apa abang seksa saya macam ni, bang. Mengikat saya sebagai seorang isteri tetapi tidak melayan saya seperti yang sepatutnya saya berhak dilayani,” jawab Salina dengan deraian air mata yang semakin lebat. Hatinya hancur luluh mendengar kata-kata Osman.

“Sudah! Kau jangan banyak cakap lagi. Tandatangan cepat borang tu. Minggu depan aku nak nikah,” gesa Osman sambil menunjukkan borang yang terletak di atas meja kopi.

Salina sudah malas hendak bertekak dengan Osman. Jika lelaki itu hendak berkahwin sehingga empat sekalipun dia sudah tidak peduli. Hatinya sudah tawar hendak mempertahankan pendiriannya lagi. Mungkin benar, lebih baik sekiranya lelaki ini tidak pulang ke rumah mereka. Biarlah jika dia digantung tidak bertali asalkan dia memperolehi ketenangan dan mempunyai masa yang lebih banyak untuk beribadat kepada ALLAH. Dengan tangan yang menggeletar, Salina mengambil pen yang terletak di sebelah borang tersebut dan terus menurunkan tandatangan.

Dengan pantas, tanpa perkataan terima kasih, Borhan terus merampas borang tersebut dan melangkah keluar dari rumah. Salina hanya memerhati dengan pandangan kosong mengiringi pemergian lelaki itu.

‘Biarlah jika itu kehendakmu bang,’ bisik Salina sendirian.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha