Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,681
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4

Serabut. Setiap kali pulang dari rumah mama, itulah perkara yang memenuhi kepalaku. Tidak hilang dari melayan perasaan bengang sepanjang perjalanan pulang, kepulanganku disambut pula dengan rumah yang berkecah tanpa ada yang sudi mengemasnya. Baranku tanpa lengah datang menyinggah.

“Zarif! Zaril! Kenapa mainan dari tingkat atas boleh berterabur di sini? Macam mana kusyen-kusyen mummy boleh ada kat semua tempat ni?” Tempikku dengan nada paling nyaring. Juga dengan kekuatan suara yang paling maksima.

Kesabaran yang sejak tadi aku pertahankan terluah juga di pintu rumahku ini. Dengan wajah takut-takut, kelam kabut kedua anak lelakiku mengutip segalanya dengan kadar segera. Sekejapan ruangan yang bagaikan tongkang pecah itu menjadi seperti asalnya. Walaupun tidak sekemas sewaktu aku meninggalkan rumah tadi, namun segalanya sudah berada di tempat yang sepatutnya. Bila segalanya telah berada di tempat yang sepatutnya, mataku terpandangkan pula lantai yang bercapok di sini sana. Kelihatan kesan sisa makanan dan cebisan-cebisan kertas yang bertaburan. Aduh, kemarahanku kembali memuncak. Sekali lagi dengan nada yang sama nyaring seperti tadi, dengan kekuatan suara yang tidak kurang sama maksimanya seperti tadi nama keduanya kembali aku jeritkan. Terus bergema bunyi suaraku dihening petang itu. Seperti tadi, laju juga keduanya membersihkan apa yang sepatutnya sejak tadi mereka lakukan. Bukannya selepas aku memekik bagaikan tarzan barulah segalanya dilaksanakan.

Mummy penat tau asyik nak kemas rumah.” Rungutku keras.

Tanpa sempat duduk melepaskan lelah, juga dengan bebelan yang masih bersisa aku berkejar membersihkan rumah terlebih dahulu. Tanpa menghiraukan badan yang letih dan perasaan yang bergelora dengan kerenah mama, aku melakukan tugasku agar mataku tidak sakit melihat rumah yang berkecah. Dari muka pintu hingga ke dapur aku melakukan tugas pembersihan.

Sebagaimana ruang tamu dan ruang makan, dapur juga tidak kurang bersepahnya. Malah tiada bezanya. Singki di dapur sudah penuh isinya. Sisa-sisa makanan yang sepatutnya dimasukkan terus ke dalam tong sampah turut berada di situ. Gelas-gelas kosong yang melekit dengan kesan minuman turut bercampur aduk dengan pinggan mangkuk yang berminyak. Melihatnya saja sudah membuatkan aku jadi penat. Inikan pula mahu membersihkan segalanya. Botol-botol kosong bergelimpangan tidak tersusun di rak yang sepatutnya. Air-air yang tumpah tidak dilap kelihatan di atas kabinet dapur. Bakul baju kotor yang tidak penuh isinya nampak selekeh dengan pakaian kotor yang tidak sempurna dimasukkan ke dalamnya. Di sekelilingnya juga kelihatan tiga empat helai lagi pakaian kotor yang bergumpalan di situ.

Sakit mataku melihat semua itu. Sakit di hati lebihlah lagi. Rumah yang aku tinggalkan dengan kekemasan dan kebersihan yang menyenangkan hati bertukar menjadi pandangan yang menyakitkan hati. Menjadi pandangan yang menyerabutkan mata juga fikiran. Malas mahu terus membebel aku melakukan segalanya sepantas yang mungkin. Menyiapkan kerja yang memenatkan ini dengan badan dan otak yang sedang letih. Tidak seperti tadi nama keduanya tidak lagi kulaungkan. Tidak kuasa lagi mahu menyakitkan tekakku mengulang perkara yang sama setiap masa. Maka adalah lebih baik andai aku menguruskan segalanya sendiri.

Letih dan bengang saling bersatu. Namun perut anak yang akan minta diisi untuk makan malam perlu aku ambil kira juga. Dalam keletihan yang masih tidak surut, aku menyediakan juadah untuk makan malam pula. Mujur nasi dan lauk untuk siang tadi masih lagi berbaki. Maka, sekadar menambah dua lagi hidangan maka akan lengkaplah makanan seimbang untuk keluargaku malam ini. Dengan pantas aku mendadar telur dan mengoreng sayur. Nasi di periuk automatik aku tekan punatnya untuk memanaskan nasi. Sedikit air masak aku renjiskan di atasnya. Inilah petua yang aku amalkan sejak dulu bila memanaskan nasi agar ianya tidak menjadi terlalu kering dan keras. Sesudah itu aku panaskan kari ayam yang masih ada beberapa ketul lagi isinya. Cukuplah untuk juadah kami anak beranak malam ini. Selepas menghidangkan segalanya di atas meja barulah aku mendaki tangga untuk ke tingkat atas.

AZAN maghrib sudah lama kedengaran. Namun Ikmal tetap tidak berganjak dari mengadap komputer ribanya. Tidak kuasa aku mahu menegur. Biarlah kesedarannya datang sendiri. Anak-anak sudah lengkap berkain pelikat. Senget benget rupa ikatannya. Keduanya setia menunggu di bilik untuk berjemaah bersama Ikmal sambil sesekali bertempuk bertampar bergurau berdua. Sorotan mataku membuatkan keduanya mematungkan diri buat seketika.

