Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,694
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Bab 6

Kerja rumah tetap selalu banyak dan menimbun. Ikmal pula tetap selalu tidak mahu menghulurkan bantuannya untuk menolongku. Rungutanku hanya dipandang sepi. Bebelanku langsung tidak mendapat perhatian. Bagaikan semuanya memang tugas khas untuk isteri sepertiku. Maka tanpa rasa bersalah dia membiarkan aku melakukan ‘tugas hakikiku’ itu seorang diri.

“Saya dah suruh ambil maid, awak yang tak nak. Lepas tu asyik bising bila penat.” Omel Ikmal.

Bila aku mengungkit pastinya aku juga yang dipersalahkan kerana masih juga berkeras untuk tidak mengambil pembantu rumah. Sebenarnya bukan aku tidak mahu. Tapi aku sudah serik dan jelik. Sudah nasibku agaknya kerana tiada rezeki untuk mempunyai pembantu rumah yang baik lagi boleh diharap sebelum ini seperti orang lain. Bukannya setakat dua kali malah sudah empat kali aku mencuba. Tiada satu pun yang serasi denganku. Pembantu rumahku yang pertama jenis yang tak faham arahan. Entah kenapa, setiap kali aku memberi arahan pastinya perkara lain yang dibuatnya. Kalau seminggu dua, tentulah aku masih boleh bertahan. Ini, hampir tujuh bulan aku menanggung derita tertekan jiwa raga berdepan dengan situasi itu. Sudahnya aku minta agensi menukarkan kepada yang baru. Mujur yang kedua tidak seperti yang pertama. Setiap apa yang aku ajarkan mudah benar untuk dia fahami. Tapi tetap juga tidak kurang masalahnya. Begitu juga dengan yang ketiga dan yang keempat. Mana yang kaki mencuri. Mana yang kaki suka duduk goyang kaki. Tak kurang juga ada yang dengan berani membawa masuk lelaki ke dalam rumahku ini ketika ketiadaan kami. Kalau sudah begitu keadaannya, salahkah aku kalau aku sudah takut dan bosan untuk terus mencuba lagi.

“Zaira tak nak terus makan hati melayan kerenah maid yang entah apa-apa tu. Takkan itupun Ikmal tak faham-faham lagi.” Tegasku.

“Orang lain pakai maid jugak. Takde masalah pun.” Balas Ikmal bagaikan aku yang bermasalah.

Ikmal pun macam orang lain juga. Orang luar hanya pandai bercakap. Bila berkali-kali mendapat pembantu rumah yang tidak serasi, pastinya majikan yang dikatakan punya masalah. Terlalu mengongkonglah. Terlalu bossy yang asyik mengarah itu dan ini. Katanya terlalu ingin menjadi tuanlah. Perkara-perkara negatif seperti itulah yang biasanya kita dengar. Tapi hakikatnya, bukan semuanya begitu. Aku melayan mereka dengan begitu baik. Kerja rumah bukan semuanya aku tala pada mereka. Aku juga ada mengambil peranan yang sama. Tapi sudahnya, buat perangai juga mereka. Lari dari rumah juga mereka. Salah aku ke kalau semua perkara yang tidak aku ingini itu terjadi juga?

Duit yang keluar untuk mengaji mereka juga untuk urusan pengambilan mereka amat tidak sepadan dengan masalah yang mereka timbulkan. Bila sehari dua bolehlah aku bertahan. Bolehlah aku cuba bersabar. Tapi bila berlarutan, mana boleh tahan. Daripada aku terus tertekan, adalah lebih baik andai aku melupakan hasrat hati untuk mengambil pembantu rumah lagi. Sudahnya sehingga kini, biarlah aku buat kerja rumah sendiri. Penat sikit pun tidak mengapa asalkan hati tak sakit. Perasaan tidak terdera. Tapi dalam kesanggupanku itu, aku masih memerlukan bantuan dari Ikmal untuk sama-sama membantu. Juga bantuan dari anak-anak untuk sama-sama memastikan tugas itu tidak terlalu berat untukku.

“Sebenarnya kita tak perlukan pembantu rumah kalau Ikmal ada rasa mahu membantu Zaira. Penatlah nak buat semua kerja rumah sendirian.” Selaku.

“Kalau dah penat biar ajelah rumah bersepah sikit. Nanti bila dah tak penat buatlah. Ini tak, suka juga nak membebel. Suka juga nak mengungkit bila saya tak nak tolong. Tak larat dah saya nak dengar.” Bidas Ikmal membalas rasa tidak puas hatiku.

Seperti biasa, Ikmal selalu tidak mahu ambil peduli. Rasanya semua wanita yang bergelar isteri di luar sana mengharapkan perkara yang sama. Tiada pembantu rumah tidak mengapa. Tapi huluran bantuan dari suami itu amat diperlukan. Namun bila bantuan yang diharapkan tak kunjung datang, aku rasa sesiapa pun akan selalu rasa tidak puas hati.

Sekarang ini tugasanku di rumah terasa sedikit ringan. Bukan kerana Ikmal sudah berubah sikap menjadi suami yang mahu membantu dengan kerja-kerja rumah. Tapi gesaanku yang berulang untuk Ikmal memberikan perhatian kepada pelajaran anak-anak telah disambut baik olehnya. Namun, bukan dia sendiri yang meluangkan masanya untuk menunjuk ajar anak-anak. Melalui perbincangan bersama, kami sepakat untuk mencari guru yang boleh mengajar anak-anak kami di rumah pada waktu malam. Memanglah kalau diikutkan masih terlalu awal untuk mereka mengikuti kelas tambahan. Zarif baru berusia 7 tahun manakala Zaril pula 8 tahun. Tapi kerana perkara itu dapat membuatkan aku memberikan perhatian kepada tugas-tugas lain di rumah, makanya aku bersetuju sahaja. Lagi pula anak-anak kami jenis yang memerlukan perhatian yang lebih kerana agak lemah dalam pelajaran mereka. Tidak mahu mereka terus ketinggalan, kami perlu memulakan langkah awal agar mereka turut sama-sama ke depan seperti mana teman-teman sebaya mereka. Kalaulah aku punya masa yang cukup untuk menunjuk ajar mereka sendiri, alangkah baiknya. Tapi aku tak punya cukup waktu untuk melakukan itu semua. Lebih-lebih lagi bila tidak mendapat bantuan sepenuhnya dari Ikmal.

