Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
45,584
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Selesai sahaja kuliah, Isma dan Kartini terus sahaja pulang ke asrama. Sebelum naik ke bilik, mereka pergi ke dewan makan untuk makan tengahari. Itulah jadual seharian mereka sejak dua minggu yang lepas, dan jadual ini jugalah yang akan mereka ikuti sehingga akhir pengajian mereka.

“Terimakasih Tini, kalau engkau tak tolong, memang siap le aku kena bamboo dengan Puan Maimon tu,”

“Itulah..lain kali buat homework. Ini tak habis-habis tengok tv, lepas tu sms. Tiap-tiap malam pulak tengok Akademi Fantasia. Semua tu bukannya masuk periksa. Bila masa pulak nak baca buku. Dah lama dah salinan kes tu aku letak atas meja, kenapa tak baca?” marah Kartini. Sikap Isma masih tidak berubah sejak dari sekolah.

Sorry ya kawan. Lepas ni aku janji tak buat lagi,” rayu Isma kemudian dia mengerutkan wajahnya dan matanya dijulingkan.

Perbuatannya memang menjadi kerana akhirnya ketawa Kartini meledak. Satu tepukan hinggap di bahu Isma.

“Aduuhhh!!” Isma menjerit.

“Padan muka. Ini untuk hutang aku tadi. Lain kali aku tak nak tolong. Pandai-pandailah jawab dengan singa tu,” bebel Kartini lagi manakala Isma hanya tersengih-sengih.

Isma tahu hati Kartini, hanya di mulut sahaja kata tidak tetapi hatinya tidak begitu. Kartini memang telah banyak membantunya sejak dari mereka bersekolah lagi terutama sekali dalam hal pelajaran dan boleh dikatakan Kartini telah menjadi guru tuisyen tidak rasmi kepadanya sejak dari sekolah menengah.

Selesai makan, mereka berdua melangkah keluar dari dewan makan dan ingin berlalu ke bilik masing-masing. Belum sempat mereka berdua memijak kaki tangga, tiba-tiba satu suara garau memanggil nama Isma dari belakang.

Isma menoleh kemudian senyum terukir lebar di bibirnya. Isma terus menarik lengan Kartini di sebelahnya.

“Engkau je lah pergi. Aku naik dulu…,” elak Kartini apabila Isma menghalangnya dari meneruskan langkah.

“Marilah ikut sekali. Abang bukan nak jumpa aku sorang,” jawab Isma.

Lelaki itu semakin menghampiri mereka. Isma menghulurkan tangannya kemudian terus menyalami Syed Faizul.

“Abang dari mana?” Tanya Isma.

Syed Faizul yang tampan berbaju kemeja putih dan berseluar panjang hitam tersenyum memandang gadis-gadis di hadapannya. Kartini pula tertunduk malu apabila pandangan mereka bertaut. Dadanya berdebar kencang.

“Abang ada meeting dengan client tadi. Dekat Bangsar. Alang-alang dekat dengan dengan UM, abang rasa nak singgah tengok adik abang ni,” jawab Syed Faizul tetapi matanya menjeling ke arah Kartini.

“Nak jumpa adik abang ke….atau nak jumpa orang yang di sebelah Isma ni?”

Usikan Isma menyebabkan satu cubitan hinggap di lengannya. Isma ketawa kemudian cepat-cepat lari dari Kartini. Dia memeluk lengan Syed Faizul. Syed Faizul tersenyum apabila wajah Kartini merona merah. Sesungguhnya dia sukakan gadis itu. Wajah Kartini kelihatan lembut tetapi sebenarnya dia seorang gadis yang amat tegas dalam pendirian. Bijak dan aktif dalam pelajaran dan kokurikulum di sekolah…dan segala-galanya tentang Kartini membuatkan dia memasang hajat untuk lebih rapat dengan gadis itu.