“Zaril dengan Zarif tengah tunggu Ikmal tu.” Tegurku bila Ikmal terus tidak berganjak.

Terasa sejuk hatiku melihat permata-permata hatiku yang setakat ini nampak begitu bersemangat mahu menunaikan solat. Tanpa perlu diarah mahupun dipaksa. Juga tanpa perlu dijerkah mahupun dirotan terlebih dahulu. Rasa syukur aku panjatkan kepada ALLAH kerana nur hidayah yang dinikmati oleh kami sekeluarga. Mudah-mudahan berkekalanlah hendaknya hingga ke akhir hayat dan bersambung pula pada keturunan mereka. Hati yang hangat juga otot yang berselirat kembali menjadi normal semula setelah air mengenai tubuh di serata badan. Titisan air dari pancuran membasahi tubuhku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Sungguh melegakan. Benarlah yang air itu menyejukkan. Hati yang sejak tadi panas dan membara, mudah saja menjadi sejuk dek kerananya. Selesai berwuduk barulah aku melangkah keluar dari bilik mandi. Ikmal dan anak-anak sedang menunaikan solat maghrib berjemaah ketika itu. Tanpa sedikit pun mengajak mahupun menungguku terlebih dahulu. Aku tidak berkecil hati kerana sudah lama benar mereka menunggu tadi. Dengan pantas aku menunaikan solat yang sudah lama masuk waktunya.

Di meja makan suasananya terus sunyi sepi. Semuanya kusyuk menghadap makanan yang di hidangkan. Anak-anak makan dengan penuh tertib. Langsung tidak menoleh ke kiri kanan. Tiada siapa yang mahu bersuara. Manakan tidak, sang singanya baru sekejap tadi mengaum dengan penuh garang. Maka mengelak dari diterkam, tiada siapa yang berani membuat angkara.

“Zarif dengan Zaril nak lauk apa?” Soalku mesra.

Terasa tidak sampai hati pula bila melihat kedua-duanya terkulat-kulat begitu. Dengan penuh kasih sayang aku menyendukkan lauk yang sudah susut dari pinggan keduanya. Dengan wajah yang takut-takut berani mereka tersengih malu padaku. Tentunya mereka faham mengapa aku bereaksi seperti tadi. Tentunya mereka sudah sedia maklum mengapa anginku menjadi puting beliung. Ikmal yang memerhati gelagat kami bertiga turut menghadiahkan senyuman sinisnya. Dengan senyuman yang masih bersisa Ikmal meneruskan makannya dengan penuh selera. Tanpa sedar, aku juga turut tersenyum sendiri melihat tingkahnya itu.

Selepas makan mereka bertiga menolong aku mengemas meja makan. Tanpa disuruh mahupun dipaksa, pandai pula melakukan segalanya. Beginilah selalu. Bila aku sudah naik hantu, barulah mereka ada keinginan untuk membantu. Kalau tidak memang segalanya menjadi tugas yang teruntuk buatku. Melihat kerajinan mereka membuatkan aku melakukan tugasku dengan senang hati. Bersama senyuman yang tersungging di bibir tanda berpuas hati. Biarlah tidak sebersih seperti mana yang aku lakukan. Biarlah tidak sekemas mana pun. Yang penting bersungguh mahu turut membantu dan tahu memainkan peranan masing-masing. Itu saja yang aku mahukan dari mereka. Susah sangat ke? Aku faham akan kemampuan mereka, tetapi susah sangatkan untuk mereka memahami aku?

TANGAN-tangan comel itu dihulurkan padaku sebagai tanda mahu bersalaman. Fikirku, tentunya mereka mahu memohon kemaafan di atas kesalahan yang sudah berulang kali berulang. Kesalahan yang sekali lagi berjaya menaikkan darahku petang tadi.

“Nak minta maaf dengan mummy ke?” Soalku lembut.

“Taklah. Dah ngantuk. Nak tidur.” Balas keduanya.

Dengan selamba, penuh jujur mereka menerangkan penyebab sebenar. Jawapan mereka membuatkan aku tersenyum sendiri. Budak-budak sebaya ini memang tidak pandai menipu. Mereka juga tidak tahu bagaimana mahu menjaga hati si ibu. Sebenarnya begitulah rutin Zarif dan Zaril sebelum masuk tidur setiap malam. Tidak kira walau bagaimana mengantuk pun mereka, pastinya tangan aku dan Ikmal akan dicari terlebih dahulu sebelum tidur.

Mummy minta maaf pasal marah-marah tadi.” Kataku sambil mencium dahi dan kedua pipi anak-anakku dengan penuh kasih sayang.

Aku tidak pernah malu untuk meluahkan kata maaf kepada anak-anak. Selepas setiap kesalahan mendapat hukuman, pastinya aku akan meminta maaf semula kepada mereka. Mendengar kata-kataku, keduanya membalas dengan ucapan yang serupa.

Sorry mummy.” Balas keduanya hampir serentak.

Tanpa lengah aku memeluk keduanya dan menciumi mereka sepuas-puasnya lagi.

I love you.” Bisikku.

I love you too mummy. Good night.” Suara-suara comel itu membalas ucapanku dengan penuh manja sambil berlumba-lumba mendaki tangga ke tingkat atas. Mendengarnya, penatku terasa hilang. Marahku terasa terus reda.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.