Faizal
menarik nafas panjang. Kenangan bersama Amira Saira telah lama berlalu dan kini
bayangan wajah bapanya pula muncul di skrin fikirannya. Walau telah lama lelaki
itu bersemadi di liang lahat namun memori yang ditinggalkannya agak sukar
dikikis. Memang benar kata bapa Aswazi, mereka berdua mempunyai pertalian darah
dan dia sendiri wujud dari air mani bapanya. Itu sesuatu yang dia tidak dapat
nafikan kesahihannya. Oleh kerana itu, walau betapa dalam perasaan marahnya
terhadap lelaki itu, dia tetap tidak dapat membuang lelaki itu dari dalam
dirinya dan dia akan setiasa mengingati lelaki itu kerana nama lelaki itu akan
sentiasa dibawanya bersama sampai bila-bila. Dia adalah Faizal bin Osman. Sampai
bila-bila pun nama “Osman” itu akan kekal bersama-samanya.
Faizal
menoleh ke kiri meja. Satu-satunya potret mereka sekeluarga yang dirakamkan
sewaktu majlis perkahwinan maksu terletak di atas meja sisi berdekatan
komputer. Kenangan pahit bersama bapanya bertamu lagi di ruangan fikirannya.
“Apa lagi
yang dah kau buat kat sekolah ha Faizal? Anak tak guna. Tak habis-habis
menyusahkan mak bapak!!!” tengking Osman apabila kelibat Faizal muncul di muka
pintu.
Faizal yang
masih lagi keletihan setelah berbasikal pulang dari sekolah amat terkejut
mendengar suara bapanya yang kuat. Apa kena pulak orang tua ni....rungut Faizal
dalam hatinya. Dia tidak terus masuk ke rumah tetapi hanya duduk di muka pintu
rumah. Dia langsung tidak menyangka bapanya akan balik ke rumah hari ini
setelah lebih dua minggu menghilang tanpa khabar berita. Nasib baik emak
bekerja sebagai seorang kerani di pejabat sekolah. Walaupun bapa mereka tidak
memberikan wang untuk berbelanja namun gaji emak masih mampu menyara kehidupan
mereka. Kadang-kadang Faizal rasa lebih bagus sekiranya bapanya tidak balik
langsung ke rumah mereka. Kalau balik
pun hanya menyakitkan hati saja.
“Oi! Aku ni
cakap dengan kamu. Bukan cakap dengan dinding!” tengking Osman lagi sambil
bercekak pinggang. Perutnya yang besar bergoyang-goyang apabila dia menjerit
begitu. Berdesing telinga Faizal menangkap butir-butir kata dari bapanya.
‘Ah, kan
senang kalau mak ada. Tentu mak akan membantunya di saat ini,’ bisik hati
Faizal. Cahaya panas di waktu tengahari terasa semakin membahang disebabkan
kemarahan bapanya.
Faizal
memanjangkan wajahnya ke seberang jalan, amat-amat berharap tiba-tiba emak
balik awal dari waktu kerjanya yang biasa. Bagi Faizal, hanya emak yang kenal
siapa dia kerana hanya emak saja yang telah memainkan peranan sebagai ibu bapa
kepadanya. Baginya, bapa hanya menyumbang air mani sahaja tetapi tidak langsung
memainkan peranan sebagai bapa yang sebenarnya kepada dia. Sejak kecil dia
tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang bapa. Jika kanak-kanak lain
riang bermain dengan bapa mereka, Faizal hanya ada seorang ibu yang tidak
kurang kasih sayangnya. Jika kawan-kawannya menceritakan bahawa mereka pergi
menonton perlawanan bola sepak dengan bapa mereka, Faizal hanya menelan liur
cemburukan keseronokan yang mereka alami. Kenapa bapanya begitu? Kenapa dia
tidak dipedulikan oleh bapa sendiri? Seringkali dia bertanya soalan itu kepada
emak. Jawapan emak sama sejak dulu. Ayah Faizal sibuk...sibuk dengan
kerja-kerja di pejabat untuk cari duit yang banyak. Apa gunanya kekayaan yang
melimpah ruah tetapi gersang dengan kasih sayang? Dan kini, dia dapat tahu yang
ayahnya telah berkahwin lain. Sudahlah masa dengan anak sendiri tidak pernah
ada yang terluang, kini menambahkan lagi kesibukan yang ada dengan seorang lagi isteri.
“Tummm!!!”
Faizal
terkejut apabila pintu di belakangnya berbunyi kuat. Dia bingkas bangun dan memandang wajah ayahnya yang sedang
bercekak pinggang di hadapannya. Dengan berjubah panjang hijau dan berkupiah
putih, wajah ayah menyinga terhadapnya. Janggut sejemput di bawah dagu
bergoyang-goyang mengikut gerak bibir lelaki berbadan tegap itu.
“Ngapa kamu
biadap sangat ni Faizal? Ayah kan cakap dengan kamu? Kamu dah jadi pekak ke?”
Marah sungguh Osman dengan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh Faizal.
Ayah? Faizal
mahu ketawa apabila lelaki itu membahasakan dirinya ayah. Buat apa mengaku diri
sebagai ayah tetapi langsung tidak memainkan peranan “ayah” itu yang
sebenarnya? Faizal benar-benar meluat.
“Apa yang
saya buat? Saya tak buat apa-apa pun....,” jawab Faizal selamba. Dia melangkah
masuk ke dalam rumah lalu duduk di sofa di ruang tamu. Tidak menghiraukan
renungan tajam bapanya yang masih tercegat di pintu rumah.
“Tak ada buat
apa kau kata. Macam-macam yang ayah dengar tentang kamu. Kamu usik anak dara
orang, kamu merokok, kamu menconteng dinding-dinding sekolah, kamu lepak
sana-sini. Apa kamu nak jadi hah?” tengking Osman lagi.
Faizal
tersenyum sinis. Pelik apabila lelaki ini mengambil tahu apa yang telah
dilakukannya. Selama ini di mana dia apabila Faizal memerlukannya? Di mana dia
ketika Faizal terjatuh dari basikal dan perlukan bantuan untuk membawanya ke
hospital kerana lututnya luka besar terkena batu? Di mana lelaki ini tatkala
guru-guru mahukan ayahnya datang untuk berbincang tentang anak-anak? Di mana?
Di mana?
Faizal mahu
menjawab kata-kata ayahnya dan meluahkan segala ketidakpuashatiannya selama ini
tetapi kata-kata nasihat ibu yang terngiang-ngiang di telinganya membantutkan
niatnya. Faizal terus bangun melangkah
ke bilik tidurnya. Dia terus menghenyakkan tubuhnya ke katil bujang dan menekup
bantal besar ke wajahnya. Malas dia mendengar suara bapanya yang terjerit-jerit
memanggilnya dari luar bilik. Ketukan
yang bertalu-talu di luar pintu biliknya juga tidak dihiraukannya lagi. Agak
lama dia membiarkan perkara itu dan Faizal lega apabila akhirnya lelaki itu
mengalah. Faizal semakin lega apabila mendengar pintu rumah ditutup dengan kuat
dan kemudiannya deruman kereta lelaki itu kedengaran semakin jauh dari perkarangan rumah mereka.