“Abang nak jumpa dua-dua. Kartini pun kawan Isma jugak kan. Kita kan dari kampong yang sama…,” jawab Syed Faizul masih bertapis.

Kali ini ada senyuman terukir di bibir Kartini. Cukup manis lebih-lebih lagi diserikan dengan sebutir tahi lalat di tengah-tengah dagu lekuknya.

“Dah makan ke?” Tanya Syed Faizul lagi.

Isma mengangguk.

“Baru je lepas makan,”

“Hmmm…abang ingat nak belanja makan pizza tadi. Abang lapar, tak makan lagi…,” Syed Faizul mengerutkan dahi, pura-pura membuat muka kasihan kemudian memegang perutnya pula.

“Kenapa tak makan?” Tanya Isma.

“Abang ingat nak makan dengan Isma dan….Tini,” jawab Faizul.

Kesian pulak Isma mendengarnya. Isma memandang ke arah Kartini. Meminta simpati agar Kartini mengikutnya sekali. Kartini mengerutkan dahinya. Cuba menggelengkan kepala namun lehernya terasa keras apabila dilihatnya wajah Syed Faizul sayu memandangnya penuh mengharap.

Isma memaut lengan Kartini.

“Jomlah ikut kami, kesian kat abang…,” rayu Isma. Dan seperti biasa Kartini kalah dengan rayuan Isma. Syed Faizul tersenyum kemudian mengenyitkan mata ke arah Isma. Isma tersenyum lebar.

Mereka bertiga melangkah ke arah kereta Faizul yang diparkir di hadapan asrama. Kartini cepat-cepat membuka pintu di bahagian belakang sebelum Isma sempat memainkan peranannya sebagai orang tengah lagi. Kartini tahu jika dia tidak cepat bertindak, alamatnya dia akan disuruh duduk di hadapan bersebelahan Faizul.

“Tini duduk depanlah…,” rungut Isma.

Kartini menggeleng kepala lalu terus melabuhkan punggungnya ke tempat duduk belakang. Faizul hanya menjungkit bahu. Masih banyak masa lagi…..bisik Faizul sendiri.

Di dalam kereta, Isma dan Faizul rancak berbual. Kartini pula lebih suka melayan perasaannya sendiri dengan memerhatikan keadaan di luar kereta. Bangunan-bangunan mencakar langit dan aliran trafik bertali arus sudah memang cukup sebati dengan bandaraya Kuala Lumpur ini. Mampukah dia bersaing dengan kemajuan pesat yang sedang dialami oleh bandaraya ini? Kadang-kadang Kartini merasa lemas, di sini semuanya serba pantas sehinggakan seringkali dia merasa rindu dengan kampong halamannya di Padang Rengas terutamanya deruman air tejun di Lata Hitam yang sering dikunjunginya bersama Isma.

“Tini menungkan apa?”

Teguran Syed Faizul menyebabkan lamunan Kartini terhenti. Segera dia menolehkan pandangannya ke hadapan, menatap wajah tampan Faizul daripada sisi. Kartini menggeleng kepala. Senyuman yang terukir di bibir lelaki itu benar-benar menggetarkan jiwanya kali ini. Entah kenapa jiwanya resah.

“Dia ingat kampung lah tu…,” Isma pula tolong menjawab. Kartini hanya tersenyum pendek.

“Nanti hujung minggu, boleh balik kampung. Kalau Tini tak keberatan, boleh tumpang abang. Isma pun mesti nak balik kampung jugak,” saran Faizul cuba mencari jalan untuk lebih selalu berjumpa dengan Kartini.

“Terima kasih,” itu sahaja jawapan yang mampu difikirkan oleh Kartini pada waktu itu.

“Ha, kita dah sampai. Kat sini banyak tempat makan. Tini nak makan apa?” Tanya Faizul lagi, cuba memancing suara lunak Kartini yang begitu payah untuk didengar.

“Tanya Tini je? Is macammana?” rengek Isma pura-pura merajuk apabila perhatian Faizul lebih bayak kepada Kartini.