“Ada kawan kat ofis saya kata, adiknya memerlukan kerja. Pernah juga jadi guru sementara di sekolah sebelum ini. Nantilah saya cuba tanya kalau-kalau dia mahu mengajar Zarif dan Zaril di rumah.” Maklum Ikmal beberapa hari selepas kami mencapai kata sepakat untuk mengambil guru tuisyen untuk anak-anak di rumah.

Keprihatinan yang ditunjukkan membuatkan aku rasa sedikit lega. Setidak-tidaknya aku tahu yang tidaklah aku terpaksa menanggung semuanya sendiri. Aku juga dapat rasakan yang soal anak-anak masih lagi sentiasa menjadi keutamaan buat Ikmal. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Seminggu selepas itu, Ikmal memaklumkan yang adik rakannya itu bersedia membantu mengajar anak-anak kami di rumah. Aku tersenyum senang mendangar berita yang dibawa oleh Ikmal. Beberapa hari selepas itu, anak-anak telah mendapat bimbingan dari guru itu.

“Inilah guru yang akan mengajar Zarif dan Zaril.” Ikmal memperkenalkan aku kepadanya.

Aku hanya mengenalinya sebagai Sufi. Tinggal di sini bersama kakaknya yang merupakan teman kepada Ikmal di pejabat. Umurnya setahun lebih muda dariku. Dari cerita Ikmal, masalah kesihatan membuatkan dia sukar memperolehi kerja tetap. Tidak pasti pula apa masalahnya. Ikmal tidak bercerita secara lengkap. Tentunya maklumat itu saja juga yang Ikmal tahu. Aku pula segan untuk bertanya sendiri kepada Sufi yang baru aku kenali. Orangnya nampak lembut dan kelihatan sedikit pemalu. Namun Sufi begitu pandai mengambil hati anak-anakku. Hanya itu yang aku tahu mengenainya. Entah kerana aku yang tidak berapa ramah atau Sufi yang terlalu pendiam membuatkan kami tidak banyak berkomunikasi. Untuk berbual mesra bagaikan tidak menjadi untuk kami berdua. Terasa seperti tidak serasi. Biasanya aku menegurnya ketika dia sampai dan mengucapkan terima kasih ketika dia mahu meninggalkan rumahku. Hanya itulah perbualan yang berlaku ketika bersamanya.

“Mummy nak iron baju di atas. Zarif dengan Zaril belajar elok-elok dengan Cikgu Sufi ya.” Pesanku pada anak-anak.

Tugas yang diambil untuk mengajar anak-anak membuatkan aku lebih menumpukan seluruh tumpuan dan masaku untuk menyiapkan kerja rumah dengan lebih selesa. Anak-anak juga cepat benar mesranya dengan Sufi. Padaku, baguslah begitu. Hubungan yang mesra itu membuatkan anak-anak berminat untuk belajar ketika di rumah bersama dengan Sufi. Bila segalanya di depan mata, maka mudah juga untuk aku memantaunya sama. Lega rasanya. Namun kelegaan aku dan Ikmal tidak lama rupanya. Tak terduga, dugaan datang. Selang beberapa bulan Sufi memaklumkan yang dia tidak dapat terus datang mengajar anak-anak kami di rumah. Tiada kenderaan untuk berulang alik menjadi alasan. Terasa ralat juga untuk kehilangan Sufi di saat anak-anak sudah serasi dengan Sufi. Pelajaran mereka juga sudah bertambah baik waktu itu.

“Mulai esok, biar saya ajelah yang ambil dan hantar Sufi,” cadang Ikmal padaku malam itu.

Cepat benar Ikmal menetapkan fikiran dan mengambil keputusan. Timbul juga tanda tanya di hatiku. Tapi tanda tanya itu aku ubah menjadi soalan yang baik dan lebih berhemah.

“Tak susah ke macam tu? Kalau sehari dua takpe lagi. Kalau lama-lama takut Ikmal pula yang tak sanggup nanti. Mungkin dah takde rezeki anak-anak kita untuk terus dapat bimbingan dari Sufi. Kita usaha cari guru yang lain ajelah.” Ujarku.

Sebolehnya aku mahu Ikmal membuka mata untuk memikirkan soal itu dalam jangka masa panjang. Namun tanpa perlu berfikir panjang Ikmal memberikan keyakinan tentang kesediaannya untuk menghadapi perkara itu.

“Lagipun, anak-anak dah serasi dengan Sufi. Biarlah Sufi terus membimbing budak-budak tu. Takpelah kalau saya kena bersusah payah sikit.” Tambah Ikmal lagi dengan bersungguh.

Selama ini, soal anak-anak memang sentiasa menjadi keutamaan Ikmal. Jadinya, tanpa sebarang prasangka aku bersetuju saja dengan keputusannya. Demi untuk kebaikan anak-anak kenapa pula aku perlu merasa curiga dengan kesungguhannya. Bila perkara itu tidak menjadi masalah buat Ikmal sekarang, tentu saja ianya tidak akan menjadi masalah buatku nanti. Aku pasti.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.