Faizul tergelak kemudian memandang ke belakang melalui cermin pandang belakang. Dia mencari-cari sinaran mata Kartini dan akhirnya bertemu. Kartini tergamam. Seketika mata mereka bersatu. Dan Kartini rasa dia semakin tewas dengan godaan Faizul yang selama ini cuba ditolaknya jauh-jauh dari hatinya. Ada senyuman yang terukir di bibir merah lelaki itu, dan tanpa sedar, Kartini membalasnya.

“Is nak makan pizza”, tiba-tiba Isma membuat keputusan tanpa ditanya. Syed Faizul mengangguk lalu terus mencari parking yang berdekatan. Nasib mereka baik kerana dapat satu tempat parking yang agak berdekatan dengan restoran Pizza Hut.

Apabila turun, Faizul terus membukakan pintu kereta untuk Kartini. Isma tersenyum kemudian berjalan pantas di hadapan sengaja meninggalkan mereka berdua. Kesempatan itu digunakan oleh Faizul untuk berjalan beriringan dengan Kartini.

“Tini makin cantik sekarang, lebih-lebih lagi selepas bergelar mahasiswi,” komen Faizul menyebabkan Kartini malu. Merah mukanya dengan pujian itu. Nasib baik Isma tidak mendengar, jika tidak pasti Isma akan mengusiknya lagi.

Tiba di dalam restoran Pizza Hut, Isma telah memilih sebuah meja berdekatan dengan cermin. Kartini duduk di sebelah Isma manakala Faizul di hadapan mereka. Tidak lama kemudian pelayan wanita datang membawa menu untuk mengambil pesanan.

“Isshhh…sedapnya. Is nak pizza Hawaiian Supreme. Nak mushroom soup and seafood lasagna,”

“Banyaknya makan. Nanti gemuk baru padan muka,” balas Faizul kemudian ketawa dengan sikap Isma.

“Biar hidup gembira, jangan mati tak makan…,” bidas Isma.

Kartini ketawa sambil menggeleng kepala. Menjadi anak bongsu dan anak tunggal perempuan menyebabkan Isma membesar menjadi seorang anak gadis yang begitu manja dan kuat merajuk.

So macammana study?” Tanya Faizul kepada Kartini dan Isma.

“Okey,” jawab Isma riang.

“Tini?”

“Alhamdulillah, boleh…,” jawab Tini teratur.

Faizul tersenyum lagi. Suara merdu Tini kini dapat didengarinya dan akan senantiasa menjadi melodi yang paling indah untuk dikenang.

“Ha…dah sampai pun…,” kata Isma apabila pelayan mula meletakkan makanan-makanan yang mereka telah pesan sebentar tadi.

“Hmm….sedapnya…,”

Faizul tergelak dengan gelagat adiknya itu.

“Tadi kata dah makan. Larat ke nak makan lagi ni?” usik Faizul kepada Isma tetapi matanya lebih banyak mengerling pandang wajah Tini sehingga menyebabkan Tini tidak senang duduk.

“Tak apa…,boleh isi lagi ni,” jawab Isma kemudian terus mengambil sepotong pizza lalu diletakkan ke dalam pinggannya.

“Emmm sedapnya. Eh abang, Tini, makanlah. Dah sejuk nanti tak sedap,”

Sekali lagi Tini tergamam apabila Faizul meletakkan sepotong pizza ke dalam pinggannya. Isma yang sedang leka makan buat-buat tidak nampak dengan aksi mesra yang ditunjukkan oleh abangnya.

Selepas lebih kurang sejam menghabiskan masa di Pizza Hut Bangsar, Syed Faizul menghantar mereka pulang semula ke kolej. Sebelum Kartini melangkah keluar, Syed Faizul sempat menyerahkan satu nota yang tercatat nombor telefon bimbitnya kepada Kartini.

Call abang kalau ada masa,” pesan Syed Faizul dengan senyuman penuh makna.

“Insyaallah…,” jawab Tini pendek tetapi cukup membuatkan hati Faizul senang.

Kartini menggenggam erat kertas tersebut kemudian memasukkannya ke dalam poket seluar. Isma pula awal-awal lagi telah meninggalkan mereka. Kartini pula terasa agak kekok berada berdua dengan lelaki itu walaupun sebenarnya mereka telah lama mengenali antara satu sama lain.

Kartini memandang kereta Faizul yang bergerak keluar dari perkarangan asrama kedua. Bibirnya menguntum senyuman. Aneh sungguh perasaannya kali ini terhadap Faizul. Kalau di kampong mereka hanya bertentang mata dari jauh dan hanya menyapa sekali sekala namun kini Kartini dapat merasakan bahawa Faizul cuba mendekatinya dengan lebih rapat. Mungkin juga kerana di sini mereka agak bebas berbanding semasa di kampong kerana di kampong makcik Sharifah sering menjadi pengintip tidak rasmi apa yang berlaku kepada anak bujangnya itu.

Tiba di bilik, Kartini menghempaskan tubuhnya ke katil. Rasa penat menyelinap ke seluruh tubuhnya kerana sejak balik dari kuliah tadi dia belum lagi dapat berehat di dalam biliknya. Aishah, teman sebiliknya tidak ada, mungkin keluar dengan kawan-kawannya yang lain.

Setelah lebih kurang dua puluh minit berehat di katil, Kartini bangun menuju ke bilik air untuk mandi. Dia membawa bersama satu baldi yang berisi sabun dan berus untuk membasuh pakaiannya. Tiba di bilik air, kelihatan beberapa siswi lain yang turut tinggal di tingkat yang sama sedang menunggu giliran masing-masing. Ada yang menunggu giliran untuk mandi, ada yang hanya membasuh kain, dan ada juga yang sedang menyidai kain.

“Hai Tini,” sapa Maznah yang belajar di fakulti ekonomi.

“Hai, dah mandi?” Tanya Kartini apabila dilihatnya Maznah hanya berkemban dengan kain batik.

“Belum lagi. Basuh baju dulu,”

Kartini mengangguk lalu dia merendam semua pakaiannya yang dipakai untuk hari itu. Sabun ditabur lalu buih-buih tebal berwarna putih bersih memenuhi baldinya. Kartini mengambil pakaiannya lalu diberus kemudian di bilas. Pakaian-pakaian yang telah siap dibasuh kemudian disidai sahaja di dalam bilik air itu di mana mereka telah meregangkan beberapa utas tali sebagai penyidai.

Setelah selesai mandi, Kartini berjalan masuk semula ke dalam biliknya. Dia memakai pakaian bersih kemudian bersiap sedia untuk mengerjakan solat Asar. Usai solat Asar, Tini merebahkan tubuhnya yang kepenatan ke atas katil. Tangannya melintang di dahi. Ingatannya berlari ke arah emak di kampung. Apa agaknya yang sedang emak buat di waktu ini? Bisik hati Tini. Perasaan rindu semakin membuak. Air mata mengalir lesu di sudut mata Tini. Dibiarkannya sahaja ia kering sendiri.

“Alamak!!!” tiba-tiba Kartini melompat bangun dari katil. Dia terus berlari menuju ke bilik air. Seluar jeans yang baru dibasuh sebentar tadi ditarik kemudian tangannya pantas menyeluk poket seluar itu. Sehelai kertas yang agak renyuk dikeluarkan tetapi Kartini terlambat. Air basuhan telah melarut dan melenyapkan nombor talipon yang dicatit oleh Syed Faizul sebentar tadi. Kartini mengeluh hampa.

Isma….bisik Kartini. Ah..malulah nak minta pada Isma….Akhirnya dengan perasaan hampa Tini melangkah masuk ke biliknya semula.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha